Selasa, 20 Mei 2014

PRK Teluk Intan dan Bukit Gelugor medan DAP buktikan rakyat tolak hudud PAS

Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Bukit Gelugor dan Teluk Intan, bakal menjadi medan pungutan suara parti DAP untuk melihat sejauh mana penerimaan rakyat terhadap cadangan pelaksanaan hudud oleh sekutunya PAS. Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (gambar) berkata jika DAP menang ia jelas menunjukkan bahawa rakyat menolak hudud. "Itu merupakan satu pertentangan ideologi terpaksa PAS pikul serta membayangkan sikap tidak berprinsip PAS untuk melaksanakan hukum hudud," katanya kepada pemberita di Putrajaya hari ini. Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung situasi terkini PRK di Bukit Gelugor dan Teluk Intan. Keadaan itu juga, katanya, jelas menunjukkan perjuangan PAS dalam hukum hudud tidak ada kena mengena dengan Islam dan lebih menjurus kepada perjuangan politik. PRK Bukit Gelugor menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon DAP, Ramkarpal Singh dengan Datuk Huan Cheng Guan daripada Parti Cinta Malaysia (PCM) serta dua calon Bebas, Mohamed Nabi Bux Mohd Nabi Abdul Sathar dan Abu Backer Sidek Mohamad Zan. Sementara di PRK Teluk Intan, pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional Datuk Mah Siew Keong dan calon DAP Dyana Sofya Mohd Daud. Shabery berkata, penduduk kawasan berkenaan perlu berfikir tentang kepentingan mereka terlebih dahulu sebelum memilih pemimpin. "Ini bukan pilihan raya umum tetapi PRK untuk memilih wakil mereka, sudah tentu perkara yang paling diutamakan adalah siapa yang boleh bekerja," katanya. Katanya pengundi perlu bersikap praktikal dan melihat wakil pemimpin yang dapat bekerjasama dengan kerajaan negeri dan persekutuan.Bernama

ADUN DAP Seri Delima dikecam gelar Melayu celaka

Wakil rakyat Barisan Nasional (BN) mengecam tindakan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Delima R.S.N Rayer daripada DAP yang mengeluarkan perkataan kesat dengan menggelar pemimpin Umno sebagai 'celaka'. Rayer ketika membahaskan ucapan perasmian Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini, mendakwa beberapa pemimpin Umno di negeri ini cuba menghasut rakyat melalui satu demonstrasi dengan mengapi-apikan tragedi 13 Mei 1969. "Celaka-celaka UMNO ini kurang ajar, biadab dan selalu mengapi-apikan dengan membawa sepanduk memainkan isu rasis peristiwa 13 Mei. Celaka mereka," katanya. Kenyataan Adun DAP itu telah menimbulkan kemarahan dan rasa tidak puas hati wakil rakyat BN dan menuntut beliau menarik balik perkataan 'celaka' itu yang dilihat mencemar dewan. Shariful Azhar Othman (BN-Bertam) berkata kenyataan Rayer itu adalah keterlaluan dan telah melanggar peraturan dewan. "Jika Yang Berhormat Seri Delima mahu menzahir rasa marah ia bukan dalam dewan yang mulia ini. Sebagai ahli dewan, Yang Berhormat perlu mematuhi peraturan dewan iatu Perkara 46 yang menyebut setiap ahli dewan dilarang menggunakan perkataan yang menyakitkan hati dan sentuh peribadi pihak tertentu. "Sepatutnya Seri Delima tidak perlu gunakan perkataan kesat seperti celaka. Justeru, saya mohon pertimbangan Speaker menangani perkara ini kerana jika ia dibenarkan, perkataan seumpama ini akan mula digunakan dalam dewan," katanya. Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah (BN-Teluk Bahang) kemudiannya bangun mencelah dan meminta Adun DAP itu menarik balik perkataan 'celaka'. Speaker Datuk Law Choo Kiang kemudiannya menegur Rayer dan memberi amaran kepadanya supaya tidak mengulangi perkataan kesat itu. Sementara itu, dalam sidang akhbar, Ketua Pembangkang Datuk Jahara Hamid mahu Law bertegas dalam mengendalikan sidang DUN supaya anggota dewan tidak mudah mengguna dan mengeluarkan kata-kata kesat ketika persidangan berlangsung. Beliau berkata selain sebagai menghormati kemuliaan dewan, ketegasan itu juga penting memandangkan penggunaan kata-kata kesat ketika persidangan berlangsung adalah melanggar peraturan DUN. "Sememangnya apa yang diperkatakan oleh Adun Seri Delima (R.S.N Rayer) menyalahi peraturan, menggunakan kata-kata kesat kepada orang yang tidak ada di dalam dewan, memang menyakitkan hati," katanya. Adun Penaga Mohd Zain Ahmad yang turut hadir dalam sidang akhbar itu menyifatkan tindakan Adun DAP itu adalah provokasi supaya Adun BN melatah. "Apa yang diperkatakan oleh Rayer tidak relevan langsung dengan persidangan DUN, oleh itu kami mahu Speaker dapat pastikan Rayer tidak buat lagi perkara seperti itu," katanya.

Bekas Mufti Perlis bebas tuduhan mengajar tanpa tauliah

Bekas Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin hari ini dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan mengajar agama Islam tanpa tauliah Jabatan Agama Islam (JAIS) lima tahun lalu. Hakim Syarie Shaiful Azli Jamaludin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal mewujudkan kes terhadap Mohd Asri, 42. "Selepas memperhalusi keterangan dan hujahan kedua-dua pihak, mahkamah mendapati pendakwaan gagal mewujudkan kes terhadap tertuduh dan memerintahkan tertuduh dilepaskan dan dibebaskan," kata hakim itu di Mahkamah Syariah Gombak Timur di sini. Dalam penghakimannya, Shaiful Azli berkata mahkamah mendapati keterangan enam saksi pendakwaan tidak dapat memastikan apa yang diucapkan tertuduh sedangkan kesemua saksi itu merupakan pegawai yang terbabit secara langsung dalam serbuan berkenaan. Beliau berkata serbuan yang dilakukan terlalu cepat untuk menangkap tertuduh tanpa menunggu terlebih dulu untuk membuat pemerhatian secara lebih terperinci, menyebabkan potensi untuk menyatakan tertuduh berada di khalayak ramai terlalu jauh dan asing. "Secara kumulatif, tertuduh sedang mengajar ajaran agama Islam namun perkara berkaitan tidak dapat dijelaskan oleh saksi-saksi sedangkan ia merupakan elemen utama pertuduhan. "Mahkamah merasakan tidak selamat untuk membuat keputusan mengenai perkara itu kerana mahkamah tidak boleh membuat anggapan fakta atau tekaan semata-mata," kata Shaiful Azli. Hakim itu berkata mahkamah berpendapat keterangan saksi-saksi itu tidak lengkap dan lemah kerana hanya bergantung kepada keadaan semasa, sedangkan pasukan yang terbabit adalah ramai, antaranya saksi mata dan telinga. Beliau juga sempat menasihatkan agensi siasatan dan pihak berkuasa supaya menjalankan sebarang serbuan secara lebih efektif dan cermat. Pada 18 Nov 2009, Mohd Asri didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah premis kediaman di Taman Sri Ukay, Ampang di sini antara 8.10 malam dan 9.45 malam pada 1 Nov 2009 mengikut Seksyen 119 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003, yang membawa hukuman denda sehingga RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya. Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Syarie Zusyafarain Mat Yusoff manakala Mohd Asri diwakili peguam Kamar Ainiah Kamaruszaman. Ketika ditemui di luar mahkamah, Mohd Asri yang ditemani isterinya melahirkan rasa syukur dengan keputusan itu. Beliau berharap pihak berkuasa agama yang terbabit lebih berhati-hati dalam membuat sebarang serbuan dan penahanan. "Tauliah ada keperluannya kalau seseorang itu tiada latar belakang agama, bagi kes ini mustahil pihak JAIS tidak mengetahui saya pernah jadi mufti dan saya juga pernah jadi anggota Majlis Fatwa Kebangsaan," katanya.

Kembalikan semula Malaysia sebagai pusat pengembangan ilmu Sunnah Wal Jama'ah

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengajak ulama dan ilmuan Islam di negara ini supaya berusaha mengembalikan semula kedudukan Malaysia sebagai pusat pengembangan ilmu Ahli Sunnah Wal Jama'ah di rantau ini. Beliau berkata negara ini pernah menjadi wilayah ilmu Islam dalam pelbagai bidang seperti ilmu Kalam dan Aqidah; Fiqah; Tasawuf serta pemikiran dan falsafah mengikut aliran beberapa Imam termasuk Imam Abu Hasan Asy'ari, Imam al-Syafi'i dan Imam al-Ghazali. "Oleh yang demikian, sudah pastilah ajaran Ahli Sunnah Wal Jama'ah perlu terus diperkukuh dan diperkasakan di Malaysia," katanya ketika berucap merasmikan seminar Pencerahan Tasawur Ahli Sunnah Wal Jama'ah di Masjid Wilayah Persekutuan di sini Selasa. Muhyiddin menarik perhatian bahawa apabila berkata ajaran Ahli Sunnah Wal Jama'ah, yang menjadi pegangan umat Islam di Malaysia, merupakan asas penting kepada keamanan, kestabilan dan keharmonian di negara ini. Katanya, aliran itu merupakan faktor yang mendidik umat Islam di negara ini supaya mengamalkan nilai-nilai kesederhanaan serta mengelakkan tindakan melampau dalam hubungan antara kaum dan agama. Muhyiddin berkata kerajaan komited untuk memastikan usaha dakwah dan tarbiah di Malaysia dapat diperluas dan diperkukuh dalam memberi kesedaran serta pencerahan kepada umat Islam mengenai ajaran Islam sebenar berpandukan Ahli Sunnah Wal Jama'ah. Katanya, bagi merealisasikan matlamat itu, kerajaan sentiasa bersedia bekerjasama dan menyalurkan bantuan kepada ulama, institusi dakwah dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkenaan. "Adalah diharapkan institusi dakwah dan NGO Islam dapat memainkan peranan penting sebagai rakan negara dalam usaha memelihara serta memperteguh akidah umat Islam di Malaysia. "Saya percaya usaha dakwah dan tarbiah yang berterusan dapat membina sebuah masyarakat yang beriman, berakhlak dan bertakwa, ciri penting sebuah masyarakat serta negara yang diredai Allah," katanya. Muhyiddin menegaskan di samping memberi pencerahan dan memperkasa ajaran Ahli Sunnah Wal Jama'ah, masyarakat Islam juga perlu diberi kefahaman tentang ancaman fahaman serta falsafah pasca modenisme terutama liberalisme dan pluralisme.

MB Terengganu sedia kerjasama dengan sesiapa yang dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Negeri

Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman sedia bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang bakal dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri. Beliau turut mengakui tidak mempuyai masalah jika jawatan itu diberikan kepada orang lain dan akan bekerjasama dengan individu yang dilantik demi memajukan Umno. "Kita serahkan kepada Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memutuskan perkara itu kerana apa yang penting ialah kebersamaan dalam memperjuangkan parti. "Saya tak ada masalah, kita sebagai ahli parti yang setia, kita pulangkan keputusan itu secara bijaksana untuk ditentukan oleh Presiden parti dan saya tidak ada masalah langsung dalam hal ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bendera Sukan Malaysia (Sukma) kepada Kontinjen Terengganu lewat Isnin malam. Menurutnya lebih mustahak semua bersatu untuk memperjuangkan parti dan tidak timbul siapa yang bakal dipilih menerajui Umno Terengganu. Beliau berkata perpaduan dalam saat-saat begini amat penting lebih-lebih lagi dalam keadaan Terengganu sekarang di mana Barisan Nasional menduduki 17 kerusi Dewan Undangan Negeri sementara pembangkang 15. Ahmad Razif berkata demikian ketika mengulas cadangan sebuah kolum akhbar tempatan Ahad lepas yang mengaitkan nama Menteri Komunikasi dan Multimedia yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Kemaman, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek sebagai calon yang sesuai untuk jawatan itu. Namun Ahmad Shabery ketika ditanya pemberita berhubung perkara itu berpendapat, jawatan tersebut seharusnya dipegang oleh seorang Menteri Besar bagi membolehkan pentadbiran negeri dan kerja parti berjalan lancar. Sementara itu Ahmad Razif berkata buat sementara waktu beliau memangku dua portfolio iaitu portfolio asalnya iaitu selaku Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi dan Inovasi,Tenaga, Teknologi Hijau dan Air negeri. Beliau juga memangku portfolio yang dipegang bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said iaitu Jawatankuasa Perancang, Kewangan dan Pelaburan, Tanah, Petroleum, Sumber Asli dan Alam Sekitar, Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri. Ahmad Razif berkata portfolio itu akan dipangkunya sehingga lantikan Exco baharu dibuat dan ketika ini, pihaknya sedang berbincang mengenai perkara itu sebelum mengadap Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin untuk memohon perkenan.