Rabu, 13 Ogos 2014

Khalid dedah surat pemecatan Exco Selangor

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata surat pemecatan 5 exco terbabit yang berkuatkuasa semalam adalah sah dan sudah mendapat perkenan Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam tempoh dua jam. Khalid berkata, beliau menulis surat kepada Sultan selepas mengetahui pendirian 5 exco terbabit pada jam 2 petang semalam. Sultan kemudian membalas surat Khalid secara bertulis dan membenarkan pemecatan itu dibuat kira-kira jam 5 petang.
"Beta tiada halangan jika Yang Amat Berhormat (YAB) menamatkan khidmat mereka," kata Khalid ketika membacakan surat jawapan balas Sultan Selangor kepadanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SUK) di Shah Alam, hari ini

Exco yang dpecat diarah kosongkan pejabat

Enam Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) daripada DAP dan PKR diarah mengosongkan pejabat masing-masing ekoran pemecatan mereka mendapat perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah. Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor, Datuk Mohamed Khusrin Munawi berkata bagaimanapun buat masa ini tiada tempoh masa tertentu diberikan kepada kesemua Exco terlibat. "Arahan pemecatan mereka telah diperkenankan Sultan Selangor dan mulai 12 Ogos (semalam) mereka tidak lagi dibenarkan untuk meneruskan tugas. "Buat masa ini, tiada arahan dikeluarkan bila sepatutnya mereka harus mengosongkan pejabat masing-masing, tetapi mereka dibenarkan masuk ke pejabat bagi mengemaskan barang persendirian mengikut masa mereka," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini. Ketika diminta mengulas mengenai beberapa Exco daripada kedua-dua parti itu yang kelihatan hadir dan meneruskan tugas di pejabat masing-masing di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini, Mohamed Khusrin berkata kehadiran Exco berkenaan bagaimanapun tidak melibatkan tugasan rasmi. "Mungkin dia datang untuk kemas barang atau jumpa orang... (jumpa orang) itu memang tugas dia selalu di Dewan Negeri Selangor ini," katanya. Semalam, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah menulis surat bagi meminta perkenan Sultan Selangor supaya keenam-enam Exco daripada PKR dan DAP yang tidak menyokong pentadbirannya digugurkan serta-merta. Tiga Exco daripada DAP ialah Datuk Teng Chang Khim, V. Ganabatirau dan Ean Yong Hian Wah sementara anggota Exco daripada PKR ialah Elizabeth Wong Keat Ping, Rodziah Ismail dan Dr Daroyah Alwi. - Bernama

Sultan perkenan pecat Exco Selangor

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini mendedahkan surat perkenan daripada Sultan Selangor kepada beliau untuk memecat lima Exco PKR dan DAP, semalam. Abdul Khalid berkata surat balas daripada Sultan Selangor itu diperolehinya dua jam selepas beliau menulis kepada Tuanku berhubung kenyataan bersama lima bekas Exco itu yang enggan bekerjasama dengannya. "Semalam jam 2 petang saya tulis surat kepada Sultan selangor selepas semua Exco itu tulis kenyataan bersama untuk tidak bersama-sama dalam pentadbiran kerajaan negeri. "Sultan Selangor telah balas secara bertulis supaya Exco berkenaan tidak bertugas lagi," katanya pada sidang media selepas mempengerusi mesyuarat mingguan Exco, di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, di sini, hari ini. Beliau berkata demikian membidas kenyataan lima Exco dipecat itu yang mendakwa Abdul Khalid tidak memperolehi perkenan Sultan Selangor untuk mengugurkan tiga wakil DAP dan dua wakil PKR. Lima Exco terbabit ialah Datuk Teng Chang Khim, Ean Yong Hian Wah, Elizabeth Wong, Ganabatirau Veraman dan Dr Daroyah Alwi. Dalam pada itu, mesyuarat mingguan Exco hari ini dihadiri oleh empat Exco Selangor Pas dan tiga pegawai ex-officio. Antara Exco Pas Selangor yang hadir ialah Iskandar Abdul Samad, Dr Halimah Ali, Dr Ahmad Yunus Hairi dan Salehin Mukhyi. Manakala pegawai ex-officio pula ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohammed Khusrin Munawi; Penasihat Undang-undang, Datuk Zauyah Be T.Loth Khan dan Pegawai Kewangan, Datuk Noordin Sulaiman. Sementara itu, Abdul Khalid menegaskan lima Exco dipecat itu tidak dibenarkan meneruskan khidmat mereka selepas kenyataan semalam bercanggah dengan 10 akujanji dan sumpah kesetiaan di hadapan Sultan Selangor semasa mereka mengangkat sumpah sebagai Exco.