Ahad, 15 Jun 2014

Lagi kilang mee sanggul salah guna logo halal diserbu

Sebuah kilang mee sanggul di Kampung Sama Gagah, di sini didapati menggunakan logo halal tidak diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Pegawai Penguatkuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Md Nasir Mohamad berkata perkara itu terdedah selepas kilang itu diserbu pihaknya pada 5 petang semalam hasil maklumat awam dan risikan. "Sebanyak 1,800 bungkus mi sanggul menggunakan logo halal tidak diiktiraf dirampas. Kita turut menyita 400 bungkus mee teow dan 352 bungkus mee suah mengunakan logo halal tidak diiktiraf serta 780 unit kotak kosong tertera logo halal tidak diiktiraf. Nilai rampasan semalam adalah sebanyak RM4,184. "Berdasarkan siasatan kita, kilang berkenaan yang beroperasi sejak 15 tahun lepas pernah diserbu pada 2010 atas kesalahan sama dan pemiliknya menyalahi Akta Perihal Dagangan (Pengakuan dan Penandaan Halal) 2011," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. Katanya, pihaknya telah merekodkan keterangan pemilik kilang berkenaan dan menjalankan siasatan menurut Seksyen Akta Perihal Dagangan 2011 kerana menyalahgunakan logo halal dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun. Sementara itu, pemilik kilang yang enggan namanya disiarkan berkata beliau akan memohon sijil halal daripada Jakim secepat mungkin. Wanita itu mendakwa pernah ditipu dalam usaha mendapatkan sijil halal Jakim dan kerugian lebih RM3,000. Menurutnya hampir 95 peratus pekerja di kilangnya terdiri daripada wanita Islam.

230 syor dikemukakan dalam laporan Ketua Audit Negara siri 2

Sebanyak 230 syor dikemukakan dalam Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2013 Siri 2 bagi membantu Kerajaan Persekutuan, Badan Berkanun Persekutuan dan Kerajaan-kerajaan negeri membuat penambahbaikan dan memperbaiki kelemahan yang dilaporkan. Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang berkata daripada jumlah itu, Jabatan Audit Negara mengemukakan 55 syor kepada Kerajaan Persekutuan, 31 syor kepada Badan Berkanun Persekutuan dan 144 syor kepada Kerajaan-kerajaan negeri. "Kelemahan yang dilaporkan kebanyakannya bersabit dengan kecekapan dan akuran penjawat awam kepada peraturan kewangan kerajaan," katanya dalam kenyataan di sini Isnin. Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2013 Siri 2 dibentangkan di Parlimen hari ini selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah. Beliau berkata dalam Laporan Siri 2 itu, sebanyak 57 pengauditan prestasi dan 18 pengauditan pengurusan syarikat kerajaan telah dilaksanakan di peringkat persekutuan, negeri dan Badan Berkanun Persekutuan. "Pengauditan yang dilaksanakan merangkumi bidang pembinaan, penyenggaraan, penguatkuasaan undang-undang, perolehan, pengurusan aset, program peningkatan sosioekonomi, infrastruktur dan pengurusan syarikat," katanya. Ambrin berkata Kementerian Kewangan telah mengeluarkan Laporan Maklum Balas ke atas Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2013 Siri 2 yang memberikan ulasan serta tindakan terkini daripada Ketua Perkhidmatan terhadap isu-isu yang dilaporkan oleh Ketua Audit Negara dalam Laporan Ketua Audit Negara. Setiap tahun, Jabatan Audit Negara menjalankan pengauditan prestasi yang bertujuan menilai sejauh mana pelbagai aktiviti dan projek kerajaan telah dirancang, dilaksanakan dan dipantau dengan cekap dan berkesan serta sejauh mana objektif asal program/aktiviti dan projek itu telah tercapai. Ia juga bertujuan untuk menilai sejauh mana wang awam telah dibelanjakan dengan berhemat tanpa berlakunya pemborosan dan pembaziran serta mendapat nilai faedah terbaik bagi perbelanjaan yang telah dibuat. Bagi pengauditan syarikat kerajaan pula, Jabatan Audit Negara membuat penilaian terhadap aspek analisis penyata kewangan, pengurusan aktiviti syarikat dan tadbir urus korporat. Kandungan dan sinopsis laporan siri 2 itu boleh dilayari dalam laman web Jabatan Audit Negara di http://www/audit.gov.my mulai hari ini dan sebarang pertanyaan atau pandangan mengenai laporan itu boleh dialamatkan kepada Warkah Untuk Ketua Audit Negara. Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2013 Siri 1 telah dibentangkan di Parlimen pada 7 April lepas.

Ops penyewengan diesel mula membuahkan hasil

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek menegaskan Ops Titik bagi menangani penyelewengan diesel mula membuahkan hasil dengan 151 kes dicatat membabitkan sitaan bernilai RM8.05 juta sejak dilancar pada 15 Mei lalu. Katanya operasi bersepadu itu menyasarkan semua pihak, bukan setakat individu tertentu tetapi juga syarikat dan kawasan 'hot spot' yang dikenal pasti menerusi risikan. Semalam sahaja, dua kes dilapor di Selangor dengan nilai sitaan RM116,006 manakala pada Jumaat lapan kes iaitu empat di Kelantan, dua di Negeri Sembilan dan satu kes masing-masing di Sabah dan Sarawak dengan nilai sitaan RM186,560, katanya kepada pemberita di sini Ahad. Menurut Hasan sepanjang Ops Titik, Johor dan Putrajaya mencatatkan kes tertinggi iaitu enam kes, namun dari segi nilai sitaan Johor tertinggi dengan RM2.166 juta manakala Putrajaya RM1.592 juta. Selain itu beliau berkata kementeriannya juga mengambil beberapa langkah lain bagi mengekang penyelewengan diesel bersubsidi termasuk yang terkini membatalkan lesen 'bunkering' iaitu penyaluran minyak ke kapal serta lesen borong petrol dan diesel terhadap 26 jeti persendirian. "Bukan itu sahaja, kita sedang menambah baik peruntukan undang-undang sedia ada. Akta Kawalan Bekalan 1961 sedang dipinda dengan peruntukan penalti yang lebih berat," katanya. Beliau turut meminta orang ramai agar memainkan peranan membantu pihak berkuasa menangani isu itu dengan menyalurkan maklumat menerusi talian bebas tol1-800-886-800. Terdahulu Hasan merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Pesara Pegawai Pekhidmatan Pendidikan Malaysia cawangan Negeri Sembilan.

MH730- Malaysia komited untuk terus usaha mencari

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengulangi komitmen Malaysia untuk meneruskan usaha mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 yang hilang. "Pada hari ke-100 ini sejak MH370 hilang, mengingati mereka yang berada di dalam pesawat itu dan anggota keluarga mereka. Malaysia kekal komited dengan usaha mencari," kata Najib dalam akaun Twitter beliau hari ini. Penerbangan MH370 ke Beijing dengan 239 orang bersama 12 anak kapal hilang daripada imbasan radar ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam 8 Mac. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada h6.30 pagi hari yang sama. Gerakan mencari melibatkan pelbagai negara dilancarkan untuk mengesan pesawat Boeing 777-200ER itu, mula-mula di Laut China Selatan dan kemudian di selatan Lautan Hindi apabila ia dikatakan melencong daripada laluan asalnya. Selepas analisis terhadap data satelit menunjukkan kedudukan terakhir pesawat itu adalah di Lautan Hindi, di barat Perth, Australia, Najib mengumumkan pada 24 Mac bahawa Penerbangan MH370 dipercayai "berakhir di selatan Lautan Hindi". Sejak pesawat itu hilang, pasukan operasi mencari menjejaki setiap kemungkinan petunjuk yang ada, daripada setiap kenyataan yang disebarkan melalui internet kepada isyarat di dasar laut, tetapi masih gagal mengesan pesawat MH370. Setakat ini, Malaysia membelanjakan RM27.6 juta untuk usaha mencari pesawat yang hilang itu. Sementara itu, ketua pegawai eksekutif Malaysia Airlines Ahmad Jauhari Yahya dalam satu kenyataan hari ini berkata syarikat penerbangan itu akan terus menyokong operasi mencari dan waris penumpang pesawat terbabit. Beliau berkata tempoh 100 hari yang dilalui merupakan tempoh paling panjang dan menyakitkan dalam sejarah MAS sejak kehilangan pesawat itu. "Kami merasai kesedihan anggota keluarga dan seperti juga mereka, MAS terus berharap dan mencari jawapan yang akan merapatkan kita bagi mencari apa yang telah berlaku kepada Penerbangan MH370," katanya. Ahmad Jauhari berkata ingatan dan doa MAS kekal bersam anggota keluarga 239 orang yang menaiki pesawat itu. "Anggota keluarga terbabit sentiasa dalam ingatan kita sepanjang 100 hari ini dan akan terus seperti ini untuk tempoh yang akan datang. "Kami merasai penderitaan keluarga berkenaan, kami rindu rakan dan teman kami dalam Penerbangan MH370," katanya. Ahmad Jauhari berkata MAS berterima kasih kepada agensi dan kerajaan Malaysia, Australia dan China dan banyak lagi negara lain yang tampil membantu usaha mencari pesawat MAS Penerbangan MH370. Walaupun usaha dan sumber yang terbaik diberikan sepanjang 100 hari ini, usaha pencarian paling besar dalam sejarah ini masih belum menemui sebarang jawapan, katanya. - Bernama

Hudud-UMNO Kelantan bersedia untuk sertai Jawatankuasa teknikal

Umno Kelantan bersedia untuk sama-sama menyertai jawatankuasa teknikal peringkat kebangsaan bagi membincangkan pelaksanaan hukum hudud di negeri itu. Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, bagaimanapun pihaknya menyerahkan kepada jawatankuasa teknikal itu untuk menentukan siapa yang akan menjadi wakil dari Kelantan. "Kita bersifat terbuka dalam hal ini dan menyerahkan segala keputusan kepada pihak pusat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Tautan Kasih-Kami Prihatin anjuran Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini, hari ini. Kerajaan pusat menubuhkan jawatankuasa itu setelah Pas mahu membentangkan Rang Undang-undang Persendirian (Hukum Hudud) di Parlimen bagi mendapatkan kebenaran melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993. Terdahulu pada majlis itu, Mustapa menyampaikan bantuan kewangan dan sumbangan peralatan perubatan Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia (TKPM) berjumlah RM70,523.68 kepada 13 pesakit terpilih dan royalti Hospimart berjumlah RM111,479 kepada HRPZII. Projek Hospimart, kedai runcit yang diusahakan Persatuan Pegawai Kerja Sosial Perubatan Malaysia itu telah mengembalikan royalti sebanyak RM250,054 kepada 3,326 pesakit bagi tiga tahun terakhir dari 2011 hingga 2013. - Bernama

UMNO Pulau Pinang pertikai tindakan keling Rayer

Umno Pulau Pinang mempertikaikan mengapa Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Delima, R.S.N Rayer perlu mengambil masa lebih lama sehingga persidangan DUN yang berikutnya untuk memohon maaf sedangkan boleh berbuat demikian lebih awal. Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Zainal Abidin Osman berkata jika Rayer jujur dan ikhlas serta kesal dengan kebiadabannya mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Umno dalam persidangan DUN lepas, beliau boleh memohon maaf sekarang. "Mengapa Rayer perlu menunggu sehingga enam bulan (sesi sidang DUN yang akan datang) untuk memohon maaf? Sekiranya beliau seorang yang jujur dan ikhlas, permohonan maaf itu boleh dibuat pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja. "Saya juga hendak tegaskan Umno Pulau Pinang tidak pernah memaafkan Rayer seperti dilaporkan sebuah akhbar baru-baru ini, cuma kita bersedia memaafkan Adun itu sekiranya beliau benar-benar jujur dan ikhlas serta kesal atas kebiadabannya," katanya. Beliau bercakap kepada pemberita selepas Mesyuarat Badan Perhubungan Umno negeri di Wisma Transformasi Umno Permatang Pauh, di sini hari ini. Zainal Abidin mengulas kenyataan Rayer seperti disiarkan sebuah portal berita yang memetik beliau sebagai berkata: "Jika ada pihak yang mendesaknya mahu menarik balik ungkapan itu, maka harus dibuat dalam sidang DUN yang akan datang". Rayer daripada DAP sebelum ini mencetuskan kemarahan anggota Umno dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu selepas berulang kali mencela Umno sebagai celaka dalam sidang DUN. Tindakan biadabnya itu mengundang kemarahan sekumpulan pemuda yang bertindak merempuh masuk ke dalam bangunan DUN Pulau Pinang bagi meminta penjelasan wakil rakyat berkenaan. Zainal Abidin berkata pihaknya menunggu siasatan polis dan Peguam Negara terhadap kenyataan yang dibuat Rayer dalam persidangan DUN itu sebelum mengambil sebarang tindakan mahkamah. Beliau berkata bagaimanapun Umno Pulau Pinang tetap mahu Rayer memohon maaf kepada Umno atas kebiadapannya itu.

120,000 hektar tanah terbiar potensi dibangunkan untuk projek pertanian

Kementerian Pertanian Industri dan Asas Tani mengenal pasti sejumlah 120,000 hektar tanah terbiar di seluruh negara yang berpotensi untuk dibangunkan dengan projek pertanian. Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sebahagian besar daripada tanah itu dimiliki orang perseorangan dengan kebanyakan pemiliknya telah pun meninggal dunia dan ia terbiar sejak berpuluh tahun yang lepas. "Kementerian dengan kerjasama Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKK), Pejabat Tanah, Pejabat Daerah dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PKK) kini sedang giat mengesan pemilik dan pewaris yang terlibat dan ada juga yang telah berjaya dihubungi. "Kesemua tanah ini kemudian akan diserahkan kepada kepada PPK atau pihak swasta untuk dimajukan secara berperingkat," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Tahunan ke-37 PPK Bera di Kerayong pada Ahad. Sementara itu, beliau berharap PPK dapat memain peranan menjadi mata dan lidah kerajaan untuk menyampaikan maklumat tentang usaha kerajaan memperkasakan bidang pertanian termasuk pemberian kemudahan pinjaman kepada golongan petani di negara ini. Ini kerana, katanya banyak kemudahan dan insentif yang disediakan kerajaan tidak sampai kepada golongan berkenaan kerana mereka tidak mengetahui tentang perkara itu. Dalam majlis berasingan selepas itu, Ismail Sabri yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Bera berkata sebanyak RM25 juta akan diperuntukkan bagi melaksanakan Pelan Pembangunan Pertanian (PPP) Parlimen Bera dalam tempoh lima tahun bermula tahun ini. Katanya, ia merangkumi projek tanaman sayur, herba, ternakan ikan sangkar serta lembu dan kementerian telah mengenal pasti petani aktif di kawasan itu yang akan dilibatkan dalam projek berkenaan. "Sebagai permulaan, 200 ekor lembu sudah diagihkan kepada penternak di sini sebagai modal awal untuk mereka meneruskan kegiatan penternakan bagi mencapai matlamat PPP Parlimen Bera. "Selain penternakan lembu, kita juga menggalakkan kegiatan penternakan ikan sangkar moden untuk meningkatkan lagi pengeluaran ikan sangkar yang kini mendapat permintaan yang semakin tinggi," katanya. Ismail Sabri berkata pada masa kini terdapat 57 penternak ikan sangkar di sepanjang Sungai Pahang dan jumlah itu dilaporkan meningkat dari semasa ke semasa.