Selasa, 25 Jun 2013

Kerajaan tidak takut dengan Malaysian Spring

Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata kerajaan tidak gentar dengan penggunaan ungkapan ‘Malaysian Spring’ untuk menggambarkan usaha menggulingkan kerajaan melalui demonstrasi jalanan, dan tidak akan mengambil tindakan terhadap mereka yang menggunakan ‘rakyat’ untuk melahirkan rasa tidak puas hati, selagi tindakan mereka tidak melangkaui batas undang-undang negara. Perdana menteri berkata mereka yang menggunakan perkataan ‘rakyat’ semata-mata untuk melahirkan rasa tidak puas hati terhadap keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) diberi ruang membantah selagi tindakan seumpama itu tidak melangkaui batas undang-undang di bawah Perlembagaan Persekutuan. “Jika tindakan sudah langkaui batas undang-undang Perlembagaan Persekutuan, kerajaan tidak teragak-agak untuk bertindak agar kedaulatan negara terus dihormati,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad (BN-Mersing) pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini. Soalan Abdul Latiff yang menyentuh pandangan kerajaan mengenai penggunaan perkataan ‘rakyat’ untuk melahirkan rasa tidak puas hati mengenai keputusan PRU13 dan cubaan mewujudkan ‘Malaysian Spring’ menjadi soalan pertama yang dikemukakan pada persidangan Dewan Rakyat penggal pertama ini. Soalan serupa turut dibangkitkan Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor). Najib berkata sebarang usaha untuk menggulingkan kerajaan melalui demonstrasi jalanan dan rusuhan tidak akan membawa sebarang kebaikan kepada Malaysia. “Malah jika diamati dan diteliti, keadaan negara yang bergolak angkara rusuhan dan pergolakan jalanan, tidak ada perkara positif yang terhasil daripadanya. Ekonomi dan politik di negara-negara itu masih tercalar akibat persengketaan dan tidak nampak sebarang tanda untuk pulih seperti sedia kala,” katanya. Terdahulu, Najib berkata perbezaan pandangan bukan penyebab malapetaka dan punca perpecahan, sebaliknya jika ditangani dan diurus dengan baik, ia mampu mendatangkan rahmat dan kebahagiaan kepada rakyat dan memajukan negara. Kerajaan, katanya, mengakui kematangan dan kebijaksanaan rakyat dengan memberi hak untuk memilih kepimpinan negara melalui peti undi yang menjadi kaedah terbaik yang boleh diamalkan mana-mana negara. “Ironinya, mereka yang lantang menyuarakan mengenai ketidakadilan, menerima pula keputusan di kawasan yang dimenangi mereka,” katanya sinis. Menjawab soalan tambahan Abdul Latiff, kerajaan belum berhasrat untuk mewajibkan rakyat untuk mengundi. Bagaimanapun, katanya, kerajaan tidak menolak cadangan untuk melaksanakan pendaftaran pengundi secara automatik. “Apa-apa undang-undang jika difikirkan baik, perlu dilihat dahulu sama ada ia boleh dikuatkuasakan secara praktikal atau tidak,” katanya. – Bernama

Ghani Othman dilantik Pengerusi Sime Darby

Bekas Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman telah dilantik sebagai Pengerusi dan Pengarah Sime Darby Bhd yang baru berkuat kuasa 1 Julai, bagi menggantikan pemangku Pengerusi Tan Sri Samsudin OSman. Abdul Ghani, 66, akan berkhidmat sebagai Pengarah Bebas dan Bukan Eksekutif Sime Darby manakala Samsudin ditukar menjadi Pengarah Bukan Bebas dan Bukan Eksekutif Sime Darby, demikian menurut konglomerat itu di dalam satu kenyataan hari ini. "Abdul Ghani telah dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan pada Disember 1993 sehingga Mac 1995 sebelum menjadi Menteri Besar Johor sehingga Mei 2013," katanya. Samsudin dilantik sebagai pemangku Pengerusi Sime Darby berikutan persaraan Tun Musa Hitam sebagai pengerusi pada mesyuarat agung tahunan yang diadakan pada 8 Nov, 2012. Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby Tan Sri Mohd Bakke Salleh mengalu-alukan pelantikan Abdul Ghani, sambil menyatakan ia baik bagi kumpulan multinasional itu. "Sime Darby berbesar hati menerima beliau sebagai ahli Lembaga Pengarah dan kami yakin beliau akan membantu menyumbang bagi mengemudikan syarikat itu ke tahap lebih tinggi lagi dan bagi mengharungi tempoh yang mencabar," katanya. - Bernama

Isnin, 24 Jun 2013

Sesumpah yang sudah angkat sumpah...

Terciptalah sejarah, sekaligus bagi mereka yang mempunyai akal fikiran yang dibukakan oleh Allah Taala, akan melihat sendiri tembelang dan belang Anwar Ibrahim yang selama ini cukup kuat menipu dan memperdayakan rakyat Malaysia semata-mata untuk kepentingan peribadinya atau lebih tepat lagi demi menjadi seorang Perdana Menteri Malaysia. Sejurus selepas kegagalan demonstrasi di Padang Merbok, Anwar Ibrahim menyatakan Pakatan Rakyat tidak akan menganjurkan sebarang himpunan atau demonstrasi lagi. Seolah-olah dia sudah serik kerana sambutan yang diberikan terhadap himpunan di Padang Merbok amat mengecewakan. Bagaimanapun, Anwar Ibrahim menegaskan bahawa dia tidak akan menutup mulut daripada mencaci Malaysia dan kerajaan kepada pihak asing, selagi mana dia akan terus diberikan sokongan dari pelbagai sudut dan bentuk. Itu janjinya…. Beberapa hari sebelum hari angkat sumpah dan perlantikan Speaker Dewan Rakyat, Anwar bersuara juga. Katanya, Pakatan Rakyat mencadangkan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Abdul Kadir Sulaiman sebagai Speaker Dewan Rakyat yang baru walaupun sebenarnya cadangan itu membuang masa, memandangkan jumlah Ahli Parlimen mewakili Barisan Nasional jauh mengatasi jumlah Ahli Parlimen mewakili Pakatan Rakyat. Namun Anwar Ibrahim yang licik cuba pula kaedah lain. Dia menuntut agar undian dijalankan secara rahsia dan ada nombor siri seolah-olah akan berlaku penipuan sepertimana dalam pemilihan CEC DAP mahupun pemilihan MPP PKR. Menjelang dua hari sebelum hari angkat sumpah, Anwar Ibrahim ke Padang Merbok. Berapi-apiucapannya. Bersemangat seperti biasa walaupun air mukanya keruh apabila melihat lebih ramai peserta demonstrasi angkat kaki dan enggan mendengar ucapan skemanya. Selesai program berkenaan, Anwar Ibrahim menghamburkan kemarahan kerana pemimpin Pakatan Rakyat kebanyakannya enggan memberikan komitmen dalam menjayakan demonstrasi terbesar rakyat Malaysia menentang Kerajaan UMNO-BN. Hadi Awang yang berjanji akan turun padang, tak nampak batang hidung. Para pemimpin PAS kecuali manusia seperti Mujahid Yusof dan Khalid Samad, lebih senang berada di Ibu Pejabat PAS Jalan Raja Laut daripada sama-sama berarak meredah jerebu tebal yang didatangkan Allah Taala dari arah selatan Semenanjung. Itu cerita dua hari sudah… Semalam, gerombolan yang diketuai oleh Chegu Bard, Harris Ibrahim, Aruchelvam dan Adam Adli dengan bertemankan Tian Chua menjadikan Padang Merbok sebagai lapangan untuk mereka berkhemah. Jam 4:40 pagi, penguatkuasa DBKL merobohkan khemah-khemah mereka dan tercetus pula provokasi sambil Tian Chua menyatakan, tindakan anggota-anggota penguatkuasa DBKL itu melanggar Akta Perhimpunan Aman. DBKL terpaksa membuat laporan polis dan meminta bantuan polis agar menangani kedegilan kelompok manusia yang gemar menyalahgunakan undang-undang untuk kepentingan mereka. Pagi tadi, mereka berarak dan melakukan kekecohan di luar Parlimen. Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor dicederakan. Alasan mereka hanyalah ingin menyerahkan memorandum tetapi tindakan mereka menyusahkan lebih ramai orang. Pemilihan speaker Dewan Rakyat berjalan penuh kontroversi. Anwar Ibrahim tidak membuat usul sebab dia tahu, usul itu adalah usul bodoh. Sebaliknya dia mengarahkan si tongong yang jadi Menteri Besar Selangor untuk buat usul. Keputusan akhirnya berpihak kepada Pandikar Amin Mulia dengan keseluruhan undi wakil Barisan Nasional diberikan kepada Pandikar Amin Mulia. Mahfuz Omar melalak melolong bagi pihak Anwar Ibrahim. Semuanya diungkit dan alasan kononnya, undi tidak dijalankan secara rahsia kerana Barisan Nasional takut ada Ahli Parlimen mereka yang khianat, dipopularkan. Sedangkan selama ini, itulah proses yang diamalkan di Parlimen sepanjang sejarah Parlimen Malaysia. Kecoh lagi… Tetapi sewaktu rehat tengah hari, Anwar Ibrahim bergelak tawa dan sungguh mesra dengan Najib Abdul Razak serta Muhyiddin Yassin! Gelagatnya jelas menunjukkan para pengikutnya telah dikencing dan diberak di atas kepala masing-masing. Anwar sedikit pun tidak prihatin dengan semangat meluap-luap para penyokongnya sendiri!!! mykmu.net

Keputusan pembangkang turut angkat sumpah bukti demokrasi masih diperakui...

Kehadiran semua 89 anggota Parlimen pembangkang pada majlis angkat sumpah anggota Dewan Rakyat hari ini menunjukkan sistem demokrasi di negara ini diperakui pembangkang di sebalik laungan tidak puas hati terhadap keputusan pilihan raya umum ke-13 (PRU13). Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata dengan itu, pembangkang pada masa depan tidak sepatutnya mempertikaikan lagi sistem pilihan raya atau demokrasi negara. “Proses ini (angkat sumpah) menandakan sistem demokrasi di negara kita sudah diamalkan dengan baik, dan kitapun, termasuk pembangkang, telah angkat sumpah taat setia, mematuhi undang-undang dan menghormati Perlembagaan,” katanya ketika ditemui selepas majlis angkat sumpah anggota Dewan Rakyat di bangunan Parlimen di sini. Ditanya kekecohan yang dicetus segelintir pemimpin pembangkang sewaktu proses pemilihan Yang Dipertua Dewan Rakyat pagi ini, anggota Parlimen Semporna, Sabah itu berkata perkara yang dipertikai hanyalah kecil dan sengaja diperbesarkan. “Kita selaku anggota Parlimen sepatutnya ada peradaban dan faham aturan mesyuarat mana yang boleh, mana yang tidak, takkanlah kita terlampau ‘rigid’ sangat dalam cara perjalanan mesyuarat, sedikit perkataanpun nak dijadikan pertikaian dia (pembangkang),” katanya. Acara angkat sumpah melibatkan 222 anggota Dewan Rakyat itu didahului Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, diikuti anggota Dewan Rakyat lain, termasuk 89 daripada gabungan pembangkang PAS-DAP-PKR. Komposisi Dewan Rakyat kali ini terdiri daripada 133 anggota Parlimen Barisan Nasional selain 38 dari DAP, PKR (30) dan PAS (21). Turut menyokong kenyataan Mohd Shafie ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim yang menjelaskan prosedur pemilihan Speaker dan timbalannya melalui undi bersurat sudah dinyatakan dalam Peraturan Mesyuarat 4. “Undi bersurat bermakna kita kena tandatangan sebab nanti sesiapapun boleh undi, jadi bila kita undi kita tanda tangan, bererti kena tulis nama kitalah untuk pastikan tandatangan itu tandatangan kita,” katanya. Dalam pada itu, Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang menasihatkan semua wakil rakyat agar mematuhi lafaz sumpah yang diucap pada sesi mengangkat sumpah sebagai anggota Dewan Rakyat hari ini. “Keputusan pilihan raya telah dibuat malah sudah sampai masanya semua wakil rakyat datang bersidang dan lupakan isu-isu politik dan sebaliknya menunjukkan komitmen serta semangat mereka untuk menyumbang kepada rakyat,” katanya. Abu Zahar berkata semua wakil rakyat tanpa mengira parti politik seharusnya menggunakan persidangan kali ini sebagai platform untuk menyumbang khidmat bakti kepada negara. Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom pula berharap anggota Dewan Rakyat pada kali ini akan berhujah dengan lebih bijaksana selaras dengan peringatan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia. “Beliau telah memberi peringatan awal supaya Parlimen Malaysia menjadi contoh dan anggota Parlimen yang baharu dan lama dijadikan ikutan ketika sesi perbahasan,” katanya.Petikan Umnoonline.com