Sabtu, 17 Mei 2014

Kontroversi pertukaran MB Terengganu perkukuhkan Umno negeri

Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek melihat kontroversi susulan pertukaran Menteri Besar Terengganu baru-baru ini memperkukuh Umno negeri. Ini kerana katanya sikap yang dipamer pemimpin Umno negeri menunjukkan keikhlasan mereka untuk membuang yang keruh dan ambil yang jernih demi masa depan parti. "Ini penyatuan yang indah dan perlu diteruskan," kata Ahmad Shabery yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia kepada Bernama, di sini hari ini. Beliau yang ditemui ketika menghadiri majlis perkahwinan anak bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said, turut meluahkan rasa hormat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menghadiri majlis itu, sekali gus mencerminkan keterbukaan Presiden Umno berkenaan. Dapat dilihat setiap pemimpin Umno meletakkan kepentingan parti melebihi kepentingan diri, katanya. Kemelut politik di Terengganu tercetus selepas Ahmad yang juga Adun Kijal mengumumkan keluar parti dan menjadi wakil Bebas setelah melepaskan jawatan Menteri Besar. Langkah beliau disusuli oleh dua lagi Adun, namun kesemua mereka kembali ke pangkuan Umno dalam tempoh 24 jam selepas mengumumkan berbuat demikian. - Bernama

PRK Teluk Intan-Mah Siew Keong berjanji rampas semula kerusi

Bekas penyandang kerusi Parlimen Teluk Intan selama dua penggal, Datuk Mah Siew Keong, berjanji akan berkerja keras untuk merampas semula kerusi tersebut daripada DAP pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi itu, 31 Mei ini. Presiden Gerakan itu berkata beliau telah memberi jaminan itu kepada Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Tun Razak. Mah, ahli politik berusia 53 tahun itu, pernah menyandang kerusi itu pada Pilihan Raya Umum 1999 dan 2004. Pada Pilihan Raya Umum 2013, Mah tewas kepada calon DAP Seah Leong Peng dengan majoriti 7,313 undi. "Saya harap dalam tempoh dua minggu semua jentera parti komponen BN dapat bekerjasama bagi memastikan kemenangan," katanya pada majlis pengumuman calon dan pelancaran jentera BN oleh Timbalan Pengerusi BN Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Timbalan Perdana Menteri di sini hari Sabtu. Majlis itu turut dihadiri Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel. Mah, anak jati Teluk Intan turut mengucapkan terima kasih kepada Najib kerana sekali lagi memberi kepercayaan kepadanya untuk bertanding pada pilihan raya itu. "Jika kita (parti-parti komponen BN) bekerjasama kita boleh menang, tetapi tidak hanya melalui saya dan pemimpin (BN) atas pentas ini...yang akan menentukan kemenangan adalah saudara saudari, kemenangan (BN) adalah di tangan anda," katanya. "(Jika) BN menang, bukan Mah hebat tetapi BN di Teluk Intan hebat, Umno...,MIC..., MCA..., Parti Progresif Penduduk (PPP)... dan Gerakan... hebat," kata bekas timbalan menteri pertanian dan industri asas tani itu. PRK Parlimen Teluk Intan diadakan berikutan wakil rakyatnya Seah, 48, meninggal dunia akibat kanser di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), 1 Mei lepas.

MH370-aset lebih canggih untuk pencarian di dasar laut

Ketika operasi mencari bagi pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 yang hilang sejak 8 Mac memasuki fasa baru, aset lebih canggih dan berteknologi tinggi diperlukan untuk pencarian di laut dalam. Menyatakan demikian, pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat Chuck Hagel di Singapura dalam dua minggu ini untuk memohon penggunaan aset berkenaan. Hishammuddin berkata badan komersil yang telah dihubungi untuk operasi mencari di laut dalam ialah syarikat-syarikat minyak dan gas iaitu Petronas, Sapura Kencana, Boustead Holdings Berhad dan DRB-HICOM Defence Technologies Sdn Bhd (DEFTECH) dan aset kini amat terhad. "Adalah mustahak bila saya menemui Setiausaha Hagel...saya mohon untuk aset lain yang telah dikenalpasti, yang Tentera Laut AS boleh bantu membekalkannya. "Aset itu ialah sonar imbasan sisi (side-scan sonars)," kata beliau semasa sesi eksklusif bersama media tempatan, di sini hari Sabtu. Sonar imbasan sisi adalah sistem sonar digunakan untuk mencipta imej kawasan dasar laut yang jauh lebih luas. Ia mampu memberi pemahaman tentang perbezaan antara bahan dasar laut dengan jenis teksturnya. Hishammuddin berkata oleh kerana fasa baru membabitkan pencarian laut dalam, beberapa institut penyelidikan akan turut terlibat. "Institut penyelidikan dari China, Jerman dan Jepun, ada terlibat dan kami mendapat maklum balas," kata beliau. Sementara itu, Hishammuddin menyatakan beliau akan mengadakan pertemuan dengan menteri-menteri pertahanan Asean semasa Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan Asean (ADMM) di Myanmar pada Isnin. "Singapura dan Indonesia telah bersetuju untuk menjadi anggota bertauliah panel bebas. Jadi sekarang saya cuba dapatkan negara-negara lain dalam Asean yang boleh membantu kita. "Jika kita tempatkan Kemboja, Laos dan Myanmar dalam sebuah kapal, sama ada kapal Malaysia atau China, kerjasama sebegitu lebih baik daripada bertelagah mengenai kewujudan "batu" di tengah-tengah Laut China Selatan," kata beliau.

Kerajaan Kedah akan bangunkan Rubber City di Bukit Ketapang

Kerajaan negeri Kedah telah mengenal pasti tanah seluas lebih 400 hektar di Bukit Ketapang dekat sini untuk dibangunkan dengan projek 'Rubber City', kata Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir. Katanya ketika ini pihaknya merasakan kawasan tanah kosong itu merupakan tapak paling sesuai untuk dilaksanakan projek itu kerana ia merupakan kawasan rata dan berhampiran dengan populasi. "Perbincangan sedang dijalankan dengan syarikat Tradewinds untuk mengusahakan projek itu. Saya rasa kerajaan Persekutuan akan membantu dalam pembinaan infrastruktur seperti jalan serta bekalan air dan api," katanya kepada pemberita selepas majlis Kenduri Rakyat di Sungai Kampung Mani, di sini Sabtu. Beliau berkata banyak pelabur dalam dan luar negeri berminat dengan projek tersebut. Selain kawasan ladang getah, 'Rubber City' itu juga akan mempunyai institusi penyelidikan dan pembangunan (R&D) berkaitan industri getah, katanya. Katanya usaha kerajaan negeri itu menjadi tarikan kepada syarikat pengeluar kerana mereka boleh mengguna pakai inovasi terbaru daripada institusi penyelidikan dan pembangunan itu. "Antara syarikat yang minat adalah dalam pengeluaran tayar. Banyak inovasi baharu dilakukan dalam pengeluaran tayar. Banyak juga hak intelek yang dikeluarkan institusi penyelidikan di Malaysia berkaitan bahan getah yang boleh guna untuk pengeluaran tayar," katanya. Katanya beliau yakin projek 'Rubber City' akan menerima pelaburan dalam masa dua atau tiga tahun ini. Berucap pada majlis itu, Mukhriz mengumumkan peruntukan RM350,000 bagi pembinaan gabion (batu dalam sangkar) sepanjang 200 meter di Sungai Kampung Mani. Mukhriz menghadiri program turun padang ke daerah Padang Terap selama dua hari bermula hari ini bagi mengenal pasti isu-isu berbangkit di daerah berkenaan. Program hari ini dimulakan dengan program sarapan pagi di gerai berhampiran Majlis Daerah Padang Terap di sini diikuti dengan tinjauan mesra di pekan sehari. Beliau kemudian menghadiri program "Bicycle Fun Ride" di Carok Batang Padi, berdekatan Tasik Pedu. Para peserta program itu mengayuh basikal sejauh 27 km dari pekan Kuala Nerang ke Carok Batang Padi. Program berbasikal itu diadakan bagi mendedahkan para peserta dengan keindahan daerah Padang Terap dan mempromosikan pelancongan dalam negeri. -- BERNAMA

Presiden Gerakan Mah Siew Keong calon BN PRK Teluk Intan

Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong, 53, dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan, 31 Mei ini. Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa mengumumkan perkara tersebut berkata bekas ahli Parlimen Teluk Intan itu adalah pilihan yang sesuai kerana telah lama berkecimpung dalam politik dan mengenali hati pengundi di kawasan itu. "Walaupun pada pilihan raya (umum) lepas beliau mengalami kekalahan, (dan) saya fikir ini adalah kebangkitan semula parti Gerakan," katanya kepada pemberita selepas mengumumkan calon BN serta melancarkan jentera BN bagi PRK Parlimen Teluk Intan di sini, Sabtu. Mah, anak jati Teluk Intan pernah menjadi anggota Parlimen Teluk Intan pada Pilihan Raya Umum 1999 dan 2004. Bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu adalah lulusan ijazah sarjana muda sains dari London School of Economic dan sarjana dalam bidang pembuatan dari City University London, serta ijazah perundangan (LLB) dengan kepujian dari University of East, London. PRK Parlimen Teluk Intan diadakan berikutan kematian penyandangnya Seah Leong Peng, 48, akibat kanser pada 1 Mei lepas. Muhyiddin berharap lebih 60,000 pengundi di Parlimen Teluk Intan akan memberi peluang kepada Mah untuk menjadi wakil mereka kerana beliau adalah calon tempatan yang dikenali dan mengetahui isu dan permasalahan penduduk kawasan itu. "Kita percaya di peringkat negeri di bawah pimpinan Menteri Besar (Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir) adalah lebih mudah jika wakil rakyat daripada BN. "(Jika) Mah di peringkat Parlimen, hubungan dengan kerajaan pusat akan akrab, ini akan memberi kelebihan kepada beliau untuk atasi masalah penduduk di sini," katanya. Ditanya mengenai peluang BN merampas kerusi Parlimen Teluk Intan daripada DAP yang menang dengan majoriti 7,313 undi pada Pilihan Raya Umum 2013, Muhyiddin berkata: "Saya rasa kalau semua anggota BN bergerak untuk menemui setiap pengundi, kita yakin boleh mencapai kemenangan." Beliau berkata BN mengetahui kekuatan serta kelemahan di setiap pusat daerah mengundi berdasarkan keputusan pilihan raya umum lepas. "Kita letakkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) iaitu sasaran realistik supaya jentera parti yang bergerak di setiap peringkat tahu apa matlamatnya dan berapa ramai pengundi harus mereka dapatkan di kawasan itu," katanya. Ditanya mengenai sokongan pengundi Cina, Muhyiddin berkata BN berharap akan berlaku berubahan yang ketara seperti PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang. "(Di DUN Kajang) sudah ada anjakan positif dari sokongan masyarakat Cina kepada kepimpinan MCA yang baharu di bawah Liow (Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai), saya jangka hal yang sama akan berlaku di sini, walaupun tahu itu satu cabaran," katanya. Berhubung DAP yang meletakkan calon wanita, Dyana Sofya Mohd Daud pada PRK Teluk Intan, Muhyiddin berkata: "Saya tidak mahu perkecilkan calon mereka. Nanti ada pihak kata kita menidakkan kaum wanita," katanya. Terdahulu, dalam ucapannya, beliau berkata PRK ini sekali lagi akan menjadi platform pembangkang untuk membuat tohmahan termasuk membangkitkan isu seperti ekonomi, kos sara hidup dan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (CBP). Muhyiddin berkata semua perkara yang akan dibangkitkan oleh pembangkang akan dijelaskan secara terperinci kepada rakyat supaya mereka tidak terpedaya dengan helah pembangkang. Beliau berharap dalam tempoh yang singkat ini, jentera BN dapat bergerak sepanjang masa bagi memastikan kemenangan calon yang dipilih. Pada Pilihan Raya Umum Ke-13, Seah, 48, menewaskan calon Barisan Nasional Datuk Mah Siew Keong dan calon bebas Moralingam Kannan dengan majoriti 7,313 undi. Penamaan calon bagi PRK Parlimen Teluk Intan ditetapkan pada 19 Mei ini dengan disusuli pengundian awal pada 27 Mei serta hari pengundian 31 Mei.