Isnin, 27 Oktober 2014

Gabungan mahasiswa bantah kehadirar Anwar di UM

Pada malam semalam kira-kira Jam 9.00 malam, gabungan mahasiswa daripada universiti sekitar Lembah Klang telah melakukan satu sidang media untuk menyatakan bantahan terhadap kehadiran Anwar Ibrahim yang dijangkakan hadir di Dataran DTC, Universiti Malaya pada malam ini untuk mengheret mahasiswa ke jalanan di bawah sepanduk retorik ‘Rakyat Hakim Negara’. Sidang media ini telah dihadiri oleh lebih daripada 150 mahasiswa jelas menunjukkan bahawa tidak semua mahasiswa sedia untuk menerima Anwar Ibrahim hadir untuk melemparkan hasutan dan mengheret mahasiswa ke jalanan demi agenda peribadi beliau. Mahasiswa juga turut mengingatkan bahawa mahasiswa pada masa kini tidak mudah untuk tertipu dengan rayuan dan rintihan Anwar Ibrahim. Mahasiswa kini juga telah terbuka pemikiran mereka dan tidak lagi terbelenggu dengan ideologi yang radikal pada mana hanya akan menghasilkan kesan yang negatif terhadap negara. Naib Canselor Universiti Malaya, Prof. Rohana telah menafikan penglibatan pihak polis seperti yang diwar-warkan di dalam Malaysian Insider. Prof. Rohana tetap dengan pendirian beliau untuk menghalang kemasukan Anwar ke dalam Universiti. Malah ini adalah satu strategi Anwar untuk melakukan huru-hara bagi menimbulkan permasalahan untuk beliau hadir ke Mahkamah pada esok harinya. Anwar berharap agar dirinya ditahan reman 48 jam oleh pihak polis supaya beliau tidak dihadapkan ke mahkamah pada keesokan harinya.

UM anggap program pidato Anwar sebagai menceroboh

Universiti Malaya (UM) menegaskan bahawa tindakan mana-mana pihak menganjurkan sebarang aktiviti di dalam kawasan kampusnya malam ini tanpa kebenaran pihak pengurusan, akan dianggap sebagai menceroboh. Pengarah Pejabat Hubungan Antarabangsa dan Korporat UM, Zarina Zainol Abidin berkata, universiti berkenaan sebagai pemilik berdaftar lot tanah di dalam kampusnya, berhak mengambil tindakan terhadap mana-mana individu atau pertubuhan yang melakukan kesalahan itu. Menurut beliau, adalah menjadi amalan kebiasaan bagi mana-mana pihak, sama ada penganjur dari dalam atau luar yang ingin menganjurkan sebarang aktiviti di dalam kampus UM, untuk mendapat kebenaran daripada pengurusan universiti terlebih dahulu. “Walau bagaimanapun, sehingga hari ini. pihak pengurusan UM tidak menerima sebarang permohonan daripada mana-mana pihak untuk menganjurkan aktiviti malam ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. Malam ini, Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) merancang untuk menganjurkan Program Pidato Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim: 40 Tahun Dari Universiti Malaya ke Penjara di Dataran Dewan Tunku Canselor, UM. Dalam perkembangan berkaitan, Zarina memberitahu, pihak pengurusan UM telah membuat laporan polis berhubung penyebaran surat palsu yang menyatakan kawasan kampus universiti tersebut akan ditutup hari ini.

SPRM perlu siasat projek sakit UMT -Pengerusi PAC

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menyiasat pengurusan perolehan kapal penyelidik RV Discovery oleh Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang dibina dengan kontrak bernilai RM14.39 juta. Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Datuk Nur Jazlan Mohamed (gambar) berkata UMT gagal menguruskan perolehan kapal itu dengan baik kerana tidak bertindak sewajarnya semasa proses tender. "Perolehan kapal RV Discovery dirumuskan sebagai projek sakit dan walaupun kapal siap dibina, ia bukan satu kapal penyelidikan dan merupakan satu pembaziran," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat penggal kedua PAC di Parlimen, di Kuala Lumpur. Nur Jazlan berkata berlaku perubahan kerja iaitu mengubah badan kapal daripada besi kepada aluminium selepas tiga bulan perjanjian ditandatangani, dan tanpa mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Melulus. "Ini menyebabkan klasifikasi kapal direndahkan dari kapal penyelidikan kepada kapal kargo," katanya. Laporan PAC berhubung pengurusan perolehan kapal penyelidikan dan latihan RV Discovery oleh UMT dibentangkan pada Persidangan Dewan Rakyat hari ini, selepas prosiding berkaitan perkara itu diadakan pada 2 April lepas. Perolehan kapal RV Discovery ditawarkan secara tender terbuka kepada kontraktor tempatan pada nilai RM11.99 juta dengan tempoh penyiapan selama 80 minggu iaitu dari 8 Sept 2008 hingga 22 Mac 2010. Bagaimanapun, ekoran dua perubahan kerja, kapal itu hanya boleh digunakan pada 18 Oktober 2013 yang mengakibatkan peningkatan kos kepada RM14.39 juta. Sehubungan itu, PAC juga mengesyorkan tindakan diambil terhadap beberapa pegawai atasan UMT termasuk dua bekas naib canselornya iaitu Datuk Prof Dr Abd Aziz Deraman dan Datuk Prof Dr Sulaiman Md Yassin, serta Pengarah Pembangunan UMT Ir Mohd Zaideen Yusoff. "PAC amat tidak berpuas hati dengan pengurusan perolehan kapal yang tidak mencapai objektif yang disasarkan dan mendapati pegawai pengawal UMT yang terlibat cuai dan tidak cekap dalam melaksanakan tanggungjawab," katanya. Laporan Ketua Audit Negara 2012 Siri 3 mendapati pengurusan perolehan kapal penyelidikan dan latihan RV Discovery tidak memuaskan dan tidak mencapai objektif sebenar. – Bernama - See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/rv-discovery-sprm-perlu-siasat-perolehan-umt#sthash.oaf5bxoZ.dpuf

JAKIM jumpa penganjur pesta sentuh anjing November depan

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan mengadakan pertemuan dengan penganjur 'I Want To Touch A Dog' pada 6 Nov depan bagi mendapatkan penjelasan sebenar mengenai penganjuran program itu. Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata pertemuan di Putrajaya itu turut disertai oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS). "Dalam pertemuan itu nanti, kita nak memahami penganjuran program tersebut. Apakah ada agenda terselindung atau agenda selain daripada kebiasaan kerana lazimnya semua masyarakat pun memahami bahawa menyentuh anjing secara sengaja tidak dibenarkan dalam Islam. "Islam dilihat sebagai agama yang menyantuni semua makhluk termasuk haiwan seperti anjing, namun, menyayangi haiwan ini ada tahapnya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar Rumahku Syurgaku 2014 di sini, Isnin. Jamil Khir berkata Jakim tidak mempunyai kuasa untuk menentukan sebarang tindakan undang-undang memandangkan jabatan itu hanya bertindak sebagai perantara. "Dalam konteks undang-undang, tidak ada yang menyebut tidak boleh memegang anjing, tetapi peruntukan lain ialah menjaga fatwa yang dikeluarkan oleh mufti di setiap negeri (mengenai hukum menyentuh anjing). Itu yang harus kita ambil kira," katanya. Beliau juga meminta majlis dan jabatan agama Islam di seluruh negara supaya peka dengan setiap penganjuran program supaya tidak wujud unsur melanggari batasan agama. Program 'I Want To Touch A Dog' pada 19 Okt itu di Central Park, One Utama, Petaling Jaya mencetuskan perdebatan hangat khususnya dalam kalangan umat Islam kerana ia dikatakan bercanggah dengan mazhab Shafie dan adat di negara ini. Sabtu lepas, penganjur program Syed Azmi Alhabshi memohon maaf atas perasaan tidak senang yang timbul akibat perbuatan segelintir peserta memeluk dan mencium anjing semasa program berlangsung. Terdahulu, Jamil Khir turut melancarkan Pusat Khidmat Keluarga, Sosial dan Komuniti (PKKSK) yang akan dibuka di Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) bagi memudahkan orang ramai mendapatkan khidmat nasihat berkenaan kekeluargaan.

Isu bible-Peguam Negara tidak akan dakwa Ibrahim Ali

Jabatan Peguam Negara tidak akan mendakwa Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali mengikut Akta Hasutan 1948 berhubung kenyataannya menyeru umat Islam merampas dan membakar salinan bible Al-Kitab yang mengandungi perkataan Allah. Ini kerana kenyataan beliau tidak dalam lingkungan definisi kecenderungan menghasut mengikut Akta Hasutan 1948, kata Jabatan Peguam Negara dalam satu kenyataan di sini, pada Isnin. Jabatan itu merujuk kepada kenyataan Ibrahim pada sidang media selepas tamatnya Konvensyen Perkasa di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pulau Pinang pada Januari 2013. Ibrahim membuat kenyataan itu bagi mengulas kejadian pengedaran Bible di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jelutong, Pulau Pinang pada 17 Jan 2013, di mana tiga lelaki Cina dikatakan mengedar sejumlah Bible kepada pelajar sekolah itu termasuk pelajar Islam di hadapan sekolah berkenaan. Menurut kenyataan itu lagi yang setelah dikaji keseluruhan kenyataan Ibrahim, Jabatan Peguam Negara mendapati ia tidak tergolong sebagai kecenderungan menghasut. "Kata-kata Ibrahim ditujukan kepada kejadian sekumpulan individu yang telah mengedar naskhah Bible yang mengandungi kalimah Allah dengan tulisan jawi kepada pelajar di SMK Jelutong termasuk pelajar Melayu," kata jabatan itu. Menurut Jabatan Peguam Negara, Ibrahim jelas tidak berniat menimbulkan kekecohan keagamaan tetapi hanya mempertahankan kesucian agama Islam. "Kenyataannya itu tidak tergolong di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana Presiden Perkasa itu tidak mempunyai niat untuk menghina dan menimbulkan provokasi yang membolehkan ketenteraman awam tergugat. "Selain itu, tiada kesalahan yang dibuat Ibrahim di bawah Seksyen 298 atau 298A Kanun Keseksaan kerana apa yang dilakukan Ibrahim jelas mempertahankan kesucian agama Islam," kata Jabatan Peguam Negara. Menurut jabatan itu, tindakan pengedaran Bible secara percuma dan terbuka di luar perkarangan SMK Jelutong boleh menggugat akidah pelajar-pelajar Islam yang kurang pengetahuan agama jika mereka membaca Bible itu, lebih-lebih lagi ia mengandungi tulisan jawi. "Setelah mengambil kira fakta dan keterangan kes-kes ini, Peguam Negara berpendapat bahawa adalah tidak wajar untuk kes-kes ini dibawa ke mahkamah," menurut jabatan itu.BERNAMA

Kes rayuan Anwar- Saiful harap Anwar tidak cari alasan untuk tunda

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera, Esok, kes saya akan mula didengar dan dibicarakan di Mahkamah Persekutuan. Saya harap pihak perayu(DS Anwar Ibrahim) tidak mencari alasan untuk "tunda" lagi. Cukuplah kes ini berlanjutan selama 6 tahun 2 bulan, yang mana sudah mencecah 100 penangguhan dan permohonan dibuat. Kebenaran ini penting dan amat bermakna buat saya dan seluruh keluarga saya kerana ia melibatkan maruah dan masa depan. Sebagai pengadu dan rakyat kecil, saya berkeyakinan penuh bahawa Mahkamah Persekutuan akan mendengar, lalu memutuskan kes ini dengan seadil-adilnya mengikut undang-undang, bukti-bukti dan semua keterangan sepanjang perbicaraan. Saya berdoa agar segala pengaruh mahupun tekanan dari pihak tertuduh, pihak luar, juga anasir politik yang cuba mempengaruhi (ura2 ada 'deal') agar beliau dibebaskan adalah suatu yang tidak benar. Sudah menjadi kebiasaan bagi diri saya dalam menghadapi sesuatu perkara, untuk siapkan diri berhadapan dengan 'worst case scenario'. Yang pasti, jika ditakdirkan keputusan nanti tidak berpihak kepada saya, saya akan tetap Istiqamah dengan kebenaran ini walau betapa perit sekalipun untuk ditanggung, kerana saya yakin bahawa Allah SWT tidak akan menzalimi hambaNya yang tegakkan kebenaran. Jika tidak didunia, di Masyar pasti… Di kesempatan ini saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada bapa, isteri tersayang, seluruh ahli keluarga saya yang selama ini berdiri teguh, berdoa, berkorban dan bersama saya, juga kepada semua pihak yang secara langsung dan tidak langsung bersama saya selama 6 tahun ini. Allah SWT sahaja dapat membalas budi dan jasa kalian. Disaat ini, hanya Allah SWT sahaja tempat saya mohon pertolongan, berserah dan mengadu. Sama-sama kita tunggu keputusan Mahkamah nanti. "Cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; kepadaNya aku berserah diri, dan Dia lah yang mempunyai Arasy yang besar." (At-Taubah 9:129) - 27/10/2014 - dari blog Saiful Bukhari Azlan...http://mohdsaifulbukhari.blogspot.com/