Selasa, 14 Oktober 2014

Kerajaan sentiasa pantau fahaman militan- PM

Kerajaan sentiasa memantau dengan teliti fahaman militan dan ekstremisme dalam negara yang melibatkan apa jua label, kata Datuk Seri Najib Tun Razak. Perdana Menteri berkata ini termasuk mereka yang terlibat dalam aktiviti militan di Syria dan Iraq serta kumpulan Negara Islam (IS). "Sebagaimana kita ketahui tindakan penahanan telah diambil, bererti kita amat serius dalam hal ini dan kita tak teragak-agak untuk ambil tindakan secara berterusan," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di PWTC pada Selasa. Najib berkata demikan ketika diminta mengulas sama ada rakyat negara ini perlu mengambil berat isu keselamatan mereka ekoran penahanan rakyat Malaysia yang didakwa terlibat dengan kegiatan militan. Terdapat tiga kumpulan militan yang disertai rakyat Malaysia di Syria iaitu IS, Jabhat Al Nusra serta Ajnad Al Sham, dan lazimnya mereka menggunakan ayat al-Quran dan 'jihad' semasa 'mengumpan' golongan sasaran. Sehingga kini, 22 rakyat Malaysia termasuk tiga wanita dikesan berada di Syria menyertai kumpulan militan manakala 23 individu lagi ditahan selepas dipercayai terlibat dengan kumpulan militan. Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata pemantauan rapi itu tidak bermakna risiko terhadap sesuatu kejadian keganasan adalah tinggi dalam negara. "Tidak... tetapi kita mesti berwaspada dan memantau secara berterusan dan perkara ini sedang dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia," katanya.BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan