Selasa, 14 Oktober 2014

Rayuan kes liwat: Anwar sekali lagi gagal singkirkan Shafie Abdullah

Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan akhir Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyingkirkan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sebagai timbalan pendakwaraya kes liwat beliau. Ketua Hakim Tun Arifin Zakaria berkata, Anwar sepatutnya memfailkan semakan kehakiman terhadap Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail yang melantik Shafee sebagai timbalan pendakwaraya bagi kesnya. Beliau berkata alasan yang diberikan peguam Anwar, Tommy Thomas adalah Shafee tidak mempunyai merit. "Shafee layak dan sesuai untuk dilantik sebagai timbalan pendakwaraya," kata Arifin dan menambah kehadiran peguam itu tidak akan menjejaskan integriti rayuan Anwar di hadapan mahkamah tertinggi negara akhir bulan ini. Arifin berkata kegagalan mengarahkan tindakan itu terhadap peguam negara sahaja sudah cukup sebagai alasan membuatkan rayuan itu ditolak. Hakim itu mengatakan tidak ada konflik kepentingan di pihak Shafee hanya kerana peguam itu mendapati Jude Blacious Pereira, pegawai penyiasat dalam kes liwat itu, sebagai seorang saksi yang tidak boleh dipercayai dalam satu inkuiri. Shafee pada 2009 mempengerusikan sebuah panel tiga anggota dalam inkuiri Suhakam yang mendapati Pereira merupakan seorang saksi yang tidak benar dalam satu kes lain. "Kedudukan Shafee tidak terjejas dan alasan ini tidak mencukupi untuk membatalkan kelayakannya," katanya. Sebelum itu, Shafee memberitahu mahkamah beliau tidak boleh dinafikan kelayakan atas alasan konflik kepentingan, semata-mata kerana beliau kini mempertahankan Pereira. Beliau berkata, keterangan Pereira dalam kes liwat itu tidak boleh ditolak hanya kerana beliau saksi yang tidak boleh dipercayai dalam kes yang lain. "Integriti rayuan itu juga tidak terjejas kerana Pereira bukan sebahagian kes itu, tetapi seorang saksi, " katanya. Thomas berkata Shafee mesti dikeluarkan daripada bertindak sebagai TPP kerana mempunyai hubungan istimewa dengan Pereira, berikutan beliau mendapati pegawai polis bersara itu merupakan seorang saksi yang tidak boleh dipercayai. Thomas juga memberitahu mahkamah, Shafee pernah disabitkan kerana salah laku profesional dan didenda RM5,000 oleh Lembaga Tatatertib Peguam-Peguam. Menjawab hujah ini, Shafee mengatakan, beliau didenda kerana seorang pemberita akhbar membuat kenyataan yang bersifat pujian mengatakan beliau ialah seorang peguam terkenal. "Saya bukan didapati bersalah kerana tidak jujur atau melakukan penipuan," katanya, sambil menambah beliau sudah merayu terhadap keputusan itu. Anwar kemudian memberitahu pemberita beliau tidak terkejut dengan keputusan itu dan pasukan undang-undangnya akan bersedia sepenuhnya menghadapi pendakwaan itu. "Kami akan menentang habis-habisan," katanya. Anwar pertama kali mencabar kesahihan pelantikan Shafee mengikut Kanun Tatacara Jenayah tetapi ia ditolak Mahkamah Persekutuan pada 20 November tahun lepas. Permohonan kedua beliau mencabar Shafee, berdasarkan akuan bersumpah bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Mat Zain Ibrahim, juga ditolak oleh Mahkamah Persekutuan pada 11 Februari. Pada 7 Mac , Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 9 Januari 2012 yang membebaskan Anwar atas tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan. Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah unit kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara, antara jam 3.10 petang dan 4.30pm petang, 26 Jun 2008. Panel tiga anggota Mahkamah Rayuan menghukum Anwar lima tahun penjara tetapi memberikannya penangguhan sementara menanti keputusan rayuan kesnya di Mahkamah Persekutuan. Anwar dibebaskan dengan jaminan RM10,000 dan seorang penjamin. Pihak pendakwaan juga memfailkan rayuan balas bagi hukuman penjara yang lebih berat. - See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/muktamad-mahkamah-putuskan-shafee-abdullah-ketuai-pendakwaan-kes-liwat-anwa#sthash.0PqBh5Pt.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan