Selasa, 10 Ogos 2010

Muhyiddin pertahan kesetiaannya pada PM



Tan Sri Muhyiddin Yassin mempertahankan kesetiaannya kepada Datuk Seri Najib Razak sambil mengetepikan spekulasi hubungannya dengan Perdana Menteri menemui bibit perpecahan.

Timbalan Perdana Menteri menjelaskan spekulasi sedemikian hanya kerja pihak dalam Pakatan Rakyat.

Muhyiddin (gambar) juga menegaskan beliau sepanjang masa menyokong kepimpinan Najib yang menjadi Perdana Menteri pada April 2009.

“Tiada pihak yang harus mempersoalkan sokongan kuat yang saya berikan kepada Perdana Menteri sejak awal hingga sekarang.

“Jika anda melihat pada sejarah, saya telah memberi sokongan dan membantu beliau sebelum menjadi Perdana Menteri.

“Lebih-lebih apabila beliau meletakkan keyakinan ke atas saya sebagai Menteri Pendidikan dan Timbalan Perdana Menteri,” kata beliau ketika berucap melancarkan buku berjudul “Najib Tun Razak Melakar Transformasi Malaysia” di Kompleks Kraftangan di sini petang ini.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno berkata Najib akan sentiasa berperanan sebagai bosnya.

“Bos saya ialah perdana menteri dan persoalan kesetiaan kepada beliau tidak harus dipertikaikan.

“Dalam konteks ini, mungkin mereka dari sebelah lain akan mengambil kesempatan untuk membuat spekulasi bahawa hubungan kami tidak kuat,” katanya.

Minggu lalu, Muhyiddin bersetuju dengan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa rakyat Malaysia masih belum memahami konsep 1 Malaysia.

Bagaimanapun Muhyiddin menyalahkan PR sebagai sebab mengapa rakyat belum bersedia untuk memahami konsep itu.

Pihak Yang Kaitkan Sultan Johor Dengan Politik Perlu Segera Mohon Ampun - Muhyiddin

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa pihak yang bertanggungjawab mengheret Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar ke kancah politik agar segera memohon ampun kepada baginda.

Beliau berkata pihak yang terlibat perlulah memahami tentang kedudukan Raja-Raja sebagai payung negara dan menyifatkan perkara tersebut tidak seharusnya berlaku.

"Jadi ini tidak harus dipermain-mainkan atau pun disalahgunakan...yang pastinya mengundang murka Sultan Johor...tidak harus dieksploitasi kedudukan Raja-Raja yang boleh menjatuhkan maruah dan martabat Raja. Kita harus sanjung dan harus hormati.

"Jadi mana-mana pihak, parti politik ke bukan politik ke harus faham tentang perkara itu (kedudukan Raja-Raja). Walau apa pun, mereka sepatutnya memohon ampun daripada raja dan jangan ulangi hal-hal sebegitu lagi," katanya kepada pemberita selepas melancarkan buku bertajuk "Najib Tun Razak-Melakar Transformasi Malaysia" di sini.

Beliau mengulas perbuatan sebuah parti politik yang menggunakan poster gambar Sultan Ibrahim di dalam kempen parti itu di Batu Pahat, Johor baru-baru ini.

Semalam, Sultan Ibrahim ketika bertitah pada majlis penutup Kembara Mahkota Johor Bermotosikal 2010 di Kota Tinggi, melahirkan rasa murka terhadap tindakan sebuah parti politik yang menggunakan gambar baginda pada kain rentang di majlis ceramah di Batu Pahat itu.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno berkata adalah menjadi kesalahan jika menyebabkan seseorang sultan itu murka dan pihak yang dimurkai perlu tampil untuk memohon keampunan.

Ditanya pemberita sama ada perbuatan itu mempamerkan tindakan yang terdesak parti itu, beliau berkata perkara itu tidak seharusnya berlaku dan berpendapat ada pihak yang cuba mengeksploitasi institusi raja.

-- BERNAMA

Noh Omar, Khir Toyo Dan Ezam Tidak Ada Pergeseran



Dakwaan pembangkang bahawa pergeseran berlaku antara Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Seri Noh Omar, Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo dan Senator Ezam Mohamad Nor adalah tidak benar.

Ini dibuktikan apabila ketiga-tiga mereka berada di atas pentas yang sama untuk berceramah sempena "Roadshow Gelombang Selamatkan Selangor Darul Ehsan" di Kampung Jalan Kebun di sini yang merupakan acara penutup kempen UMNO yang berakhir awal pagi Isnin.

Dalam ceramah masing-masing, Noh dan Dr Khir menjelaskan mereka tidak ada masalah sesama sendiri apatah lagi mereka adalah dari kampung yang sama dan dakwaan pembangkang itu adalah untuk mengadu dombakan mereka berdua.

Ezam pula berkata ramai yang tidak mengetahui bahawa beliau memang rapat dengan Noh dan Dr Khir sejak dahulu lagi semasa beliau menjadi Setiausaha Politik Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

"Mereka tidak boleh pecah-pecahkan semangat kami," katanya di hadapan lebih 300 hadirin, termasuk penyokong parti komponen Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata Noh dan Dr Khir adalah antara pemimpin-pemimpin UMNO yang memujuknya pulang ke pangkuan UMNO selepas beliau meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Laporan satu portal berita sebelum ini berkata terdapat desas-desus persaingan antara Dr Khir dan Noh dalam merebut jawatan Menteri Besar jika Barisan Nasional (BN) menawan semula Selangor pada pilihan raya umum ke-13 ini dan pada masa yang sama Ezam diberikan tugas utama untuk mengetuai kempen Selamatkan Selangor ini.

Noh berkata kehadiran mereka bertiga menunjukkan mereka bertiga mempunyai matlamat dan perjuangan yang sama tidak seperti yang digembar-gemburkan dalam fitnah pembangkang.

Beliau berkata kempen ceramah UMNO yang bermula sejak 23 Julai lepas mendapat ambutan bukan sahaja daripada penyokong BN tetapi rakyat Selangor pada keseluruhannya.

Noh berkata kempen itu akan diberhentikan sempena bulan Ramadan ini dan disambung semula selepas Hari Raya Aidilfitri.

Semasa Ramadan ini bahagian-bahagian UMNO telah diarah untuk mengadakan aktiviti-aktiviti pengisian pada bulan puasa bagi mendekatkan diri dengan masyarakat setempat.

BERNAMA

Jentera Penerangan Umno Setuju Perpaduan Umno-PAS, Kata Ahmad Maslan



Jentera penerangan Umno rata-rata menyatakan sokongan terhadap perpaduan antara Umno dan PAS yang dilihat bukan sahaja menguntungkan orang Melayu tetapi turut memberi manfaat kepada semua kaum di negara ini, kata Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan.

Beliau berkata majoriti orang Melayu di negara ini juga sudah tentu bersetuju tentang cadangan perpaduan itu kerana ia tidak akan merugikan sesiapa.

Sehubungan itu, beliau berkata usaha perpaduan itu perlu difikirkan secara serius oleh kedua-dua pihak sempena kedatangan bulan Ramadan dalam masa dua hari lagi.

"Alangkah eloknya sempena bulan Ramadan ini kita memikirkan secara serius tentang perkara-perkara yang ada hubung kait untuk kebaikan umat dan kalau ada usaha-usaha ke arah perpaduan itu, semua rakyat di Malaysia ini untung, itu yang penting.

"Bulan Ramadan ini juga bulan yang amat baik untuk kita membuat genjatan senjata, jangan mengata orang, jangan memfitnah dan jangan menimbulkan isu-isu sensitif.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi taklimat mengenai isu-isu semasa kepada 457 ketua penerangan Umno bahagian dari seluruh negara oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini.

Ahmad berkata jika bangsa terbesar itu berpadu dan berpakat untuk tidak lagi berselisih seperti yang telah berlaku, seluruh negara ini akan menjadi lebih maju dari sekarang.

"Perpaduan ini bukan hanya dilihat dari sudut untung bangsa Melayu tetapi untung seluruh rakyat Malaysia, yang rugi hanya beberapa pemimpin DAP dan beberapa pemimpin PKR (Parti Keadilan Rakyat)," katanya.

Salam Ramadan...



Sempena hari yang baik, bulan yang baik ini, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Salam menyambut ramadan buat semua sahabat handai,rakan dan taulan dan umat Islam keseluruhanya.

Mudahan Ramadan tahun di berikan kita kekuatan untuk beribadat dan mengerjakan rukun Islam ini dengan pernah keberkatan.

Kesempatan ini juga ingin memaklumkan bahawa agak lama juga saya tidak muncul di ruangan ini kerana keadaan kesihatan yang tidak mengizikan di samping kesebokan tugas harian. Insallah mudah mudahan saya kembali muncul seperti biasa mulai hari ini.