Isnin, 12 Mei 2014

Krisis Terengganu- Kemungkinan PRK Negeri akan diadakan

Perkembangan terkini krisis politik di Terengganu ekoran tindakan Datuk Seri Ahmad Said dan Ghazali Taib meninggalkan UMNO dan menjadi wakil rakyat Bebas bakal menyaksikan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN). Ini diikuti tindakan serupa oleh Adun Bukit Besi Roslee Daud yang turut meninggalkan UMNO dan umum jadi wakil rakyat Bebas, awal pagi ini. Walaupun ada desas-desus bekas Menteri Besar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal itu dikatakan sudah menyertai PAS, belum ada pengesahan mengenainya. ahmadsaidmbBagaimanapun, Ghazali yang juga Adun Ajil dan EXCO Pendidikan dan Tugas-Tugas Khas dikatakan masih kekal Bebas. Kedudukan kerusi DUN Terengganu terkini Barisan Nasional (BN) 14 kerusi, Pakatan Rakyat 15 serta Bebas kekal tiga, selagi belum disahkan Ahmad sudah diterima sebagai ahli PAS. Bagi mengelak krisis berlanjutan atau kemungkinan lebih ramai Adun BN mengikut jejak Ahmad, Ghazali dan Roslee, Menteri Besar yang baru mengangkat sumpah Datuk Ahmad Razif Abd Rahman perlu mengadap Sultan Mizan Zainal Abdin mohon perkenan membubarkan DUN. Jika ini berlaku, DUN Terengganu akan dibubarkan dan PRN boleh diadakan bagi mendapatkan mandat baru memerintah kerajaan negeri itu. Dalam pada itu, Ahmad mengaitkan tindakannya keluar UMNO dengan keengganan pimpinan tertinggi menangguhkan peletakan jawatan Menteri Besar sehingga selesai majlis perkahwinan anaknya pada 17 Mei ini. Beliau juga mendakwa beberapa Adun UMNO akan mengikut jejaknya keluar parti. Ahmad tidak menyebut jumlahnya tetapi difahamkan enam Adun tidak menghadiri majlis angkat sumpah jawatan Menteri Besar Ahmad Razif di Istana Syarqiyyah di Cendering dekat Kuala Terengganu, malam tadi.-bnbbc.my

Ahmad Razif MB baru Terangganu

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi dan Inovasi, Tenaga, Teknologi Hijau dan Air negeri Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu yang baharu menggantikan Datuk Seri Ahmad Said. Ahmad Razif, 49, mengangkat sumpah jawatan itu di hadapan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Syarqiyyah di Kuala Terengganu, pada 9.18 Isnin malam. Ahmad Razif, lulusan Sarjana Sains dalam Bimbingan dan Kaunseling Universiti Putra Malaysia, pernah menyandang jawatan Exco Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia. Beliau juga menjadi Ketua Penerangan UMNO Terengganu pada penggal lepas. Ketika ditemui pemberita, Ahmad Razif berkata beliau bersyukur kerana majlis peralihan kuasa kerajaan negeri berjalan dengan lancar. Beliau memberi jaminan akan meneruskan perancangan yang dibuat Ahmad. "Segala perancangan program untuk kebaikan rakyat, kita akan teruskan. Saya berterima kasih kepada Datuk Seri Ahmad Said yang banyak mengajar saya. "Banyak pengalaman bersama beliau yang boleh saya guna untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab (baru) saya," katanya. Ahmad Razif juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus pernah menjadi Pengerusi Biro Pendidikan UMNO Bahagian Kuala Nerus dari 2008 hingga 2013. Beliau menjadi Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir selepas memenangi pilihan raya umum ke-12 pada 2008 dan mempertahankan kerusi itu pada pilihan raya umum 2013. Ahmad Razif, yang mendirikan rumah tangga dengan Toh Puan Halina Zakaria, dikurniakan empat orang cahaya mata. Sementara itu, Ahmad pertama kali dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu pada 23 Mac 2008 dan dilantik semula memegang jawatan itu pada 9 Mei tahun lepas. Antara Menteri Besar Terengganu sejak 1959 ialah Mohd Daud Abdul Samad daripada PAS (1959-1960), Tan Sri Ibrahim Fikri Mohamad, UMNO (1960-1970), Datuk Mahmood Sulaiman, UMNO (1970-1971), Datuk Nik Hassan Wan Abdul Rahman, UMNO (1971-1974), Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad, UMNO (1974-1999), Datuk Seri Abdul Hadi Awang, PAS (1999-2004), Datuk Seri Idris Jusoh, UMNO (2004-2008) dan Datuk Seri Ahmad Said, UMNO (2008-2014).BERNAMA

Ahmad Said keluar UMNO selepas letak jawatan sebagai MB

Beberapa jam selepas meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Terengganu pada Isnin, Datuk Seri Ahmad Said telah mengumumkan keluar dari parti UMNO. Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal kini berdiri sebagai ADUN bebas. "Dimaklumkan bahawa saya dengan ini meletakkan jawatan saya dalam parti berkuatkuasa serta-merta. Saya juga mengisytihar keluar daripada UMNO dan menjadi wakil rakyat bebas bagi DUN Kijal," katanya dalam surat tersebut. Seorang lagi ADUN dari UMNO, iaitu Ghazali taib yang merupakan ADUN Ajil juga telah isytihar keluar dari parti tersebut. Perkembangan itu dimaklumkan oleh Ahmad Said dalam satu email kepada Astro AWANI. Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said telah meletakkan jawatannya berkuatkuasa Isnin. Beliau digantikan oleh ADUN Seberang Takir, Datuk Ahmad Razif Abd Rahman dalam satu majlis angkat sumpah. Ahmad Razif mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu yang baru di hadapan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Syarqiyyah, Kuala Terengganu malam tadi. Dengan perkembangan terbaru ini, Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat masing-masing menguasai 15 kerusi daripada 32 kerusi DUN Terengganu di mana PAS menguasai 14 kerusi DUN manakala PKR pula satu kerusi.