Ahad, 18 Mei 2014

GST- RM8 bilion cukai dijangka dapat dikutip tahun depan

Lebih RM8 bilion cukai yang sepatutnya dijelaskan oleh peniaga, pembekal dan pengilang setiap tahun dapat dikutip dengan pelaksanaan sistem cukai barangan dan perkhidmatan (GST) April tahun depan. Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Hamim Samuri turut yakin pelbagai taktik yang diguna untuk mengelak daripada membayar cukai selama ini tidak lagi berkesan dengan penguatkuasaan GST. Katanya melalui GST kerajaan dapat mengatasi kelemahan pungutan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dengan menghapuskan cukai bertindih, berganda dan cukai bertingkat yang menjadi punca harga sesetengah barangan menjadi lebih mahal daripada sepatutnya. "Melalui GST, jika mereka cuba mengelak membayar cukai, perbuatan mereka pasti akan dapat dikesan," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Parit Ponorogo, Jalan Muar di sini hari ini. Sehubungan itu, Hamim yang juga Ahli Parlimen Ledang berkata rakyat tidak perlu bimbang dengan pelaksanaan sistem GST tersebut kerana cukai berkenaan adalah untuk menjaga kepentingan mereka. Hamim turut menolak andaian sesetengah pihak bahawa GST akan menyebabkan kenaikan harga barang. Pada masa ini katanya, kerajaan menghadapi cabaran yang besar dalam memberi penjelasan kepada rakyat ekoran tindakan pembangkang yang mengelirukan mereka berhubung sistem GST. Bagaimanapun usaha sedang dijalankan bagi menangani persepsi buruk yang ditabur oleh pembangkang untuk menghasut rakyat supaya membantah pelaksanaan sistem percukaian tersebut. "GST merupakan sistem percukaian terbaik dan ini jelas berdasarkan kepada kajian terhadap 140 negara di dunia yang telah melaksanakannya sejak sekian lama," katanya. Beliau juga meminta rakyat tidak terkeliru dengan dakwaan pembangkang kerana bukan semua barangan dan perkhidmatan dikenakan cukai itu antaranya buku, ubat-ubatan dan syarikat yang mencatatkan pendapatan tahunan kurang daripada RM500,000. Pelaksanaan GST berkadar enam peratus diumum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Bajet 2014 pada Oktober tahun lepas. GST akan menggantikan SST yang pada masa ini berkadar keseluruhan 16 peratus. - Bernama

MH370- Seseorang sedang menyembunyikan sesuatu-Tun M

Pengeluar pesawat yang digunakan Malaysia Airlines (MAS), Boeing Corporation perlu memberi penjelasan tentang sistem pendaratan automatik yang terdapat pada pesawat Boeing 777 seperti yang dilaporkan The Flightglobal.com. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam entri blog terbarunya berkata, beliau tidak dapat membayangkan juruterbang yang mengendalikan MH370 membuat pendaratan yang licin di lautan yang ‘ganas’ dan kemudiannya tenggelam begitu saja. Beliau juga menyebut adalah tidak adil kesalahan insiden kehilangan MH370 hanya diletakkan kepada Malaysia dan MAS. “Boeing harus menjelaskan tentang sistem yang dipanggil pendaratan automatik anti keganasan ini. “Seseorang menyembunyikan sesuatu. Tidak adil kesalahan itu ditanggung Malaysia dan MAS sahaja,” katanya yang dipetik melalui entri bertajuk ‘Boeing Technology-What Goes Up Must Come Down’, hari ini. Menurutnya, sesebuah pesawat boleh terbang dan berada di udara untuk satu-satu tempoh masa tetapi ia tetap perlu turun ke bawah sama ada selamat mendarat atau kemalangan. “Tapi, pesawat tidak terus hilang. Tidak pada masa sekarang dengan kemajuan sistem komunikasi, radio, satelit dan kamera tanpa filem yang beroperasi tidak putus dan kapasiti simpanan yang besar. “Sistem komunikasi dan GPS pastinya telah dilumpuhkan, jika tidak, stesen pasti boleh menghubungi dan mengesan pesawat berkenaa,” katanya. Tun Mahathir menyentuh mengenai maklumat yang diperoleh daripada carian di Internet iaitu Boeing telah menerima paten Amerika Syarikat (AS) bagi sistem kawalan pemanduan automatik. “Carian di Internet mendedahkan, Boeing menerima paten AS pada 2006 bagi sistem yang sekali diaktifkan ia akan menghilangkan kawalan pemaduan juruterbang dan mendarat di lokasi yang ditentukan sistem itu. “The Flightglobal.com melalui sebuah artikel ditulis John Croft dengan dateline Washington DC (1 Dis 2006) menyebut, ‘pemanduan automatik yang tidak boleh diganggu atau pintas akan diaktifkan, sama ada oleh juruterbang, alat pengesan dalam kapal ataupun dikawal radio atau satelit yang dihubungkan oleh agensi kerajaan seperti Agensi Perisikan Pusat (CIA), jika terdapat ancaman pengganas untuk mengambil alih kokpit’. “Jelas Boeing dan beberapa agensi mempunyai keupayaan untuk mengambil alih kawalan penerbangan,” tegasnya. Katanya, pencarian debris, kesan tumpahan minyak atau mendengar bunyi ‘ping’ dari kotak hitam hanya membazir masa dan wang. “Ini bukan kejadian nahas biasa selepas kehabisan bahan bakar. Pesawat itu ada di mana-mana mungkin tanpa pengetahuan MAS,” katanya.

MB Terengganu iktiraf peranan media

Menteri Besar Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman mempelawa pengamal media memberi cadangan dan idea baharu dalam aspek penambahbaikan kesejahteraan dan kebajikan rakyat bagi memastikan agenda pembangunan negeri ini berjalan lancar. Beliau berkata pengamal media adalah antara golongan yang sering turun padang dan terawal dalam mengetahui permasalahan dihadapi rakyat dalam pelbagai urusan harian mereka. "Justeru marilah bersama-sama kita bekerjasama ke arah pembangunan Terengganu yang lebih maju dengan keseimbangan menyeluruh dengan kebajikan rakyat terus diutamakan. "Saya sangat berharap pengamal media di negeri ini terus membuat laporan tepat dan berkualiti dan saya sendiri akan berusaha memberi kerjasama yang diperlukan anda semua," katanya ketika berucap di majlis mesra media anjuran Kelab Wartawan Terengganu (KAWAT) di sini malam tadi yang dihadiri 300 pengamal media di negeri ini. Turut hadir Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Mohd Sabri Alwi, Ketua Umno Bahagian Dungun, Datuk Din Adam dan Presiden KAWAT Ayob Mamat. Ahmad Razif turut merakamkan penghargaan kepada pengamal media yang membuat liputan dengan baik sepanjang krisis politik negeri ini minggu lalu. "Fokus kita semua selepas ini ialah untuk menang semula di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) yang kita kalah dan mengekalkan kemenangan di kerusi Dun sedia ada dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) tidak lama lagi. "Saya adalah menteri besar ke-14 dan kebetulan akan menghadapi PRU14, lupakan semua yang berlaku, kita semua rapatkan barisan untuk capai impian yang satu demi kemenangan yang diimpikan," katanya. - Bernama

Kastam dikorporat tahun hadapan

Jabatan Kastam Diraja Malaysia akan dikorporatkan pada tahun hadapan, kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah. Beliau berkata langkah tersebut amat baik dalam usaha meningkatkan produktiviti anggota Kastam. "Hasil cukai yang dikutip turut bertambah dan akan disumbangkan kepada negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bangunan Pejabat Kastam (Penguatkuasaan) bernilai RM13.02 juta di Tanjung Dawai dekat sini Ahad. Beliau berkata kajian mengenai perkara itu telah siap dan pindaan beberapa akta berkaitan cukai dibuat dan akan dibentang di Parlimen Oktober depan. Katanya, jabatan itu mengambil contoh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang selepas dikorporatkan berjaya menyumbang hasil begitu tinggi kepada negara. Mohd Irwan berkata tahun lepas Kastam menyumbang hasil kepada negara sebanyak RM33.12 bilion dan sasaran pada tahun ini sebanyak RM36 bilion. Sementara itu Ketua Pengarah Kastam Malaysia, Datuk Sri Khazali Ahmad berkata sebanyak 55 syarikat kecil yang telah membeli perisian cukai barangan dan perkhidmatan (GST) bakal menerima subsidi kerajaan sebanyak RM1,000. Perisian tersebut untuk pengiraan harga barangan yang dikenakan GST. "Mereka yang beli perisian ini perlu memaklumkan kepada SME Corp sebelum mendapat kelulusan untuk subsidi itu. "Kita harap lebih banyak syarikat kecil memohon untuk mendapatkan perisian itu," katanya. Peruntukan sebanyak RM150 juta disediakan kerajaan untuk subsidi RM1,000 kepada setiap syarikat kecil dan sederhana bagi mengemas kini sistem perakaunan syarikat mereka. Pelancaran subsidi itu dijangka dilakukan pada Jun atau Julai ini sebelum kerajaan menguatkuasa GST mulai April tahun depan.

Bekalan air di Selangor mencukupi sewaktu fenomena El Nino- Khalid

Kerajaan Selangor telah membuat persediaan bagi memastikan simpanan bekalan air mencukupi untuk rakyat negeri ini dan Lembah Klang untuk tempoh enam bulan apabila fenomena El Nino melanda negara ini. Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri sudahpun melaksanakan projek Hybrid off River Augmentation System (Horas) bagi menambah bekalan air mentah. "Jika bulan Jun, Julai dan Ogos ini dikatakan musim El Nino, maka kita dapat menyediakan air secukupnya untuk tempoh tersebut kerana rizab air boleh menampung sehingga enam bulan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pelepasan program kayuhan 'Shah Alam Enduride 2014' di sini Ahad. Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan negara dijangka mengalami musim kering pada bulan Jun sehingga September tahun ini. Selain itu, Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO) meramalkan fenomena El Nino berkemungkinan berlaku pertengahan tahun ini dan mungkin berlanjutan antara enam hingga 18 bulan. Sebahagian Selangor dan Lembah Klang mengalami catuan air secara berjadual dan berperingkat selama tiga bulan antara Febuari dan April ekoran kekurangan bekalan air semasa musim panas baru-baru ini.BERNAMA

Kerajaan cadang tubuh Suruhanjaya Pihak Berkuasa Tempatan

Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang mempunyai fungsi sama seperti Suruhanjaya Perkhidmatan Awam. Menteri berkenaan Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata suruhanjaya itu akan memudahkan proses Pelan Transformasi PBT, yang dijangka dilaksana pada akhir tahun ini selain mempertingkat profesionalisme kakitangannya. "Pelan transformasi ini juga dijangka mempertingkat penyertaan rakyat daripada kumpulan masyarakat termasuk badan bukan kerajaan (NGO), golongan profesional dan sebagainya untuk memberi pandangan terhadap rancangan pembangunan yang diperkenal oleh majlis daerah," katanya dalam ucapan perasmian Pesta Kaamatan peringkat daerah Kota Belud pada Ahad. Turut hadir anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Tempasuk Datuk Musbah Jamli, juga Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, serta Adun Kadamaian Jeremy Malajad. Abdul Rahman berkata pelan transformasi PBT akan dilaksana bagi menganjak penyampaian perkhidmatan melalui pendekatan baharu berasaskan idea, sistem dan prosedur yang lebih dinamik selain mempertingkat martabat agensi itu di negara ini, terutama di Sabah. Dalam pada itu, Abdul Rahman yang juga anggota Parlimen Kota Belud berkata beliau memantau projek Pelan Tindakan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) peringkat bandar di daerah ini bagi memastikan kelancaran pembangunan bagi tempoh tiga tahun. Beliau berkata dalam hal ini, kerajaan akan menggunakan pendekatan menyeluruh dan bersepadu bagi merancang serta melaksanakan pembangunan untuk kesejahteran rakyat. "Kota Belud akan menjadi contoh daerah terbaik di negara yang mencapai era pembangunan dan pemodenan, selain sikap toleransi serta saling menghormati antara penduduk berbilang agama dan kaum yang bersaudara, hidup dalam keadaan harmoni tanpa rasa syak wasangka," katanya. Projek peringkat bandar di kawasan yang mendapat jolokan 'Daerah Koboi Timur' itu dilancar pada Januari lepas membabitkan 21 projek bernilai RM37.2 juta bagi tempoh tiga tahun, bermula tahun ini. Sementara itu, bersempena Pesta Kaamatan, Abdul Rahman berkata Sabah terutama Kota Belud terkenal dengan semangat persaudaraan, persahabatan dan rasa kekitaan serta perpaduan kaum yang menjadi amalan rakyat setempat bersesuaian dengan konsep 1Malaysia. Tema Pesta Kaamatan tahun ini ialah 'Kebudayaan: Asas Keamanan dan Persahabatan'.