Ahad, 4 Mei 2014

Khalid yakin mampu memenangi jawatan Timbalan Presiden PKR

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yakin dapat memenangi jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) walaupun penyandangnya, Mohamed Azmin Ali, sedang mendahului kedudukan pada pemilihan parti itu. Abdul Khalid berkata faktor keyakinan itu yang mendorong beliau untuk bertanding bagi jawatan nombor dua parti pada pemilihan yang bermula pada Sabtu minggu lepas. "Saya yakin (boleh menang), sebab itu saya bertanding," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Geran Kampung Pecah Batu di Bestari Jaya di sini, Ahad. Keputusan terkini menyaksikan Azmin mendahului dua pencabarnya apabila memperoleh 5,111 undi berbanding Abdul Khalid (2,288) dan Datuk Saifuddin Nasution (2,322). Ditanya mengenai harapannya menjelang pemilihan parti peringkat Selangor pada 11 Mei ini, Abdul Khalid berkata beliau mempunyai harapan yang tinggi berikutan negeri itu mempunyai jumlah anggota PKR paling ramai iaitu melebihi 170,000 orang. "Selangor merupakan negeri yang akan menjadi penentu kerana mempunyai lebih 170,000 anggota PKR selain Sabah yang mempunyai lebih 90,000 anggota," katanya. Menteri Besar itu juga bakal dicabar bekas anggota parlimen Kapar S. Manikavasagam bagi jawatan Ketua Cabang Kuala Selangor pada pemilihan itu.

Tasik Kenyir bakal menjadi tarikan pelancong unik di dunia

Kerajaan Terengganu akan menjadikan Tasik Kenyir lebih menarik dan unik sekali gus menambat hati pengunjung terutama pelancong asing yang bakal dijadikan kawasan bebas cukai pertama di dunia menjelang September tahun depan. Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata antara perkara menarik yang bakal diwujudkan di Tasik Kenyir tempat khas untuk kemudahan pelancong kaum wanita sahaja. "Di dalam tasik itu mempunyai banyak air terjun, dan satu daripadanya kita akan khaskan untuk kaum wanita sahaja iaitu semua urusan seperti pemandu bot, bahagian keselamatan dan sebagainya akan dikendalikan petugas wanita. "Kita buat ini setelah menerima permintaan daripada pelancong asing terutama dari Asia Barat yang mahukan satu kawasan khas untuk kemudahan wanita," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Festival Kenyir 2014 yang berlangsung sebulan sehingga 29 Mei di Pangkalan Gawi, Tasik Kenyir di sini hari ini. Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri Terengganu Zubir Embong dan Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) Wan Mat Amin Wan Daud. Ahmad berkata sehingga kini kerajaan membelanjakan RM300 juta bagi membangunkan tasik itu sebagai kawasan pelancongan dan tasik bebas cukai. Katanya antara kerja-kerja yang siap seperti membekalkan elektrik ke Pulau Bayas tapak kawasan bebas cukai dengan menarik kabel sejauh 22 kilometer melibatkan perbelanjaan RM33 juta. Beberapa buah pulau yang dimajukan di dalam tasik itu sebahagiannya telah siap dan kini kerja-kerja membina jeti utama di Pulau Bayas sedang berjalan melibatkan peruntukan RM70 juta. Beliau berkata kerja-kerja pembinaan rangkaian perkedaian, kemudahan untuk Indah Water dan menyediakan tangki air serta kompleks kastam sedang berjalan yang kini siap 75 peratus. Katanya dalam masa terdekat pembinaan jambatan baharu empat lorong yang merupakan kemudahan utama menghubungkan Pangkalan Gawi ke Pulau Poh Besar akan berjalan. Ahmad berkata pulau yang mempunyai keluasan kira-kira 40 hektar itu juga akan dibina dua jeti iaitu untuk penumpang dan jeti untuk kargo. "Di pulau itu kita akan bina hotel, taman permainan air selain 1,000 tempat letak kereta kerana di Pangkalan Gawi tidak mempunyai kawasan yang luas untuk tempat letak kenderaan," katanya. Mengenai Kenyir Elephant Village Ahmad berkata perkampungan gajah itu yang diuruskan pihak swasta, akan mula dibuka pada Jumaat ini (9 Mei). "Ketika ini taman itu sudah mempunyai sembilan ekor gajah jinak dan 14 ekor gajah liar yang berada di sekitar kawasan itu serta akan menambah 21 ekor gajah lagi di situ," katanya Ahmad berkata yang menarik dan uniknya kawasan Kenyir Elephant Village ia akan wujudkan beberapa chalet di atas pokok selain jambatan gantung dan kawasan tinjau yang mengelilinginya. Kerajaan Terengganu melalui Ketengah menyasarkan kehadiran 500,000 pelancong ke tasik buatan manusia yang terbesar di Asia Tenggara dengan mempunyai 340 pulau buatan, selepas menarik 400,000 pelancong tahun lepas.