Jumaat, 8 April 2011

Tolak Suruhanjaya kerana yakin pelaku itu adalah Anwar



Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata tindakan pakatan pembangkang menolak penubuhan Suruhanjaya Siasatan Di Raja bagi menyiasat rakaman video seks kerana ramai di kalangan mereka meyakini bahawa individu yang terlibat itu adalah ketua mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Oleh sebab itu tegas beliau pakatan pembangkang menolak penubuhan suruhanjaya itu kerana takut menerima kebenaran.

Jelas beliau lagi tindakan pakatan pembangkang menolak penubuhan Suruhanjaya Siasatan Di Raja membuktikan sikap talam dua muka dan hipokrit mereka dalam mengadili sesuatu perkara.

”Dalam kes terdahulu…kematian Kugan, Aminulrasyid, Teoh Beng Hock merekalah (pakatan pembangkang) yang ghairah meminta penubuhan Suruhanjaya Di Raja tapi dalam kes video seks ini lain pula nada mereka.

”Kenapa mereka perlu takut dan berdolak dalih sedangkan penubuhan suruhanjaya itu akan dapat pastikan kebenaran yang kini menjadi persoalan banyak pihak”, katanya kepada UMNO-Online di sini.

Beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri seterusnya berkata sebagai pakatan yang sering melaungkan keadilan dan ketelusan, pembangkang patut bersama rakyat menyokong penubuhan sebuah badan bebas bagi menyiasat rakaman video seks itu.

”Ini bagi membolehkan semua pihak tidak lagi membuat spekulasi dan tuduhan liar terutama pakatan pembangkang yang mendakwa kononnya ini satu konspirasi bagi menjatuhkan pakatan pembangkang”, ujarnya.

Tubuh Suruhanjaya selepas kenalpasti pelaku- Nazri



Kerajaan akan hanya menubuhkan sebuah Suruhajaya Diraja (RCI) bagi menyiasat video seks yang didakwa membabitkan seorang lelaki yang dikatakan mirip ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas polis mengenalpasti pelaku dalam rakaman pita berkenaan.

Kabinet memutusakan polis dibenar menyelesaikan siasatan mereka terlebih dahulu,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz kepada Malaysiakini selepas menimbulkan isu video seks itu pada mesyuarat jemaah menteri hari ini.

"Tidak cukup untuk hanya mengesahkan ia (video) itu tulen ataupun tidak. Kita mesti kenalpasti individu dalam video itu.

"Kita tidak boleh terburu-buru... ataupun kita akan dituduh (sebagai partisan)," katanya

Menurut Nazri jika siasatan tidak dijalankan secara terperinci dan tergesa-gesa, ia akan menjejaskan kerajaan.