Jumaat, 28 November 2014

Isu pampasan RM2.6 juta:Khalid alu alukan siasatan

Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengalu-alukan siasatan ke atasnya berhubung isu wang pampasan RM2.6 juta yang diagihkan kepada lapan bekas kakitangan Perbadanan Menteri Besar (PMB). Perkara ini diumumkan peguam Tan Poh Yee daripada syarikat guaman Bon Advocates yang mewakili Abdul Khalid. Tan berkata Abdul Khalid akan bekerjasama dengan apa-apa persoalan yang mungkin timbul semasa proses penyiasatan, termasuk siasatan yang sedang dilakukan Jabatan Audit Negara Negeri Selangor. Tan menjelaskan bahawa langkah itu adalah satu amalan kerja yang biasa apabila persetujuan dicapai untuk menamatkan kontrak pekerja lebih awal, dengan memperuntukkan sejumlah wang yang dipersetujui sebagai pampasan. “Jumlah itu biasanya merupakan bayaran untuk tempoh kontrak yang masih berbaki dan bayaran ex-gratia untuk perkhidmatan yang sudah diberikan mengikut budi bicara. “Di dalam kes ini, Setiausaha Negeri Selangor dan pegawai kewangan Negeri Selangor merupakan sebahagian daripada proses membuat keputusan,” katanya di dalam satu kenyataan. Dilaporkan kerajaan negeri Selangor telah membayar RM2.6 juta kepada pembantu mantan menteri besar yang juga pengerusi PMB sebelum beliau meletak jawatan. Turut dilaporkan, jumlah terbesar bayaran diberi kepada Faekah Husin, bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat milik kerajaan negeri itu.

Akta Hasutan bukan alat untuk kekal kuasa- Pak Lah

Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi mengingatkan ahli-ahli UMNO bahawa Akta Hasutan bukanlah alat untuk diguna bagi mengekalkan kekuasaan UMNO. Dalam catatan terbaharu di dalam blog paklah.net, Abdullah menegaskan, tiada rang undang-undang yang akan menyelamatkan parti dari kehilangan kuasa seandainya rakyat sudah tidak memberi sokongan kepada UMNO. "Dalam keghairahan kita menyambut baik pengekalan Akta Hasutan, saya ingin mengingatkan, kekuasaan dan kekuatan UMNO datangnya dari sokongan rakyat," jelasnya. Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak semasa ucapan dasarnya mengumumkan akan terus mengekalkan Akta Hasutan 1948 seiring dengan desakan tiga sayap parti itu dalam persidangan mereka semalam. Najib berkata, bukan hanya akta tersebut dikekalkan malah dua peruntukan khas akan dimasukkan supaya ia lebih berkesan. Jelas Abdullah, ucapan Najib disifatkan menarik kerana menekankan pentingnya solidariti dan tidak melupakan sejarah perjuangan UMNO selama ini. "Beliau (Najib) juga sangat prihatin dengan keresahan, kerisauan dan juga keinginan orang Melayu secara amnya, dan ahli-ahli UMNO khususnya. "Keprihatinan ini terserlah apabila beliau mengumumkan pengekalan Akta Hasutan yang disambut dengan ghairah oleh ahli-ahli UMNO yang berada di dalam dan di luar dewan PWTC," katanya. Abdullah turut menyatakan sokongan kepada ucapan Najib berhubung Akta Hasutan yang dilihat jaminan keharmonian yang menegakkan perlembagaan negara. "Ia menentukan perjanjian kontrak sosial yang dimeterai oleh bapa-bapa kita ditepati, dan yang menentukan Persekutuan Malaysia tidak dihancurkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Ini semua saya sokong," jelasnya. Pada Rabu, persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO menggesa kerajaan mengekalkan Akta Hasutan. Malah Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menyampaikan ucapan perasmian sayap UMNO pada Selasa turut menegaskan keperluan mengekalkan Akta Hasutan.