Rabu, 5 November 2014

KDN isytihar Pasukan Peronda Sukarela (PPS) Pulau PInang tidak sah

Menteri Dalam Negeri mengisytiharkan Pasukan Peronda Sukarela (PPS) Pulau Pinang sebagai sebuah pertubuhan yang menyalahi undang-undang. Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Mohamad Khalid Shariff dalam satu kenyataan hari ini berkata pengisytiharan yang dibuat semalam (3 Nov) itu mengikut Seksyen 5 (1) Akta Pertubuhan 1966. Beliau berkata peruntukan di bawah Seksyen 5 Akta Pertubuhan 1966 [Akta 335] adalah berkaitan kuasa menteri dalam mengisytiharkan sesebuah pertubuhan sebagai menyalahi undang-undang. “PPS Pulau Pinang merupakan pertubuhan yang menjalankan kegiatan-kegiatan yang memudaratkan ketenteraman awam di dalam negara,” katanya. Berikutan pengisytiharan itu, katanya, tiada sesiapa boleh menggunakan semula nama, simbol, lambang atau logo PPS Pulau Pinang sebagai pertubuhan berdasarkan peruntukan Seksyen 7 (3) Akta Pertubuhan 1966. Mohamad Khalid berkata segala akaun, aset, harta PPS Pulau Pinang juga akan diserahkan dan digulungkan oleh Jabatan Insolvensi Malaysia. Beliau berkata pengisytiharan itu juga menyebabkan tiada sesiapa boleh memegang jawatan, menjalankan kerja sebagai seorang anggota, membenarkan sesuatu mesyuarat dalam bangunan, menyiar dan bertindak bagi pihak atau wakil pasukan itu. Mereka yang bertanggungjawab menjalankan sebarang aktiviti PPS Pulau Pinang akan disiasat dan boleh didakwa di mahkamah kerana melakukan kesalahan di bawah Akta 335, antaranya Seksyen 42 dan Seksyen 48 Akta Pertubuhan 1966 serta Seksyen 142 Kanun Keseksaan, katanya. Sehubungan itu, beliau meyeru semua pihak memberi kerjasama dalam membantu kerajaan untuk membanteras aktiviti-aktiviti PPS Pulau Pinang yang dianggap bercanggah dengan undang-undang sedia ada. Selepas lima tahun penubuhannya, PPS dilaporkan mempunyai 296 kumpulan yang beroperasi di bawah 40 kawasan dengan memperoleh sumber kewangan daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebanyak RM20,000 hingga RM30,000 setiap tahun di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri.

UMNO Kedah fokus usul agama pada Perhimpunan Agung kali ini

Umno Kedah akan memberi penekanan kepada usul agama berbanding usul ekonomi yang sering dibawa sebelum ini, pada Perhimpunan Agung Umno 2014 yang akan berlangsung dari 25 hingga 29 November ini. Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, ada mesej yang perlu disampaikan kepada semua pihak berhubung isu agama dan ia perlu ditekankan pada perhimpunan akan datang. "Seperti biasa perhimpunan ini memberi kesempatan untuk kita berbincang perkara rumit yang memerlukan ketetapan untuk menggerakkan seluruh jentera parti, untuk mendekatkan kita dengan rakyat dan akhirnya akan diterjemahkan dalam bentuk undi dalam pilihan raya nanti. "Selain isu agama, isu panas seperti soal pendidikan dan Akta Hasutan, saya ingat akan dibangkitkan dalam perhimpunan agung kali ini," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco di sini hari ini. Sementara itu beliau berkata, dalam perbentangan Belanjawan Negeri Kedah 2014 pada 17 Nov ini, secara umumnya ia adalah bajet yang mesra rakyat. "Ada unsur galakan pertumbuhan ekonomi negeri, nak ada pertumbuhan untuk diagihkan secara adil untuk dimanfaatkan oleh semua rakyat," katanya. Dalam perkembangan lain, beliau berkata kerajaan negeri telah bersetuju memperuntukkan bantuan bagi meringankan beban golongan penoreh yang pendapatan mereka terjejas teruk akibat penurunan harga getah. "Kita akan bekalkan bahan makanan asas bagi penoreh yang dalam keadaan terlalu daif. Ini akan disampaikan kepada semua yang penoreh yang layak di semua Dewan Undangan Negeri dan saya harap kita akan dapat uruskan dalam masa terdekat," katanya.

558,475 peminjam PTPTN akan disenarai dalam CCRIS mulai tahun depan

Sebanyak 558,475 peminjam yang gagal membuat bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan disenaraikan di dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) dengan kerjasama Bank Negara, mulai 1 Jan 2015. Pengerusi PTPTN Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata bagaimanapun pada peringkat permulaan penyenaraian itu akan membabitkan 173,985 peminjam tegar, iaitu mereka yang tidak pernah membuat bayaran balik melebihi tiga tahun daripada tarikh pembayaran sepatutnya dibuat. "Penyenaraian ini akan dibuat secara berperingkat. Pada peringkat permulaan, butiran mengenai 173,985 peminjam dengan pinjaman berjumlah RM1.23 bilion akan disenaraikan dalam CCRIS. "Peringkat seterusnya akan melibatkan penyenaraian butiran peminjam PTPTN yang selebihnya," katanya dalam sidang media di sini, Rabu. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif PTPTN Agos Cholan dan Ketua Pegawai Operasi PTPTN Wan Ahmad bin Wan Yusoff. CCRIS merupakan sistem pangkalan data Bank Negara yang menyimpan maklumat kredit peminjam yang dilaporkan oleh institusi kewangan. Menerusi pendekatan ini, peminjam PTPTN yang ingkar akan menerima kesan seperti peminjam institusi kewangan lain, terutama membabitkan kelulusan permohonan pinjaman, kad kredit, dan sewa beli. PTPTN pernah mengumumkan pelaksanaan sistem CCRIS untuk peminjam tegar pada Ogos 2013 namun ditangguhkan berikutan rayuan pelbagai pihak yang mahu langkah itu dikaji semula kerana ia membebankan peminjam. Shamsul berkata PTPTN kini terpaksa melaksanakan penyenaraian itu kerana pelbagai langkah yang diambil sebelum ini, termasuk menyekat peminjam yang gagal menjelaskan hutang mereka daripada berkunjung ke luar negara, tidak mendatangkan hasil. "Walaupun pelbagai insentif, ruang dan peluang diberikan, namun masih terdapat peminjam yang gagal membuat bayaran balik. Akibatnya, PTPTN bakal berdepan masalah kekurangan dana untuk pinjaman serta bayaran balik kepada institusi kewangan. "Ia juga akan menyebabkan jumlah pelajar yang bakal mendapat manfaat daripada pinjaman PTPTN semakin berkurangan," katanya. Shamsul berkata bagi mengelak disenarai dalam CCRIS, PTPTN masih memberi peluang dengan memberi tempoh sehingga 31 Dis ini untuk 173,985 peminjam itu datang berunding dan mula membuat pembayaran. Sejak ditubuhkan pada 1997 sehingga 30 Sept tahun ini, PTPTN meluluskan pinjaman pendidikan kepada 2.1 juta peminjam dengan pembiayaan keseluruhan berjumlah RM48.36 bilion.

UMNO Selangor perlu dibubar dan disusun semula- Tun M

Sesungguhnya perubahan yang diperlukan oleh UMNO Selangor ialah pembubaran dan penyusunan semula. Pemimpin-pemimpin UMNO Selangor perlu terima hakikat bahawa mereka kalah dalam PRU 12 dan 13. Mereka perlu undur. 2. Hari ini untuk mendapat calon Menteri Besar di kalangan pemimpin UMNO pun tidak ada. Ini boleh diadakan dengan ramai jika UMNO Selangor sedia menerima ahli baru. Pemimpin UMNO biasanya tidak suka menerima ahli baru yang berbakat kerana takut mereka dicabar dan hilang jawatan atau tidak dapat jadi calon pilihanraya. Oleh itu usaha mereka bukanlah memperkuatkan UMNO tetapi memperkuatkan kedudukan mereka. 3. Penerimaan ahli baru dengan ramai termasuk yang berbakat adalah perubahan yang utama yang perlu dilakukan oleh UMNO Selangor. 4. Ahli baru perlu juga ditapis oleh badan yang terdiri dari veteran UMNO termasuk dan Bahagian lain. Tapisan diperlukan kerana ada makhluk perosak yang ingin peralat UMNO untuk agenda peribadi mereka. 5. Yang kedua ialah tumpuan kepada Gen-Y. Pada PRU 14, 2.5 juta pengundi muda akan mengundi. 6. Gen-Y tidak berminat dengan UMNO. Mereka, terutama yang terpelajar di Barat sudah menerap budaya dan nilai-nilai hidup Barat. Bagi ramai dari mereka penghargaan terhadap parti dan pemerintah yang memberi peluang kepada mereka mendapat pelajaran dan berjaya dalam kehidupan mereka tidak ada. 7. Jika disebut akan jasa parti UMNO kepada mereka, mereka menolak peringatan ini sebagai mengungkit. Lagi pun mereka berpendapat parti mana pun yang menjadi Kerajaan akan membuat perkara yang sama. 8. Pandangan cetek ini disebabkan mereka tidak membuat bandingan antara Kerajaan Malaysia pimpinan UMNO dengan Kerajaan-Kerajaan negara-negara lain. Jika bandingan dibuat oleh mereka, sudah tentu mereka akan lihat bahawa negara-negara yang mencapai kemerdekaan bersama kita tidak pun dapat dimajukan, jauh sekali daripada memberi pelajaran, biasiswa dan bantuan lain supaya rakyat mereka dapat menikmati taraf hidup seperti rakyat Malaysia. 9. UMNO Selangor perlu berusaha menarik pemuda Melayu menyertai UMNO dengan mendekatkan diri dengan mereka yang bukan ahli bahkan yang menentang UMNO. Untuk ini kepimpinan UMNO harus tahu sejarah UMNO dengan mendalam. Pemimpin yang mampu menjelas kedudukan orang Melayu dahulu dan sekarang tidak ramai. Mereka juga perlu diberi kursus. 10. Ketiga, kikis imej UMNO sebagai parti rasuah. Cara hidup pemimpin UMNO perlu lebih sederhana. Mereka perlu rapat dengan rakyat dan bukan sahaja dengan ahli UMNO. Jangan sekali-kali guna kereta mewah bila ke kampung. 11. Sesungguhnya banyak lagi perubahan yang perlu dibuat oleh UMNO Selangor. Tetapi jika yang tiga ini dibuat sokongan rakyat akan lebih kuat.Petikan:Blog Chet Det.

ZAM larang pegawai Khairy masuk cafe Zam News Room& Cafe

Kerana mengkritik layanan dan makanan di cafenya, bekas Menteri Penerangan Tan Sri Zainudin Maidin melarang pegawai khas Khairy Jamaludin, Zeifry Ibrahim dari memasuki cafe itu buat selama-lamanya. Melalui blognya, Zainudin yang lebih dikenali dengan nama Zam itu berkata, larangan itu dilakukan agar cafenya tidak lagi tercemar. "Supaya cafe saya tidak lagi tercemar, maka adalah lebih baik bagi saya untuk mengharamkan Pegawai Khas Khairy Jamaluddin ini dari memasuki cafe ini buat selama-lamanya," tulis Zam menerusi blognya Zamkata. Menurut Zainudin, oleh kerana tidak diberikan layanan istimewa, Pegawai Khas Menteri Belia dan Sukan itu memburukan Zam News Room Cafe @ Ayer 8 Presint 8, Putrajaya yang dikunjunginnya pada suatu pagi. Pegawai itu Zeifry menulis di akaun Facebooknya sebelum ini: "Nama sampaoii, makanan hampehhh. Customer tanya – jawapan 'Ini cara masak kita macam ini'." Beliau kemudian meninggalkan cafe Zainudin itu dan mengkritik serta menyiarkan gambar makanan yang tidak habis dimakannya di Facebooknya. Puncanya ialah apabila dia masuk bersama dengan tiga orang teman wanitanya dan duduk di sebuah meja, pembantu cafe memberitahunya makanan dan bayaran perlu dipesan di kaunter kerana ini cafe layan diri, kata Zainudin. "Selepas makanan dihidangkan, dia komplain kerana nasi tomato hanya ada sejenis kuah dan sejenis lauk sahaja dan dia diberitahu 'itulah cara kami, tidak banyak lauk kerana bukan sebuah restoran tetapi hanya cafe,'" tulis Zainudin. Berikutan dengan itu, kata Zainudin, Zeifry mengambil keputusan untuk tidak menghabiskan makanannya, mengambil gambar, meninggalkan cafe dan kemudian mengutuk cafe ini dalam Facebooknya di samping menyiarkan gambar makanan yang tidak dihabiskannya. Menurut tulisan dalam blognya itu, Zam Newsroom Cafe kepunyaan bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu, Zainuddin hanya menyediakan makanan yang ringkas seperti nasi lemak, nasi tomato, sandwich, lasagna, spagheti selain dari minuman. Sejak dibuka pada 1 Januari, 2014, cafe ini dikunjungi oleh berbagai peringkat rakyat, tulis Zainudin. Dari rakyat biasa, ahli sukan, penunggang basikal, pejalan kaki, para seniman, ketua-ketua pengarang akhbar, penulis, blogers dan juga pemimpin politik, pemimpin masyarakat, badan bukan kerajaan (NGO) dan tokoh perniagaan. "Diantara mereka yang paling awal mengunjungi cafe ini ialah bekas Menteri Besar Terengganu Tan Sri Wan Mokhtar, Menteri Pelajaran II Datuk Seri Idris Jusoh, Datuk Raja Arif Raja Ali, Ketua Biro Tata Negara, Datuk Seri Alli Kawi, bekas Ketua Cawangan Khas Sarawak, Datuk Che Mat Che Ali, Pengerui Pusat Pungutan Zakat," tulsinya. "Pada keseluruhannya mereka tidak pernah membuat teguran yang bersifat menghina, marah atau kecaman sebaliknya memberi beberapa syor tertentu kepada pembantu cafe ini Zamani. "Setelah menimbang dari semua aspek, maka saya rasa tidak sewajarnya saya mengambil tindakan undang-undang terhadap Pegawai Khas Khairy Jamaluddin ini sebaliknya; lebih baik untuk dikemukakan sebagai suatu contoh seorang Pegawai Menteri yang tidak memahami inspirasi Perdana Meneri dan Timbalan Perdana Menteri supaya pendokong kerajaan berubah sikap untuk menawan hati rakyat. "Inlah contoh pegawai yang mencemarkan nama menteri dan kerajaan," katanya.Sumber: Themalaysianinsider.

Malaysia Belanda berkerjasama bawa mereka bertanggungjawab nahas MH17 ke muka pengadilan

Malaysia dan Belanda berjanji untuk terus sama-sama bekerja rapat bagi membawa mereka yang bertanggungjawab dalam nahas Penerbangan MH17 ke muka pengadilan. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ia adalah komitmen yang dipersetujui kedua-dua kerajaan dan kini adalah masa untuk memastikan ia tercapai. "Kita boleh bergantung kepada Mark Rutte atas persahabatan dan kerjasama beliau. Kita menanti-nanti untuk bekerja bersama-sama dan mencari apa sebenarnya yang terjadi kepada pesawat itu tanpa sebarang keraguan, dan apa yang lebih penting siapa bertanggungjawab atas kejadian tersebut," katanya dalam ucapan pada sesi khas dengan pasukan penyiasat Malaysia yang terlibat dengan operasi MH17 di sini hari ini. Turut hadir Perdana Menteri Belanda Mark Rutte. Najib juga mengucapkan terima kasih kepada Rutte dan kerajaan Belanda atas sokongan dan peranan pemimpin mereka dalam memastikan mangsa nahas MH17 itu dibawa balik kepada keluarga mereka. Perdana Menteri menyatakan bahawa ada hikmahnya di sebalik tragedi itu di mana negara-negara yang terjejas menjadi lebih rapat. Pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai semasa dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur dengan membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal. Pesawat Boeing 777-200 itu dipercayai ditembak jatuh di zon yang sedang bergolak. Pesawat itu turut membawa 193 warga Belanda dan 44 rakyat Malaysia di kalangan penumpang. Semua mayat rakyat Malaysia yang menjadi mangsa telah dikenal pasti. Sementara itu, Rutte berkata kedua-dua negara dan Australia telah 'bekerjasama begitu baik' dan berharap kerjasama itu akan berterusan untuk bulan-bulan atau tahun akan datang untuk mencari punca kejadian itu. Beliau menegaskan bahawa terdapat sembilan mangsa yang masih belum dikenal pasti. "Kami ingin mendapatkan bilangan itu menjadi 298. Kami berharap kami boleh mendapatkannya dan kami akan melakukan yang terbaik," katanya. Rutte juga menyatakan semua orang yang terjejas dengan nahas MH17 tidak akan lupa apa yang telah berlaku, namun berharap mereka akan terus mewujudkan hubungan yang lebih kukuh bersama-sama. "Saya melihat ramai orang di sini yang telah membantu dalam minggu pertama dan selepas itu untuk melakukan apa yang diperlukan untuk membawa balik sisa-sisa dan barangan peribadi, untuk bermula dengan mencari siapa di belakang (kejadian) ini dan membawa mereka ke muka pengadilan," kata beliau dalam ucapannya. Turut hadir Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dan ketua pengarah Jabatan Penerbangan Awam Datuk Azharuddin Abdul Rahman dan pegawai-pegawai lain.

Program Rakan Muda dirombak semula- Khairy

Kementerian Belia dan Sukan akan merombak semula Program Rakan Muda bagi melahirkan potensi tertinggi generasi muda yang serba boleh supaya berupaya mendukung matlamat pembangunan sukan negara. Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata program Rakan Muda antara program kementerian yang begitu popular satu ketika dahulu, perlu diberi nafas baharu, bagi mengisi jiwa belia dengan nilai-nilai pembangunan minda, kemahiran, rohani, kemasyarakatan dan kecergasan fizikal. "Kita akan melihat banyak program kepimpinan seperti Rakan Muda, Program Latihan Khidmat Negara perlu ditambah baik supaya menjadi relevan dengan belia dan remaja hari ini," katanya kepada soalan tambahan Datuk Dr Marcus Mojigoh (BN-Putatan) pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Rabu. Marcus ingin tahu sama ada kementerian akan membuat perancangan untuk melaksanakan program Fit Rohani dan Fit Jasmani secara menyeluruh bagi melahirkan generasi muda mencintai negara secara inklusif. Justeru, Khairy berkata program transformasi belia merupakan antara agenda utama yang diutarakan dalam Mesyuarat Majlis Sosial Negara semalam bagi memastikan masyarakat Malaysia tidak hanya 'fit' kepada fizikal tetapi turut bersiap siaga dari segi mental, rohani dan jasmani. Kepada soalan asal Dr Ong Kian Ming (DAP-Serdang), Khairy menjemput semua anggota Parlimen tanpa mengira latar belakang politik untuk menyertai serta menggerakkan program Fit Malaysia (Malaysia Cergas) di kawasan masing-masing bagi menjayakan visi beliau untuk menjadikan warga Malaysia cergas bersukan. Kepada soalan tambahan Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling), Khairy berkata program Fit Malaysia akan diperluas ke kawasan luar bandar sebagai usaha mencari bakat baharu kalangan golongan muda dalam bidang sukan. "Bukan sekadar anak-anak luar bandar adalah obese, tetapi kita juga perlu memberi ruang dan peluang untuk mencari bakat sukan yang bakal mewakili negara di peringkat tertinggi antarabangsa," katanya. Pada masa sama, isu saiz badan turut mendapat perhatian pada persidangan Dewan Rakyat, apabila Abdul Azeez turut bersetuju cadangan anggota Parlimen Serdang itu untuk menyediakan kemudahan bersenam bagi anggota Parlimen. "Yang Dipertua, sebelum saya menjadi anggota Parlimen, saya lebih kurang saiz badan macam Menteri Belia dan Sukan. Selepas jadi anggota Parlimen, duduk di sini tanpa senaman, perut dah membesar dan semua dah besar. Saya harap menteri fikir kaedah sesuai untuk menempatkan kemudahan gym di sini," katanya. Sebelum Khairy menjawab, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia mencelah, sambil memberitahu Abdul Azeez: "Sebelum saya jadi Speaker, saya tidak ada darah tinggi. Jadi, ini perlu diambil kira dalam kesihatan," sambil mendapat tepukan dan sorakan anggota Parlimen yang lain. Khairy pula yang mendedahkan bahawa anggota Parlimen Baling, yang dikenali sejak 15 tahun dahulu, tidak pernah memiliki badan seperti beliau, berkata kemudahan gym merupakan antara yang akan dimasukkan dalam rancangan penambahbaikan Bangunan Parlimen pada masa akan datang.BERNAMA