Khamis, 10 Mac 2016

ZAHID YAKIN ISU TERENGGANU DAPAT DISELESAIKAN SEGERA

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan isu usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar Terengganu hanyalah pergesaran kecil dan tidak perlu diperbesarkan. Ahmad Zahid yang kini menjalankan tugas sebagai Timbalan Presiden UMNO yakin isu itu boleh ditangani serta diselesaikan dengan baik dan berkesan oleh Badan Perhubungan UMNO negeri itu. Katanya beliau sudah berhubung dengan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman dan beberapa Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Terengganu bagi mendapatkan gambaran jelas berhubung perkara itu. "Dengan usaha bersama semua anggota parti dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) (dan Presiden UMNO), akan mampu diselesaikan melalui mekanisme yang boleh diterima semua pihak," kata Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri. Bercakap dalam sidang media selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini hari ini, Ahmad Zahid berkata mekanisme berkenaan akan diumumkan Setiausaha Agung UMNO dan BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dalam masa terdekat. Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal Datuk Seri Ahmad Said, yang juga bekas Menteri Besar Terengganu, pada Selasa mencadangkan usul undi tidak percaya terhadap Ahmad Razif sebelum mengakhiri perbahasannya pada sesi perbahasan atas titah ucapan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin merasmikan persidangan DUN ke-13. Bagaimanapun, speaker DUN Terengganu Datuk Mohd Zubir Embong menolak "usul" itu. ADUN Kijal itu mengemukakan alasan bahawa terdapat konspirasi untuk memburukkan nama beliau dalam politik dan sebagai wakil rakyat. Berhubung tindakan tatatertib ke atas Ahmad, Ahmad Zahid berkata perkara itu akan difikirkan apabila Lembaga Disiplin UMNO bersidang kelak. Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri turut berterima kasih kepada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang atas pendirian berintegriti parti itu menolak usaha kumpulan diketuai bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menyingkirkan Najib sebagai perdana menteri melalui kaedah tidak demokrasi. "Ini bukan menifestasi berlandaskan tahaluf siyasi atau kerjasama politik tetapi lebih kepada pemahaman Abdul Hadi dan PAS mengenai menghormati perlembagaan atau perundangan berkaitan cara yang betul menukar perdana menteri," katanya. Berhubung kenyataan Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan hari ini bahawa parti itu akan mengumumkan pembentukan blok pembangkang baharu yang akan melibatkan sebuah parti pelbagai kaum dan badan bukan kerajaan, Ahmad Zahid berkata "ia merupakan satu amalan demokrasi dan kita meraikan perbezaan pendapat dan pendirian mereka". Menurut Takiyuddin pengumunan penubuhan 'blok politik ketiga' pada 16 Mac itu diharap akan setanding dengan Pakatan Harapan dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang. Ditanya apakah UMNO tergugat dengan langkah tersebut khususnya usaha PAS untuk membolehkan mereka menguasai sokongan orang Melayu, Ahmad Zahid berkata ia bergantung kepada kesepaduan dan sokongan antara UMNO dengan masyarakat di akar umbi. Beliau yakin dengan perancangan dan gerak kerja yang dilipatgandakan serta pendekatan lebih bijak yang digunakan jentera UMNO, dukungan atau sokongan rakyat terhadap parti itu akan terus bertambah.BERNAMA

PAS AKAN BENTUK BLOK BARU PEMBANGKANG

PAS hari ini mengumumkan parti itu akan membentuk blok baharu pembangkang pada 16 Mac, menjadikan kumpulan itu blok pakatan pembangkang yang ketiga di negara ini. Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan berkata parti itu akan menjalin kerjasama dengan sebuah parti bagi memperkukuhkan kedudukannya untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang. Beliau tidak menamakan parti itu. "Kami adalah blok ketiga. Dalam Perlembagaan (PAS) kami boleh bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang mempunyai pandangan yang sama dengan kami. Perjuangan dan tuntutan yang sama," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen. Takiyuddin berkata PAS masih bekerjasama dengan PKR dalam Pakatan Rakyat yang sebelum ini dianggotai tiga parti tetapi buat masa kini menolak kerjasama dengan DAP dan Pakatan Harapan yang dianggotai DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah). "Politik bukan satu hala sahaja ... ia berbentuk gabungan, satu muafakat dengan parti politik, tetapi yang pasti bukan Pakatan Harapan," katanya. Pakatan Harapan dibentuk oleh DAP, PKR dan Amanah selepas DAP enggan bekerjasama dengan PAS dalam Pakatan Rakyat yang turut dianggotai PKR. Amanah ditubuhkan oleh beberapa bekas pemimpin PAS selepas mereka kalah dalam pemilihan parti. Takiyuddin yang juga Anggota Parlimen Kota Baharu, berkata blok baharu itu akan membawa budaya politik matang dan sejahtera.