Isnin, 13 Oktober 2014

SPRM bantu Kastam perbaiki proseder kerja elak rasuah

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah berbincang dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk membantu memperbaiki sistem dan prosedur kerja jabatan itu bagi membasmi gejala rasuah dalam kalangan kakitangan dan pegawainya. Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Mustafar Ali berkata susulan tangkapan yang dibuat berhubung kes membabitkan anggota dan pegawai kastam, pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri Khazali Ahmad mengenai isu itu. Perbincangan itu juga memperincikan mengenai prosedur kerja jabatan itu yang berkemungkinan memberi peluang terbuka kepada kakitangan dan pegawai kastam untuk terlibat dengan rasuah. "Di SPRM kita mempunyai bahagian perundingan dan pencegahan, jadi soal pencegahan amat penting untuk mengenal pasti dan memperbaiki sistem dan prosedur JKDM yang terbuka kepada rasuah. Sebab itu kita memberikan fokus dan berbincang dengan JKDM dan usaha sama itu disambut baik oleh Ketua Pengarahnya," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas majlis menandatangani Ikrar Integriti Korporat (CIP) di antara Pejabat Setiausaha Kerajaan negeri Terengganu dan SPRM di Wisma Darul Iman di sini hari ini. Turut hadir Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman, Setiausaha Kerajaan negeri Datuk Mazlan Ngah dan Pengarah SPRM negeri Zainal Adam. Baru-baru ini SPRM bertindak tegas menahan ramai pegawai Kastam termasuk pengarah negeri berpangkat "Datuk" yang dihadapkan ke mahkamah kerana disyaki terbabit dengan rasuah. Terdahulu dalam ucapannya Mustafar berkata SPRM telah melakukan pelbagai transformasi sama ada operasi, pembangunan modal insan dan juga pencegahan bagi menghapuskan rasuah dan memperkasakan integriti dalam setiap urusan. Beliau turut memuji langkah kerajaan negeri Terengganu yang dilihat begitu serius menangani aspek integriti di kalangan pegawai tertinggi kerajaan demi kesejahteraan hidup rakyat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan