Isnin, 17 November 2014

Circle K sediakan banyak peluang pekerjaan

CIRCLE K Sdn Bhd (Circle K) berhasrat membuka 70 cawangan baharu menjelang akhir tahun depan sekali gus ia mewujudkan banyak peluang pekerjaan kepada anak tempatan. Presiden Kumpulan Mofaz Sdn Bhd (Mofaz), Mohamed Fauzy Abdul Hamid berkata, setakat ini jumlah cawangan Circle K adalah sebanyak 20 di sekitar Lembah Klang dan 10 lagi cawangan baharu akan dibuka menjelang akhir tahun ini. Menurutnya, 10 cawangan baharu itu kebanyakannya di negeri Kelantan kerana Circle K mendapat permintaan yang tinggi di negeri tersebut. “Jumlah pelaburan bagi 10 cawangan Circle K yang baharu sekurang- kurangnya RM500,000 hingga RM700,000. Pembukaan Circle K beri peluang kepada penduduk tempatan untuk memasarkan produk mereka di rangkaian kedai serbaneka ini. "Ia juga memberikan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan kerana Circle K hanya menggaji penduduk tempatan yang mempunyai kelulusan akademik sekurang- kurangnya diploma,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Firefly Express Meal di Terminal Skypark Subang, semalam. Firefly Express Meal adalah kerjasama Circle K dan Firefly Sdn Bhd (Firefly). Mohamed Fauzy berkata, Circle K merancang membuka 500 cawangan dalam tempoh tiga tahun akan datang. Mofaz memegang 70 peratus kepentingan dalam Circle K (Malaysia) Sdn Bhd manakala baki 30 peratus pegangan dimiliki syarikat Jepun yang berpengalaman selama 30 tahun membangunkan lebih 6,000 kedai di bawah jenama Circle K dan Sunkus itu. Mengulas mengenai kerjasama dengan Firefly, Mohamed Fauzy berkata, ia memberikan kemudahan kepada penumpang Firefly untuk mendapatkan pelbagai menu segar. “Setakat ini, hanya Circle K di Terminal Skypark Subang yang menyediakan makanan kepada penumpang. Kita merancang membuka beberapa cawangan Circle K baharu di lapangan terbang dalam negara,” katanya. Mohamed Fauzy berkata, melalui Firefly Express Meal, penumpang boleh menempah makanan secara atas talian (online) dan mendapatkannya di Circle K Teminal Skypark, Subang. Tambahnya, sejak 31 Oktober Firefly Express Meal dilancarkan, pihaknya menerima tempahan memberangsangkan dan menjangkakan tempahan bertambah. Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Firefly, Ignatius Ong berkata, lima menu disediakan adalah Nasi Ayam, Nasi Lemak Ayam Goreng, Spaghetti Bolognese, Spagetthi Mamak Style dan pilihan Macaroni serta Cheese. “Kami harap Firefly Express Meal akan memberikan kemudahan kepada pelanggan untuk mendapatkan makanan panas sebagai sarapan pagi kerana penerbangan pertama adalah jam 6.30 pagi setiap hari,” katanya. Menurutnya, dari 20 Oktober hingga 20 November, Firefly Express Meal akan dijual pada harga pengenalan RM9.50 bagi satu hidangan, diskaun RM3 daripada harga biasa RM12.50. Ong berkata, Firefly juga akan menambah empat pesawat baru tahun depan dan setakat ini mempunyai 20 pesawat. “Walaupun berlakunya insiden pesawat MH370 dan MH17 pada tahun ini, jumlah penumpang Firefly tidak terjejas sebaliknya bertambah kepada 20 peratus. Jumlah penumpang Firefly juga dijangka meningkat tahun depan dari 15 peratus hingga 20 peratus berbanding tahun ini,” katanya. Ong berkata, jumlah penambahan itu dipacu oleh penambahan pesawat baharu, lokasi baharu dan kerjasama dengan kerajaan negeri. Katanya, setakat Oktober 2014, jumlah penumpang melebihi 1.7 juta penumpang seperti disasarkan.

Tengku Adnan janji akan selesaikan masalah penduduk Labuan

Kementerian Wilayah Persekutuan berjanji akan menyelesaikan isu yang membebani penduduk berpendapatan rendah dan peniaga kecil di pulau bebas cukai ini. Menteri berkenaan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata sungutan rakyat yang disuarakan kepada kementerian itu akan diberi perhatian serius. "Saya telah dimaklumkan tentang pelbagai isu dan kesemuanya akan diberi pertimbangan serta diselesaikan demi kepentingan rakyat," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan singkat ke sini pada Ahad. Beliau juga berkata Labuan akan mempunyai sebuah medan selera berharga RM13 juta di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan. "Ini bagi menempatkan semula medan selera sedia ada di pusat bandar dan mewujudkan persekitaran lebih baik serta kondusif untuk pengusaha gerai menjalankan perniagaan masing-masing," katanya. Tengku Adnan berkata medan selera itu akan mempunyai 50 gerai bagi memenuhi permintaan pemohon. "Kami juga sedang meneliti pandangan peniaga bahawa kemudahan di Kompleks Pasar Labuan yang baru disiapkan tidak mencukupi dan memerlukan penambahbaikan seperti keadaan lantai, ruang niaga yang terhad, kekurangan ruang letak kenderaan dan isu lain yang berkaitan," katanya. Beliau berkata cadangan agar Pusat Transformasi Bandar (UTC) dibuka di kompleks itu telah dikemuka kepada Kementerian Kewangan. Terdapat juga cadangan agar satu ruang di luar kompleks itu digunakan untuk menjual barangan tidak halal kerana pasar daging babi di Kampung Sungai Keling gagal menarik minat peniaga terbabit, katanya. "Kami akan mengkaji semua faktor dan pendapat dengan teliti sebelum membuat keputusan," katanya.

Usul Perhimpunan Agung UMNO disedia secara inklusif-Hishammuddin

Penyediaan usul-usul untuk dibahaskan pada Perhimpunan Agung Umno 2014 yang akan berlangsung minggu depan dibuat secara inklusif, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. Beliau berkata usul-usul itu telah diteliti di beberapa peringkat termasuk mesyuarat meja bulat dan beberapa jawatankuasa. Hishammuddin yang juga pengerusi jawatankuasa usul perhimpunan berkata ini selaras dengan sifat Umno yang kini lebih terbuka yang mengambil kira pandangan anggota peringkat akar umbi. Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan Komander Pasukan Marin Amerika Syarikat di Pasifik Lt Jen John A. Toolan di pejabatnya di Wisma Pertahanan di sini, hari ini. Perhimpunan agung Umno yang akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dijadual bermula dari 25 Nov hingga 29 Nov ini. Pada 11 Nov lepas, media melaporkan Ibu Pejabat Umno telah menerima sejumlah 755 usul daripada 191 bahagian Umno dan daripada jumlah itu, 638 usul adalah untuk rujukan dan 117 usul tanpa bahas. Hishammuddin berkata sikap inklusif yang diamalkan sekarang adalah petanda baik dalam transformasi yang dibawa oleh Umno. "Jadi saya mengalu-alukan usaha kita sempena perhimpunan agung Umno tahun ini untuk mengupaya dan memperkasakan suara-suara kita di peringkat akar umbi melalui usul-usul yang digubal dan usul-usul yang telah kita terima daripada bahagian-bahagian (Umno)," katanya. Beliau berkata sebagai pengerusi jawatankuasa usul perhimpunan, tugasnya adalah untuk mengumpulkan pandangan anggota akar umbi, menggembleng semua pihak berkepentingan dan menggubal usul yang akan dibahaskan pada perhimpunan agung. Hishammuddin memberi jaminan perhimpunan agung tahun ini akan lebih demokratik dan terbuka menerima sebarang teguran. "Cuma kita mengharapkan dalam perbahasan nanti apa jua yang diketengahkan tidak berbaur emosi, perkauman dan keagamaan yang akhirnya boleh menimbulkan keresahan rakyat jelata," katanya. Mengenai usaha Umno untuk memastikan usul yang dibahaskan nanti berjaya dicapai dan diambil tindakan seterusnya, Hishammuddin berkata satu pasukan khas yang dipimpin anggota Majlis Tertinggi (MT) Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dan dibantu oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sudahpun diwujudkan. Pasukan khas itu berperanan untuk memastikan apa yang telahpun menjadi pendirian Umno dalam perhimpunan agung kali ini akan diambil tindakan dan perkembangan usul akan dimaklum sekurang-kurangnya kepada MT untuk dibawa ke peringkat bahagian, katanya.

Dokuman 1MDB diserah kepada Parlimen- Ahmad Maslan

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata beliau telah menyerahkan dokumen kepada Parlimen untuk membuktikan bahawa kerajaan tidak mengeluarkan surat jaminan untuk menjamin RM9.6 bilion hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) seperti didakwa pembangkang. Beliau berkata dokumen itu diserahkan kepada Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia hari ini. Sehubungan itu, katanya Anggota Parlimen Pandan Rafizi Ramli juga perlu berbuat demikian bagi menyokong dakwaannya. "Saya telah menyerahkan dokumen bahawa RM9.6 bilion itu tidak dijamin oleh kerajaan. "Namun menurut Speaker, beliau masih lagi mahu menunggu dokumen pembangkang. Oleh itu, isu ini K.I.V (simpan dalam perhatian) sehingga dokumen yang beliau inginkan daripada Rafizi diperolehi," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini Isnin. Sebelum ini, Rafizi yang juga Naib Presiden PKR memaklumkan akan merujuk Ahmad kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen di bawah Peraturan Mesyuarat 36 (12) dan 80A kerana tuduhan mengelirukan Dewan Rakyat. Rafizi tidak hadir pada sesi Dewan Rakyat hari ini. Ahmad sekali lagi menegaskan bahawa kerajaan tidak pernah mengeluarkan surat jaminan untuk menjamin lebih daripada RM5.8 bilion hutang 1MDB. Beliau berkata kerajaan mengakui ada mengeluarkan surat sokongan, namun ia tidak menjamin hutang RM9.6 bilion tersebut. "Walaupun kerajaan menyatakan akan campur tangan apabila 1MDB tidak mampu membayar hutangnya, namun melihat kepada jumlah aset yang dimiliki oleh 1MDB sebanyak RM51 bilion, tentulah 1MDB mampu membayar RM9.6 bilion bon tersebut. "Oleh kerana itu, saya beranggapan bahawa pihak pembangkang tidak dapat untuk berdiri atas kenyataan atau tuduhan mereka," katanya. Ahmad juga berkata beliau masih berpegang bahawa kenyataannya sebagai benar dan tidak bertujuan mengelirukan Dewan Rakyat.

Kabinet Sarawak buat ikrar intergriti menentang rasuah-Ketua Menteri

Semua menteri Kabinet dan menteri muda Sarawak akan membuat ikrar integriti menentang amalan rasuah dalam masa terdekat, kata Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem. Katanya beliau akan meminta semua pegawai dan kakitangan jabatan dan badan berkanun kerajaan negeri menandatangani ikrar integriti itu dahulu sebelum membawanya kepada semua anggota Kabinet negeri. "Saya yakin menteri dan menteri muda akan menandatangani ikrar ini dalam masa terdekat," katanya ketika berucap pada majlis menandatangani Ikrar Integriti Korporat (CIP) untuk agensi-agensi kerajaan dan swasta dalam sektor perhutanan negeri di sini. Menurutnya pembangkang mempersoalkan mengapa anggota Kabinet lain tidak mengikut langkah beliau berikrar untuk tidak membenarkan anggota keluarga dan saudara mara memohon lesen konsesi balak atau tanah negeri, yang dilakukannya pada Jun tahun ini. "Adalah tidak adil untuk mengatakan mereka (menteri dan menteri muda) takut untuk menandatangani ikrar integriti itu (hanya) kerana mereka tidak melakukannya lagi. Adalah tidak adil menuduh mereka tidak jujur," katanya. Adenan berkata kerajaan negeri serius memerangi amalan rasuah terutamanya yang membabitkan industri balak. Beliau berkata menerusi kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kerajaan negeri menganjurkan beberapa siri seminar mengenai integriti untuk kira-kira 2,000 anggota penguat kuasa di seluruh negeri ini. Seminar itu yang melibatkan agensi-agensi kerajaan negeri dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan dianjurkan dengan 'kelainan' kerana ia bertujuan 'mewujudkan rasa takut kepada Allah dalam kalangan mereka yang tidak jujur'. Sebagai Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Negeri, Adenan berkata beliau juga memutuskan untuk tidak mengeluarkan lagi lesen pembalakan baharu dan mengingatkan para pemegang lesen sedia ada supaya memantau aktiviti kontraktor atau sub-kontraktor bagi memastikan mereka tidak terlibat dalam pembalakan haram. Menurutnya aktiviti pembalakan haram memberikan Sarawak reputasi yang buruk di peringkat antarabangsa dan mereka yang diamanahkan untuk menguatkuasakan undang-undang itu tidak perlu bimbangkan pelaku kesalahan itu. "Takut kepada samseng atau ancaman lain tidak boleh menjadi alasan untuk tidak melakukan apa-apa. (Kepada pelaku pembalakan haram) jangan cuba nak main-main dengan saya. Saya akan tahan anda dengan bantuan SPRM dan agensi-agensi lain,"katanya.

PAC nafi dakwaan tidak mempunyai taring- Nur Jazlan

Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) menyangkal dakwaan bahawa ia tidak mempunyai 'taring' dalam memastikan kerajaan mengambil tindakan terhadap syor-syor yang dikemukakan bagi menyelesaikan sesuatu isu. Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata banyak syor yang dikemukakan jawatankuasa Parlimen itu sebelum ini, terutamanya berkaitan masalah yang dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara, telah diambil tindakan sewajarnya sama ada oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) atau kementerian-kementerian berkaitan. "Apa yang PAC dapati sejak kita memulakan tugas dalam (persidangan) Parlimen yang baharu ini, tindakan yang diambil oleh KSN dan kementerian nampaknya mendahului PAC. "Sebagai contoh, dalam laporan berkaitan Kementerian Dalam Negeri (KDN), mereka telah memulakan operasi audit ke atas syarikat sekuriti... walaupun PAC belum panggil mereka untuk memberi penjelasan," katanya. Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan prosiding bersama KDN berkaitan prosedur perlesenan syarikat keselamatan dan pengambilan pengawal keselamatan, di bangunan Parlimen di sini, Isnin. Nur Jazlan yang juga Anggota Parlimen Pulai menyifatkan tindakan awal yang diambil KSN atau kementerian dalam menyelesaikan sesuatu isu sebagai perkembangan baik dan menggambarkannya sebagai sikap serius kerajaan dalam menyelesaikan masalah yang dilaporkan. Beliau bagaimana pun menjelaskan tindakan awal yang diambil oleh sesuatu kementerian itu tidak boleh dianggap sebagai tindakan 'berkecuali' kerana ia bukan syor yang dikeluarkan PAC. Menurutnya hanya PAC sahaja yang mengeluarkan syor bersifat berkecuali dan semua kementerian yang menerima syor daripada jawatankuasa itu wajar melaksanakannya seperti yang diminta. "Saya tidak kata tindakan yang diambil KSN atau kementerian itu tidak betul, saya cuma katakan bahawa akhirnya hanya syor tindakan daripada PAC sahaja yang bersifat berkecuali kerana kita membuat syor tanpa memihak kepada mana-mana pihak," katanya. Mengenai proseding hari ini, Nur Jazlan berkata PAC telah mengesyorkan KDN supaya menjalankan ujian psikologi ke atas semua pengawal keselamatan di negara ini bagi menentukan tahap kecerdasan mental mereka menepati keperluan tugas. Langkah itu penting bagi menjamin mereka dapat menjalankan tugas sebaik mungkin dan mengelak berulangnya kejadian seperti kes pegawai bank ditembak oleh pengawal keselamatan, katanya. Nur Jazlan berkata KDN memaklumkan bahawa sehingga kini, lesen 45 syarikat keselamatan ditarik balik kerana melanggar syarat-syarat ditetapkan. Pada masa ini, terdapat kira-kira 163,000 pengawal keselamatan termasuk 13,000 warganegara Nepal bertugas dalam pelbagai sektor di negara ini.BERNAMA