Khamis, 1 Mei 2014

KLIA2 cipta sejarah, selamat indah dan tercanggih sebagai terminal tambang murah...

Terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), terminal tambang murah terbesar dunia, memulakan operasi secara rasmi dengan ketibaan pesawat Malindo Air OD1027 dari Kota Kinabalu, Sabah, pada 12.05 tengah malam ini. Pesawat pertama dijadual berlepas daripada lapangan terbang tersebut adalah pesawat Cebu Pacific Airways 5J502 ke Manila, Filipina, pada kira-kira 3.15 pagi ini. Sebanyak 110 penumpang tiba dengan penerbangan Malindo Air manakala 147 penumpang akan berlepas dengan penerbangan Cebu Pacific Airways.
Terminal klia2, yang mempunyai kapasiti mengendalikan 45 juta penumpang setahun, akan menggantikan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT). Peristiwa yang membuka lembaran baharu dalam sejarah pengangkutan udara negara itu turut disaksikan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi dan Pengerusi Malaysia Airports Holding Bhd (MAHB), Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah. Turut hadir Pengarah Urusan MAHB, Tan Sri Bashir Ahmad dan Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharudin Abdul Rahman. Abdul Aziz turut menyambut ketibaan dan pelepasan penumpang serta mengagihkan beg cenderahati kepada setiap penumpang. Terdahulu, pada pukul 10.20 malam, proses pendaftaran masuk penumpang bermula dengan lancar tanpa sebarang masalah. Penumpang pertama yang mendaftar masuk pada hari pertama operasi klia2 ialah seorang pembantu rumah warga Filipina, Gemma Camarinta, 39, yang mahu pulang ke kampungnya di Bohol, Filipina. Katanya beliau teruja untuk menjadi sebahagian daripada detik bersejarah itu. Gemma, yang sering menggunakan LCCT untuk balik ke kampungnya, berkata klia2 lebih selesa dan mudah untuk sampai dengan menggunakan perkhidmatan Express Rail Link (ERL) terus ke terminal. Seorang lagi penumpang, Ace Perez, 30 berkata klia2 adalah jauh lebih baik dari segi ruang, keselesaan dan bersih berbanding terminal LCCT. "Saya suka laluan ke klia2 kerana lebih senang sampai daripada lebuh raya. Saya gembira dengan bangunan baharu ini kerana di LCCT, saya terpaksa berjalan jauh untuk menaiki pesawat," katanya. Sementara itu, dalam sidang media selepas ketibaan pesawat pertama itu, Abdul Aziz berkata pembukaan terminal itu berjalan lancar seperti dirancang. "Kami telah membuktikan semua berjalan mengikut jadual seperti diumumkan sebelum ini. Kami bangga terminal ini menjadi ikon terbaru negara," katanya. Beliau berkata kos pembinaan klia2 dalam lingkungan RM4 bilion seperti diperuntukkan sebelum ini dan sejumlah 22 juta penumpang dijangka menggunakan terminal ini pada tahun ini. Abdul Aziz berkata kerajaan optimis lebih banyak syarikat penerbangan akan menubuhkan operasi masing-masing di sini pada masa depan. Sementara itu, MAHB dalam kenyataan berkata syarikat penerbangan yang memulakan operasi dari klia2 hari ini ialah Malindo Air, Cebu Pacific Airways, Lion Air dan TigerAir manakala AirAsia akan berpindah ke sini sebelum 9 Mei ini. Menurutnya, pada peringkat permulaan operasi, sejumlah 7,000 penumpang akan menggunakan klia2 setiap hari dan akan mencecah 50,000 penumpang selepas 9 Mei ini. MAHB berkata LCCT akan menghentikan operasi selepas 9 Mei dan bagi keselesaan penumpang, perkhidmatan bas ulang-alik antara klia2 dan LCCT akan disediakan secara percuma mulai 1 hingga 15 Mei ini dengan kekerapan perjalanan setiap 15 hingga 20 minit. Kaunter imigresen, keselamatan dan kastam di LCCT akan meneruskan perkhidmatan masing-masing sehingga 9 Mei ini dan penumpang dinasihatkan supaya menghubungi syarikat penerbangan masing-masing bagi mengesahkan butiran penerbangan bagi mengelak sebarang kesulitan.

Kenyataan Pemangku Menteri Pengangkutan mengenai kehilangan MH370

Berikut kenyataan Menteri Pertahanan dan Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein tentang kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 di sini hari ini. 1. Pengeluaran maklumat berkaitan MH370 "Minggu lepas, Perdana Menteri telah melantik satu pasukan dalaman terdiri daripada pakar untuk meneliti semua maklumat yang diperolehi Kerajaan Malaysia berkaitan MH370, bertujuan untuk mengeluarkan sebanyak maklumat yang mungkin kepada orang awam. Perdana Menteri telah menetapkan, sebagai prinsip garis panduan, peraturannya bahawa selagi pengeluaran sebarang maklumat tertentu tidak menjejaskan penyiasatan atau operasi pencarian, demi kepentingan keterbukaan dan ketelusan, maklumat patut diumumkan. Pasukan dalaman telah merumuskan penelitiannya. Hasilnya, berikut dikeluarkan maklumat berkaitan MH370: a. Rakaman audio perbualan antara kokpit MH370 dengan kawalan trafik udara Kuala Lumpur b. Laporan awal berkaitan MH370, bertarikh 9 April. c. Dokumen tambahan, yang memberikan maklumat lanjut berhubung tindakan-tindakan yang telah diambil antara jam 01:38 dan 06:14 pada Sabtu 8 Mac. d. Peta menunjukkan laluan penerbangan MH370. e. Senarai kargo MH370. f. Pelan tempat duduk MH370. 2. Pengesanan pihak tentera berkaitan MH370 Seperti dinyatakan sebelum ini, radar tentera Malaysia ada mengesan sebuah pesawat yang berpatah balik, dari arah barat, merentasi Semenanjung Malaysia pada pagi 8 Mac. Pesawat itu dikategorikan sebagai tidak membahayakan oleh operator radar dan dengan itu tiada tindakan diambil pada ketika itu. Rakaman data radar itu disemak semula pada kira-kira jam 08:30 8 Mac. Maklumat itu telah dihantar ke bilik operasi Tentera Udara pada kira-kira jam 09:00. Susulan perbincangan lanjut setelah dirujuk kepada pegawai tertinggi, pihak tentera memaklumkannya kepada Pemangku Menteri Pengangkutan dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada kira-kira jam 10:30 tentang kemungkinan pesawat itu berpatah balik. Menteri kemudian memaklumkannya kepada Perdana Menteri, yang segera mengarahkan supaya operasi mencari dan menyelamat dijalankan di Selat Melaka, berserta operasi di Laut China Selatan yang bermula lebih awal pada hari sama. Pada masa sama, KD Mahameru, kapal pemusnah periuk api dan KD Laksamana Muhamad Amin, Kapal Corvette Tentera Laut Diraja Malaysia sudahpun berada di Selat Melaka bagi menjalankan tugas rondaan. Kedua-dua kapal segera ditugaskan untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat. Sebuah pesawat tentera kemudian dihantar untuk menyertai kedua-dua kapal di Selat Melaka pada jam 10:54 untuk mencari MH370.BERNAMA

Kuala Lumpur anjur dialog pakar berkaitan penerbangan

Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) akan menganjurkan dialog pakar berkaitan pemantauan masa nyata data penerbangan dari 26 hingga 27 Mei di sini. ITU dalam siaran akhbar yang disiarkan menerusi laman sesawangnya, www.itu.int berkata dialog itu diadakan berikutan gesaan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek semasa Persidangan Pembangunan Telekomunikasi Dunia di Dubai bulan lepas. Pada persidangan itu, Ahmad Shabery menggesa ITU membangunkan sistem tercanggih untuk mempermudahkan penghantaran data penerbangan dalam masa nyata terutama dalam kes seperti insiden kehilangan pesawat MH370 Malaysia Airlines (MAS). Menurut siaran akhbar itu, faktor yang mendorong acara itu dianjurkan adalah penyiasatan yang rumit terhadap kehilangan Penerbangan MH370 yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 8 Mac. "Kesukaran yang dihadapi dalam operasi mencari MH370 telah menunjukkan tentang perlunya untuk menambah baik kaedah identifikasi dan pengesanan pesawat komersial semasa dalam penerbangan," menurut siaran akhbar itu. Siaran akhbar itu juga memetik Ahmad Shabery sebagai berkata Malaysia ingin memberi sumbangan kepada usaha antarabangsa untuk mencari jalan bagi mengesan pesawat komersial dalam masa nyata. "Kami yakin bahawa ia akhirnya akan menghasilkan keputusan positif. Kami masih meneruskan usaha menjejaki MH370 lebih tujuh minggu selepas kehilangan pesawat. "Ini mungkin tidak membantu kami untuk mencari pesawat atau kotak hitam. Tetapi kami berharap dengan langkah ini, tiada lagi negara, rakyat atau keluarga akan melalui apa yang kami tanggung," kata Ahmad Shabery. Setiausaha Agung ITU, Hamadoun I Toure berkata ketika operasi pelbagai negara untuk mencari pesawat diteruskan, langkah segera perlu diambil di peringkat antarabangsa untuk meningkatkan keberkesanan pemantauan pesawat. "Ingatan dan doa kami sentiasa bersama anggota keluarga penumpang yang bersedih ekoran kehilangan penerbangan MH370. Acara ini (dialog) akan berfungsi bagi mempercepatkan usaha sekarang untuk mencapai kesepakatan berhubung pelaksanaan sistem pemantauan masa nyata bagi industri penerbangan," kata Toure. Penerbangan MH370 membawa 239 orang berlepas dari KLIA pada 12.41 tengah malam 8 Mac dan hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam kemudian semasa berada di ruang udara Laut China Selatan. Pesawat itu sepatutnya tiba di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama. Operasi mencari yang disertai pelbagai negara dikerah untuk menjejaki pesawat Boeing 777-200ER itu, mula-mula di Laut China Selatan dan kemudian di selatan Lautan Hindi, apabila disahkan MH370 telah melencong daripada laluan asal penerbangan. Siaran akhbar itu menyebut ICT memainkan peranan penting untuk menjamin keselamatan dan keberkesanan operasi berpuluh-puluh ribu penerbangan setiap hari. "Sistem teknologi moden boleh membantu dalam pemantauan lokasi pesawat dan dengan itu menambah baik keberkesanan operasi penyelamat yang dilancarkan oleh pihak berkuasa dalam situasi kecemasan," jelas siaran akhbar itu. Mesyuarat pertama pakar dijangka merangka jadual yang akan menggariskan hala tuju dalam konteks penyelarasan dengan pelbagai pihak berkepentingan untuk mencari jalan keluar dengan memanfaatkan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) bagi pemantauan masa nyata data penerbangan. Siaran akhbar itu menyebut perbincangan yang sedang dijalankan di pelbagai peringkat dan platform, sedang mengkaji kemungkinan menyeragamkan data penerbangan dari pesawat ke daratan dalam masa nyata. Perkara yang disentuh semasa perbincangan termasuk liputan geografi sistem pemantauan yang dicadangkan, jenis data yang hendak dihantar ke stesen bumi dan kadar transmisi yang perlu, keselamatan data, pemilikan data penerbangan, dan kos dan perubahan pada model yang diperlukan bagi melaksanakan sistem seperti itu secara global. Mesyuarat itu bersifat undangan dan pihak yang diundang termasuk wakil dari syarikat penerbangan, pertubuhan antarabangsa, syarikat satelit dan avionik serta kerajaan. -- BERNAMA

Sistem Cukai Barangan dan Perkhidmatan CBP mampu jamin masa depan negara

Sistem Cukai Barangan dan Perkhidmatan (CBP) yang akan dilaksanakan mulai April tahun depan mampu menjamin masa depan negara dengan hasil yang lebih mantap, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Katanya walaupun ada pihak bercadang untuk membuat bantahan di Kuala Lumpur terhadap CBP tetapi hakikatnya apabila sistem cukai itu diperkenalkan, masa depan negara terjamin. " Kalau kita fikir secara rasional.. Kita faham setiap dasar kerajaan bertujuan untuk kebaikan rakyat. Jangan tengok sehari dua. Hari ini tanam benih, esok nak buah," katanya ketika merasmikan Hari Pekerja Penjawat Awam Tahun 2014 di Dewan Wawasan di sini Khamis. Najib meminta rakyat memahami nawaitu kerajaan dalam melakukan perubahan dan transformasi kerana kerajaan mempunyai rasional yang kukuh. " Ini pengertian yang harus disedari..tak boleh hentikan perubahan.. Kena diteruskan..kalau tak berubah maka kita akan berdepan himpitan ekonomi dan membawa kesusahan dan derita pada rakyat. Kerajaan mahu lakukan perubahan dan transformasi walaupun dipandang sebagai sesuatu yang tak patut dan tak perlu dilakukan," katanya. Majlis itu turut dihadiri Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sr Mohamad Zabidi Zainal dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Azih Muda. Tema tahun ini "Penjawat Awam Tiang Seri Negara". Najib berkata kerajaan yang ada tidak menjanjikan sesuatu perkara yang tidak mungkin dapat ditunaikan dan bukan hanya untuk meraih sokongan atau populariti, tanpa memikirkan kemudaratan. "Bila nak buat sesuatu kita timbang dengan teliti dan gunakan pertimbangan adil. Kalaulah Presiden Cuepacs hendak elaun diperbaiki, gaji ditambah maknanya kita perlu kepada hasil bertambah.. Dari mana nak mencari dananya kalau tak ada hasil kalau nak biaya pertimbangan ini?," katanya. Katanya berdasarkan pertimbangan kerajaan, ia telah membawa kejayaan kepada negara walaupun dunia kini berhadapan krisis ekonomi. Najib berkata peningkatan ekonomi Malaysia adalah sederhana tinggi iaitu 4.7 peratus pada 2013 dan tahun ini mungkin lebih tinggi sedikit berbanding tahun lepas. -- BERNAMA