Jumaat, 18 April 2014

MH370- Pencarian belum menemui bukti kukuh

Masih tiada lagi bukti kukuh tentang pesawat Malaysia Airlines MH370 ditemui daripada empat misi mencari dalam air kenderaan dalam air autonomi (AUV), Bluefin-21, di selatan Lautan Hindi sejak Isnin. Pusat Penyelerasan Agensi Bersama (JACC) berkata, AUV itu setakat ini telah mencari kira-kira 110 kilometer persegi. Ia telah dihantar untuk misi kelimanya hari ini, menurut agensi itu dalam kenyataan di sini pada Jumaat. Bluefin-21 yang dilengkapi sistem pengesan sonar dihantar dengan harapan dapat mengesan sebarang serpihan pesawat Malaysia yang hilang dalam air memandangkan tiada lagi isyarat yang disahkan dikesan oleh alat pengesan pinger sejak 8 April lalu. Ia menggunakan bunyi akaustik untuk menghasilkan peta tiga dimensi dasar laut dan akan mengambil masa sekurang-kurangnya 24 jam untuk menyiapkan satu-satu misi itu, yang termasuk empat jam untuk memuat turun data yang dikumpulkan. Menurut JACC, operasi mencari pada Jumaat yang masuk hari ke-42, akan melibatkan 11 pesawat tentera dan 12 kapal dengan kawasan pencarian visual meliputi kira-kira 51,870 km persegi, membabitkan tiga kawasan. Berdasarkan ramalan cuaca hari ini, operasi akan berdepan dengan cabaran angin timur selatan dan hujan bertaburan di beberapa tempat, menurut agensi itu. Penerbangan MH370 bersama 239 orang berlepas pada 8 Mac dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam dan hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam kemudian ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama. Gerakan mencari melibatkan pelbagai negara dilancarkan untuk mengesan pesawat itu, mula-mula di Laut China Selatan dan kemudian diperluas ke Selat Melaka serta Laut Andaman dan kini di selatan Lautan Hindi. Selepas analisis berdasarkan data satelit menunjukkan kedudukan terakhir pesawat itu adalah di tengah-tengah Lautan Hindi di barat Perth, Australia, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 24 Mac mengumumkan penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi". - Bernama

Pengamal media mesti bersifat adil dan mempunyai fakta yang cukup-TPM

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan pengamal media di negara ini supaya tidak bersifat apologetik dalam mempertahankan kepentingan nasional dan tanah air. Beliau berkata ini kerana kewartawanan bertanggungjawab adalah yang membina, menjaga dan memelihara apa yang telah dibina sedangkan kewartawanan yang tidak bertanggungjawab adalah sebaliknya. "Menjadi responsif kepada kepentingan nasional dan memajukannya adalah sebahagian daripada karakter media global. "Apatah lagi dengan peledakan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi, dunia jurnalisme yang menyaksikan kemunculan akhbar-akhbar dalam talian, penyebaran berita melalui twitter juga facebook, maka cabaran mempertahankan agenda nasional sesungguhnya menjadi amat besar," katanya ketika berucap merasmikan Malam Wartawan Malaysia 2014 anjuran Institut Akhbar Malaysia (MPI) dan Petronas, di sini, malam ini. Muhyiddin berkata dalam perjalanan membina sebuah negara bangsa yang bersatu-padu, stabil, aman, makmur dan berjaya, peranan pengamal media yang bertanggungjawab adalah sangat penting. "Biar secanggih mana teknologi yang digunakan dalam dunia kewartawanan baik di media cetak, elektronik mahupun portal-portal berita, etika serta tanggungjawab sebagai wartawan tidak pernah berubah," katanya. Muhyiddin berkata arus permodenan tidak boleh menyanggah prinsip asas pemberitaan yang hakikatnya bersifat universal serta terpakai dahulu, kini dan selama-lamanya. "Berita yang ditulis tidak boleh semberono, mesti berpaksikan fakta dan paling penting adil kepada subjek yang ditulis. Kesungguhan untuk memartabatkan profesion kewartawanan dalam menyampaikan maklumat yang adil, tepat, jujur dan sahih harus diberi tumpuan dan penekanan yang jitu. "Tuntutan itu sejajar dengan peranan wartawan sebagai cerdik pandai yang tahu apa sebenarnya yang mereka ingin sampaikan," katanya. Beliau turut mengingatkan pengamal media supaya tidak menjadi wartawan 'kering minda' atau yang popular kerana menulis berita tidak benar, mengejar sensasi dan didorong oleh agenda tertentu yang disebar pula kepada pembaca. Beliau berkata peranan media bukan sekadar menyampaikan maklumat terkini kepada masyarakat malah turut terlibat dalam isu pendidikan, perkembangan ekonomi negara, politik semasa, kebudayaan dan hiburan. "Tanggungjawab media dalam menyampaikan informasi, mendidik, membentuk jati diri masyarakat dan seterusnya menjadi ejen transformasi minda dalam kalangan masyarakat sehingga membentuk sesebuah masyarakat itu yang lebih bermoral, bermaruah dan berdaya saing, merupakan prinsip yang harus dipegang teguh oleh pengamal media," kata Muhyiddin. Bagaimanapun, katanya apa yang melegakan dan membanggakan beliau adalah komuniti wartawan di negara ini, terutama dalam kalangan media arus perdana, mempunyai komitmen jitu untuk menjadikan prinsip kewartawanan bertanggungjawab sebagai pegangan mereka. "Hal ini dapat kita saksikan dalam laporan mereka sewaktu kita menghadapi tragedi kehilangan pesawat MH370 yang sehingga sekarang masih kekal misteri, walaupun (operasi mencari) sudah memasuki hari yang ke-42 hari ini. "Apabila kita meneliti kembali pendekatan kewartawanan dalam pelaporan MH370, kita akan dapati bahawa apa yang dipanggil standard antarabangsa dalam jurnalisme adalah sesuatu yang abstrak, tidak seragam dan tidak konkrit. Sebenarnya, tiada satu panduan yang jelas tentang standard tersebut," katanya. Muhyiddin berkata laporan media mengenai MH370 juga tidak terkecuali daripada elemen patriotisme oleh wartawan negara yang terlibat dalam pencarian pesawat tersebut. Semua wartawan daripada organisasi media yang berbeza itu diikat dengan unsur psikologi yang sama serta bersaing memaparkan kebenaran dengan objektif menyerlahkan aspirasi nasional masing-masing, katanya. "Berdasarkan tingkah laku yang ditunjukkan oleh media-media dari pelbagai negara dalam melaporkan kehilangan MH370, kita harus sedar bahawa kepelbagaian itu adalah sesuatu yang bersifat global. "Jadi, janganlah kita terikut-ikut dengan momokan kononnya wujud keseragaman atau standard tertentu kewartawanan. Kononnya set nilai antarabangsa perlu dipatuhi dan dilaksanakan oleh wartawan tempatan di mana-mana negara termasuk di Malaysia," katanya. Muhyiddin turut memuji dan merakamkan penghargaan serta terima kasih kerajaan kepada semua wartawan dan media tempatan yang terlibat dalam melaporkan mengenai kehilangan MH370. "Anda semua telah memainkan peranan masing-masing dan menjadi penyumbang kepada pembinaan negara bangsa. Adalah jelas bahawa kita bergerak melaksanakan tanggungjawab kepada audien dalam bentuk menyampaikan maklumat serta berjuang memaparkan kebenaran dengan suatu kesedaran nasional," katanya.

Mahkamah rayuan putuskan adalah selamat untuk mensabitkan tuduhan liwat terhadap Anwar

Adalah selamat untuk mahkamah mensabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap pertuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan kerana terdapat cukup keterangan untuk mengesahkan dan membuktikannya, demikian diputuskan Mahkamah Rayuan. Mahkamah berkata malah sekiranya diandaikan tiada bukti untuk menyokong keterangan Mohd Saiful tentang fakta berlakunya penetrasi, adalah selamat untuk mensabitkan responden (Anwar). Panel tiga hakim Mahakmah Rayuan diketuai Hakim Datuk Balia Yusof Wahi dalam penghakiman bertulis 85 muka surat bertarikh 11 April, berkata terdapat cukup keterangan lain yang membolehkan elemen pertuduhan dapat disahkan dan dibuktikan. Dalam penghakiman yang diedarkan kepada media Jumaat, mahkamah memutuskan isu kemungkinan sampel DNA diambil daripada Mohd Saiful telah diusik oleh pegawai penyiasat kes Superitenden Jude Blacious Pereira dan telah tercemar juga tidak dapat dibuktikan. "Kami berpendapat andaian bahawa pegawai penyiasat telah mengusik barang bukti (sampel) tidak mempunyai merit. Kami tidak tahu bagaimana hakim perbicaraan yang bijaksana boleh terkhilaf dalam pendapatnya," kata hakim berkenaan. Berhubung andaian pihak pembelaan bahawa Jude telah mengusik eksibit itu, mahkamah mendapati tindakan pegawai penyiasat berkenaan membuka eksibit itu tidak menyebabkan eksibit itu tercemar. Ketiga-tiga hakim itu berkata mereka mengambil kira penjelasan diberikan Jude berhubung tindakannya itu iaitu beliau hanya mematuhi Arahan Tetap Ketua Polis Negara. Dua lagi hakim yang mendengar rayuan itu ialah Datuk Aziah Ali dan Datuk Mohd Zawawi Salleh. Pada 7 Mac lepas, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 9Jan 2012 yang membebaskan Anwar daripada tuduhan meliwat Mohd Saiful Bukhari, 26, di sebuah unit Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008. Panel itu juga berkata mereka mendapati tiada alasan untuk mereka menganggu penemuan hakim perbicaraan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah tentang isu kredibiliti Mohd Saiful dan bahawa tiada yang tidak munasabah dengan keterangannya. "Mengikut undang-undang, kredibiliti saksi-saksi adalah paling penting bagi hakim perbicaraan. Kami berpuas hati bahawa hakim perbicaraan yang bijaksana telah menimbangkan sewajarnya keterangan saksi pertama pihak pendakwa (Mohd Saiful Bukhari)," menurut panel itu. Mereka berkata mahkamah telah meneliti keterangan Mohd Saiful Bukhari dan bersetuju penuh dengan hakim mahkamah tinggi apabila beliau mendapati bahawa tidak sukar untuk memahami kenapa Mohd Saiful berbuat begitu disebalik menegaskan beliau tidak merelakan perbuatan Anwar itu. Panel berkenaan berkata mahkamah juga bersetuju dengan keputusan hakim mahkamah tinggi berhubung kredibiliti Mohd Saiful dan tiada yang tidak munasabah dalam keterangannya. Mereka juga menyatakan kelewatan membuat laporan polis berhubung dakwaan liwat tidak memudaratkan kes pihak pendakwaan selagi terdapat penjelasan yang kukuh dan boleh diterima berhubung kelewatan itu. Mohd Saiful Bukhari membuat laporan polis pada 28 Jun, 2008, dua hari selepas kejadian liwat itu. Mengenai isu pengesahan identiti "Lelaki Y", mahkamah memutuskan keterangan ahli kimia Nor Aidora Saedon dari Jabatan Kimia Malaysia adalah amat penting. Ketiga-tiga hakim berkata Nor Aidora membangunkan profil DNA "Lelaki Y" daripada eksibit iaitu sebatang berus gigi berwarna putih, sehelai tuala kecil "Good Morning" dan satu botol plastik air mineral yang telah kosong yang diperolehi dari sel lokap yang Anwar merupakan satu-satunya penghuni di situ. Selepas menjalankan analisisnya, Nor Aidora mendapati "Lelaki Y" adalah penyumbang yang sama dengan DNA diambil daripada eksibit ditemui di lokap itu dan beliau merumuskan penyumbang DNA dan "Lelaki Y" adalah daripada sumber sama. Panel itu menegaskan undang-undang akan gagal melindungi masyarakat sekiranya mahkamah menerima kemungkinan-kemungkinan andaian yang akan merencatkan pelaksanaan undang-undang dengan adil. Anwar dibebaskan dengan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan itu. Beliau diwakili barisan peguam iaitu mendiang Karpal Singh, Ramkarpal Singh dan Sangeet Kaur manakala pihak pendakwa raya diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.BERNAMA