Sabtu, 26 Januari 2013

ISU RCI DI SABAH :KEBENARAN AKAN MEMBEBASKAN BELENGGU RAKYAT

Rakyat Malaysia samada di Semenanjung mahupun Sabah dan Sarawak perlu menunggu hasil siasatan dari Suruhanjaya Siasatan Diraja sebelum membuat apa-apa spekulasi dan kesimpulan mengenai motif di sebalik pemberian kad pengenalan Malaysia kepada pendatang asing pada masa lampau. Ini bagi membolehkan rakyat mendapat gambaran jelas tentang apa sebenarnya berlaku. Sekiranya testimoni dari sesetengah pihak diterima bulat-bulat sebagai perkara sebenar, kita mungkin terperangkap dengan mempercayai sumber yang belum tentu sahih daripada satu hakikat kebenaran yang rumit. Lagipun, kenyataan oleh beberapa saksi pada hari ketiga siasatan telah disangkal oleh testimoni berikutnya pada hari keempat dan kelima. Perkara sebegini merupakan kebiasaan dalam siasatan yang dikendalikan secara terbuka dan berhemah. Kerajaan Barisan Nasional di bawah pimpinan YAB Dato’ Sri Najib Tun Razak telah mengambil langkah berani dengan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menyiasat isu kontroversi yang telah menjadi perbalahan dalam politik di Sabah selama lebih dari tiga dekad. Langkah ini menunjukkan kesediaan Kerajaan untuk menerima kebenaran tanpa mengira implikasi yang bakal ditimbulkan. Kebenaran yang bakal terungkai dari hasil siasatan ini akan membebaskan penduduk Sabah yang terdiri dari pelbagai kaum dan agama dari keraguan dan syak wasangka yang telah menjadi duri dalam daging kepada hubungan etnik di Sabah.
Namun demikian, dalam konteks ini, rakyat tidak seharusnya terlepas pandang mengenai satu aspek kritikal dalam pemberian hak kerakyatan kepada warga asing;iaitu sejumlah besar daripada pendatang asing yang memegang kad pengenalan merupakan mangsa perang berlarutan di Mindanao yang telah melarikan diri dari tempat asal untuk berlindung di Sabah sejak tahun 70-an. Aspek kemanusiaan ini merupakan pertimbangan utama dalam pemberian hak kerakyatan, terutamanya untuk negara seperti Malaysia, sebuah negara yang berpegang teguh kepada keadilan dan berbelas kasihan.
Menyorot kembali sejarah kemerdekaan negara pada tahun 1957, sejumlah satu juta penduduk Cina dan India yang bermastautin di Malaya telah diberi kerakyatan dalam sekelip mata. Ini berasaskan beberapa faktor tertentu seperti peranan dan kepentingan mereka dalam sektor ekonomi iaitu getah dan bijih timah, ancaman pemberontak komunis dan yang paling utama ialah perpaduan kaum yang telah disyaratkan oleh British untuk Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Sebagaimana pandangan dari Tun Dr. Mahathir Mohamad, kepimpinan UMNO pada masa tersebut juga telah bersedia untuk mengenepikan pemberian hak kerakyatan secara konvensional dalam usaha untuk menarik semua penduduk Tanah Melayu untuk turut sama memperjuangkan kemerdekaan. Pendekatan ini amat berbeza dengan kepemimpinan negara berbilang kaum lain dimana dikotomi atau pengasingan telah wujud di antara pribumi dan bukan pribumi hasil dari pemerintahan penjajah seperti Indonesia dan Myanmar. Di negara-negara seperti itu, peraturan pemberian kerakyatan amat ketat bagi memastikan asimilasi antara komponen kaum yang wujud. Sebaliknya di Malaysia, pemberian hak kerakyatan kepada kaum bukan Melayu dan bukan Bumiputera telah mengubah lanskap negara sama sekali. Tanah Melayu yang telah wujud melalui Kesultanan Melayu sejak berkurun lamanya kini cumalah satu komuniti kaum Melayu di dalam pelbagai komuniti kaum lain yang wujud dalam negara. Dalam erti kata lain, pemberian hak kerakyatan secara mudah kepada orang Cina dan India telah mengubah sifat dan ciri utama pembangunan negara. Disebabkan inilah, cabaran terbesar negara sejak 55 tahun yang lalu adalah menyesuaikan hak orang Melayu yang merupakan penduduk asal Tanah Melayu dengan kepentingan bukan Melayu melalui integrasi kaum memandangkan kesemuanya merupakan rakyat Malaysia. Jika dilihat dari satu sudut, perkara yang sama juga berlaku di Sabah, di mana penduduk Sabah turut melalui satu perubahan akibat dari pemberian hak kerakyatan kepada pelarian daripada negara jiran. Kaum Bumiputra bukan Islam yang merupakan kaum terbesar di Sabah sewaktu pembentukan Malaysia pada tahun 1963, telah hilang majoritinya kepada Bumiputra Islam. Keadaan ini telah menimbulkan perasaan bimbang dan runsing penduduk yang terdiridari kalangan pelbagai kaum dan situasi ini haruslah ditangani dengan bijak dan berempati. Menyeimbang dan mengharmonikan kepentingan kedua segmen Islam dan bukan Islam serta elemen Bumiputra dalam perkara ini memerlukan ketangkasan dan kebijaksanaan kepimpinan negara.Dalam perkara ini, negeri Sabah amat beruntung kerana mempunyai tokoh pemimpin seperti Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang dikenali kerana kematangan fikiran beliau dan pengalaman politik yang luas telah berjaya mengekalkan keharmonian kaum dan agama di Sabah. *Artikel ini adalah terjemahan dari artikel yang ditulis oleh bekas orang kanan Anwar iaitu Dr. Chandra Muzaffar di sini : Yayasan 1Malaysia

KAFIR JIKA BIARKAN PERBUATAN MENYEKUTUKAN ALLAH

Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria hari ini mengingatkan umat Islam di negara ini bahawa mereka akan menjadi kafir sekiranya membenarkan pihak lain menggunakan kalimah Allah. Beliau menjelaskan jika umat Islam membenarkan kalimah Allah digunakan oleh agama lain, bermakna mereka bersetuju dengan tindakan pihak berkenaan mempersekutukan Allah. “Maka persetujuan itu juga menjadikan kita (umat Islam) kafir. Justeru kita mesti bersatu mempertahankan aqidah kita. “Kita tak boleh terima dan tidak boleh berkompromi dengan orang yang mempersekutukan Allah,” katanya. Harussani berkata hanya umat Islam jahil sahaja yang sanggup berkompromi dalam isu berkenaan. Justeru beliau meminta pihak berkenaan menghentikan cadangan penggunaan kalimah Allah dalam Bible versi Melayu kerana ini akan mencabar kesabaran umat Islam di negara ini. Jika cadangan ini diteruskan, beliau bimbang akan menjejaskan keharmonian beragama serta perpaduan kaum di negara ini.

HARAPAN RAKYAT PADA KERAJAAN MENINGKAT- PM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata harapan dan jangkaan rakyat terhadap kerajaan telahpun meningkat, dan ini perlu difahami sebaik-baiknya bagi memastikan kejayaan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum akan datang. Najib, yang juga pengerusi BN, berkata menyedari hakikat ini, kerajaan berazam untuk melakukannya dengan cara berbeza dan bekerja dengan bersungguh-sungguh. “Kita perlu menyedari bahawa rakyat tidak akan memberi undi mereka berdasarkan setakat manakah sumbangan anda sebelum ini. “Tetapi rakyat akan mengatakan, ‘apakah yang boleh anda lakukan sekarang dan bagi masa depan,” katanya dalam wawancara bertajuk ‘An Insight, An Idea with Mohd Najib Tun Abdul Razak’ yang disiarkan CNN pada Forum Ekonomi Dunia (WEF) yang berlangsung di Davos, Switzerland. Najib turut menarik perhatian bahawa tiada siapapun yang boleh menafikan hakikat bahawa Umno dan BN meneruskan agenda pembangunan selepas berjuang untuk kemerdekaan negara. Mengenai kegagalan BN untuk memenangi majoriti dua pertiga pada pilihan raya umum 2008, Najib memperjelaskan antara faktornya adalah rakyat menjadi semaki n kritikal sejajar dengan kemajuan teknologi maklumat, selain penggunaan media sosial. Di akhir wawancara itu, perdana menteri ditanya mengenai perancangannya jika diberi mandat memerintah oleh pengundi pada pilihan raya umum ke-13 negara ini. Beliau menjawab dengan mengatakan kerajaan telahpun menyatakan dengan jelas mengenai hasratnya untuk melihat Malaysia menjadi sebuah negara maju menjelang 2020. “…dan saya komited untuk melakukan apa saja yang boleh agar harapan itu menjadi kenyataan, memang itulah yang akan saya lakukan.”