Rabu, 16 Jun 2010

PICC sebagai bangunan Parlimen yang baru.


Kerajaan sedang mempertimbangkan untuk menjadikan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) sebagai bangunan Parlimen yang baru.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, berkata majoriti Ahli Parlimen juga bersetuju dengan cadangan itu kerana kedudukan PICC yang strategik.

“Kabinet telah memutuskan agar JKR (Jabatan Kerja Raya) menyediakan laporan termasuk kos mengambil alih sekiranya kita setuju mengambil PICC untuk dijadikan Parlimen,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, di sini hari ini.

Beliau berkata, keputusan muktamad mengenai perkara itu akan dibuat selepas kerajaan menerima laporan JKR.

“Kalau laporan sudah siap dan kita tak setuju, maka kita akan tetap di sinilah,” katanya.

Ditanya bilakah laporan itu dijangka siap, Mohamed Nazri berkata tidak ada tempoh ditetapkan namun arahan telah diberi kepada agensi tersebut kira-kira tiga minggu lalu.

Beliau berkata, kerajaan juga akan hanya menggunakan peruntukan untuk menaiktaraf bangunan sedia.
“Kerana bangunan itu (PICC) telah ada di sana, kita tak perlu bina bangunan baru. Kalau kita nak sediakan peruntukan, kita hanya belanjakan pada bangunan sedia ada, bukan untuk membina bangunan baru,” katanya.

Mohamed Nazri sebelum ini dilaporkan berkata Jemaah Menteri telah memutuskan bangunan Parlimen yang baru dibina di Putrajaya manakala bangunan yang lama akan dibaik pulih dan dikekalkan sebagai bangunan warisan.

Beliau juga dilaporkan berkata kos pembinaan bangunan baru Parlimen dianggarkan RM800 juta manakala RM150 juta pula diperlukan untuk menaik taraf bangunan Parlimen sedia ada.

Tarikh Pilihan Raya Satu Kejutan- Najib




Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan tidak akan membubarkan Parlimen untuk mengadakan pilihan raya umum akan datang semata-mata berdasarkan kepada satu pendapat bahawa semakin ramai rakyat menyokong beliau.

Bagaimanapun, kata Perdana Menteri, tarikh pilihan raya akan datang akan "mengejutkan semua pihak".

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis bersama rakyat di Wat Machimmaram di sini pada Rabu, beliau berkata pelbagai faktor perlu diambil kira sebelum menetapkan tarikh pilihan raya.

"Apa yang penting ialah kerja kuat dalam semanagat 1Malaysia," kata Najib ketika diminta mengulas cadangan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad supaya beliau mengadakan pilihan raya memandangkan tinjauan menunjukkan sokongan kepada beliau semakin meningkat sejak menjadi Perdana Menteri pada April tahun lepas.

Satu kajian oleh Merdeka Centre for Opinion Research baru-baru ini menunjukkan 72 peratus rakyat Malaysia berpuas hati dengan prestasi Najib berbanding 69 peratus semasa beliau mula menjadi Perdana Menteri.

Najib berkata Barisan Nasional perlu terlebih dahulu memberi tumpuan terhadap usaha mengukuhkan kedudukan parti itu sebelum pilihan raya diadakan.

"Usaha kita pertama sekali ialah untuk kuatkan parti. Kita juga perlu mempunyai barisan kepimpinan yang berwibawa," katanya.

Mengenai majlis menghadap Sultan Kelantan Tuanku Ismail Petra di Istana Mahkota di Kota Baharu sebelum itu, Najib berkata acara itu adalah kunjungan peribadi dan bukannya lawatan kerja.

"Keadaan Sultan semakin baik berdasarkan taklimat yang diberikan oleh doktor peribadi Sultan," katanya.

-- BERNAMA