Rabu, 18 Jun 2014

RM13 bilion membabitkan pengubahan wang haram

Jumlah keseluruhan amaun yang disiasat bagi kesalahan aktiviti pengubahan wang haram di negara ini bagi tempoh 2011 hingga 2013 adalah bernilai RM13.1 bilion, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan hari ini. Beliau berkata sebanyak RM567.9 juta pula disiasat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA) bagi tempoh sama. Ahmad berkata demikian semasa menggulung Rang Undang-Undang Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (Pindaan) 2013 pada persidangan Dewan Rakyat hari ini. Rang Undang-undang itu bertujuan meminda Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Akta 613) dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (Pindaan) 2003 (Akta A1208). "Kerajaan memandang serius permasalahan yang dikaitkan dengan kegiatan jenayah dan ketirisan hasil, yang sekiranya tidak dibendung boleh mengancam kestabilan ekonomi dan kesejahteraan negara," katanya. Ahmad berkata jumlah kes yang disiasat bagi kesalahan-kesalahan berat di seluruh negara ialah penipuan (7,983 kes), penyeludupan (2,155 kes), dadah (1,435 kes), jenayah cukai (1,046 kes), curi dan rompakan (309 kes) dan lain-lain (198 kes). Menurutnya agensi-agensi berkaitan seperti Polis DiRaja Malaysia telah membuka 216 kertas siasatan berhubung kes pengubahan wang haram, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (119 kes), Lembaga Hasil Dalam Negeri (115 kes), Jabatan Kastam Malaysia (104 kes), Bank Negara Malaysia (lima kes), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (lima kes), dan Suruhanjaya Sekuriti (satu kes). Bagi membanteras kes itu serta mengenakan hukuman setimpal, beliau berkata hukuman maksimum bagi pengubahan wang haram telah ditingkatkan daripada RM5 juta denda atau penjara lima tahun, kepada denda lima kali ganda jumlah nilai pengubahan wang haram dan penjara 15 tahun. "Ini untuk membolehkan kesan pencegahan yang lebih berkesan dan hukuman baru ini lebih setimpal dengan kesalahan pengubahan wang haram untuk menghukum orang yang membuat kesalahan mengikut AMLATFA," katanya. Mengambil contoh kes Pak Man Telo (Osman Hamzah), pengendali skim cepat kaya, Ahmad berkata Pak Man Telo telah disiasat, disabit kesalahan dan dipenjara. "Namun, kerajaan tidak dapat melakukan apa-apa terhadap aset Pak Man Telo (sebanyak RM99 juta yang diperolehi melalui penipuan 50,000 pelabur) kerana kita tidak mempunyai undang-undang AMLATFA pada masa itu. Oleh itu, keluarganya terus dapat menikmati hasil daripada kegiatan jenayah itu. "Tanpa AMLATFA, penjenayah tetap mempunyai insentif untuk terus melakukan jenayah. "Dengan adanya AMLATFA yang dipinda, kita boleh menyekat penjenayah yang mendapat keuntungan dan hasil kelakuan jenayah. Ini akan meningkatkan keupayaan kerajaan memerangi jenayah secara adil dan lebih berkesan," katanya.

MH370- Kerajaan belum putuskan untuk bentang Kertas Putih

Kerajaan belum memutuskan sama ada untuk membentangkan Kertas Putih di Parlimen berhubung tragedi kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370, kata pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. Katanya keputusan sama ada untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ataupun Jawatankuasa Khas Parlimen susulan daripada tragedi itu juga belum dibuat. “Keputusan mengenainya akan dibuat setelah pesawat yang hilang ditemui, siasatan mengenai insiden dijalankan dan punca tragedi dikenal pasti. “Usaha mencari pesawat MAS MH370 akan diteruskan,” katanya dalam jawapan bertulis kepada Liew Chin Tong (DAP-Kluang) di persidangan Dewan Rakyat hari ini. Liew ingin tahu sama ada Kementerian Pengangkutan bercadang untuk membentangkan kertas putih berhubung tragedi MH370 di Parlimen berdasarkan Nota Kabinet yang diberikan oleh Hishammuddin pada 14 Mei lalu. Berhubung anggaran kos yang telah dibayar dalam misi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat MH370, Hishammuddin berkata sehingga kini kerajaan masih belum menilai keseluruhan kos kerana operasi SAR ini masih berjalan. “Kos operasi SAR dilaksanakan sejajar dengan standard yang ditetapkan di bawah Lampiran 12 SAR, Konvensyen Chicago 1944 yang mana setiap negara perlu menyediakan perkhidmatan SAR di kawasan wilayah mencari dan menyelamat (SRR) yang telah ditetapkan oleh Keselamatan Penerbangan, Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO). “Dalam hubungan ini, kos operasi SAR adalah ditanggung oleh negara-negara yang terlibat,” katanya. Sementara itu, dalam jawapan bertulis kepada Teresa Kok (DAP-Seputeh) berhubung sebab negara hanya menumpukan carian pesawat MAS MH370 di Lautan Hindi dan tidak di Koridor Utara, Hishammuddin berkata kerajaan telah memohon kerjasama daripada 11 buah negara untuk menjalankan pencarian pesawat MAS MH370 di Koridor Utara. “Koridor Utara merentasi 11 buah negara bermula dari bahagian utara Thailand hingga ke sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan, manakala Koridor Selatan merentasi dua buah negara iaitu Indonesia dan Australia (bahagian selatan Lautan Hindi). “Negara-negara yang berada di koridor utara telah mengesahkan berdasarkan maklumat radar, adalah didapati pesawat MAS MH370 tidak memasuki ruang udara negara-negara tersebut,” kata Hishammuddin. Katanya Bangladesh dan Kemboja turut mengerahkan aset-aset mereka untuk melaksanakan operasi mencari dan menyelamat dalam SRR masing-masing. “Namun, hasil operasi SAR yang telah dijalankan tidak menjumpai pesawat MH370 di SRR mereka,” katanya.

PAC panggil Kementerian Kewangan ekoran Laporan Ketua Audit Negara

Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan memanggil Kementerian Kewangan untuk mendapatkan penjelasan berhubung pemberian projek secara rundingan terus kepada sebuah syarikat yang tidak berkelayakan. Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, PAC juga akan memanggil pegawai pengawal Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan syarikat itu, JAKS Resources Bhd, yang dianugerahkan Projek Pembangunan Empangan Paya Peda, Besut, Terengganu bernilai RM348 juta. "Selepas mendengar penjelasan tadi, PAC tidak berpuas hati kerana projek ini lambat siap sehingga memberi banyak masalah kepada penduduk tempatan dan projek ini tidak diuruskan dengan baik dan tidak dipantau. "PAC akan memanggil kesemua mereka dalam masa terdekat. Walaupun kita ada banyak proseding lain, namun kita akan beri keutamaan pada kes ini," katanya dalam sidang media selepas mendengar taklimat Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani berkenaan projek itu di bangunan Parlimen di sini, hari ini. Prestasi projek empangan itu, yang bertujuan menyalurkan bekalan air ke kawasan pertanian, dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara Siri 1 yang dibentangkan di Parlimen pada April lepas. Nur Jazlan berkata, PAC mendapati syarikat itu tidak berwibawa dan tidak mempunyai sijil kelayakan yang diiktiraf oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) untuk membina empangan selain didapati melanggar syarat-syarat yang ditetapkan kementerian. "Kelemahan kontraktor ini antaranya ialah tidak mempunyai peralatan cukup, tiada pegawai teknikal selain mereka melakukan subkontrak dengan membahagikan projek itu kepada kontraktor lain, sedangkan ia sepatutnya disiapkan oleh mereka," katanya. Menurutnya, sesebuah syarikat yang mahu mendapatkan projek kerajaan sepatutnya bersikap profesional dan tidak mengambil sesuatu projek yang tidak layak atau tidak mampu dilaksanakan oleh mereka. Nur Jazlan yang juga Ahli Parlimen Pulai berkata projek empangan itu sepatutnya sudah siap namun disebabkan masalah itu, pembinaannya kini hanya 83 peratus siap dan dijangka beroperasi sepenuhnya April tahun depan. Syarikat itu kini didenda atas sebab lewat menyiapkan projek dengan jumlah RM50,000 bagi setiap hari yang lewat.

9 kes tipu umrah di rekodkan Kementerian Pelancongan sejak 2009

Sebanyak sembilan kes penipuan umrah melibatkan kerugian kira-kira RM14.1 juta direkodkan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan sejak 2009 hingga Mei lalu. Menterinya, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, kes itu membabitkan lapan buah syarikat pengendalian pelancongan dan agensi pengembaraan yang berlesen serta sebuah syarikat pengendalian pelancongan yang tidak berlesen. “Seramai 3,611 individu dikenal pasti menjadi mangsa,” katanya. Mohamed Nazri (BN-Padang Rengas) berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan, Zairil Khir Johari (DAP-Bukit Bendera) yang meminta menyatakan apakah tindakan diambil ke atas ejen pelancongan yang tidak berhemah dan apakah langkah mengelak kes penipuan. Mengulas lanjut, Mohamed Nazri berkata, tindakan yang boleh dikenakan terhadap syarikat pengendalian pelancongan dan agensi pengembaraan yang tidak memberi perkhidmatan mengikut terma dan syarat dipersetujui atau penipuan ialah mereka perlu bayar balik wang dibayar, membayar pampasan, tindakan kompaun atau lesen batal. “Bagi syarikat atau individu yang menjalankan operasi secara tidak sah, kita akan ambil tindakan pendakwaan kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen. “Kita juga merujuk kes penipuan ini kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar tindakan lebih berat di bawah Kanun Keseksaan boleh diambil terhadap mereka,” katanya. Mohamed Nazri berkata, langkah lain adalah dengan meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan bawah Akta Industri Pelancongan 1992 ke atas syarikat pengendalian pelancongan dan agensi pengembaraan berlesen serta syarikat atau individu yang mengendalikan pakej tanpa lesen. Beliau berkata, semakan semula akan dibuat ke atas kadar denda mahkamah yang dikenakan ke atas pesalah di bawah Akta Industri Pelancongan 1992, melaksanakan kempen kesedaran mengenai penipuan umrah serta bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia untuk menyampaikan maklumat tentang penipuan itu melalui khutbah Jumaat.

ADUN DAP Pulau Pinang akan didakwa esok

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima RSN Rayer akan didakwa di bawah Akta Hasutan 1948 di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang, di Lebuh Light di sini, esok. Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalatrash Wahid berkata wakil rakyat berusia 43 tahun, yang juga seorang peguam, itu akan didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948. "Polis menerima 14 laporan polis berhubung kenyataan wakil rakyat berkenaan baru-baru ini dan selepas hampir sebulan kami menjalankan siasatan, Rayer akan didakwa esok," katanya ketika dihubungi Bernama di sini Rabu. Rayer daripada DAP sebelum ini mencetuskan kemarahan anggota Umno dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu selepas mengeluarkan perkataan 'Umno celaka' pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, 20 Mei lepas. Rayer bukan sahaja enggan memohon maaf atau menarik balik kenyataan itu malah mengulanginya dalam ceramah terbuka DAP ketika berkempen pada pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gelugor. Mior Faridalatrash berkata Rayer ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, di sini Rabu untuk direkodkan keterangan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis. "Kami telah panggil wakil rakyat berkenaan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut hari ini dan beliau hadir pada pukul 4 petang ini bagi merakamkan keterangan sebelum dibebaskan setengah jam kemudian," katanya.

1,000 menara Telekomunikasi akan dibina

Seribu menara telekomunikasi akan dibina di seluruh negara dalam tempoh tiga tahun bagi mencapai kelajuan perkhidmatan jalur lebar antara 48 mbps (megabit sesaat) hingga 50 mbps menjelang 2018, persidangan Dewan Rakyat diberitahu. Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata berbanding dengan Myanmar dan Vietnam yang hanya mencapai kelajuan sekitar 5.6 hingga 5.7 mbps, negara ini mencatat kelajuan antara 5.8 hingga 5.9 mbps pada masa sekarang berdasarkan kajian ‘ujian kelajuan’ yang dibuat The Ookla Global Net Index. “Kita tahu bahawa tiga hingga empat tahun lepas, kelajuan sebanyak 1mbs sudah mencukupi dan sambutan menggalakkan daripada syarikat yang menawarkan harga RM140 hingga RM144 untuk mendapatkan kelajuan internet satu atau dua mbps. Namun pada zaman sekarang kelajuan 20 mbps adalah tidak mencukupi kerana penggunaan internet sangat luas bukan sahaja untuk layari google, malah juga untuk pengangkutan, pendidikan, kesihatan serta pelbagai bidang lagi yang memerlukan kelajuan internet jalur lebar yang baik, ” katanya ketika menjawab soalan Khoo Soo Seang (BN-Tebrau). Khoo ingin mengetahui tentang rancangan kerajaan untuk meningkatkan perkhidmatan jalur lebar di negara ini dan sebab kelajuan jalur lebar di Malaysia hanya di tempat ke-126 antara 196 buah negara yang dikaji. Ahmad Shabery berkata dengan pembinaan menara telekomunikasi di bawah projek Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB) melalui kerjasama kerajaan dengan syarikat swasta, sekurang-kurangnya 95 peratus rakyat dapat menikmati faedah kelajuan jalur lebar itu. “Di bawah HSBB, sasaran kelajuan bandar-bandar utama iaitu setinggi 100mbps dan sekurang-kurangnya 20 mbps untuk penduduk sekitar kawasan pinggir bandar,” katanya. Menjawab soalan tambahan Khoo berkenaan caj penggunaan jalur lebar yang didakwa mahal, Ahmad Shabery berkata Malaysia merupakan antara negara yang termurah dalam kalangan negara Asia kerana kerajaan mendapat kerjasama daripada pihak swasta dalam menyediakan modal untuk pembinaan kemudahan bagi meningkatkan perkhidmatan. “Ini kerana modal yang kita gunakan tidak semua dilonggokkan tanggungjawab itu kepada kerajaan kerana jika diberikan sepenuhnya, maka kerajaan terpaksa menumpukan sepenuhnya kepada peningkatan perkhidmatan jalur lebar dan tidak dapat membina kemudahan infrastruktur yang lain kepada rakyat. Kita kena bangga sektor yang sentiasa menurunkan harganya iaitu telekomunikasi kerana jika kita lihat dahulunya caj jalur lebar untuk kelajuan dua mbps adalah mencecah kira-kira RM144, sekarang 20 mbps hanya dicaj RM200 sahaja,” katanya.

Tok Batin antara yang ditawar menunaikan haji

Seramai 1,000 jemaah termasuk dua Tok Batin dan lapan guru pondok hari ini menerima surat tawaran menunaikan fardu haji 2014/1435H di bawah Program Khas Haji Perdana Menteri-Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) 2014/1435H. Majlis penyerahan surat tawaran disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini Rabu. Selain tajaan haji, mereka turut menerima wang saku RM1,000 setiap seorang, kain pasang, kain pelekat dan kurma. Dalam ucapannya, Najib berkata program tersebut adalah bagi menghargai jasa imam dan pengerusi jawatankuasa keselamatan dan kemajuan kampung (JKKK) di seluruh negara yang dianggap tidak ternilai. "Tuan-tuan banyak jasa dan khidmatnya. Bukan senang jadi imam. Peranan imam dan ketua kampung besar dalam masyarakat kita. Kedua-dua institusi ini saya anggap amat penting sebagai teras kesejahteraan sosial dalam negara," katanya. Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hassan Malek, Pengerusi 1MDB Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin dan Pengerusi Lembaga Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim. Najib berkata program itu juga akan diteruskan pada masa akan datang, dengan kemungkinan memberi peluang kepada bilal dan tok siak di seluruh negara. "Insya-Allah kalau ada rezeki kita akan teruskan pada masa akan datang. Mungkin kita akan cari bilal dan tok siak pula supaya yang lain dapat merasai nikmat menunaikan rukun Islam kelima," katanya. Najib berkata kemakmuran negara hasil pengurusan yang baik oleh kerajaan tidak boleh dipandang ringan kerana ia akan dipulangkan semula kepada rakyat dalam pelbagai bentuk termasuk program-program seperti ini. "Saya amat berharap tuan-tuan menunaikan ibadat haji dengan penuh ketertiban dan disiplin. Jagalah nama baik negara jangan lupa doakan untuk negara aman, makmur dan kesejahteraan kita bersama," katanya. Pada majlis itu, Perdana Menteri turut menyempurnakan pelancaran program Ramadan Al-Mubarak peringkat nasional serta pengagihan kurma dan air zam zam di masjid seluruh negara.