Rabu, 5 Januari 2011

Cabar kewibawaan Sultan- Desak Khalid letak jawatan



Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) diketuai Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) mendesak Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meletak jawatan berikutan tindakannya yang didakwa mencabar kewibawaan Sultan Selangor, Sultan Sharifuddin Idris Shah.

Pengerusi GAPS, Hamidzun Khairuddin berkata tindakan Abdul Khalid bersama beberapa barisan exco kerajaan negeri yang berterusan mempolemikkan isu pelantikan Datuk Mohamad Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor telah mengundang rasa tidak puas hati rakyat hingga menyebabkan mereka kini hilang keyakinan terhadap kepimpinan menteri besar itu.

“Dan dengan itu kami mendesak Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan barisan Exco yang menyokong beliau iaitu Yaakop Sapari, Xavier Jayakumar, Teresa Kok, Rodziah Ismail dan Halimah Ali agar bukan berhenti mempolemikkan dan mempolitikkan isu pelantikan Datuk Mohammed Khusrin Munawi sebagai SUK, malah meletak jawatan dengan kadar segera” katanya.

Gesaan itu dibuat ketika berucap selepas mengadakan perhimpunan aman menyerahkan memorandum bantahan terhadap Menteri Besar yang diterima oleh Setiausaha Eksekutif Pejabat Menteri Besar, Dr Razali Bolhi di perkarangan Bangunan Sultan Abdul Aziz di sini, hari ini.

Perhimpunan aman yang bermula dari Dataran Shah Alam itu turut disertai Pertubuhan Pribumi Melayu Malaysia (Perkasa) yang diketuai Presidennya Datuk Ibrahim Ali, wakil pemimpin MCA dan MIC serta lebih 1000 rakyat Selangor daripada pelbagai kaum.

Kontroversi pelantikan SUK baru itu tercetus apabila kerajaan Parti keadilan Rakyat (PKR) Selangor menolak pelantikan Mohamad Khusrin seterusnya tidak membenarkan beliau mengangkat sumpah menyimpan rahsia bagi memulakan tugasnya secara rasmi sejak mengambil alih jawatan itu berkuatkuasa 1 Jan lepas.

Hamidzun berkata, pihaknya bersama NGO lain dan rakyat Selangor yang cintakan keadilan akan terus mengadakan perhimpunan dan bantahan sehingga desakan supaya Abdul Khalid meletak jawatan berjaya.

“Semua pihak menyedari dalam sistem demokrasi berparlimen dan Raja berperlembagaan yang dimalkan di negara ini telah memberikan kuasa kepada baginda untuk memperkenan mana-mana pelantikan tiga jawatan penting pentadbiran negeri iaitu SUK, Penasihat Undang-Undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri,” katanya.

Antara lain memorandum tersebut turut mendesak Menteri Besar bersama barisan exco yang menyokong beliau agar berhenti mempolemik dan mempolitikkan pelantikan Mohamad Khusrin serta meminta Abdul Khalid bersikap profesional dengan melayan semua kakitangan awam Selangor dengan baik.

“Semua kakitangan awam merupakan tulang belakang utama kepada kemajuan, keamanan dan kesejahteraan negeri Selangor,” katanya.

Terdahulu Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali ketika berucap di Dataran Shah Alam berkata tindakan Perkasa menyertai perarakan itu tidak berpaksikan kepentingan politik sebaliknya atas dasar menjunjung prinsip kedaulatan Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor serta Perlembagaan Persekutuan, apatah lagi ia membabitkan kedudukan Raja Melayu.

Katanya, apa yang dilakukan Sultan Selangor adalah tidak bertentangan dengan Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor serta mengikut peruntukan sedia ada dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Jadi, rakyat kena faham, jangan emosi dan jangan membantah atas tanggungjawab politik. Sebaliknya bertindaklah atas lunas undang-undang,” katanya.

Bagi Ketua Pemuda UMNO Negeri Selangor, Ungku Salleh Ungku Jamal pula melihat tindakan mempolemikkan isu perlantikan SUK hanyalah untuk mencabar wibawa dan kedudukan Institusi Raja-Raja Melayu terutamanya DYMM Sultan Selangor.

“Kita harus menyedari bahawa Menteri Besar telah sembah derhaka kepada DYMM Sultan Selangor dan menipu seluruh rakyat Negeri Selangor dengan mengubah, memutar belitkan dan memanipulasi titah perintah DYMM Sultan Selangor seperti yang diterangkan semula oleh Yang Setia Setiausaha Sulit DYMM Sultan Selangor dalam kenyataan Istana Selangor bertarikh 4hb Jan 2011,” ujarnya.

Perhimpunan aman yang bermula pukul 3 petang, yang diawasi anggota polis itu berakhir kira-kira sejam kemudian. -MediaUMNO

Talkin untuk UMNO Perlis



Satu majlis talkin untuk UMNO Perlis akan diadakan dalam masa terdekat bagi memberi amaran kepada pucuk kepimpinan UMNO Pusat bahawa parti itu kini berada dalam keadaan tenat dan hampir terkubur.

Bekas Ketua Penerangan UMNO Perlis, Datuk Hashim Suboh berkata, pelaksanaan majlis itu bagaimanapun bergantung kepada tindak balas pucuk pimpinan UMNO Pusat sama ada berani melakukan perubahan dalam menyelesaikan krisis kepimpinan parti di negeri itu ataupun tidak.

Menurutnya, majlis itu sepatutnya diadakan pada malam Sabtu lalu di Denai Larian, Pengkalan Asam di sini oleh beberapa pemimpin veteran UMNO Perlis yang tidak berpuas hati dengan keputusan mengekalkan Menteri Besar, Datuk Seri Md Isa Sabu sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri.

“Bagaimanapun, hasrat itu terpaksa ditangguhkan setelah saya berbincang dengan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada 30 Disember lalu dan beliau bersetuju untuk menyampaikan luahan hati kami kepada Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam tempoh terdekat.

“Kami sepakat untuk memberi peluang kepada Najib menggunakan kebijaksanaannya menyelesaikan krisis kepimpinan parti di negeri ini dan sekiranya beliau gagal, satu majlis talkin akan diadakan dalam masa terdekat,” katanya.

Hashim turut mempersoalkan tindakan UMNO Pusat tidak mengekalkan Ketua UMNO Bahagian Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin sebagai Timbalan Pengerusi UMNO negeri, sebaliknya mengekalkan jawatan Dr Md Isa kerana mendakwa prestasi Zahidi dilihat jauh lebih baik daripada Md Isa.

“Adakah kepimpinan UMNO Pusat melihat Zahidi sebelum ini bermasalah sehinggakan jawatan beliau tidak dikekalkan?

“Konflik kepimpinan UMNO di Perlis bukan sahaja melibatkan dua pemimpin UMNO sahaja, sebaliknya membabitkan ramai lagi ahli lain dan saya menyifatkan tindakan menjadikan Zahidi sebagai ‘kambing hitam’ tidak wajar,” katanya.

Hashim turut menyuarakan harapan agar jawatan kepimpinan tertinggi UMNO negeri diserahkan kepada Najib sendiri bagi menyelesaikan masalah kepimpinan yang berlarutan sejak tiga tahun dahulu.

“Lebih baik serah jawatan pengerusi UMNO negeri kepada Najib kerana isu pokok pertikaian kebanyakan pemimpin akar umbi parti adalah pengekalan jawatan Dr Md Isa yang dianggap tidak sesuai.

“Satu penyelesaian lebih baik perlu dibuat pucuk pimpinan UMNO demi memastikan UMNO Perlis terus kukuh dan mengekalkan sokongan rakyat pada masa hadapan,” katanya.