Selasa, 14 Oktober 2014

Tidak ada unsur rasuah dalam pengurusan Kawalan Keselamatan di sekolah-PAC

Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mendapati kelemahan Kementerian Pendidikan berhubung isu pengurusan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan (PKK) di institusi pendidikan tidak membabitkan unsur rasuah. Pengerusinya, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, sebaliknya hasil siasatan mendapati kelemahan kementerian itu seperti yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012 hanya membabitkan isu pentadbiran serta penganugerahan tender kontrak. "Kita mendapati tidak ada unsur rasuah dalam pengurusan kawalan keselamatan. Cuma kita dapati jumlah tender yang besar dan kelonggaran daripada segi kontrak yang dikhuatiri mungkin boleh berlaku insiden rasuah. "Sebab itu kita minta SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) untuk menyiasat. Itu pun sebenarnya berdasarkan laporan sebuah akhbar yang menyatakan bahawa ada syarikat kontraktor keselamatan sekolah yang membuat dakwaan bahawa ada amalan rasuah," katanya pada sidang media di bangunan Parlimen di sini, hari ini. PAC sebelum itu membentangkan laporan siasatan berhubung pengurusan PKK di institusi pendidikan dan sekolah di Dewan Rakyat yang mana laporan berkenaan turut diedarkan kepada media. Jelas Nur Jazlan, PAC turut mencadangkan agar mana-mana syarikat kawalan keselamatan sekolah yang bermasalah tegar perlu disenarai hitam dan diberi penalti. Katanya, kementerian juga disyor memberi penalti kepada syarikat kawalan keselamatan bermasalah tegar dalam pengurusan keselamatan sekolah. "Usaha yang wajar perlu dibuat bagi memastikan syarikat yang dilantik berkeupayaan menjalankan perkhidmatan yang ditawarkan," katanya. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan