Khamis, 17 April 2014

Islam tidak galak umatnya ucap "Rest in Peace" (RIP)

Umat Islam tidak digalak untuk mengucapkan ucapan "Rest in Peace (RIP)" kepada seseorang bukan Islam kerana ianya berunsur keagamaan yang diambil daripada Kristian, kata Majlis Fatwa Kebangsaan. Dalam satu kenyataan di laman sesawang mereka; www.e-fatwa.gov.my, Majlis Fatwa Kebangsaan berkata umat Islam bagaimanapun dibolehkan untuk menyampaikan rasa simpati dan takziah mereka kepada keluarga penganut bukan Islam selagi ia tidak memberi implikasi keagamaan. "Seorang Islam adalah amat tidak digalakkan untuk mengucapkannya kepada seorang bukan Islam. "Bagaimanapun, Islam tidak menghalang mengucapkan simpati terhadap keluarga orang bukan Islam yang meninggal dunia dengan ucapan yang tidak memberi implikasi keagamaan seperti 'Saya bersimpati dengan apa yang berlaku kepada anda' atau 'kami mengucapkan kesedihan atas kehilangan si fulan daripada keluarga anda," kata kenyataan itu. Hari ini, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya awal pagi tadi menerima banyak ucapan "RIP" daripada pengguna laman sosial. Kenderaan Toyota Alphard yang dinaiki Karpal berlanggar dengan sebuah lori seberat lima tan di Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Gua Tempurung di KM306.1 Lebuhraya Utara-Selatan. Karpal, 73, dan pembantunya Michael Cornelius, yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju Pulau Pinang, meninggal dunia di tempat kejadian. Berhubung ucapan 'Rest in peace', Majlis Fatwa Kebangsaan berkata:"Ia juga mengandaikan orang bukan Islam itu akan mendapat rahmat Tuhan sebagaimana doa asal yang disebut dalam bahasa Latin; "May his soul and the souls of all the departed faithful by God’s mercy rest in peace." Katanya, perkataan itu adalah satu bentuk ucapan doa yang biasa diucapkan dalam agama Kristian terutama dalam mazhab Katolik sejak abad ke-18, dan turut diukir di batu nisan si mati. "Sedangkan daripada sudut akidah Islam seseorang yang mati dalam kekufuran tidak akan mendapat keampunan dan rahmat dari Tuhan," katanya. Kenyataan itu turut berkata, ucapan berkenaan turut bergantung kepada niat seseorang yang memberikan ucapan tersebut. "Sekiranya ucapan diberikan dengan niat membenarkan kepercayaan sesuatu agama yang jelas bertentangan dengan Islam, maka ia adalah dilarang. "Sekiranya ia diucap sekadar penghormatan secara umum, maka ia adalah harus," katanya.

Karpal Singh banyak menyumbang untuk negara- Tun M

Walaupun berpegang pada ideologi politik yang berbeza, bekas Pengerusi DAP dan Ahli Parlimen Bukit Gelugor Karpal Singh, yang maut dalam kemalangan, banyak menyumbang kepada negara, kata bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (gambar). Beliau berkata Karpal sering mengkritik kerajaan apabila beliau melihat sesuatu perkara yang tidak betul. "Sebahagian daripada kritikannya mungkin tidak betul tetapi ada juga yang mempunyai asas. Kita memerlukan pembangkang yang bercakap munasabah," katanya ketika mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang peguam tersebut. Dalam kemalangan pukul 1.10 pagi tadi, Karpal, 73, maut, apabila kenderaan serba guna jenis Toyota Alphard yang dinaikinya bersama empat orang lain melanggar sebuah lori lima tan di Kilometer 306.1 Lebuhraya Utara Selatan laluan utara berhampiran Gua Tempurung di Kampar, Perak. Karpal dikatakan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang ketika kejadian itu berlaku. Turut terkorban dalam kemalangan tersebut ialah pembantu peribadinya, Michael Cornelius, 40-an. – Bernama

MH370-Pendekatan pencarian dilihat semula jika masih gagal mencari bukti

Pendekatan dalam pencarian pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370 yang tertumpu di selatan Lautan Hindi mungkin akan dilihat semula jika maklumat hasil pencarian yang kini memasuki hari ke-41 hari ini tidak mencapai matlamatnya, kata Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein. Beliau berkata perkara itu antara yang dibangkitkan dalam perbualan telefon antara Perdana Menteri Australia Tony Abbott dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pagi tadi. "Abbott menyatakan jika dalam masa yang ditentukan bukan dari segi hari tapi dari segi apa-apa yang maklumat kami terima kalau itu sudah tidak sampai matlamat, satu pengumuman akan dibuat di mana mungkin kita perlu kaji dan timbangkan semula pendekatan yang digunakan. "...ini tidak bermakna kami akan hentikan operasi mencari tapi ia mengenai bagaimana pencarian dilakukan, mungkin juga di kawasan lain," katanya dalam sidang media selepas majlis penghargaan sempena penutupan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2014 di Kuala Lumpur hari ini. Beliau berkata selain membuktikan sebarang tindakan berhubung misi mencari pesawat itu tidak dibuat tanpa melibatkan perbincangan bersama, perbualan Najib dengan Abbott itu juga menunjukkan hubungan istimewa antara kedua-dua pemimpin. Penerbangan MH370 bersama 239 orang berlepas pada 8 Mac dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam dan hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam kemudian ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama. Gerakan mencari melibatkan 26 negara dilancarkan untuk mengesan pesawat itu bermula di Laut China Selatan dan kemudian diperluas ke Selat Melaka serta Laut Andaman dan kini di selatan Lautan Hindi. Pencarian di selatan Lautan Hindi bermula 20 Mac lalu iaitu hari ke-13 usaha pencarian antarabangsa ke atas MH370 selepas Abbott mengumumkan imej satelit negara itu mencerap dua objek yang mungkin berkaitan dengan pencarian pesawat berkenaan. Dalam perkembangan sama Hishammuddin berkata, misi mencari dan siasatan punca kehilangan pesawat MH370 sama sekali tidak dipengaruhi oleh pelbagai spekulasi yang dibuat pihak tidak bertanggungjawab. "Kami tidak akan melayan perkara yang boleh menjejaskan siasatan dan misi pencarian, malah percaya setiap spekulasi akan terjawab apabila jawatankuasa siasatan dan panel inkuiri yang dibentuk selesai melakukan siasatan," katanya. Hishammuddin berkata cadangan untuk menubuhkan sebuah panel penyiasatan antarabangsa yang sepatutnya dibentangkan kepada Jemaah Menteri semalam terpaksa ditangguhkan hingga ke mesyuarat Kabinet akan datang. "Kami tidak sempat mengedarkan kertas itu kepada semua kementerian berkaitan untuk mendapatkan komen. Jadi saya akan membentangkan kertas itu lagi kepada Kabinet dan berharap orang ramai tidak membuat spekulasi mengenai status panel pakar sehingga Kabinet membuat keputusan," katanya. Hishammuddin mengulangi adalah tidak adil bagi kerajaan Malaysia untuk hanya memberi tumpuan kepada keluarga warga China dalam insiden yang tidak pernah berlaku sebelum ini kerana pesawat MH370 yang hilang juga melibatkan 14 warga negara lain dalam pesawat itu termasuk rakyat Malaysia. Beliau juga berkata buat masa ini tidak perlu bagi kerajaan untuk membeli peralatan baharu sepenunhnya seperti satelit dengan radar, hanya kerana tragedi MH370, tetapi yang paling penting ialah untuk menaik taraf semua teknologi yang dimiliki. "Saya sendiri mendengar taklimat...dan DSA 2014 memberikan peluang bagi saya untuk melihat kekuatan dan kelemahan kita. Tetapi akhirnya kita perlu menyerahkan kepada tentera udara dan pengguna tentang apa yang terbaik," katanya. – Bernama,