Jumaat, 13 Mei 2016

PRK KUALA KANGSAR- PERAK SUDAH ADA SENARAI CALON

Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata tidak timbul soal sama ada calon dalam pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar adalah anak setempat atau orang luar. Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak itu berkata keutamaan Barisan Nasional (BN) adalah untuk meletakkan calon yang boleh diterima serta disukai pengundi sekali gus dapat membawa kemenangan besar kepada parti. "Kita telah mendapat senarai (calon) serta maklum balas daripada pelbagai pihak sama ada dari peringkat akar umbi dan parti mengenai cadangan nama yang hendak dikemukakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. "Tidak timbul soal calon setempat atau tidak kerana pada tahap ini kita memfokuskan kepada calon yang boleh diterima, calon yang dikenali dan disukai," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Perak di sini, hari ini. Katanya beliau akan mengadakan perbincangan dengan Najib selaku Pengerusi BN yang akan membuat keputusan mengenai calon PRK Parlimen Kuala Kangsar berdasarkan prinsip 'musyawarah' yang diamalkan oleh BN. Menteri Besar Perak itu berkata BN tidak akan melakukan pemilihan calon hanya berdasarkan kepada pilihan individu semata-mata. "Saya ingin tegaskan, BN sentiasa membuat penilaian berdasarkan kepada maklum balas oleh rakyat yang berada di kawasan berkenaan (kawasan pilihan raya). Kerusi Parlimen Kuala Kangsar kosong berikutan penyandangnya Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas. Turut terkorban dalam nahas itu anggota Parlimen Sungai Besar, Selangor Datuk Noriah Kasnon. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengumumkan PRK Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar akan diadakan serentak pada 18 Jun ini, manakala penamaan calon pada 5 Jun. Pada pilihan raya umum ke-13, Wan Mohammad Khair-il Anuar yang mewakili BN menang dengan majoriti 1,082 undi, mengalahkan calon PAS Khalif Idham Lim Abdullah dan calon Bebas Datuk Kamilia Ibrahim.BERNAMA

PRK KUALA KANGSAR, SUNGAI BESAR- BN LETAK CALON WINNABLE DAN LIKEABLE

Barisan Nasional (BN) akan meletakkan calon yang bukan sahaja 'winnable' tetapi juga 'likeable' pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Ahmad Zahid, yang juga Naib Presiden UMNO, berkata BN akan menyenarai pendek calon yang berpotensi dan mengumumkan calon bagi kedua-dua kerusi itu seminggu sebelum hari penamaan calon. "Sebelum memilih calon, kita akan semak latar belakang dengan beberapa agensi agar calon-calon bersih daripada semua unsur negatif," katanya kepada media selepas merasmikan Konvensyen Akrab Kebangsaan Kali Ke-7 di sini, hari ini. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengumumkan PRK Parlimen Kuala Kangsar, Perak dan Sungai Besar, Selangor diadakan serentak pada 18 Jun ini manakala penamaan calonnya pada 5 Jun. Kekosongan kerusi P.093 Sungai Besar dan P.067 Kuala Kangsar masing-masing berikutan kematian penyandangnya Datuk Noriah Kasnon yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dan Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad yang terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau Sarawak 5 Mei lepas. Ahmad Zahid berkata Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Datuk Seri Noh Omar masing-masing dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya bagi PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar. Katanya, beliau pula akan bertindak sebagai penyelaras bagi kedua-dua bahagian PRK berkenaan dengan dibantu Naib Presiden UMNO yang juga Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. Menurut Ahmad Zahid, persaingan sengit dijangka berlaku bagi kedua-dua kerusi pilihan raya itu memandangkan penyandang terdahulu memenangi kawasan itu dengan majoriti undi yang kecil. Pada Pilihan Raya Umum Ke-13, Noriah memenangi kerusi Parlimen Sungai Besar menewaskan calon PAS, Mohamed Salleh M.Hussin dengan majoriti 399 undi, manakala Wan Mohammad Khair-il memenangi kerusi Parlimen Kuala Kangsar mengalahkan calon PAS, Khalil Idham Lim Abdullah dan Datuk Kamilia Ibrahim, (Bebas) dengan majoriti 1,082 undi. Katanya BN menjangkakan dan mengalu-alukan pertandingan pelbagai penjuru di Sungai Besar dan Kuala Kangsar, dan telah bersiap sedia untuk menghadapi apa jua keadaan. "Apa yang lebih penting ialah pengalaman pilihan raya lalu yang cukup mengajar kedua-dua kawasan apabila memperoleh kemenangan yang marginal. Ini menunjukkan bahawa semua bentuk permasalahan dalaman harus diselesaikan sebelum penamaan calon. "Selain sejauh mana kekuatan pihak lawan, lebih penting ialah soal dan faktor kekuatan dalaman yang perlu dibina semula bagi meraih kemenangan dan memperoleh majoriti tinggi bagi kedua-dua kerusi Parlimen itu," katanya. Ahmad Zahid berkata jentera BN telah menyusun kerja awal di peringkat pusat daerah mengundi di kedua-dua kerusi Parlimen dan beliau sendiri akan turun padang memastikan ia berjalan lancar serta mengikut perancangan.

GENAP 100 HARI PENTADBIRAN- BASHAH JANJI TERUSKAN PEMBANGUNAN UNTUK RAKYAT

Genap 100 hari pentadbiran Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah semalam, beliau mahu memastikan segala bentuk pembangunan di negeri itu diteruskan demi kesejahteraan rakyat. Ahmad Bashah yang mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar baharu pada 4 Feb lalu berkata kerajaan negeri memberi tumpuan untuk memastikan pembangunan di Kedah yang melibatkan semua bidang berjalan lancar dengan sokongan daripada kerajaan persekutuan. "Pembangunan melibatkan pelbagai aspek seperti pendidikan, pelancongan dan ekonomi, jadi kita ingin pastikan semua perancangan yang sedia ada disusun dengan rapi bagi memastikan ia dapat dilaksanakan. "Semua janji yang telah diberikan akan ditunaikan termasuklah Projek Bandar Raya Getah di Padang Terap yang dijangka akan disiapkan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Terdahulu, Ahmad Bashah merasmikan Projek Perumahan Taman Berjaya dan sumbangan amal kepada 100 pelajar sekolah di sekitar Pendang. Beliau berkata perancangan pembangunan itu perlu diteruskan kerana kelewatan dalam projek pembangunan boleh menyebabkan Kedah ketinggalan dengan negeri-negeri lain. "Saya bimbang Kedah akan tertinggal di belakang dan tidak mampu bersaing dengan negeri lain jadi saya ingin mengajak rakyat untuk bersama-sama dalam membangun dan menentukan kejayaan negeri," katanya. Tambahnya, tempoh 100 hari itu bukan penentu kejayaannya dalam mentadbir Kedah dan dia berharap rakyat dapat memberi ruang untuknya terus memajukan negeri dalam tempoh berbakikan dua tahun sebelum PRU14.