Ahad, 13 Mac 2016

UMNO PERLIS KECAM DEKLARASI MAHATHIR

Ahli dan kepimpinan Umno Perlis menyatakan sokongan penuh kepada presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri dan mengecam 'Deklarasi Mahathir' yang dipolemikkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad. Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata tindakan Dr Mahathir boleh mengelirukan rakyat kerana seolah-olah menunjukkan bahawa perlembagaan dan sistem pilihan raya sudah tidak relevan dan tidak wajar dipertahankan. "Semua orang sedia maklum bahawa untuk mewujudkan kerajaan adalah melalui perlembagaan yang memerlukan proses pilihan raya diadakan, bukan dengan mengambil pendekatan yang tidak cerdik seperti ini mengumpul tandatangan sekumpulan individu dan mendakwa ia mewakili hasrat rakyat. "Untuk menjatuhkan seseorang perdana menteri, proses demokrasi diperlukan iaitu melalui pilihan raya atau usul undi tidak percaya. Tindakan melakukan usul undi tidak percaya dilihat tidak akan berlaku memandangkan ia memerlukan majoriti daripada anggota Parlimen daripada Umno dan Barisan Nasional (BN)," katanya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan 127 Cawangan Umno Padang Besar yang bermesyuarat di Dewan Ibnu Khaldun, Institut Kemahiran Mara Beseri di sini, Ahad. Shahidan, yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, berkata tindakan berkenaan hanya lebih bermotifkan kepentingan dan agenda peribadi serta bukan hasrat majoriti rakyat negara ini. "Rakyat hanya boleh melaksanakan perkara itu (menukar pemerintah sedia ada) semasa pilihan raya umum dan Umno akan kalah besar jika mereka (rakyat) membuat keputusan 'menghukum' Umno dalam pilihan raya umum berikutnya hanya disebabkan oleh terikut-ikut dengan anasir jahat berkepentingan peribadi ini. Pada 4 Mac lepas, bekas timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan juga bekas menteri besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir adalah antara 58 individu menandatangani deklarasi yang menyokong penyingkiran Najib, diketuai Tun Dr Mahathir, bekas perdana menteri.BERNAMA

ADENAN SATEM RAKAN SEPERJUANGAN YANG SETIA- NAJIB

Datuk Seri Najib Razak menyifatkan Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem sebagai rakan seperjuangannya yang beliau boleh bergantung harap untuk menjamin masa depan rakyat Sarawak. Perdana Menteri berkata beliau mempunyai keyakinan penuh terhadap kepimpinan dan kesungguhan Adenan untuk membangunkan negeri itu. Justeru, beliau menyeru rakyat negeri Sarawak memberi kemenangan besar kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri ke-11 akan datang, sekali gus memberikan mandat besar kepada Adenan untuk terus menerajui kepemimpinan negeri ini. "Kita jangan dengar hasutan daripada pembangkang kerana pihak pembangkang hanya suka bermain politik kebencian," katanya ketika berucap pada majlis pemimpin bersama rakyat di Kampung Suba Buan, kira-kira 43km dari Kuching, hari ini. Najib berkata pembangkang hanya menabur perasaan benci terhadap kerajaan dan ia tidak membawa sebarang hasil malah politik BN adalah untuk menyelesaikan masalah rakyat serta membawa kesejahteraan kepada penduduk negeri itu. Pada majlis itu, Najib meluluskan permohonan penduduk kampung untuk memindahkan Sekolah Kebangsaan (SK) Suba Buan ke lokasi lain berikutan sekolah tersebut sering dilanda banjir sejak hampir 50 tahun. Katanya, tapak baharu akan dikenal pasti kelak dan apabila siap ia akan menampung murid-murid dari tiga buah kampung, iaitu Kampung Suba Buan, Kampung Suba Baud an Kampung Suba Bandar. Selain memindahkan sekolah, Najib turut meluluskan pembinaan jambatan konkrit itu bagi laluan ke Kampung Suba Buan.