Ahad, 12 Oktober 2014

Kerajaan akan siasat kesilapan siaran berita di RTM- Shabery Cheek

Beberapa kesilapan teknikal semasa siaran berita Radio Televisyen Malaysia (RTM) di TV1 mendapat perhatian Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang mengarahkan kementeriannya agar menyiasat insiden tersebut secara terperinci. Beliau berkata kesilapan itu akan diteliti sama ada ia berpunca daripada kelemahan pihak teknikal atau tidak disengajakan kerana selaku penyiar nasional, insiden itu tidak sepatutnya berlaku. "Saya minta supaya ada satu sistem menghukum mereka yang melakukan kesalahan sama ada ia berbentuk kecuaian atau sesuatu yang boleh menjatuhkan imej RTM," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Deepavali 2014 di Bukit Jalil di sini pada Ahad malam. Kesilapan itu dikesan berlaku ketika siaran langsung berita di TV1, Sabtu. Dalam perkembangan lain, Ahmad Shabery berkata beliau sedia berbincang lebih lanjut dengan penasihat kerajaan dalam hal ehwal sosial dan kebudayaan, Tan Sri Dr Rais Yatim mengenai cadangan kementerian untuk menjadikan saluran Bernama TV sebagai saluran yang menawarkan sumber berita berbahasa Inggeris tahun depan. "Orang sekarang tidak lagi bercakap tentang 'broadcasting' tetapi 'narrowcasting' yang bermakna setiap saluran itu ada pengkhususan seperti saluran berita, hiburan, sukan dan sebagainya yang fokus menggunakan sesuatu bahasa," katanya. Rais, yang juga bekas Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, hari ini berkata stesen televisyen tempatan perlu memastikan wujud ruang dalam perjuangan memartabatkan bahasa kebangsaan.

Kerajaan Negeri boleh guna bajet 2015 sebagai panduan- Ahmad Maslan

Kerajaan negeri boleh menggunakan Bajet 2015, yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Jumaat lepas, sebagai asas dan garis panduan dalam menyediakan bajet negeri masing-masing. Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata lima perkara penting yang terkandung dalam Bajet 2015 adalah bersifat menyeluruh untuk kesejahteraan rakyat di pelbagai lapisan. Menurutnya lima perkara tersebut ialah mengurangkan kos sara hidup, pekerjaan, pemilikan perumahan, pendidikan dan kebajikan. "Lima keperluan itu perlu diberi tumpuan oleh bajet yang bakal dibentangkan oleh kerajaan negeri termasuk agenda memperkasakan Bumiputera," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan taklimat pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) kepada penjawat awam di sini hari ini. Mengenai kegusaran rakyat dalam berdepan pelaksanaan CBP bermula 1 April tahun depan, beliau berkata kerajaan akan mengeluarkan buku garis panduan kawalan harga untuk mengelak sebarang penipuan harga barangan.BERNAMA