Khamis, 16 Oktober 2014

Malaysia menang kerusi Majlis Keselamatan PBB

Malaysia memenangi Kerusi Tidak Tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) dengan memperoleh 187 daripada 192 jumlah undi. Pengundian berlangsung di dewan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengisi lima kekosongan bagi anggota tidak tetap dalam Majlis Keselamatan. Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman turut berada dalam dewan berkenaan untuk mengundi. Malaysia memerlukan sekurang-kurangnya 130 undi untuk membolehkannya menduduki kerusi itu. Sebanyak 193 wakil negara anggota PBB layak mengundi untuk memilih lima anggota baharu Majlis Keselamatan. Anggota baharu akan menduduki kerusi berkenaan pada 1 Jan 2015 dan akan berkhidmat dalam UNSC sehingga 31 Dis 2016. Kelima-lima kerusi bagi pemilihan pada 2014 yang diagih di peringkat serantau ialah satu bagi Kumpulan Afrika (kini disandang Rwanda), satu bagi Kumpulan Asia-Pasifik (Republik Korea), satu bagi Kumpulan Negara-Negara Amerika Latin dan Caribbean (Argentina) serta dua bagi Eropah Barat dan Kumpulan Lain (Australia dan Luxembourg). Lithuania akan mengekalkan kerusi untuk setahun lagi bagi Kumpulan Eropah Timur. Pemenang lain bagi kerusi tidak tetap Majlis Keselamatan ialah Angola ( bagi Kumpulan Afrika), Venezuela (Amerika Latin dan Caribbean) dan New Zealand (Eropah Barat dan Kumpulan Lain) manakala Sepanyol dan Turki terlibat dalam pusingan pengundian ketiga bagi mengisi satu lagi kekosongan. Lima anggota Tetap Majlis Keselamatan yang mempunyai kuasa veto ialah China, Perancis, Rusia, United Kingdom dan Amerika Syarikat. Selain Lithuania, anggota tidak tetap yang akan kekal dalam Majlis Keselamatan sehingga akhir tahun 2015 ialah Chad, Chile, Jordan dan Nigeria. Di bawah Piagam PBB, Majlis Keselamatan mempunyai tanggungjawab utama untuk mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa. Setiap anggota Majlis Keselamatan mempunyai satu undi dan di bawah Piagam PBB, semua negara anggota wajib mematuhi keputusan UNSC. Majlis Keselamatan mendahului dalam menentukan kewujudan ancaman terhadap keamanan atau tindakan pencerobohan. Ia menggesa pihak yang terlibat dalam pertikaian untuk menyelesaikannya secara aman dan mencadangkan kaedah pelarasan atau syarat penyelesaian. Dalam sesetengah kes, Majlis Keselamatan boleh bertindak mengenakan sekatan atau membenarkan penggunaan kekerasan untuk memelihara atau mengembalikan keamanan dan keselamatan antarabangsa. Majlis Keselamatan juga mencadangkan kepada Perhimpunan Agung mengenai pelantikan Setiausaha Agung dan kemasukan anggota baharu dalam PBB, dan bersama dengan Perhimpunan Agung, ia memilih hakim untuk menganggotai Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ). Malaysia pernah menjadi anggota tidak tetap Majlis Keselamatan PBB sebanyak tiga kali iaitu pada 1965, 1989 hingga 1990 dan bagi tempoh 1999 hingga 2000.BERNAMA

Hudud di Kelantan semakin menjadi kenyataan

Pelaksanaan hukum hudud di Kelantan semakin menjadi kenyataan apabila prosses perbincangan melalui jawatankuasa teknikal khas antara Kerajaan Pusat dan negeri berjalan lancar. Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, proses perbincangan itu berada pada fasa terakhir apabila dua mesyuarat lagi berbaki di peringkat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) sebelum rang undang-undang Islam itu dibentangkan. “Kita kini dalam persiapan daripada satu tahap ke satu tahap. “Ada dua lagi mesyuarat secara rasmi di peringkat Maik sebelum ia (rang undang-undang) dibentangkan di Parlimen,” katanya. Beliau berkata demikian selepas merasmikan Bank Islam cawangan Wakaf Bharu di sini, semalam. Semalam dilaporkan, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Datuk Mohd Nassuruddin Daud semasa membuat pergulungan pada sidang Dun Kelantan berkata, Pas sama sekali tidak akan tunduk dengan sebarang desakan sebaliknya yakin undang-undang Islam itu akan dilaksanakan tahun depan. Malah tegasnya, orang bukan Islam tidak sepatutnya membantah hasrat Pas untuk melaksanakan hukum hudud itu kerana ia langsung tidak melibatkan mereka. Dalam pada itu, Ahmad yang juga merupakan Pemangku Ketua Dewan Ulama Pas Pusat berharap pelaksanaan hukum itu yang menunjukkan perkembangan positif ini akan mendapat sokongan semua pihak. Sementara itu, ketika mengulas mengenai penggantungan Adun Hulu Klang , Saari Sungip dan Adun Morib, Hasnul Baharuddin; beliau berkata, tindakan yang dikenakan itu adalah tepat. “Tindakan tersebut akan memberi pengajaran kepada ahli-ahli Pas yang lain selepas ini agar tidak mengikuti apa yang dilakukan oleh dua Adun berkenaan. “Kita dalam berjemaah berpolitik semestinya ada peraturan-peraturan dan juga adab berjemaah. Insya-Allah perkara ini tidak akan berulang,” katanya

HIshammuddin nafi bantu adik dapat kontrak kerajaan

Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menafikan dakwaan kononnya membantu adik beliau, Datuk Haris Onn, mendapatkan kontrak mencetak label keselamatan rokok dan minuman keras daripada kerajaan. Menteri pertahanan itu berkata, setakat yang beliau tahu, adik beliau tidak pernah menerima sebarang kontrak daripada mana-mana kementerian, yang pernah atau sedang beliau terajui. "Saya tiada pengetahuan atau kaitan langsung dengan apa yang adik saya lakukan dan jika ada perkara yang tak kena, mintak dia jawab sendiri. Saya tidak akan pertahan dia kalau dia salah," katanya kepada pemberita pada sidang media di lobi Parlimen, di sini hari ini. Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua, mempersoal penglibatan Syarikat Lembah Sari milik adik Hishammuddin, Haris, yang didakwa menerima kontrak percetakan label keselamatan rokok dan arak bernilai RM77 juta. Hishammuddin berkata, pembangkang memang boleh membuat pelbagai tuduhan tetapi yang pasti beliau tiada kaitan dengan apa sahaja dakwaan yang dibuat. - Bernama

Tidak ada unsur rasuah dalam kontrak Felda- PAC

Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mendapati tiada unsur rasuah, ketirisan dan penyelewengan dalam pengurusan kontrak perolehan dan prosedur operasi standard (SOP) kawalan kewangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda). Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata apa yang wujud hanyalah kelemahan pengurusan kontrak yang diperoleh tanpa kelulusan jawatankuasa dan proses dokumentasi yang tidak betul, termasuk membabitkan urusan dengan anak syarikat Felda. "Contohnya, kontrak syarikat teknologi maklumat dimiliki peneroka yang membekalkan sistem maklumat yang dibuat terus dengan ibu pejabat Felda tanpa pengurusan kontrak yang mantap. "Kami mendapati amalan dan perjanjian antara ibu pejabat dan anak syarikat ini tiada dalam kontrak atau tidak dikontrakkan dengan jelas semasa Audit dijalankan pada 2010 hingga 2012. "Ia hanya bergantung kepada surat suruh, arahan kerja dan pesanan belian sebagai arahan atau dokumen rasmi. Maka kita telah minta Felda membuat dokumentasi dan kontrak dengan betul dan amalkan sistem amalan terbaik," katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang media di bangunan Parlimen di sini pada Khamis, iaitu antara lain, memaklumkan Felda akan memperbaiki dan menambah baik kelemahan itu yang akan dibentang dalam mesyuarat dalamannya minggu depan. Nur Jazlan berkata jika kelemahan itu tidak diatasi, masalah tatacara kewangan ketika proses audit akan terus berlaku dan berulang pada masa depan. Laporan Ketua Audit Negara 2013 siri dua, antara lain, mendapati Felda tidak menyediakan dokumen kontrak bagi 56 perolehan berjumlah RM183.13 juta dan dua daripada kontrak itu yang bernilai RM60.68 juta, belum ditandatangani. Laporan itu menyebut pengauditan antara Disember 2012 dan Februari 2013 mendapati secara keseluruhannya, pengurusan perolehan Felda kurang memuaskan.

Isu Ali Baba perlu ditangani secara serius- Ku Li

Isu 'Ali Baba' perlu ditangani secara serius dalam usaha mencapai sasaran ekonomi yang lebih seimbang dalam negara, kata anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah. Tengku Razaleigh berkata masalah itu yang menjurus kepada amalan kronisme dan rasuah turut menyebabkan peningkatan kos barangan dan perkhidmatan yang akhirnya membebankan rakyat. "Dalam kebanyakan kes, Ali Baba mendorong kelompok terpilih dan elit mencipta kekayaan yang luar biasa dalam waktu singkat tanpa perlu berusaha. "Ini akan menyumbang kepada perasaan tidak puas hati dalam kalangan masyarakat kerana ia menyumbang kepada penyediaan barangan dan perkhidmatan tidak bermutu," katanya dalam ucaptama Forum Barah Ali Baba di Bumi Malaysia di sini, hari ini. Forum anjuran Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) itu bermatlamat membentuk gabungan bertindak menolak rasuah dan merangka jalan penyelesaian yang lebih optimum. Tengku Razaleigh berkata konsep Ali Baba memberi persepsi negatif kepada usahawan bumiputera yang dianggap sebagai 'overnight millionaires atau billionaires' (jutawan segera) kerana tidak mempunyai asas penting perniagaan tetapi hanya berdiri di bawah naungan pemimpin berkuasa. Bagi mengekang perkara tersebut terus berleluasa, bekas menteri kewangan itu mencadangkan agar penguatkuasaan undang-undang dilaksana tanpa prejudis dan menyeluruh. Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif MTEM, Mohd Nizam Mahshar berkata badan itu mencadangkan beberapa langkah bagi menangani isu tersebut. Antaranya cadangan agar status bumiputera dalam pelbagai syarat kerajaan diaudit semula untuk merapatkan jurang ekonomi, dan meminta supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diberi kapasiti penguatkuasaan maksimum. "Selain itu perlu ada perakuan daripada usahawan Melayu dan masyarakat lain bagi menolak konsep Ali Baba dan rasuah selain mencadangkan undang-undang penguatkuasaan diperkukuh," katanya. Sementara itu, dalam sidang media berasingan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed turut mencadangkan kerajaan mewujudkan undang-undang khusus bagi menangani budaya Ali Baba.

Peraturan baru cermin gelap berkuatkuasa Mei tahun depan

Penguatkuasaan peraturan baru berhubung penggunaan cermin gelap akan dilaksanakan bermula 1 Mei tahun depan, kata Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Seri Ismail Ahmad. Beliau berkata peraturan baru itu sepatutnya dikuatkuasakan pada 1 November ini dan tarikh itu diubah bagi memberi masa kepada pemilik kenderaan, khususnya kenderaan import untuk mendapatkan gantian cermin kenderaan masing-masing. "Selepas mengambil kira masalah yang dihadapi pemilik kenderaan, maka wajar satu tempoh masa yang munasabah diberikan kepada orang ramai bagi mengambil tindakan pembetulan, khususnya bagi pemilik kenderaan import mendapatkan gantian cermin mengikut kadar baru VLT (ketelusan cahaya). "Tempoh masa yang diberi adalah sehingga 30 April 2015, dan selepas tempoh itu, bermula 1 Mei, tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap penggunaan cermin gelap yang tidak mematuhi spesifikasi VLT yang baru," katanya pada sidang media di pejabatnya hari ini. Peraturan baru itu menetapkan VLT bagi cermin belakang dan sisi penumpang belakang dikurangkan daripada 50% kepada 30%, manakala kadar VLT bagi cermin hadapan dan sisi pemandu dan penumpang hadapan pula masing-masing kekal pada kadar 70% dan 50%. Berdasarkan peraturan yang ditetapkan di bawah Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Larangan mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) 1991, pengguna jalan raya yang ingkar boleh dikompaun RM300 dan sekiranya kes tersebut dibawa ke mahkamah mereka boleh didenda sehingga RM1,000 atau penjara dua minggu atau kedua-duanya. Ismail berkata bagaimanapun, pengecualian terhadap peraturan itu masih diberikan kepada individu dengan jawatan tertentu serta kenderaan agensi penguatkuasaan atas faktor keselamatan. Sehingga kini, JPJ memberikan pengecualian kepada kira-kira 3,500 pemilik kenderaan untuk dikecualikan daripada peraturan penggunaan cermin gelap, katanya. Dalam pada itu, beliau berkata JPJ akan melaksanakan Operasi Khas terhadap pemilik kenderaan yang menggunakan lampu 'strobe', lampu High-Intensity Discharge (HID) atau xenon dan saiz nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi bermula 1 November depan. Ismail berkata operasi khas di seluruh negara itu dibuat secara bersepadu dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD). Beliau berkata pemilik kenderaan diberikan tempoh sehingga 31 Oktober ini untuk mengambil tindakan menukar nombor pendaftaran yang tidak mengikut spesifikasi, menukar lampu HID yang bukan daripada pengeluar kenderaan serta menanggalkan 'strobe light' yang dipasang pada kenderaan masing-masing. Keengganan berbuat demikian membolehkan mereka dikenakan tindakan saman di bawah Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Pendaftaran dan Pelesenan) 1959, katanya. – Bernama

Kerajaan kaji kelonggaran kemasukan sementara kenderaan dari Thailand

Kerajaan kini dalam proses mengkaji semula kelonggaran kemasukan sementara kenderaan asing dari Thailand tanpa Permit Peredaran Antarabangsa (ICP) dan insurans Dewan Rakyat diberitahu hari ini. Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Aziz Kaprawi berkata, ini berikutan risiko kenderaan itu tidak mematuhi syarat ditetapkan, selain berkemungkinan terbabit dalam kegiatan penyeludupan serta pemerdagangan orang. "Kita akan melihat kembali kelonggaran yang diberi kepada kenderaan dari Thailand ini iaitu dua kilometer sempadan bagi Kedah, Perlis dan Kelantan, manakala tujuh kilometer bagi sempadan Perak, (kenderaan tanpa ICP dan insurans)," katanya menjawab soalan tambahan Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini. Mahfuz ingin tahu sama ada kementerian akan mengkaji semula kelonggaran kemasukan sementara kenderaan asing dari Thailand yang menyalahgunakan kelonggaran yang diberi dan terbabit dengan kegiatan 'teksi sapu' di Kelantan serta membeli minyak subsidi di sempadan negara ini. Aziz berkata kelonggaran itu pada masa ini adalah sebagai timbal balas kerajaan Thailand yang memberi kelonggaran kepada Malaysia melalui persefahaman yang dipersetujui sejak tahun 1993. Beliau berkata kajian juga sedang dilakukan bagi mewujudkan mekanisme kawalan kenderaan yang lebih ketat dan sistematik agar penyeragaman dapat dilakukan di semua sempadan negara. Menjawab soalan asal Datuk Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) berkaitan jumlah dan pemantauan kenderaan asing ke negara ini, Aziz berkata sejak tahun 2011 hingga Ogos tahun ini, sebanyak 77, 456 pendaftaran kenderaan asing menggunakan ICP memasuki Malaysia. Daripada jumlah itu, 69,115 adalah kenderaan dari Thailand. Aziz berkata pemantauan kenderaan asing itu mengikut Seksyen 21 dan 25 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 serta Kaedah-Kaedah Kenderaan Bermotor (Peredaran Antarabangsa) 1967 iaitu membenarkan kemasukan sementara kenderaan persendirian dari negara-negara asing dan dikawal melalui ICP oleh JPJ.