Sabtu, 9 Ogos 2014

Wan Azizah akui tidak pengalaman tadbir negeri

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang dicalonkan partinya tuntuk jawatan Menteri Besar Selangor, mengakui tidak mempunyai pengalaman secukupnya untuk mentadbir sebuah kerajaan negeri. Namun, katanya pertukaran menteri besar perlu dilakukan di Selangor ketika ini bagi menambah baik semua dasar kerajaan negeri di samping mengekalkan dasar lama yang memberi manfaat kepada rakyat. "Bagi saya, pertukaran menteri besar tidak penting, yang lebih penting adalah amanah yang dipegang kita," katanya dalam satu ceramah mengenai isu-isu semasa di negeri Selangor di sini, Sabtu malam. Pada 21 Julai lepas, Majlis Pimpinan Pusat PKR sebulat suara memilih Dr Wan Azizah sebagai calon menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar Selangor yang baharu. Dr Wan Azizah, isteri kepada Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut menepis dakwaan pihak tertentu bahawa pencalonannya itu bersifat nepotisme. "Ini bukan nepotisme sebab saya pernah dilantik oleh Anwar mengetuai gerakan reformasi semasa suami saya berada di penjara pada 1998," katanya. Sementara itu, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata Abdul Khalid yang dipecat daripada PKR berkuat kuasa hari ini, boleh disingkir daripada jawatan menteri besar sekiranya 29 Anggota Dewan Undangan Negeri Selangor sebulat suara membuat akuan berkanun bagi menyatakan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan beliau. Ini boleh dilakukan di luar DUN Selangor berbanding usul undi tidak percaya yang terpaksa dilakukan dalam DUN, katanya pada sesi ceramah itu. DUN Selangor mempunyai 56 kerusi.BERNAMA

Isu pecat dari parti- Khalid akan mengadap Sultan

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim maklum berhubung isu pemecatannya daripada PKR hari ini dan akan mengadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah walaupun menganggap keputusan itu cacat dan tidak sah. PKR memecatnya hari ini selepas mengingkari keputusan parti untuk memberi laluan kepada Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar Selangor. "Saya menerima keputusan Parti Keadilan Rakyat untuk membatalkan keahlian saya dalam parti walaupun keputusan tersebut adalah salah dan cacat dari segi undang-undang. "Seperti kenyataan saya sebelum ini, parti sendiri keliru terhadap pertuduhan yang dikemukakan kepada saya. Malah, PKR gagal menyatakan perkara yang saya lakukan melanggar Perlembagaan PKR," katanya dalam satu kenyataan. Menteri besar penggal kedua itu juga berkata dia tidak menerima sebarang jawapan kepada permintaannya untuk butiran lebih terperinci mengenai proses disiplin dan penangguhan perbicaraannya oleh lembaga disiplin ke 15 Ogos. "Lembaga Disiplin tetap meneruskan pendengaran tanpa terlebih dahulu mendengar penjelasan daripada saya. Saya tidak diberi peluang dan proses yang adil untuk menjawab semua tuduhan terhadap saya mengikut tatacara yang teratur dan adil. "Saya percaya ada tindakan sabotaj dari pihak tertinggi parti," kata Khalid, yang juga ahli dewan undangan negeri Pelabuhan Klang dan ahli Parlimen Bandar Tun Razak. Peguam berkata Khalid masih menteri besar kerana dia masih seorang wakil rakyat di dalam dewan undangan negeri yang mempunyai 56 kerusi dan jawatannya merupakan pelantikan yang sah menurut perlembagaan. Saya akan mengadap DYMM Sultan Selangor untuk memaklumkan kepada baginda perkembangan terbaru ini, seterusnya mendengar pandangan baginda yang boleh dikongsi. "Sehingga isu ini diselesaikan mengikut prosedur yang betul, mengikut peruntukan undang-undang yang termaktub dalam Undang-undang Tubuh Negeri, saya akan meneruskan khidmat terbaik kepada rakyat sebagai Menteri Besar mengikut kemampuan saya," katanya sambil berterima kasih kepada semua yang menyokongnya dalam masa sukar. - See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/khalid-maklum-dipecat-pkr-akan-mengadap-sultan-selangor#sthash.3KzRWah7.dpuf

PAS tidak campur pemecatan Khalid

Pemecatan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak ada kaitan dengan PAS, kata Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. "Itu dia (PKR) punya pasal, saya tidak boleh ganggu," katanya ketika diminta mengulas pemecatan Abdul Khalid daripada parti itu pada Sabtu. "PKR boleh buang orangnya, kita tidak campur," katanya lagi kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya di sini Sabtu malam. Nik Abdul Aziz juga berkata Majlis Syura Ulama PAS tidak berganjak dengan keputusannya untuk mengekalkan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor. "Tidak terima (keputusan Majlis Syura Ulama PAS) itu dia punya pasal," katanya ketika ditanya mengenai kenyataan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa keputusan Majlis Syura Ulama PAS untuk mengekalkan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar (MB) Selangor tidak mempengaruhi PKR dalam isu itu. Sementara itu di SHAH ALAM, Pesuruhjaya PAS Selangor Iskandar Abdul Samad berkata tindakan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR memecat Abdul Khalid daripada parti itu berkuat kuasa serta-merta sudah dijangka. Katanya, beliau kini hanya menunggu arahan daripada parti mengenai tindakan selanjutnya. "Saya telah menjangka Abdul Khalid akan dipecat apabila PAS Pusat menangguhkan tarikh mesyuarat mereka. Saya sekarang hanya menunggu arahan dari parti saya," katanya ringkas ketika dihubungi Bernama. Ketika mengumumkan keputusan MPP itu di Petaling Jaya hari ini, Pengerusi Lembaga Disiplin PKR Datuk Dr Tan Kee Kwong berkata keputusan sebulat suara MPP itu dibuat berdasarkan tindakan Abdul Khalid mengingkari arahan parti untuk meletakkan jawatan bagi memberi laluan kepada Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk menjadi Menteri Besar Selangor yang baharu. Tan berkata selain itu, Abdul Khalid yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang juga telah ingkar beberapa keputusan yang dibuat Majlis Presiden Pakatan Rakyat, termasuklah menangguhkan proses dan perbincangan projek Langat 2 serta kenaikan elaun Speaker Dewan Undangan Negeri, Menteri Besar, Exco dan ADUN Selangor. Sementara itu, Naib Pengerusi DAP Selangor Datuk Teng Chang Khim ketika dihubungi bagaimanapun enggan memberi sebarang komen. --BERNAMA

Khalid masih kekal sebagai MB

Berdasarkan Undang-undang Tubuh Negeri Selangor 1959, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim masih lagi Menteri Besar Selangor yang sah. Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, bagaimanapun Abdul Khalid tidak lagi mempunyai sokongan majoriti berdasarkan faktor keputusan DAP dan PKR tidak lagi menyokong beliau. "Kena faham, dari segi undang-undang tubuh negeri, adalah memang jelas beliau tidak ada majoriti lagi di Dun... kenapa? "Sebab beliau sudah dipecat dari parti, dan PKR beserta DAP sudah menarik sokongan terhadap beliau. “Abdul Khalid tidak lagi mempunyai majoriti sokongan Adun Selangor dan sebab itu tidak memenuhi syarat untuk terus memegang jawatan menteri besar, " katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR di sini, hari ini. Terdahulu, dalam sidang media sama, Pengerusi Lembaga Disiplin PKR Datuk Dr Tan Kee Kwong mengumumkan pemecatan Abdul Khalid Ibrahim daripada PKR yang berkuat kuasa serta-merta. Menurutnya, Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR membuat keputusan itu berdasarkan tindakan Abdul Khalid mengingkari arahan parti untuk meletakkan jawatan bagi memberi laluan kepada Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk menjadi Menteri Besar Selangor yang baharu. Selain itu, kata Tee Kwong lagi, Abdul Khalid juga telah ingkar beberapa keputusan yang dibuat Majlis Presiden PR. Dalam perkembangan berkaitan, Saifuddin menambah. PKR akan membentangkan usul undi tidak percaya terhadap Abdul Khalid dalam Dewan Undangan Negeri bertujuan menyingkirkannya daripada jawatan berkenaan secara sah. - Bernama

Khalid terima keputusan parti...

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menerima keputusan pemecatan keahliannya dari PKR seperti yang diumumkan sebentar tadi. “Saya terima keputusan oleh PKR untuk membatalkan keahlian saya dalam parti walaupun keputusan adalah salah dan cacat dari segi undang-undang. “Seperti yang saya nyatakan menerusi maklum balas terhadap surat tunjuk sebab, PKR sendiri keliru dengan maklumat lanjut mengenai tuduhan terhadap saya. “PKR telah gagal menjelaskan secara khusus artikel mana dalam perlembagaan parti yang telah saya cabuli,” katanya yang dipetik dari laman mikro Twitternya, sebentar tadi. Petang tadi, Pengerusi Lembaga Disiplin PKR Datuk Dr Tan Kee Kwong mengumumkan pemecatan Abdul Khalid daripada PKR yang berkuat kuasa serta-merta. Menurutnya, Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR membuat keputusan itu berdasarkan tindakan Abdul Khalid mengingkari arahan parti untuk meletakkan jawatan bagi memberi laluan kepada Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk menjadi Menteri Besar Selangor yang baharu. Selain itu, kata Tee Kwong lagi, Abdul Khalid juga telah ingkar beberapa keputusan yang dibuat Majlis Presiden PR. Dalam pada itu, dalam satu kenyataan medianya sebentar tadi, Abdul Khalid menambah, beliau tidak diberi peluang dan proses yang adil untuk menjawab semua tuduhan terhadap saya mengikut tatacara yang teratur dan adil. "Walaupun saya telah memohon penangguhan sesi penjelasan kepada Lembaga Disiplin pada 15 Ogos ini, namun tiada jawapan balas diberikan. "Sebaliknya jawatankuasa itu tetap mengadakan pendengaran tanpa mendengar penjelasan daripada saya terlebih dahulu," katanya dalam kenyataan itu. Sementara itu, Abdul Khalid menambah, beliau akan menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk memaklumkan kepada baginda perkembangan terbaharu ini dan untuk mendengar pandangan baginda. “Sehingga isu ini diselesaikan mengikut peruntukan undang-undang, saya akan meneruskan khidmat terbaik kepada rakyat sebagai Menteri Besar. “Saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang menyokong saya dalam menempuh masa-masa yang sukar ini,” katanya lagi.

Khalid Ibrahim kena pecat dari PKR

Majlis Pimpinan Pusat PKR hari ini memecat Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dari parti itu serta merta. Pengumuman tersebut diumumkan oleh Pengerusi Lembaga Disiplin PKR Datuk Dr Tan Kee Kwong di Ibu Pejabat PKR hari ini. "Majlis Pimpinan Pusat PKR sebentar tadi memutuskan bahawa Tan Sri Khalid di pecat daripada PKR. "Beliau bukan lagi ahli PKR," katanya di ibu pejabat PKR, di sini hari ini. Menurutnya, pemecatan itu dibuat setelah Abdul Khalid didapati mengingkari keputusan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR yang sebulat suara memilih Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar Selangor yang baharu. Dalam sidang media sama, Kee Kwong menambah, keputusan itu dibuat setelah Abdul Khalid juga dikatakan gagal mematuhi keputusan Majlis Presiden PR yang dihadiri Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menangguhkan proses dan perbincangan mengenai projek Langat 2 serta menangguhkan kenaikan elaun Speaker, Menteri Besar, Exco dan Adun negeri Selangor. "Abdul Khalid turut berkeras meneruskan projek Lebuhraya Kidex walaupun parti sudah mengarahkan beliau untuk mengkaji semula projek tersebut kerana ia bertentangan dengan matlamat dan manifesto PR yang dibentangkan sebelum PRU13 lalu. "Beliau turut gagal memberikan penjelasan sepenuhnya kepada Majlis Presiden PR mengenai isu pelupusan hutang beliau dengan Bank Islam bernilai hampir RM70 juta," katanya ketika mengulas lanjut isu tersebut.