Khamis, 31 Januari 2013

BN SEDIA HADAPI PILIHANRAYA- NOH OMAR

Kenyataan Media berkenaan kenyataan MB Sgor membubarkan Dun lebih awal Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kerana mahu membubarkan Dun Selangor lebih awal. Kenyataan beliau itu secara tidak langsung membuktikan bahawa Abdul Khalid telah bersetuju bahawa daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah bersih. Pakatan pembangkang sebelum ini berdolak-dalik mengatakan Selangor tidak mahu mengadakan pilihan raya serentak dengan Kerajaan Persekutuan selagi SPR tidak membersihkan daftar pemilih. Saya mengucapkan syabas kepada Menteri Besar Selangor. Beliau sendiri nampaknya tidak sabar-sabar hendak membubarkan Dun dan mengadakan pilihan raya. Beliau secara tidak langsung telah bersetuju bahawa daftar pemilih SPR telah bersih BN Selangor sudah bersedia bila-bila masa sekiranya Dun dibubarkan dan yakin akan menawan semula negeri ini. Kita harap pakatan pembangkang akan menerima apa sahaja keputusan pilihan raya itu nanti. Kita tidak mahu apabila kalah, macam-macam tuduhan yang dilemparkan kepada SPR dan juga BN. Kita juga berharap PRU13 berjalan dengan aman tanpa sebarang provokasi atau tindakan tidak sepatutnya daripada penyokong dan pemimpin parti pembangkang Berkenaan kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa mereka tidak akan mengikut jejak Selangor membubarkan Dun, Saya melihat ini membuktikan bahawa pakatan pembangkang semenangnya tidak pernah sepakat. Dalam membuat keputusan yang begitu besar yang melibatkan kepentingan rakyat mereka tidak sehaluan, ini menunjukkan pakatan pembangkang sebenarnya sebuah parti yang cacamarba. Mereka tidak layak untuk mentadbir sebuah negeri mahpun negara Saya mengambil kesempatan menasihati rakyat agar membuat pilihan yang tepat pada pilihan raya umum akan datang bagi memastikan kebajikan dan masa depan yang terbela. Terima Kasih Datuk Seri Noh Omar TPPU Selangor.

TUN M YAKIN BN TERUS BERKUASA

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad amat yakin kerajaan Barisan Nasional (BN) akan terus berkuasa selepas Pilihan Raya Umum Ke-13. Kata beliau, pilihan raya itu, yang akan diadakan tahun ini, merupakan pertarungan politik paling penting yang perlu dihadapi BN. Dr Mahathir juga berharap BN akan memperoleh majoriti dua pertiga di Parlimen bagi membolehkan kerajaan melaksanakan dasarnya tanpa halangan. "Pakatan Rakyat hanya sebuah gabungan untuk menghadapi pilihan raya akan datang. Sekiranya mereka dipilih untuk memerintah, saya yakin setiap parti kemudiannya akan berperang untuk melaksanakan ideologi masing-masing. "Itu sudah tentu tidak baik bagi Malaysia dan akan mengganggu semua usaha untuk membangunkan ekonomi yang dilaksanakan kerajaan sekarang," katanya pada persidangan Tinjauan Strategik Malaysia Ke-15 di sini hari ini. Dr Mahathir berkata, percakaran dalam kumpulan pembangkang menjadi sebab utama para pengundi kembali mempunyai keyakinan terhadap gabungan parti pemerintah. Katanya, kerajaan BN, di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, memahami isu sosial dan ekonomi, sesuatu yang sangat penting bagi sebuah negara membangun.
Beliau berkata, kerajaan telah merangka pelan pembangunan secara besar-besaran bagi masa depan Malaysia dan sejajar dengan itu, adalah menjadi tanggungjawab rakyat Malaysia untuk memberi peluang kepada kerajaan membuktikan keberkesanan pelan itu. "Perubahan itu sendiri akan membawa kemusnahan dan mencetuskan keadaan tidak menentu. Keadaan kacau-bilau memang tidak baik untuk mana-mana negara pun. "Sebuah kerajan baharu juga akan mengambil banyak masa untuk menyesuaikan diri dengan peranan baharunya, daripada pembangkang kepada kerajaan. Masa yang dibazirkan ini akan menggugat pertumbuhan Malaysia," katanya. Ditanya tentang masa yang sesuai untuk membubarkan Parlimen, Dr Mahathir berkata: "Saya berpendapat ia patut dibuat selepas sambutan Tahun Baharu Cina."