Sabtu, 14 Jun 2014

MH370-Urusan pencarian tetap diteruskan-Hishammuddin

Usaha pencarian penerbangan MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa dengan bantuan negara-negara seperti China dan Australia, kata pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. Beliau berkata, menerusi hubungan dua hala yang kukuh antara Malaysia dan dua negara terbabit serta negara Asean lain, operasi pencarian menjadi lebih mudah. "Kita bagi jaminan daripada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak), China, Australia dan negara-negara Asean lain kepada anggota keluarga (penumpang dan kru MH370), kita bersama-sama mereka dalam usaha pencarian ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Dalam masa yang sama Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan, berkata hubungan kukuh antara negara yang terlibat dalam pencarian amat penting bagi menangkis dakwaan konspirasi geopolitik yang mahu melaga-lagakan Malaysia, China dan Australia. Pesawat Malaysia Airlines yang membawa 239 orang termasuk 12 anak kapal hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam 8 Mac. Pesawat sepatutnya tiba di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama. Pada 24 Mac, Najib mengumumkan berdasarkan analisis data satelit, penerbangan itu dipercayai "berakhir" di selatan Lautan Hindi

PM Najib tunai janji rakyat Teluk Intan

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sabtu mengumumkan beberapa inisiatif bagi pembangunan Teluk Intan termasuk pembinaan 5,000 unit rumah di bawah program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan penubuhan cawangan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Sebagai memenuhi manifesto Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan, beliau juga mengumumkan peruntukan RM5 juta bagi projek pembangunan kawasan berkenaan. "BN adalah sebuah parti yang berpegang kepada falsafah dan prinsip bahawa BN menetapi janji dan membawa harapan kepada penduduk kawasan ini," kata Najib ketika berucap pada Majlis Bersama Rakyat dan pelancaran PR1MA Teluk Intan. Bagi projek PR1MA, Perdana Menteri berkata sebagai permulaan, sebanyak 1,000 unit rumah akan dibina di kawasan Parlimen berkenaan. Projek PR1MA Teluk Intan secara keseluruhan melibatkan kawasan seluas 202 hektar. Projek PR1MA di Teluk Intan melibatkan kerjasama antara Perbadanan PR1MA Malaysia, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dan Koperasi Pegawai-pegawai Melayu Malaysia Bhd (MOCCIS). Bagi penubuhan cawangan UPSI pula, Najib berkata kampus berkenaan akan menempatkan 1,000 guru yang akan dilatih dalam bidang vokasional dan teknikal. "Kawasan Teluk Intan akan mendapat kesan begitu baik. Pembinaan cawangan UPSI)itu akan cuba siap tiga hingga empat tahun akan datang," kata Perdana Menteri. Selain peruntukan RM5 juta itu, beliau berkata sebagai bakal menteri, Anggota Parlimen Teluk Intan, Datuk Mah Siew Keong akan menerima peruntukan khas yang dapat digunakan untuk kepentingan penduduk kawasan berkenaan. Najib berkata semua peruntukan yang disalurkan adalah untuk memenuhi permintaan penduduk Teluk Intan. Perdana Menteri merakamkan penghargaan kepada pengundi Teluk Intan kerana menyokong BN sehingga membawa kepada kemenangan Mah pada PRK Parlimen itu, 31 Mei lepas selepas menewaskan calon DAP Dyana Sofya Mohd Daud dengan majoriti 238 undi. "Saya datang untuk memastikan janji-janji (BN) ditunaikan. Saya nak ucap setinggi-tinggi perhargaan kepada pengundi yang menyokong BN. "Saya tidak sedap duduk kalau saya tidak turun hari ini untuk berjumpa rakyat Teluk Intan," katanya yang juga Pengerusi BN. Beliau berkata kemenangan itu membuktikan pengundi yakin BN adalah parti yang menepati janji dan membawa harapan baharu kepada penduduk kawasan itu. "Kita menang kerana kebolehpercayaan rakyat terhadap BN meningkat. Ramai yang merasakan bahawa jika BN diberi peluang akan berlaku perubahan persekitaran daripada segi pembangunan sosio-ekonomi," katanya.

Akta Hasutan masih diperlukan

Akta Hasutan 1948 masih diperlukan untuk mencegah insiden yang mengancam keselamatan negara, kata Pengerusi Jawatankuasa Penyediaan Memorandum Perpaduan Nasional Datuk Ibrahim Ali. Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan tidak sekali-kali tunduk kepada desakan pihak tertentu supaya Akta itu dimansuhkan. "Kalau kita nak keselamatan negara terus kekal, kita tak boleh bebas seratus peratus," katanya kepada pemberita selepas majlis Dialog Awam dan Isu- Isu Perpaduan Nasional Keempat di sini pada Sabtu. Majlis dialog itu yang dihadiri kira-kira 200 orang mewakili 50 badan bukan kerajaan (NGO) diadakan dalam siri jelajah seluruh negara dan dijadual berakhir di Kota Kinabalu, Sabah, Ahad ini. Ibrahim berkata pihaknya turut meragui aspek keselamatan negara yang kian terancam ekoran pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) berkuat kuasa September 2011. "Jadi kita cadangkan supaya ada instrumen yang betul-betul berkesan demi keselamatan negara. Jika tidak, keadaan negara seolah-olah 'api dalam sekam' yang kalau silap bertindak, negara boleh hancur...ia umpama 'telur di hujung tanduk," katanya.

Kedah bakal ada lapangan terbang ke tiga..

Cadangan pembinaan lapangan terbang antarabangsa baharu di Kedah dijangka dapat menampung keperluan penumpang dan perkhidmatan kargo semakin meningkat bagi negeri-negeri di utara Semenanjung, kata Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir. Beliau berkata pihaknya mendapati kemudahan di lapangan terbang antarabangsa Pulau Pinang semakin terhad untuk menampung keperluan pertambahan kargo dan penumpang masa depan. Beliau sebelum ini berkata kerajaan negeri Kedah bercadang membina sebuah lapangan terbang antarabangsa di atas sebidang tanah seluas kira-kira 6,000 hektar di Kulim. Cadangan itu telah dikemukakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, katanya. Mukhriz pada Sabtu merasmikan Pesta Kedah 2014 di ibu negara sehingga Ahad anjuran Persatuan Wanita Kedah di Kuala Lumpur dan Selangor. Ia mempromosi keunikan budaya dan tradisi negeri Kedah serta kawasan pelancongan selain bagi mengumpul dana untuk penubuhan Rumah Kedah di ibu negara. Sementara itu di Pulau Pinang, Kongres Melayu Pulau Pinang (KMPP) membidas kenyataan Ketua Menteri Lim Guan Eng berhubung cadangan kerajaan negeri Kedah untuk membina lapangan terbang antarabangsa di Kulim itu. Presiden KMPP, Rahmad Isahak berkata kenapa beliau (Guan Eng) harus ego, sombong dan tamak dan memandang rendah terhadap cadangan kerajaan negeri Kedah yang tidak sepatutnya dijadikan isu sebaliknya beliau harus menyokong dan bukan mengugut. "Kongsilah sama hasil pendapatan ekonomi dan jangan hendak bolot atas kapasiti politik semata-mata," katanya dalam kenyataan di Pulau Pinang, Sabtu. Guan Eng dilapor sebagai berkata Jumat cadangan tersebut adalah tidak sesuai daripada segi ekonomi ataupun mempunyai justifikasi. Beliau berkata lokasi di Kulim menimbulkan banyak persoalan memandangkan ia begitu hampir dengan Pulau Pinang, tambahan pula Kedah sudah mempunyai dua lapangan terbang iaitu di Langkawi dan Alor Setar. Ketua Menteri Pulau Pinang itu juga dilapor sebagai berkata Pulau Pinang merupakan penerima terbesar pelaburan langsung asing (FDI) di Malaysia sementara kedudukan Kedah begitu jauh daripada segi memperoleh FDI. Guan Eng berkata Pulau Pinang mempunyai hubungan dan rangkaian antarabangsa. Mukhriz sebelum ini berkata kerajaan negeri mendapati terdapat permintaan bagi pengangkutan udara disebabkan kemudahan di lapangan terbang antarabangsa Pulau Pinang semakin terhad manakala keperluan kargo dan penumpang di masa depan pula bertambah.