Ahad, 16 November 2014

BR1M adalah aku janji BN-Ahmad Maslan

Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebenarnya adalah aku janji Barisan Nasional (BN) dalam manifesto pilihan raya untuk dilaksanakan bermula tahun 2014 sehingga 2018, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan. Sehubungan itu, katanya, aku janji itu tidak boleh ditarik balik dan perlu diteruskan. "...dan kita juga berjanji bukan hanya untuk meneruskan bayaran BR1M ini selama lima tahun tetapi meningkatkan bayarannya dari setahun ke setahun, sehinggalah RM1,200 pada tahun yang kelima. Sekarang ini sampai ke RM950 untuk tahun 2015," jelas beliau. Ahmad, yang juga Ketua Penerangan Umno, ditemui pemberita selepas merasmikan Konvensyen Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Telekomunikasi Semenanjung Malaysia dan taklimat CBP untuk kakitangan TM di sini, Ahad. Katanya semasa Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri, kaedah beliau untuk menggerakkan sektor ekonomi ialah dengan memberi rangsangan projek kepada kontraktor kelas F pada ketika itu. Beliau berkata kaedah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjana ekonomi pula ialah dengan memberi bantuan kepada rakyat dan rantaian ekonomi yang memberi kesan berganda. "Jadi, BR1M bukan rasuah seperti dakwaan sesetengah pihak. Kalau rasuah kita hanya beri sekali sebelum pilihan raya.....yang ini kita beri setiap tahun," katanya.

BN perlu disegar dan cergas bagi menghadapi PRU 14- PM Najib

Prestasi Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum ke-12 dan 13 memerlukan semua parti komponennya untuk menyegarkan dan mencergaskan semula gabungan itu dalam menghadapi cabaran di masa depan, menjelang pilihan raya umum akan datang, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Beliau memberi amaran anggota BN perlu menjangkakan cabaran lebih berat yang bakal dihadapi. "Prasyarat pertama bagi kelangsungan politik kita adalah untuk merapatkan barisan, memperkukuhkan parti, mengelak perpecahan dalam politik dan terus melangkah untuk semua rakyat Malaysia," kata beliau ketika merasmikan Perhimpunan Agung ke-25 Parti Liberal Demokratik di sini Ahad. Najib, yang juga Pengerusi BN, berkata sebaik sahaja parti komponen telah memperkukuhkan keupayaan masing-masing, setiap parti mewakili komuniti tertentu di Malaysia perlu mengenal pasti apa yang diharapkan daripada parti itu oleh komuniti terbabit. Beliau meminta parti komponen BN untuk berhubung dengan rakyat bagi meyakinkan mereka bahawa BN masih kerajaan terbaik untuk memimpin Malaysia. Perdana menteri turut meminta parti komponen BN supaya sentiasa cekal dalam menangani tipu daya pembangkang dalam media sosial. Beliau berkata parti perlu berusaha sedaya upaya untuk menangani isu yang menyerang usaha dan dasar kerajaan. "BN seringkali dimanipulasi menerusi media sosial, dengan begitu banyak kenyataan separuh benar. "Dalam pilihan raya lepas, pengundi diperdayakan oleh pembangkang kononnya BN membawa masuk secara senyap 40,000 warga Bangladesh sebagai pengundi. "Ini (membawa masuk secara senyap 40,000 warga Bangladesh sebagai pengundi) terang-terangan merupakan pembohongan dan saya tidak percaya begitu ramai orang tertipu dengannya," katanya. Najib mengingatkan rakyat agar tidak mempercayai apa sahaja perkara dalam media sosial, yang dijadikan alat oleh pembangkang untuk meyakinkan rakyat bahawa mereka (pembangkang) lebih baik daripada BN. Beliau berkata rakyat perlu melihat akibat buruk daripada sikap membenci BN, seperti yang pembangkang mahu mereka lakukan. Katanya parti juga perlu menambat hati rakyat dengan keupayaannya sebagai sebuah kerajaan, bukannya menyemai kebencian dalam kalangan mereka. "Malaysia antara ekonomi terbaik dalam Asean sejak sembilan bulan lepas dan baru-baru ini, pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik memberitahu saya mereka berpendapat Malaysia sebuah negara yang semakin berkembang maju, dan ini merupakan penghargaan kepada BN," kata perdana menteri.

Pegawai SPRM akan dtempatkan di Cameron Highland

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menempatkan pegawainya di Cameron Highlands bagi meningkatkan pengawasan dan pemantauan agar jenayah rasuah di kawasan itu dapat ditangani secara holistik, kata timbalan ketua pesuruhjaya (operasi) SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull. Katanya langkah itu dibuat susulan pemeriksaan pihaknya yang dijalankan sejak Mei tahun lepas mendapati tidak ada pusat yang khusus dan sistematik untuk orang ramai membuat aduan dengan berkesan berhubung aktiviti pembukaan kawasan pertanian secara haram dan mengenai elemen rasuah. Mohd Shukri berkata sementara menunggu penempatan pegawai secara tetap di kawasan berkenaan diluluskan kerajaan, SPRM akan meletakkan pegawainya di kawasan itu secara sementara secepat mungkin. "SPRM telah memutuskan untuk menempatkan pegawai SPRM di Cameron Highlands bagi meningkatkan pemantauan secara dekat. "Mereka yang mempunyai maklumat boleh menyalurkan kepada SPRM dan memberi sokongan padu bagi menangani isu serius di kawasan tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini, Ahad. Beliau berkata walaupun SPRM menerima aduan dan maklumat dari semasa ke semasa, SPRM menghadapi masalah kekurangan bukti yang kukuh. "Disebabkan kekurangan bukti walaupun menerima maklumat daripada orang ramai, SPRM menerusi Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan telah menjalankan pemeriksaan untuk mengenal pasti punca-punca yang membawa kepada isu di Cameron Highlands. Pada 5 Nov lepas, kejadian banjir lumpur berlaku di Ringlet dan Lembah Bertam, Cameron Highlands yang dipercayai turut disumbang oleh faktor penerokaan tanah haram di kawasan itu sehingga meragut lima nyawa manakala lima lagi cedera. Mohd Shukri berkata SPRM telah, sedang dan akan terus menjalankan satu daripada fungsi utamanya iaitu menyiasat setiap kes rasuah. "SPRM pernah membawa kes rasuah di Cameron Highlands ke mahkamah, di mana pada tahun 2013, SPRM telah mendakwa peneroka haram yang cuba memberi sogokan kepada pegawai Pejabat Tanah dan Daerah Cameron Highlands," katanya. Katanya SPRM menyambut baik kenyataan Kerajaan Negeri Pahang bahawa pihaknya akan melaksanakan syor-syor dikemukakan SPRM sebelum ini bagi menangani isu Cameron Highlands dengan beberapa syor tersebut telah pun diambil kira Kerajaan Negeri Pahang untuk dilaksanakan. "Pada masa yang sama, SPRM juga menyambut baik langkah penyelesaian yang diputuskan Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara dan Kabinet. Pendirian Kerajaan Negeri Pahang dan Kerajaan Persekutuan ini menunjukkan bahawa isu Cameron Highlands memerlukan pendekatan holistik dan kerjasama padu semua pihak, bukan hanya di pihak SPRM semata-mata. "SPRM, selaku agensi pencegahan rasuah, akan meneruskan siasatan susulan aduan dan maklumat yang diterima dari semasa ke semasa," katanya. Mohd Shukri berkata SPRM juga akan terus meningkatkan pendekatan pengesanan jenayah rasuah dengan kerjasama agensi-agensi lain di Cameron Highlands. SPRM sebelum ini mengemukakan cadangan bagi mengekang jenayah rasuah di sebalik penerokaan haram di Cameron Highlands antaranya penubuhan pasukan petugas dan mewujudkan dasar kawalan kemasukan dan pengesanan pekerja asing. Selain itu, Sistem Pengesahan bagi menghindari dakwaan yang melibatkan anggota kerabat, ahli politik dan pegawai tinggi kerajaan dengan mana-mana pihak yang mendakwa mempunyai hubungan dalam apa-apa urusan bagi menjaga nama baik pihak berkenaan, juga disarankan untuk diwujudkan.