Sabtu, 6 Disember 2014

Jangan politikkan laporan RCI pendatang tanpa izin di Sabah

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan meminta pihak pembangkang supaya berhenti mempolitikkan laporan Siasatan Suruhanjaya Diraja (RCI) berhubung isu pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah. Katanya pembangkang, termasuk ketua mereka Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah diberi peluang untuk mengemukakan bukti berhubung isu berkenaan semasa dipanggil memberi keterangan ketika prosiding RCI namun nampaknya beliau tidak memanfaatkan ruang berkenaan sebaik-baiknya. "Sebab itu, saya minta parti pembangkang, sebelum komen mengenai perkara ini, pergilah tanya Datuk Seri Anwar Ibrahim tentang apa yang berlaku," katanya kepada pemberita selepas memberi ucaptama pada Perhimpunan Bulanan Jabatan dan Agensi Persekutuan Sabah di sini pada Jumaat. Mengenai penyelesaian isu PATI di Sabah meskipun laporan RCI sudah dikeluarkan, Abdul Rahman yang juga Anggota Majlis Tertinggi Umno berkata semua pihak mesti memahami masalah berkenaan secara mendalam termasuk latar belakang sosio-ekonomi Sabah yang berjiran dengan Filipina dan Indonesia serta sejarahnya. Selain kedudukan Sabah yang begitu hampir dengan negara jiran, kedatangan PATI ke negeri itu juga antara lain disebabkan pertalian persaudaraan atau kekeluargaan masih wujud antara rakyat Sabah dengan rakyat negara jiran berkenaan. Justeru Abdul Rahman berpandangan bahawa penyelesaian jangka panjang kepada isu PATI di Sabah boleh dilakukan sekiranya suasana politik selatan Filipina dalam keadaan stabil dan pelaksanaan dasar memakmurkan negara jiran.

TPM kecewa dengan usaha pendaftaran pengundi baru BN

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan rasa kecewa terhadap parti komponen Barisan Nasional (BN) yang dilihat masih ketinggalan dalam usaha mendaftar pengundi baharu. Beliau yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata, keadaan itu amat membimbangkan kerana parti pembangkang didapati lebih aktif turun padang untuk mendekati pengundi baharu termasuk pergi ke kawasan kampung di seluruh negara. “Saya tidak berpuas hati dengan usaha BN mendaftar pengundi baharu kerana dilihat tidak bersungguh-sungguh melaksanakan kerja tersebut berbanding pembangkang. “Tindakan itu boleh memberi kesan kepada BN terutama menjelang pilihan raya yang akan diadakan tidak lama lagi,” katanya. Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika merasmikan Perhimpunan Agung Tri-Tahunan Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) di Dewan Suarah Bintulu di sini hari ini. Yang turut hadir, Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem; Pemangku Presiden SPDP, Datuk Seri Tiong King Sing dan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor. - UTUSAN ONLINE

Akta Hasutan bukan alat politik kerajaan BN

Akta Hasutan 1948 bukan alat politik untuk menutup ruang kritikan terhadap kerajaan atau menyekat kebebasan bersuara rakyat, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin. Khairy, yang juga Ketua Pemuda Umno, berkata tujuan akta itu adalah untuk mengekang mana-mana pihak daripada mengeluarkan kenyataan yang menghasut dan menghina kaum, agama dan Raja-Raja Melayu. "Akta Hasutan 1948 bukan alat politik. Jika hendak mengkritik kerajaan, boleh. Tiada kritikan (terhadap kerajaan) yang kita boleh tuduh di bawah Akta Hasutan tetapi kalau ada tindakan melampaui batas, menghina agama atau kaum, itu baru hasutan. "Akta Hasutan bukan melindungi parti politik tetapi perisai untuk seluruh rakyat Malaysia," katanya kepada pemberita selepas majlis #katakita Townhall 'Keharmonian Kaum', di sini Sabtu. Pada majlis itu, Khairy menjadi panelis bersama-sama pengamal undang-undang, JR Tey, menjawab pelbagai pertanyaan hadirin berkenaan isu keharmonian kaum dan Akta Hasutan 1948. Selain kenyataan menghina kaum, agama dan institusi Diraja, Khairy berkata kenyataan menggalakkan pemisahan Sabah dan Sarawak daripada Malaysia, juga akan dikenakan tindakan mengikut Akta Hasutan 1948. Menteri itu menegaskan penguatkuasaan Akta Hasutan itu juga perlu dilakukan secara adil terhadap semua individu tanpa mengira latar belakang kaum, agama atau kedudukan seseorang itu. "Pelaksanaan (akta itu) mestilah adil," katanya. Mengenai kenyataan Duta Amerika Syarikat ke Malaysia, Joseph Y Yun semalam yang 'hairan' tentang keputusan Malaysia mengekalkan Akta Hasutan 1948, Khairy berkata beliau telah berjumpa Yun semalam. Dalam pertemuan tersebut, Khairy berkata beliau menjelaskan kepada Duta Amerika Syarikat itu tentang keputusan kerajaan mengekalkan akta berkenaan. "Beliau (Yun) memaklumkan kepada saya, kerajaan Malaysia perlu membuat penjelasan kepada masyarakat dunia. Saya rasa kita boleh buat penjelasan supaya mereka memahami kenapa kita kekalkan Akta Hasutan," katanya. Penjelasan tentang Akta Hasutan itu, Khairy berkata bukan bermaksud Malaysia meminta keizinan dunia untuk mengekalkan akta itu tetapi sekadar menjelaskan langkah kerajaan mengekalkannya. Ketua Pemuda Umno itu juga berkata kenyataan Naib Presiden Amerika Syarikat Joe Biden menerusi laman Twitter, berhubung perbicaraan melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, merupakan satu campur tangan urusan dalaman Malaysia. "Ini campur tangan dalam soal kehakiman negara kita. Badan kehakiman Malaysia yang tentukan tentang kes itu dan bukan Naib Presiden Amerika Syarikat untuk memberitahu kita. Ia usaha untuk mendahului keputusan mahkamah," katanya. Negara kuasa besar itu, menurut Khairy perlu 'cermin diri sendiri' sebelum mengkritik Malaysia kerana mereka juga sedang berdepan pelbagai kepincangan termasuk berkenaan isu hubungan kaum dan kekerasan anggota polis. "Mereka juga perlu menutup pusat tahanan di Teluk Guantanamo, Cuba yang menahan lebih 200 tahanan tanpa bicara," katanya.

Sabtu, 29 November 2014

Bagi kuasa kepada Peguam Negara mempertahankan Tanah Rizab Melayu

Pergerakan Wanita UMNO memohon kerajaan memberi kuasa kepada Peguam Negara sebagai ‘penjaga kepentingan awam’ bagi mempertahankan Tanah Rizab Melayu di seluruh negara. Ketua pergerakan itu Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata ia bertujuan membolehkan tanah rizab Melayu yang dibatal oleh pihak berkuasa negeri untuk tujuan pembangunan wajib diganti oleh kerajaan negeri berkenaan. “Daripada rekod (tanah rizab Melayu) semakin hari semakin terhakis. Ada negeri bukan di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN), apa akan jadi pada tanah rizab ini? “Wanita UMNO meminta Perdana Menteri untuk menguruskan pindaan perlembagaan supaya memberi kuasa kepada Peguam Negara sebagai ‘custodian of the public interest’ untuk berkuasa membuat petisyen kepada mana-mana negeri di mana tidak ada ganti wajib atau ganti semula tanah rizab Melayu,” katanya ketika menggulung perbahasan di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini. Beliau berkata pihaknya khuatir kegagalan mempertahankan tanah rizab Melayu bakal memberi kesan besar kepada anak cucu orang Melayu. Dalam pada itu, Shahrizat berkata pergerakan itu juga meminta Kementerian Pendidikan supaya mempertimbangkan pembelajaran bahasa ketiga seperti Arab, Mandarin dan Tamil sebagai mata pelajaran elektif di sekolah menengah bertujuan mengikat perpaduan. Katanya tanpa mengabaikan martabat bahasa Melayu, pembelajaran bahasa berkenaan boleh menjadi alat komunikasi yang penting dalam aspek perpaduan. Sementara itu, Puteri UMNO mencadangkan kerajaan supaya melaksanakan potongan gaji 10 peratus ke atas semua pekerja lelaki di sektor awam dan swasta yang sudah berkahwin untuk dikreditkan terus ke dalam akaun isteri mereka. Ketua Pergerakan Puteri UMNO Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata langkah itu bertujuan menjamin golongan wanita yang berkahwin mendapat nafkah dan menguruskan rumah tangga dengan lebih baik. “Ramai juga wanita di luar sana nasib tidak terbela kerana tidak mendapat nafkah sewajarnya daripada suami mereka. Oleh yang demikian saya berpendapat mungkin Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Kementerian Kewangan dapat berbincang mengenai cadangan ini,” katanya dalam ucapan penggulungannya pada PAU. Beliau berkata langkah tersebut penting dalam membela nasib wanita yang menurutnya telah memberi majoriti undi bagi memungkinkan kemenangan BN pada pilihan raya umum lepas. Sebelum ini, Kementerian Pertahanan memperkenalkan langkah tersebut untuk pegawai ATM berpangkat Leftenan Muda dan ke atas yang dikenakan potongan menerusi Peruntukan Paksa ATM dan dikreditkan ke dalam akaun isteri.

PM Najib akan buktikan GST adalah untuk kepentingan rakyat

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) serta rasionalisasi subsidi bertujuan membolehkan lebih banyak pembangunan dilakukan dan bukan untuk membebankan rakyat. Beliau berkata perolehan hasil daripada CBP dan pengurangan perbelanjaan untuk subsidi akan dibelanjakan bagi pembangunan kawasan luar bandar, meningkatkan mutu pendidikan negara, menyediakan perumahan, meningkatkan kemahiran orang Melayu dan rancangan pembangunan lain. "Peruntukan dibelanjakan untuk kawasan luar bandar mesti kita utamakan, untuk bidang pendidikan mesti kita tambah lagi...pendapatan rendah orang Melayu kerana apa?. Kerana kebanyakannya kelulusan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia). Kita kena beri latihan peningkatan kemahiran, kita kena tambah lagi," katanya. Najib yang juga Presiden Umno berkata demikian semasa sesi penggulungan Perhimpunan Agung Umno 2014 pada Sabtu. Kata beliau Majlis Amanah Rakyat (Mara) sebagai institusi lambang Melayu dan bumiputera juga harus diberi tambahan peruntukan bagi membolehkan lebih ramai anak-anak Melayu menerima biasiswa agensi berkenaan. Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata CBP yang diamalkan di lebih 160 negara adalah lebih adil kerana ia boleh membendung perbuatan mengelak cukai oleh peniaga sehingga mewujudkan jurang percukaian sehingga 30 peratus. "Mereka dapat perkhidmatan daripada kerajaan secara percuma...tak adil, mereka patut bayar cukai kerana mereka patut menampung perbelanjaan untuk rakyat bersama," katanya. Menyentuh mengenai rungutan umum pertumbuhan ekonomi yang tidak dirasai oleh orang ramai, katanya pertumbuhan ekonomi membawa maksud peningkatan perolehan negara dan membolehkan kerajaan menampung kos pentadbiran. "Katakan dapat dua tiga peratus, tentu sekali kita semua akan merasai tekanannya. Apatah lagi dalam tahun 1997 bila ekonomi merudum, kita terpaksa potong peruntukan semua kementerian, jabatan kerajaan sampai TNT (tuntutan perjalanan rawatan) untuk penjawat awam terpaksa kita hadkan," katanya. Kata beliau ketiadaan pertumbuhan ekonomi akan turut membantutkan usaha Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera kerajaan yang bertujuan untuk mengagihkan kekayaan dan merapatkan jurang ekonomi antara bumiputera dan bukan bumiputera. Ekonomi Malaysia berkembang 6.1 peratus dalam tempoh sembilan bulan tahun ini dan merupakan kadar pertumbuhan tertinggi dalam kalangan negara Asean. Dalam penggulungannya, Najib turut menyentuh mengenai pembangunan tanah rizab Melayu yang dibangkitkan perwakilan bagi memberi nilai yang menguntungkan kepada pemilik tanah. "Sekarang ini saya diberitahu bahawa ada kesukaran dari segi perundangan, national land code (Kanun Tanah Negara 1965) dan juga enakmen-enakmen negeri untuk membolehkan akses kepada pinjaman instrumen Islam memajukan tanah-tanah rizab Melayu. "Satu jawatankuasa telah pun ditubuhkan dan laporannya telah pun disediakan dan saya minta supaya semua undang-undang yang perlu dipinda dibuat pindaan supaya tanah-tanah rizab Melayu ini boleh dibangunkan dengan nilai yang menguntungkan pemilik," katanya. Sementara itu, bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan Melayu yang belum mempunyai pekerjaan, perdana menteri juga mengumumkan jumlah penyertaan graduan di bawah Skim Latihan 1Malaysia ditambah 100 peratus. Sejak dilancarkan pada 2011, SL1M berhasil membantu 42,000 graduan menganggur mendapat pekerjaan dengan meningkatkan tahap kebolehpasaran atau keupayaan graduan untuk mendapat pekerjaan dengan kerjasama syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta.

Jangan pertikai hak orang Melayu, Raja dan Agama Islam- PM Najib

Perhimpunan Agung Umno 2014, berakhir dengan mesej tegas dan lantang Presiden Umno bahawa hak keistimewaan orang Melayu, Raja dan agama Islam yang termaktub dalam perlembagaan negara, tidak boleh dipertikaikan lagi. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata seluruh rakyat Malaysia perlu berhenti berbalah mengenai perkara berkenaan, sebaliknya memberi tumpuan penuh kepada usaha memajukan negara. "Kebebasan pun ada had. Kebebasan bukan mutlak. Tak boleh hina agama Islam, tak boleh cabar hak istimewa Melayu, tak boleh persoal sistem Raja-Raja Melayu, askar Melayu dan kita jaga kepentingan kaum lain. "Jadi, amanlah kita. Asyik berbalah memanjang...kerja lain tak jadi. Saya nak kita memberi fokus bahawa kita majukan negara Malaysia tercinta ini. Kita nak bawa Malaysia ke depan. (Bukan) asyik berbalah saja," katanya dalam ucapan penggulungan perhimpunan itu di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini pada Sabtu. Ketegasan Perdana Menteri itu disambut sorakan dan tepukan gemuruh lebih 2,700 perwakilan yang berada di Dewan Merdeka, malahan mereka yang mengikuti ucapan itu di luar dewan. Najib berkata atas rasa tanggungjawab bagi mengekalkan keamanan dan keharmonian negara serta menangani tindakan pihak tertentu yang mempertikaikan perlembagaan negara, maka Akta Hasutan 1948 dikekalkan. "Orang kata Akta Hasutan tak demokratik, akhbar antarabangsa serang saya. (Tuduh) saya mungkir janji, guna kekerasan. "Saya nak beritahu, tanggungjawab saya sebagai perdana menteri jaga keamanan dan keselamatan dalam negara kita," kata Najib, yang mengumumkan pengekalan Akta Hasutan 1948 semasa menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada Khamis. Menyorot kembali bagaimana Malaysia mencapai kemerdekaan, mengecapi keamanan dan keharmonian rakyat pelbagai kaum dan agama, beliau menekankan bahawa konsep solidariti adalah asas kejayaan itu. Najib turut menjelaskan bahawa solidariti yang beliau tegaskan semasa menyampaikan Ucapan Dasar Presiden dan telah menjadi antara topik perbahasan Perhimpunan Agung Umno kali ini bermaksud: 'bersatu dalam satu angkatan yang kukuh dan padu'. Dalam pada itu, Najib turut menempelak pakatan pembangkang yang disifatkan sebagai ibu segala rasuah kerana cuba menawarkan sejumlah wang yang besar kepada seorang pemimpin Umno untuk membawa Anggota Parlimen BN menyertai pembangkang pada 2008. Perdana Menteri turut menyelar amalan nepotisme pihak pembangkang yang 'mengorbankan' anggotanya yang tidak bersalah semata-mata untuk memberi laluan kepada orang lain untuk memegang jawatan. "(Pembangkang) boleh pula suruh wakil rakyat (mereka) letak jawatan (sebab) isteri nak bertanding. Suruh menteri besar (MB) yang tak ada kesalahan letak jawatan sebab isteri nak jadi MB. "Inilah nepotisme terbesar. Kenapa kita tak persalahkan dia. Seranglah pembangkang," tegasnya. Menyentuh isu peremajaan yang hangat dibahaskan perwakilan pada perhimpunan agung tahun ini, Najib mengingatkan 3.47 juta anggota parti itu bahawa Umno perlu menyusun strategi terbaiknya dalam merealisasikan agenda pengkaderan parti. Menyedari 'kedinginan' antara segelintir pemimpin lama dan baharu yang wujud sejak dahulu, beliau sekali lagi menegaskan kepentingan seluruh generasi dalam Umno bekerjasama dalam satu haluan. "Kalau kita dok kerling belakang kita dan rasa ada orang nak serang kita, sampai bila pun tak akan wujud solidariti. Tapi, dalam masa itu, mana yang patut..(kita) berilah peluang," kata Najib. Bagaimanapun, katanya, peluang itu hanya akan diberikan kepada orang muda yang benar-benar layak dan menepati ciri-ciri Jil Umno yang telah digariskan. Najib berkata apa yang penting adalah setiap anggota parti itu perlu meremajakan semula roh perjuangan Umno dalam diri masing-masing.

Pelan strategik bagi menjayakan agenda peremajaan UMNO perlu disediakan-Hishammuddin

Satu pelan strategik perlu disediakan segera bagi menjayakan agenda peremajaan Umno untuk menarik minat generasi muda, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. Hishammuddin, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Usul Perhimpunan Agung Umno 2014, berkata kewajarannya supaya konsep peremajaan parti bukan hanya berkisar pada usia atau jawatan semata-mata. "Sebagai Naib Presiden saya bersetuju, agenda peremajaan wajib dijadikan agenda utama parti," katanya dalam ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung Umno 2014 di sini hari ini. Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan dasarnya pada Khamis, mengumumkan beberapa langkah peremajaan termasuk membuka pendaftaran keanggotaan secara terus secara online dan mewujudkan generasi pewaris kepimpinan masa depan Umno atau Jil-Umno. Beliau berkata langkah peremajaan dan kemudahan pendaftaran anggota baharu Umno adalah sebahagian daripada proses program transformasi parti yang dilaksanakan sejak 2009. Hishammuddin berkata sebelum ini Umno telah melaksanakan pelbagai perubahan termasuk penghapusan kuota untuk bertanding, penambahan perwakilan automatik ke perhimpunan agung dan penurunan kuasa memilih kepada akar umbi dengan jumlah yang lebih besar. Umno juga telah melaksanakan transformasi dalam penghapusan yuran dan dalam mempermudahkan penyertaan anggota, katanya. Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan, turut mengumumkan kelulusan peruntukan RM100 juta untuk membaik pulih rumah keluarga angkatan tentera darat, laut dan udara, sebagai menghargai perjuangan mereka dalam menjamin keamanan negara. "Usaha pemantapan sektor keselamatan dan pertahanan negara akan direncana secara strategik dalam Pelan Pembangunan Rancangan Malaysia ke-11. "Ia penting kerana kita berhadapan dengan ancaman bentuk baharu yang menuntut kita memperkasakan aset dan kelengkapan," katanya. Hishammuddin berkata kementeriannya akan bekerjasama rapat dengan Persatuan Veteran Tentera Malaysia, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia dan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) dalam usaha penambahbaikan kebajikan bekas perajurit bagi membela golongan itu. Sementera itu Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata peremajaan parti bukan sekadar menggantikan orang lama dengan orang muda, sebaliknya diterjemahkan dalam konteks menyeluruh. Mengambil contoh pilihan raya umum di India untuk jawatan perdana menteri yang ditandingi calon berusia 64 tahun dan seorang lagi calon berusia 40 tahun baru-baru ini, beliau menegaskan faktor mesra golongan muda dengan memanfaatkan teknologi baharu dan media sosial membolehkan calon 64 tahun daripada Bharatiya Janata Party (BJP) menewaskan pesaingnya yang jauh lebih muda. "Peremajaan itu tidak semata-mata pada umur, peremajaan itu dalam konteks yang lebih menyeluruh. Bila tengok cara mereka (calon di India) berkempen, calon lama telah membawa diri macam orang muda dengan menggunakan media sosial, Facebook, Twitter dan polisi yang mesra orang muda, cergas dan dinamik. "Calon muda pula tak tunjuk keremajaannya, tidak melibatkan diri di media sosial, polisi pun ditakuk lama, akhirnya gelombang pengundi muda yang tentukan keputusan pilihan raya tersebut telah memberi sokongan kepada calon umur 64 tahun," katanya dalam ucapan penggulungan. Khairy turut memberi contoh Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak, yang disifatkannya telah melalui proses peremajaan apabila mempunyai ramai pengikut di media sosial, termasuk mengikuti trend semasa bergambar 'selfie'. "Bukan saya minta pemimpin-pemimpin lama, ketua-ketua bahagian pakai seluar ketat, baju sendat dan sarung kaki merah jambu macam saya, itu bukan autentik, itu dah lunatik. Peremajaan itu juga tidak terhad kepada orang muda dalam Umno, orang lama dalam Umno saya yakin boleh melakukan peremajaan tersebut," katanya. Menteri Belia dan Sukan itu turut menegaskan peremajaan tidak seharusnya menjadi platform mudah bagi pemimpin muda untuk dilantik bagi apa-apa jawatan, sebaliknya mestilah berdasarkan kelayakan. "Peremajaan tak bermakna laluan percuma orang muda dilantik itu dan ini... kalau tak layak memang tak layak. Kalau kita layak kita patut menerimanya. Buat kerja dengan baik, tolong bahagian kuatkan parti dan kalau ada rezeki Alhamdulillah. "Itu yang kami faham tentang peremajaan, bukan rampasan kuasa. Itulah yang kita faham cara orang Melayu yang penuh dengan kesabaran dan hormat kepada orang lama," katanya. Khairy berkata gandingan pemimpin lama dan baharu diperlukan bagi terus memperkukuh dan mengarusperdanakan parti supaya dapat meraih kembali sokongan rakyat khususnya orang muda.BERNAMA

Pindaan Akta Hasutan dibentang pada Sidang Dewan Rakyat akan datang

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pindaan ke atas Akta Hasutan 1948 akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada persidangan akan datang. Perdana Menteri turut mengarahkan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menguatkuasakan akta itu dengan tegas selepas ia diluluskan kelak. "Kita minta polis buat siasatan rapi, kita minta SKMM buat siasatan sewajarnya juga. Supaya kita beri isyarat jelas (bahawa) tiada sesiapa harus takut dan bimbang kalau tidak melanggar undang-undang dalam negara. "Jangan jadi penghasut antara kaum dan agama. Ini jelas, tiada 'warning' lagi lepas ini. Kita nak pastikan setiap orang, kaum dan agama hormati satu sama lain," katanya dalam ucapan penggulungan Perhimpunan Agung Umno 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini. Presiden Umno itu terdahulu mengumumkan pengekalan akta itu semasa menyampaikan ucapan dasar Presiden pada Khamis, dengan memasukkan dua peruntukan khas bertujuan melindungi kesucian agama Islam dan agama lain serta mendakwa mereka yang menghasut agar Sabah dan Sarawak keluar daripada Malaysia. Najib menjelaskan beliau memilih pentas Umno untuk membuat pengumuman pengekalan akta itu atas rasa tanggungjawab terhadap semua anggota parti berkenaan. "Kalau suara Umno nak Akta Hasutan dikekalkan, maka saya pilih untuk terima hasrat ahli-ahli Umno seluruhnya. Tambah lagi bila saya bincang dengan Timbalan Presiden, pemimpin Umno, semua kata itulah pendirian yang sebaiknya," katanya. Kata Najib, keputusan itu bukanlah bermaksud kerajaan tidak berlaku adil kepada orang lain, sebaliknya menegaskan akta itu akan melindungi semua rakyat tidak kira kaum dan agama. "Bagaimanapun, saya tak boleh arahkan Peguam Negara kerana dalam Perlembagaan, Peguam Negara ada kuasa mutlak, jadi saya minta ketegasan Peguam Negara untuk jalankan pendakwaan," kata perdana menteri. Cadangan pemansuhan Akta Hasutan 1948 dikemukakan buat kali pertama pada Julai 2012, dan akan digantikan dengan akta baharu dikenali sebagai Akta Keharmonian Nasional. Sementara itu, Najib dalam sidang media berkata pengekalan Akta Hasutan 1948 adalah bagi melindungi keselamatan seluruh rakyat Malaysia dan bukannya orang Melayu serta Bumiputera sahaja. "Ini tentang perlindungan untuk semua. Kami tidak mahu sebarang konflik agama dan kaum berlaku di negara ini. Kami akan berusaha sedaya upaya untuk mengelak perkara ini daripada berlaku, itu yang paling penting," katanya. Beliau berkata tindakan memperlekeh hak istimewa orang Melayu, Raja dan agama Islam serta hak bukan Melayu, boleh menimbulkan ketegangan kaum di negara ini. "Kita mesti elak itu daripada berlaku kerana ia tidak menguntungkan sesiapa dan akta ini juga melindungi hak bukan Melayu dan bukan Islam," kata Najib. Perdana Menteri berkata keputusan mengekalkan akta itu bukan langkah terkebelakang oleh kerajaan kerana langkah menjulang demokrasi telah dilaksanakan sebelum ini dengan memansuhkan beberapa akta termasuk Akta Keselamatan Dalam Negeri pada 15 Sept 2011.

KERIS 2314 senjata UMNO untuk kembalikan majoriti dalam PRU 14

Modul latihan dikenali KERIS 2314 bakal menjadi senjata Umno dan Barisan Nasional (BN) untuk mendapatkan kembali majoriti dua pertiga dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) nanti, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Beliau berkata modul latihan yang dirangka Biro Latihan dan Penyelidikan Umno itu dipersetujui presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak dan dibantu beberapa pakar. Menteri Dalam Negeri itu berkata modul pengkaderan dan tarbiah itu bertujuan melahirkan Jil-Umno (generasi pewaris kepimpinan masa depan Umno) dalam usaha meremajakan parti keramat orang Melayu itu. KERIS yang dimaksudkan adalah 'Karisma.Ehsan.Rasional.Iltizam.Setia'. "Bagi nombor keramat 2314 itu pula, 2.3 adalah sasaran kita untuk menebus kembali jumlah kerusi sebanyak dua pertiga pada PRU14 setelah dua penggal kita gagal, manakala 14 adalah sempena PRU14," katanya dalam sesi penggulungan Perhimpunan Agung Umno 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini. Ahmad Zahid berkata Najib dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memutuskan modul latihan itu perlu dihadiri anggota Majlis Tertinggi, ketua-ketua bahagian serta para perwakilan Umno. Menyentuh mengenai isu pendatang asing tanpa izin (PATI), Ahmad Zahid berkata sehingga Isnin lepas, sejumlah 89,977 warga asing diperiksa dalam Operasi Bersepadu yang dijalankan pelbagai agensi penguatkuasaan. Daripada jumlah itu, sejumlah 27,469 adalah pendatang tanpa izin. Ahmad Zahid berkata punca lambakan PATI di negara ini disebabkan ejen yang tamak dan tidak bertanggungjawab. "Saya telah tegaskan, hukuman sebat perlu dikenakan kepada ejen yang menjadi dalang pemerdagangan manusia ini di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang sejajar dengan protokol Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB)," katanya. Dalam perkembangan lain, bagi memastikan tindakan lebih tegas dan segera diambil terhadap penghasut selaras dengan pindaan Akta Hasutan 1948, Ahmad Zahid berkata akta itu dikekalkan dengan memasukkan peruntukan khas melindungi agama Islam dan agama lain. Keputusan mengekal dan menambah baik akta itu dinyatakan Najib semasa menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada perhimpunan parti pada Khamis. "Itu komitmen berterusan bagi menjamin kemakmuran negara yang dikecapi kini dikekalkan," katanya. "Untuk rekod sehingga kini, seramai 40 orang ditahan di bawah Akta Hasutan dan tahun ini saja, 12 orang ditahan. Apabila akta ini diperkasakan, saya akan ambil tindakan segera kepada pesalah-pesalah ini," katanya. Bagaimanapun, katanya, kerajaan memerlukan kerjasama pelbagai pihak termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Jabatan Peguam Negara.

Jumaat, 28 November 2014

Isu pampasan RM2.6 juta:Khalid alu alukan siasatan

Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengalu-alukan siasatan ke atasnya berhubung isu wang pampasan RM2.6 juta yang diagihkan kepada lapan bekas kakitangan Perbadanan Menteri Besar (PMB). Perkara ini diumumkan peguam Tan Poh Yee daripada syarikat guaman Bon Advocates yang mewakili Abdul Khalid. Tan berkata Abdul Khalid akan bekerjasama dengan apa-apa persoalan yang mungkin timbul semasa proses penyiasatan, termasuk siasatan yang sedang dilakukan Jabatan Audit Negara Negeri Selangor. Tan menjelaskan bahawa langkah itu adalah satu amalan kerja yang biasa apabila persetujuan dicapai untuk menamatkan kontrak pekerja lebih awal, dengan memperuntukkan sejumlah wang yang dipersetujui sebagai pampasan. “Jumlah itu biasanya merupakan bayaran untuk tempoh kontrak yang masih berbaki dan bayaran ex-gratia untuk perkhidmatan yang sudah diberikan mengikut budi bicara. “Di dalam kes ini, Setiausaha Negeri Selangor dan pegawai kewangan Negeri Selangor merupakan sebahagian daripada proses membuat keputusan,” katanya di dalam satu kenyataan. Dilaporkan kerajaan negeri Selangor telah membayar RM2.6 juta kepada pembantu mantan menteri besar yang juga pengerusi PMB sebelum beliau meletak jawatan. Turut dilaporkan, jumlah terbesar bayaran diberi kepada Faekah Husin, bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat milik kerajaan negeri itu.

Akta Hasutan bukan alat untuk kekal kuasa- Pak Lah

Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi mengingatkan ahli-ahli UMNO bahawa Akta Hasutan bukanlah alat untuk diguna bagi mengekalkan kekuasaan UMNO. Dalam catatan terbaharu di dalam blog paklah.net, Abdullah menegaskan, tiada rang undang-undang yang akan menyelamatkan parti dari kehilangan kuasa seandainya rakyat sudah tidak memberi sokongan kepada UMNO. "Dalam keghairahan kita menyambut baik pengekalan Akta Hasutan, saya ingin mengingatkan, kekuasaan dan kekuatan UMNO datangnya dari sokongan rakyat," jelasnya. Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak semasa ucapan dasarnya mengumumkan akan terus mengekalkan Akta Hasutan 1948 seiring dengan desakan tiga sayap parti itu dalam persidangan mereka semalam. Najib berkata, bukan hanya akta tersebut dikekalkan malah dua peruntukan khas akan dimasukkan supaya ia lebih berkesan. Jelas Abdullah, ucapan Najib disifatkan menarik kerana menekankan pentingnya solidariti dan tidak melupakan sejarah perjuangan UMNO selama ini. "Beliau (Najib) juga sangat prihatin dengan keresahan, kerisauan dan juga keinginan orang Melayu secara amnya, dan ahli-ahli UMNO khususnya. "Keprihatinan ini terserlah apabila beliau mengumumkan pengekalan Akta Hasutan yang disambut dengan ghairah oleh ahli-ahli UMNO yang berada di dalam dan di luar dewan PWTC," katanya. Abdullah turut menyatakan sokongan kepada ucapan Najib berhubung Akta Hasutan yang dilihat jaminan keharmonian yang menegakkan perlembagaan negara. "Ia menentukan perjanjian kontrak sosial yang dimeterai oleh bapa-bapa kita ditepati, dan yang menentukan Persekutuan Malaysia tidak dihancurkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Ini semua saya sokong," jelasnya. Pada Rabu, persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO menggesa kerajaan mengekalkan Akta Hasutan. Malah Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menyampaikan ucapan perasmian sayap UMNO pada Selasa turut menegaskan keperluan mengekalkan Akta Hasutan.

Khamis, 27 November 2014

PDRM sambut baik keputusan kekalkan Akta Hasutan

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyambut baik keputusan kerajaan mengekalkan Akta Hasutan 1948 seperti mana yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata ia merupakan tindakan tepat dalam usaha membendung tindakan pihak tertentu yang ketika ini secara terbuka menggunakan kebebasan bersuara secara salah. “Saya amat mengalu-alukannya dalam keadaan sekarang apabila kebebasan untuk bercakap, kebebasan bersuara dan kebebasan menulis pelbagai perkara telah banyak disalahgunakan. “…dan Akta Hasutan adalah undang-undang yang amat sesuai untuk menangani keadaan ini,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan seminar Pelaksanaan Perolehan Hijau Kerajaan (GGP) PDRM di sini hari ini. Beliau mengulas pengumuman Najib, yang juga Presiden UMNO bahawa Akta Hasutan 1948 akan dikekalkan dengan cadangan pindaan untuk memasukkan dua peruntukan khas bagi menguatkan dan memperkukuh akta itu ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO 2014, di sini hari ini. Khalid berkata akta yang diguna pakai sejak sekian lama itu memiliki kekuatan tersendiri dan ia akan menjadi bertambah baik jika terus diperkemas dan ditambah baik. Ditanya apakah penambahbaikan yang diharapkan oleh PDRM, beliau berkata antara yang perlu diberi perhatian ialah dalam aspek pendakwaan, khususnya bagi memudahkan polis mengemukakan atau membuat pertuduhan terhadap pihak yang bertanggungjawab. Selain mengekalkan Akta Hasutan 1948, cadangan dua peruntukan khas yang akan dimasukkan ialah bagi melindungi kesucian Islam dan agama lain serta mendakwa mereka yang menghasut agar Sabah dan Sarawak keluar dari Malaysia. Dalam perkembangan lain, Khalid berkata PDRM turut berkongsi kebimbangan kerajaan berhubung penglibatan rakyat Malaysia dalam aktiviti militan dan kumpulan pengganas serta ancaman yang mungkin dicetuskan sekiranya mereka kembali ke tanah air. Beliau berkata bagaimanapun, cadangan kerajaan untuk membentangkan satu undang-undang baharu bagi membanteras dan menangani gejala itu pasti membantu dalam memperkukuh lagi perancangan sedia ada PDRM untuk berdepan sebarang kemungkinan. “Kita ada perancangan, insya-Allah, jangan risau tetapi kita memerlukan undang-undang untuk memberi polis lebih kuasa bertindak ke atas mereka. “Kita sedang menghadapi aktiviti terorisme, jadi kita perlu ada satu undang-undang khusus untuk berdepan dengan kemungkinan yang akan digunakan oleh mereka untuk mengancam negara,” kata Khalid. Beliau berkata undang-undang sedia ada seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) dan Kanun Keseksaan juga perlu diperkasakan kerana kedua-duanya lebih menjuruskepada pembanterasan jenayah atau aktiviti jenayah. Cadangan untuk membentangkan undang-undang baharu itu dibuat Perdana Menteri ketika membentangkan Kertas Putih ‘Ke Arah Menangani Ancaman Kumpulan Islamic State (IS)’ di Dewan Rakyat, semalam, antara lain bagi membolehkan tindakan lebih berkesan diambil dalam mengekang ancaman dan penularan aktiviti pengganasan seperti kumpulan militan IS di negara ini .

Anifah dakwa ditawar RM100 juta untuk lompat parti

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa bekas timbalan pengerusi KFC Holdings (M) Berhad, Datuk Ishak Ismail menawarkan RM100 juta kepadanya untuk melompat parti. Anifah berkata Ishak, yang berkait rapat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut membuat tawaran itu dengan hasrat membawa 10 ahli Parlimen dari Sabah menyertai Pakatan Rakyat (PR) untuk membentuk kerajaan baharu pada 2008. Katanya insiden itu berlaku di Hotel Hilton di Kuala Lumpur Sentral. “Saya amat terkejut dan marah. Saya terasa ‘murah’ kerana pernah menjadi Ahli Parlimen selama tiga penggal dan saya komited kepada Barisan Nasional (BN),” katanya. Anifah, yang juga Ahli Parlimen Kimanis, bagaimanapun berkata beliau tidak dapat mengingati tarikh sebenar pertemuan itu. “Saya beritahu dia (Ishak), jangan sekali-kali ulang perkataan itu (melompat parti),” katanya semasa disoal balas peguamnya Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah. Anifah memberi keterangan berhubung kes saman fitnah RM100 juta oleh Anwar terhadap kenyataannya mengenai Anwar pada satu sidang media di Washington bersama bekas setiausaha negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton pada Mei 2009. Beliau memberitahu mahkamah bahawa Anwar ada bercakap dengannya menerusi telefon bimbit sebaik sahaja beliau tiba di Terminal Tambang Murah (LCCT) Sepang dan menawarkan jawatan timbalan perdana menteri jika Pakatan menubuhkan kerajaan pada 16 Sept, 2008. Sementara, dalam kenyataan saksi yang dikemukakan di mahkamah hari ini, Anifah berkata Anwar telah menghubunginya melalui telefon pada sekitar Mei dan Jun 2008. “Saya telah menerima panggilan daripada Tony Vun (ahli perniagaan), yang kemudian memberitahu saya bahawa ada seseorang ingin bercakap dengan saya dan selepas itu Tony Vun serahkan telefon kepada Anwar. “Pada masa itulah Anwar membuat tawaran itu (lompat parti) dan jika saya meneruskan untuk melompat parti, dia akan menawarkan satu jawatan timbalan perdana menteri. “Anwar jelas menyedari bahawa saya mempunyai pengaruh kuat ke atas beberapa ahli Parlimen dari Sabah untuk menguat kuasakan beberapa ‘lompatan parti”, katanya dalam kenyataan itu. Ketika disoal balas peguam Razlan Hadri Zulkifli, yang mewakili Anwar, Anifah berkata kenyataan fitnah yang didakwa itu dibuat pada 14 Mei 2009 pada sidang media anjuran Jabatan Negara Amerika Syarikat. “Saya diminta secara khusus oleh wartawan untuk mengulas pendirian Jabatan Negara Amerika Syarikat mengenai tuduhan jenayah terhadap plaintif dan jika pertuduhan itu bermotifkan politik,” katanya. Anifah berkata kenyataan fitnah yang didakwa itu telah dimaksudkan sebagai ‘off the record’ dan beliau mengingatkan media bahwa kenyataan itu eksklusif untuk hadirin pada sidang media itu. Anwar, yang juga Ketua Pembangkang, itu memfailkan saman pada 27 Mei 2009 dengan mendakwa Anifah memfitnahnya ketika sidang media di Washington pada 16 Mei 2009 semasa lawatan kerja ke negara tersebut. Beliau juga mendakwa Anifah telah mencetuskan kebencian dan kemarahan umum terhadapnya, merendahkan tarafnya, menggalakkan dan memulakan penghinaan politik serta mengaburkan kebenaran dan menyebarkan sesuatu yang palsu. Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Siti Khadijah S.Hassan Badjenid bersambung esok.

Dewan Rakyat lulus Rang Undang Undang MAS

Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Malaysian Airline System Berhad (Pentadbiran) 2014 dalam memastikan kelangsungan perkhidmatan syarikat penerbangan nasional itu. Rang Undang-Undang itu antara lain bertujuan untuk mengadakan peruntukan bagi pentadbiran Malaysian Airline System Berhad (MAS), syarikat subsidiari milik penuh dan milik separanya. Ia juga akan menyediakan peruntukan bagi penubuhan entiti baharu dikenali sebagai Malaysia Airlines Berhad yang akan menggantikan MAS sebagai syarikat penerbangan nasional. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar membentangkan rang undang-undang itu untuk bacaan kali ketiga sebelum diluluskan selepas mendapat majoriti persetujuan daripada anggota Dewan. Rang Undang-Undang itu mempunyai 37 fasal dan enam bahagian yang mana ia dibahaskan 10 anggota Parlimen membabitkan lima dari Barisan Nasional (BN) dan lima dari pembangkang sejak pukul 11.30 pagi sebelum ianya diumum diluluskan kira-kira pukul 4.45 petang oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia. Antara ciri-ciri utama dalam rang undang-undang itu ialah membolehkan (MAS) beroperasi pada kos yang munasabah dari kos bekalan, perkhidmatan, kakitangan termasuk kaedah-kaedah kerja dan terma-terma untuk kakitangan baharu. "Ini (Rang Undang-Undang) juga membolehkan syarikat baharu ini beroperasi pada standard yang tinggi," kata Abdul Wahid sambil menambah Khazanah Nasional Bhd (Khazanah), cabang pelaburan kerajaan, komited untuk membantu kakitangan MAS yang tidak mahu berpindah ke pengurusan syarikat baharu. Beliau berkata Khazanah akan mewujudkan pusat latihan semula kakitangan MAS yang memilih untuk tidak berhijrah bagi panduan kerjaya, kaunseling dan keusahawan. Menurutnya, pusat penempatan semula kakitangan juga akan diwujudkan untuk kakitangan yang hendak berhijrah dalam kumpulan Khazanah dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) lain. "Tentang pemilihan kakitangan yang bakal menyertai syarikat baharu, mereka akan menjalani proses pemilihan dari segi kemahiran dan budaya kerja (sebelum dipilih)," katanya. Beliau berkata kira-kira 14,000 pekerja akan diletakkan dalam syarikat baharu ini berbanding 20,000 kakitangan sedia ada ketika ini. Sebelum ini, Khazanah dilaporkan akan menubuhkan pusat khas bagi memberi sokongan penempatan kepada kira-kira 6,000 MAS yang akan diberhentikan berikutan proses penstrukturan semula itu. Tumpuan pusat itu adalah menghulurkan sokongan termasuk sokongan profesional, emosi dan kewangan bagi membantu mereka untuk beralih ke peringkat kerjaya seterusnya. Abdul Wahid berkata usaha membaik pulih berkaitan pekerja dan pembekal akan berpaksikan prinsip keadilan dan ketelusan. Ini katanya, termasuk memperkukuh barisan kepimpinan MAS yang baharu yang dijangka beroperasi pada Julai 2015 membabitkan ahli lembaga pengarah , pengurusan pertengahan dan atasan dalam memastikan kepimpinan syarikat baharu boleh membawa keuntungan kepada MAS. Beliau juga berkata pentadbir syarikat yang baharu dibenarkan untuk berunding semula dengan semua pembekal sedia ada mengenai harga baharu yang ditawarkan. Bagaimanapun, katanya jika syarikat terbabit tidak bersetuju, maka syarikat boleh mendapatkan pembekal yang lain. "Khazanah akan melihat kontrak yang relevan dan tidak semua kontrak akan dilindungi, contohnya kontrak katering," jelasnya. Dalam pada itu, Wahid berkata, ketika ini MAS mengalami kerugian sebanyak RM5 juta sehari, manakala sebanyak RM748 juta kerugian dicatatkan untuk tempoh enam bulan pertama tahun ini. "Ini berikutan struktur operasi dan jumlah pekerja yang ramai dan untuk membolehkan syarikat baharu nanti lebih berdaya maju, adalah penting untuk syarikat diberi peluang memilih pekerja mengikut terma-terma yang mampu meningkatkan produktiviti," jelasnya.

Penghasut untuk membawa keluar Sabah dan Sawarak akan didakwa

Polis akan mendakwa mana-mana individu dan pertubuhan yang terlibat dalam cubaan menghasut untuk membawa keluar Sabah dan Sarawak daripada Malaysia. Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata tindakan itu akan dilakukan segera selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) menyenaraikan nama pertubuhan yang terlibat. "Kementerian Dalam Negeri telah mengambil langkah membatal dan mengharamkan semua pertubuhan yang mana pemimpin mereka terlibat dalam kempen mahu mengeluarkan Sabah dan Sarawak daripada Malaysia. "ROS akan mula menyenaraikan nama pertubuhan berkenaan dan selepas penyenaraian, tindakan akan diambil," katanya dalam sidang media sempena Perhimpunan Agung Umno 2014 di sini Khamis. Ahmad Zahid berkata dua peruntukan khas dalam akta itu akan membantu pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan Dasar Presiden Umno berkata Akta Hasutan 1948, yang dikekalkan akan memasukkan dua peruntukan khas iaitu melindungi kesucian Islam dan agama lain serta mendakwa mereka yang menghasut agar Sabah dan Sarawak keluar daripada Malaysia. Cadangan memansuhkan Akta Hasutan 1948, yang diumumkan pada Julai 2012 dan digantikan dengan akta baharu yang dikenali sebagai Akta Keharmonian Nasional, pada asalnya bertujuan mencari mekanisme dan mewujudkan keseimbangan terbaik antara keperluan menjamin kebebasan bersuara setiap warganegara dan keperluan menangani kompleksiti kemajmukan di Malaysia. Namun, cadangan itu mendapat tentangan dan banyak pihak mendesak akta tersebut dikekalkan berikutan kenyataan berbaur hasutan dan perlakuan menghina institusi raja dan agama sehingga menimbulkan keresahan rakyat.

Akta Hasutan adalah perisai kepada rakyat

Keputusan kerajaan mengekalkan Akta Hasutan 1948 dengan cadangan pindaan, sekali gus memperkukuh akta berkenaan adalah selari dengan kehendak majoriti rakyat Malaysia. Ketiga-tiga ketua sayap UMNO bersependapat bahawa pengekalan akta itu berserta dengan pindaan memasukkan dua peruntukan khas bagi mengukuhkan akta itu akan menjadi perisai kepada seluruh rakyat Malaysia dalam menangani pelbagai isu berkaitan perpaduan nasional. Secara umumnya, kata mereka, pengekalan dan penambahbaikan akta berkenaan amat wajar apatah lagi dalam keadaan sekarang yang menyaksikan perpaduan rakyat semakin retak. Ketua Pergerakan Wanita UMNO Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata Najib mendengar suara rakyat di peringkat akar umbi dan dalam masa sama, beliau percaya tindakan itu akan merapatkan semula perbezaan pendapat dalam kalangan masyarakat. “Keterbukaan Najib amat menyerlah (dan) kita nak minta buat secara berhemah, yang kita betul-betul nak tentukan tidak berlaku adalah sedition (hasutan), yang mana ada pencabulan Perlembagaan Persekutuan mahupun negeri. “Kalau rasa perlu ada keterbukaan klausa tentang kebebasan bersuara, tentang polisi kerajaan memang tak ada halangan (daripada kami),” kata Shahrizat pada sidang media Ketua-ketua Sayap UMNO selepas Ucapan Dasar Presiden di sini, hari ini. Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak ketika merasmikan Perhimpunan Agung UMNO 2014 hari ini berkata Akta Hasutan 1948 dikekalkan dan akan memasukkan dua peruntukan khas yang bertujuan melindungi kesucian Islam dan agama lain serta mendakwa mereka yang menghasut agar Sabah dan Sarawak keluar dari Malaysia. Sementara itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin berkata kerajaan tidak pernah menggunakan akta untuk menutup ‘mulut’ mana-mana pihak yang selama ini mengkritik pelbagai dasar kerajaan. UMNO73_271114_UMNO “Ini bukan untuk kita tutup ruang kebebasan bersuara, tapi untuk lindungi negara. Jika anda mahu mengkritik KJ, atau polisi, tak apa, tapi jika anda melepasi batas, ada penghinaan terhadap agama, bangsa, bukan hanya Melayu atau Islam, mana-mana agama, bangsa (maka tindakan harus diambil). “(Contoh) usaha untuk memisahkan Sabah dan Sarawak daripada kerajaan Persekutuan, itu tidak boleh diterima. Saya percaya majoriti rakyat Malaysia, terutamanya generasi muda sokong tindakan itu, sebab dalam Malaysia perlu ada batas dan had,” kata Menteri Belia dan Sukan itu. Ketua Pergerakan Puteri UMNO Datuk Mas Ermieyati Samsudin pula berkata pengekalan akta itu adalah selaras dengan Perlembagaan Persekutuan yang selama ini mendaulatkan Islam serta menjamin kebebasan beragama bagi penganut lain. “Inilah perkara yang dilaungkan sebagai satu Malaysia, satu negara, dan untuk itu saya rasa kita banyak bersetuju dengan apa yang diberitahu tadi,” katanya. Isu Akta Hasutan 1948 mendominasi perhimpunan agung tiga sayap parti UMNO yang berlangsung semalam apabila mereka senada mahu akta tersebut dikekal, diperkasa dan ditambah nilai. Para perwakilan ketiga-tiga sayap itu juga melihat Akta Hasutan sebagai benteng terakhir bagi membendung perkara sensitif yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan daripada diperkotak-katikkan selepas Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) dimansuhkan.

Keputusan mengekalkan Akta Hasutan bukti keprihatinan Perdana Menteri

Keputusan mengekalkan Akta Hasutan 1948 sebenarnya memperlihatkan keprihatinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengutamakan kepentingan, keperluan dan kesesuaian masyarakat majmuk di Malaysia. Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata keputusan meminda akta itu dan memasukkan dua peruntukkan khas iaitu untuk melindungi agama Islam dan agama lain serta mengambil tindakan terhadap pihak yang menghasut agar Sabah dan Sarawak keluar dari Malaysia, bersesuaian dengan senario semasa. “Dalam isu agama, ini bukan sahaja merupakan kelegaan kepada orang Islam tetapi kelegaan kepada agama-agama lain kerana telah terlalu banyak ‘sentuhan’ yang telah dilakukan terhadap perkara yang amat sensitif ini iaitu aspek keagamaan. Presiden parti selaku Perdana Menteri mendapat maklum balas daripada banyak pihak, walaupun transformasi politik menjadi agenda yang dirancangkan tetapi Perdana Menteri adalah seorang yang praktikal yang memahami hati nurani rakyat keseluruhannya,”. Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian dalam satu siding media Naib-Naib Presiden UMNO selepas ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2014, di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini, hari ini. Ketika ditanya bagaimana parti itu akan berdepan dengan kritikan negara luar kerana pembatalan hasrat untuk memansuhkan Akta Hasutan yang menjadi isu hangat, Ahmad Zahid berkata : “Saya kira ini adalah acuan politik Malaysia, kepelbagaian agama harus dihormati, latar belakang budaya, bangsa dan pelbagai adat istiadat harus dihormati. DSC_4072Ini berbeza dengan negara lain, jangan disogokkan acuan negara lain kepada negara kita,” tegasnya. Seorang lagi Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang juga Menteri Pertahanan pula berkata pengekalan akta itu menunjukkan pendirian Perdana Menteri untuk memperkukuh perpaduan kaum. “Jadi apa yang diumumkan oleh Perdana Menteri, melegakan dan ia tidak bermakna bahawa kita tidak boleh pinda lagi Akta Hasutan yang sedia ada dan kalau perlu melihat pada akta baharu. “Tetapi jelas dengan pendirian Perdana Menteri kembali kepada perkara pokok, niat kita tidak pernah untuk menidakkan kedudukan Islam, kedudukan kaum, bangsa kita dan institusi kita,” katanya. Sementara itu, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang merupakan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata cadangan memasukkan peruntukkan khas bagi membolehkan tindakan diambil ke atas sesiapa yang cuba menghasut supaya Sabah dan Sarawak keluar dari Malaysia sangat dialu-alukan. “Dalam konteks akta ini, bermakna pemimpin kita (Najib) tidak berdiam diri dan sentiasa mendengar suara rakyat selepas mengambil kira keselamatan dan kesejahteraan negara ini menjadi tonggak yang perlu diutamakan,” kata Naib Presiden UMNO itu. Langkah pengukuhan akta itu jelas Mohd Shafie, menunjukkan UMNO adalah parti yang sentiasa menjaga kemakmuran negara yang berbilang bangsa dan agama. “Pada Perhimpunan Agung UMNO ini, beliau bukan sahaja melihat kepentingan orang Melayu dan agama Islam semata-mata malah turut menyentuh aspek keselamatan negara yang menjadi kepentingan negara,” katanya. Cadangan pemansuhan Akta Hasutan 1948 dan digantikan dengan akta baharu yang dikenali sebagai Akta Keharmonian Nasional dikemukakan buat kali pertama oleh Perdana Menteri pada Julai 2012. Tujuan akta baharu itu adalah sebagai mencari mekanisme untuk menentukan keseimbangan terbaik antara keperluan menjamin kebebasan bersuara setiap warga negara dan keperluan menangani kekompleksan masyarakat majmuk di Malaysia. Bagaimanapun cadangan itu mendapat berbagai pandangan dari pelbagai pihak khususnya yang mahu Akta Hasutan itu dikekalkan.

Rabu, 26 November 2014

Akta Hasutan 1948 dikekalkan- PM Najib

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Akta Hasutan 1948 dikekalkan dengan cadangan pindaan untuk memasukkan dua peruntukan khas bagi menguatkan dan memperkukuhkan akta itu. Presiden Umno itu juga berkata kedua-dua peruntukan khas itu bertujuan melindungi kesucian Islam dan agama lain serta mendakwa mereka yang menghasut agar Sabah dan Sarawak keluar dari Malaysia. "Kita akan masukkan (peruntukan khas itu) supaya tindakan boleh diambil ke atas sesiapa yang cuba menghasut Sabah dan Sarawak keluar dari Malaysia," katanya semasa menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Umno 2014, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini. Reaksi pendirian itu, membuatkan 2,752 perwakilan berdiri dan bersorak sebagai tanda menyokong keputusan Presiden parti Melayu terbesar di negara ini yang kini dianggotai 3.47 juta orang.BERNAMA

SELAMAT BERSIDANG KEPADA PERWAKILAN UMNO...

PAU mampu eratkan ukhuwah dikalangan kepimpinan dan anggota UMNO- Najib

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berharap Perhimpunan Agung Umno kali ini dapat mengeratkan lagi ukhuwah dalam kalangan kepimpinan dan anggota Umno demi kemajuan parti dan negara. Presiden Umno dalam laman sosialnya juga berharap agar perhimpunan itu berlangsung dengan lancar serta mengucapkan selamat bersidang kepada semua perwakilan. "Insya-Allah, perhimpunan ini akan merapatkan lagi ukhuwah dalam kalangan pemimpin dan para anggota Umno seterusnya membawa Malaysia menuju mercu kejayaan," katanya. Dalam laman Facebook dan Twitter Najib, beliau turut berkongsi gambar sepanjang perhimpunan itu berlangsung sejak semalam termasuk sekeping gambar beliau sedang meneliti teks ucapan dasar yang akan disampaikan pada upacara perasmian perhimpunan itu esok. Ketika meninjau perbahasan pada perhimpunan tiga sayap Umno hari ini, Najib berkata semua perwakilan dilihat begitu bersemangat untuk bersidang. "Saya harap semangat ini akan terus dikekalkan demi kelangsungan perjuangan Umno," katanya. Perhimpunan Agung Umno 2014 yang menghimpunkan 5,739 perwakilan, berlangsung sejak Selasa dan akan melabuhkan tirai Sabtu ini.

Peremajaan UMNO adalah usaha mengembalikan maruah dan martabat parti- Khairy

Agenda 'Peremajaan Umno' bukanlah bermaksud golongan muda dalam parti harus diberikan jawatan semata-mata, tapi sebaliknya ia adalah usaha mengembalikan maruah dan martabat parti, tegas Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin. Beliau berkata, agenda itu adalah penting bagi membuktikan kepada bangsa Melayu dan masyarakat Malaysia secara keseluruhan bahawa Umno berani untuk berubah demi menjunjung kepentingan rakyat. "(Apabila) kita cakap soal peremajaan, ia bukan dari segi umur atau jawatan semata-mata, tapi peremajaan adalah supaya apabila anak muda melihat Umno (berani berubah), mereka kembali yakin percaya dan sayang kepada Umno dan Barisan Nasional. "Kalau tidak, Umno akan dilihat 'obsolete' dan tua...bukan dari segi tua umur, tapi tak dapat 'connect', hubungi hati nurani anak muda Malaysia," katanya ketika menggulung Perhimpunan Agung Sayap Pemuda Umno 2014 di sini pada Rabu. Bagi menjayakan agenda itu, Khairy berkata, adalah penting untuk kesemua anggota sayap berusaha membuktikan kepada pucuk pimpinan bahawa mereka layak untuk diberi ruang dan peluang yang diminta. Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan, menarik perhatian perwakilan bahawa mereka harus mengikis persepsi umum kononnya Pemuda Umno adalah sekumpulan anak muda yang hanya tahu mengejar projek, mementingkan gaya hidup mewah dan sebagainya. "Kita buat semua ini kerana kita nak buktikan pada pucuk pimpinan, permintaan kita untuk remajakan parti bukan omong kosong, bukan atas kelemahan, tapi sebenarnya kita dah galaskan tugas yang terbaik dan bersedia untuk peremajaan parti," katanya lagi. Khairy juga turut melahirkan kekecewaannya kerana ucapan dasarnya sengaja diputarbelitkan pihak tertentu, bertujuan untuk menunjukkan beliau dan Pemuda Umno lebih membangkitkan isu berkaitan perkauman. "Dalam ucapan dasar saya, saya menyebut jangan pertikaikan kedudukan dan juga hak orang Melayu, (tetapi) ada yang jawab, tidak ada sesiapa pun yang mempertikaikan kedudukan dan hak Melayu. "Betulkah hari ini tiada siapa yang pertikaikan orang Melayu dan hak orang Melayu?" soalnya lagi. Khairy berkata, sekiranya ia tidak benar, pasti tiada pihak yang sengaja mengkritik langkah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menukar nama jalan-jalan utama di bandar raya menggunakan nama-nama Yang di-Pertuan Agong terawal. "Kita nak tukar nama jalan yang tak ada makna, Jalan Duta dan Jalan Mahameru, kepada nama-nama Raja Melayu yang juga Ketua Negara kepada seluruh rakyat Malaysia. "Tetapi ada yang tanya apakah sumbangan Yang di-Pertuan Agong sehingga perlu diberi penghormatan sebegitu rupa. Ini yang mereka kata tak ada sesiapa yang pertikaikan orang Melayu dan Raja?" soalnya lagi. Atas sebab ini, Khairy berkata, sekiranya Umno tidak mengambil pendekatan yang progresif seperti 'peremajaan' untuk kembali relevan, sudah pasti tiga tunjang utama yang parti perjuangkan iaitu Islam, Melayu dan tanah air akan terus diperlekeh pihak tidak bertanggungjawab. "Saya dah sebut, kalau orang hina bangsa lain, kita (Pemuda Umno) akan bangkit dan pertahankan (mereka). Sebab kita bangsa mulia, kita bangkit pertahankan mereka. "Tapi bila kita nak pertahankan bangsa dan agama sendiri, kita dipanggil rasis, itu tak boleh. Sebab itu kita beranikan diri, jangan malu untuk pertahankan maruah agama dan bangsa," tegasnya lagi. Beliau berkata, jika ada usaha untuk mempertikaikan apa jua hak orang Melayu dan Islam di negara ini, Pemuda Umno pasti akan terus ke barisan hadapan untuk mempertahankannya hingga ke titisan darah terakhir.

Malaysia tidak lagi menggunakan laluan udara Ukraine dan Syria- Aziz Kaprawi

Malaysia kini tidak lagi menggunakan laluan udara antara Ukraine dan Syria berikutan pergolakan yang berlaku di negara tersebut bagi memastikan tragedi malang yang menimpa pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 tidak berulang. ABDUL AZIZ KAPRAWI Timbalan Menteri Pe­ngang­kut­an, Datuk Abdul Aziz Kaprawi sebaliknya berkata, kesemua pesawat Malaysia telah diarah menggunakan laluan udara baharu iaitu antara Iran dan Turki untuk ke mana-mana destinasi di Eropah. “Itu antara lokasi laluan bergolak yang kita sudah kenal pasti hasil kerjasama Kementerian Luar dan Kementerian Pengangkutan,” katanya menjawab soalan tambahan Anthony Loke Siew Fook (DAP-Seremban) di Dewan Rakyat hari ini. Pada 17 Julai lalu, pesawat MH17 yang dalam penerbangan dari Amsterdam, Belanda ke Kuala Lumpur ditembak jatuh di wilayah bergolak di Donetsk, timur Ukraine dan membunuh kesemua 298 penumpang serta anak kapal. Terdahulu semasa menjawab pertanyaan lisan Siew Fook, Abdul Aziz berkata, bagi memastikan kejadian serupa tidak berulang, Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) telah menubuhkan jawatankuasa khas. Katanya, jawatankuasa itu seterusnya memutuskan bahawa notis kawasan bergolak perlu disalurkan terus ke sistem Notis Kepada Juruterbang (NOTAM), semua ahli ICAO dan syarikat penerbangan di seluruh dunia untuk tujuan keselamatan global. “Pihak ICAO juga akan mewujudkan sistem berpusat yang baharu untuk berkongsi maklumat mengenai mana-mana kawasan yang dikenal pasti sebagai berisiko tinggi untuk dilalui pesawat awam,” katanya

Kekalkan Akta Hasutan-Shahrizat Jalil

Kerajaan wajar meneruskan penggubalan Akta Keharmonian Nasional tetapi dalam masa yang sama juga harus mengekal dan menambahbaik Akta Hasutan 1948. Ketua Pergerakan Wanita UMNO Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata Akta Keharmonian Nasional adalah untuk mempromosi dan menggalakkan semangat harmoni serta saling hormat-menghormati dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini. Beliau berkata penggubalan akta itu bukan untuk bersifat menghukum, tetapi lebih menumpukan kepada elemen memupuk semangat saling hormat-menghormati antara kaum yang berbeza agama dan budaya. wanita“Akta Kehormanian Nasional boleh digubal bagi menyediakan peruntukan-peruntukan yang bertujuan menggalakkan perasaan muhibah sesama kaum dan keharmonian nasional,” katanya dalam ucapan dasar Ketua Pergerakan Wanita UMNO pada Perhimpunan Agung Wanita UMNO 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, hari ini. Pada masa sama, Shahrizat menegaskan kerajaan perlu mengekalkan Akta Hasutan 1948 dengan melakukan penambahbaikan yang bersesuaian serta mengambil kira keperluan menjaga hak-hak seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan, menjamin keselamatan rakyat dan kepentingan negara. Katanya elemen pencegahan dan hukuman perbuatan-perbuatan yang boleh mencetuskan ketidakharmonian sesama kaum dalam akta sedia ada itu hendaklah dikekalkan. Kerajaan sebelum ini bercadang untuk memansuhkan Akta hasutan 1948 dan menggantikan ia dengan akta baharu yang dikenali sebagai Akta Keharmonian Nasional. Shahrizat mengesyorkan agar mana-mana peruntukan dalam Akta Hasutan 1948 yang tidak lagi relevan dipinda atau dimansuhkan segera dengan mengambilkira keterbukaan kepimpinan Barisan Nasional ketika ini. Beliau berkata peruntukan yang menghalang rakyat mengkritik kerajaan dan pentadbiran boleh dimansuhkan demi menyediakan ruang yang lebih luas kepada rakyat untuk bersuara. “Saya berharap Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak serta kabinet akan berfikir panjang sebelum membuat keputusan untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948. Jangan menang sorak hari ini kampung digadai pada hari esok. Nanti jika tangis air mata darah sekalipun, kampung tidak akan kembali lagi,” katanya. Dalam perkembangan lain, Shahrizat berkata Wanita UMNO menggesa kerajaan Negeri mematuhi dan memastikan semua tanah rizab Melayu yang telah dibatalkan wajib diganti semula mengikut Enakmen Rizab Melayu Negeri masing-masing bagi mengekalkan pegangan tanah rizab untuk orang Melayu. Katanya terdapat beberapa negeri yang menyaksikan Tanah Rizab Melayu kian terhapus tanpa gantian wajib dan jika berlaku penggantian ia tidak setaraf dari segi nilai komersial. Sehubungan itu, beliau mencadangkan pindaan undang-undang dibuat dengan memberi kuasa kepada Peguam Negara bagi kepentingan umum untuk membuat permohonan terhadap Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri untuk mendapatkan tanah gantian serupa dengan tanah rizab Melayu yang telah lupus. Menyentuh mengenai isu pendidikan, Shahrizat yang juga bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mencadangkan agar Bahasa Arab, Mandarin atau Tamil dijadikan mata pelajaran pilihan di semua sekolah rendah dan menengah sebagai usaha melahirkan pelajar yang berkemahiran dalam pelbagai bahasa. “Alangkah indahnya jikalau generasi akan datang di Malaysia terdiri daripada generasi pelbagai bahasa ‘multi lingual’ yang petah bercakap dalam Bahasa Melayu, Inggeris, Arab, Mandarin, Tamil mahupun bahasa-bahasa lain seperti mana terdapat di banyak negara Eropah,” katanya.

Umno perlu mengenal pasti siapakah 'warlord' dalam parti

Umno perlu mengenal pasti siapakah 'warlord' dalam parti yang menyebabkan anggota dan masyarakat menjauhkan diri sehingga melemahkan parti, kata Anggota Majlis Tertinggi Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. Beliau berkata parti tonggak Barisan Nasional (BN) ini mesti melihat dengan serius dan memperbetul persepsi umum bahawa 'Umno dikuasai oleh warlord' bagi membolehkannya meraih kembali keyakinan rakyat untuk menyokong parti. "'Warlordism' yang dimaksudkan ini adalah dia menyebabkan orang lari daripada Umno. Ini yang perlu kita tentukan, siapa dia orang itu," katanya kepada Bernama semasa melawat Laman Media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini. Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika merasmikan secara serentak Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno malam tadi berkongsi pandangan orang muda yang melihat Umno antara lain dikuasai 'warlord'. "Kita perlu buktikan warlord bukan sebahagian daripada budaya Umno. Kita menolak sikap sekalangan yang cuba untuk kekal berkuasa dengan menabur kemewahan kepada pengikut," kata Muhyiddin. Mengenai peremajaan Umno yang dilihat menjadi fokus perhimpunan agung kali ini, Ahmad Shabery berkata perkara itu perlu diperhalusi agar hasrat berkenaan dapat diterjemah dengan tepat. "Ramai orang melihat soal peremajaan dan bagaimana Umno nak diremajakan. Apakah perlu pertukaran pucuk pimpinan dan di peringkat mana?," katanya. Ahmad Shabery, yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia, yang turut meninjau infrastruktur dan tahap kelajuan jalur lebar di Laman Media, berkata kemudahan berkenaan akan dipertingkatkan bagi memudahkan liputan secara masa nyata dapat dilakukan oleh pengamal media pada masa depan. Sebanyak 1,452 petugas media daripada 106 akhbar dan agensi berita dalam dan luar negara membuat liputan pelbagai program sempena Perhimpunan Agung Umno 2014.

Proses peremajaan UMNO memerlukan perubahan terhadap parti- Hishammuddin

Proses peremajaan dalam Umno memerlukan perubahan dilakukan terhadap parti yang dapat menarik minat generasi muda, dan bukan semata-mata perubahan dalam kepemimpinan parti dengan hanya dibarisi generasi muda. Sebaliknya, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, proses peremajaan itu melibatkan penambahbaikan pendekatan parti dalam mendengar dan mengambil tindakan proaktif terhadap suara 'orang muda' yang mempunyai tanggapan bahawa Umno kini parti 'feudal' dan mengalami defisit kepercayaan. Hishammuddin, yang juga Menteri Pertahanan, percaya impak peremajaan parti dapat memberi kesan positif terhadap kelangsungan parti itu, dan keyakinan rakyat terhadap Umno serta Barisan Nasional. "Apa yang diberitahu oleh Timbalan Presiden Umno (Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam ucapan pada perasmian perhimpunan agung tiga sayap Umno semalam) adalah satu pandangan yang ikhlas dan benar. "Kita perlu mendengarnya dan membuat perubahan," katanya kepada Bernama semasa melawat operasi pusat media bersempena Persidangan Agung Umno 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini hari ini. Beliau diminta mengulas ucapan Muhyiddin semalam yang berkata sudah tiba masanya Umno merekayasa perubahan untuk terus kekal relevan, dan menegaskan Umno sedang dipintas gerakan yang lebih canggih dan sesuai dengan selera masa kini. Hishammuddin berkata biarpun langkah transformasi dilakukan dengan menaikkan sekumpulan pemimpin muda dalam barisan kepimpinan parti dan kerajaan namun ia masih belum mencukupi. Umno, katanya, telahpun mengetengahkan pemimpin muda dalam pentadbiran negara dan negeri termasuk Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin, yang juga Menteri Belia dan Sukan, Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan (Timbalan Menteri Kewangan) dan anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Abdul Rahman Dahlan (Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan). Selain itu, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Datuk Seri Idris Haron pula menerajui kepimpinan peringkat negeri masing-masing di Perak dan Melaka, katanya. Hishammuddin berharap banyak cadangan dan usul dapat diperoleh daripada perbahasan pada perhimpunan agung kali ini bagi mencari penyelesaian berkesan untuk Umno mendekati golongan muda, yang kini dilihat lebih analitikal dalam penilaian mereka terhadap parti berkenaan. Beliau turut berharap rakyat negara ini mengambil iktibar daripada peristiwa yang berlaku di Iraq, Libya dan Syria apabila tindakan rakyat negara terbabit yang mahukan perubahan drastik dalam pentadbiran negara mereka telah menjejaskan ketenteraman serta kestabilan negara tersebut. "Negara-negara ini sehingga kini belum menemui penyelesaian terhadap konflik dalaman mereka, malah mereka diancam pengaruh IS (kumpulan militan Islamic State) dan pemberontakan. Apa yang kami harapkan perubahan itu biarlah berlaku dalam suasana yang aman," katanya.ERNAMA

Video kekejaman IS akan ditayangkan para sesi penggulungan PAU

Video dan foto kekejaman kumpulan militan Islamic State (IS) akan ditayang kepada perwakilan semasa sesi penggulungan Perhimpunan Agung Umno 2014, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Beliau berkata langkah itu bagi memberi peringatan bahawa ancaman kumpulan militan berkenaan benar-benar wujud dan perlu dicegah. "Kita nak tunjuk yang kalau tak bersatu-padu, inilah jadinya. Ancaman ini adalah benar. Jika mereka boleh membunuh orang Islam, mereka juga boleh membunuh bukan Islam. Inilah yang kita mahu cegah daripada berlaku di Malaysia," katanya kepada pemberita selepas bertemu pemimpin Hamas di Pusat Dagangan Dunia Putra pada Rabu. Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata demikian bagi mengulas Kertas Putih 'Ke Arah Menangani Ancaman Kumpulan Islamic State (IS)' yang dibentang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Parlimen. Kertas Putih itu, antara lain, mencadangkan undang-undang baharu bagi membanteras pembabitan rakyat Malaysia dalam aktiviti militan dan keganasan selain memperkasa beberapa undang-undang keselamatan sedia ada. Jelas Ahmad Zahid, penayangan video dan gambar kekejaman IS itu bukanlah bertujuan menakut-nakutkan rakyat sebaliknya mahu mereka sedar akan bahaya yang boleh dicetus kumpulan militan berkenaan. Katanya, ini kerana IS bekerjasama dengan kumpulan militan di selatan Filipina, Abu Sayyaf, dan telah berbai'ah mengenainya. Sementara itu, ketika ditanya tentang dakwaan wujudnya percanggahan pendirian antara presiden dan timbalan presiden Umno berkaitan isu sekolah satu aliran, Ahmad Zahid menafikan perkara berkenaan. Beliau berkata apa yang dimahukan Tan Sri Muhyiddin Yassin bukanlah mewujudkan sistem persekolahan satu aliran, sebaliknya kembali kepada sistem pendidikan nasional yang termaktub dalam Penyata Razak dan Penyata Rahman Talib. " ...untuk menjadikan institusi persekolahan sebagai institusi yang mengintegrasikan rakyat Malaysia keseluruhannya. Dan ini tidak bermakna bahawa sekolah alirannya pelbagai dijadikan satu aliran," katanya. Beliau berkata Muhyiddin, yang juga Menteri Pendidikan, mahu Bahasa Melayu diperkasa sebagai bahasa perpaduan di sekolah rendah dan menengah. Terdahulu, Ahmad Zahid mengadakan pertemuan selama sejam dengan pemimpin Hamas yang diketuai Ketua Hal Ehwal Politik Mohammad Naser bagi membincangkan isu berkaitan kebajikan dan pendidikan.

Dewan Rakyat lulus usul Kertas Putih menangani ancaman kumpulan IS

Persidangan Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul Kertas Putih 'Ke Arah Menangani Ancaman Kumpulan Islamic State (IS)', dengan jaminan kerajaan undang-undang baharu bagi menangani kegiatan kumpulan itu akan memberi penekanan terhadap aspek pencegahan dan pembanterasan. Ini dinyatakan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semasa menggulung perbahasan usul berkenaan. "Saya ingin beri jaminan bahawa kerajaan tidak akan mengikut acuan perundangan negara lain jika mahu mewujudkan akta antikeganasan, walaupun hakikatnya enam negara di dunia telah mewujudkan akta seperti itu," katanya. Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia meluluskan usul yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu, selepas mendapat lebih suara menyokong, berbanding membantah. Enam anggota Parlimen, masing-masing tiga daripada Barisan Nasional (BN) dan tiga pembangkang membahaskan usul Kertas Putih itu yang menjelaskan mengenai bahaya IS dan tahap ancaman kepada keselamatan negara. Ketika membentangkan usul itu pagi ini, Najib berkata kerajaan mencadangkan undang-undang baharu bagi membanteras penglibatan rakyat Malaysia dalam aktiviti militan dan pengganasan yang akan dibentangkan pada sesi Dewan Rakyat akan datang. Ketika membahas usul berkenaan, anggota-anggota Dewan termasuk Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh) menyokong dan menyambut baik usul berkenaan. Anwar berkata undang-undang baharu itu harus tegas dalam usaha menangani permasalahan pengganas dan tidak digunakan untuk kepentingan politik. Beliau turut meminta kerajaan memberi penjelasan lebih teliti mengenai kegiatan militan, terutama mengenai IS. Datuk Seri Noh Omar (BN-Tanjong Karang) pula meminta kerajaan mengembalikan penahanan tanpa bicara kerana undang-undang sedia ada seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) tidak cukup untuk menangani isu berkenaan. "Untuk jaga keselamatan dalam negara, walau apapun kita kena kembalikan tangkap tanpa bicara. Walaupun hari ini kita ada SOSMA dan POCA, tapi ini tidak cukup untuk atasi masalah pengganas," tegas Noh. Sementara itu, Ahmad Zahid memberitahu sidang media kemudian bahawa kebanyakan rakyat tempatan yang terlibat dengan kegiatan militan melahirkan kekesalan terhadap perbuatan mereka. "Mereka ini ada yang telah kembali ke tanah air dan penahanan telah dibuat. Daripada maklumat yang kami kumpulkan, mereka semua nyata tertipu dengan dakyah yang dibuat oleh individu yang merekrut mereka. Semuanya ternyata indah khabar daripada rupa," katanya. Jelasnya, mana-mana individu yang ditahan tetap akan didakwa di mahkamah di bawah SOSMA biarpun mereka menyesal dan berikrar tidak mengulangi kesalahan mereka. Tambah Ahmad Zahid, pasport mereka yang terlibat juga telah dibatalkan. Dalam pada itu, Ahmad Zahid menolak andaian akan wujud salah guna kuasa berhubung undang-undang yang bakal digubal untuk menangani kegiatan militan dan keganasan. Tegasnya, dakwaan itu tidak berasas kerana tumpuan kerajaan ketika ini adalah untuk menangani dan mengelak kegiatan keganasan membabitkan rakyat Malaysia. "Jangan ada kekhuatiran berlakunya penyalahgunaan kuasa oleh mana-mana menteri yang diberi tanggungjawab mengendalikannya," katanya.

Selasa, 25 November 2014

MEREKAYASA PERUBAHAN MENDEPANI ZAMAN", Teks penuh perasmian sayap oleh Timbalan Presiden UMNO

Bismillahirrahmanirrahim. اللَّهُمَّ صَلِّ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدِ، الْفَاتِحِ لِمَا أُغْلِقَ وَالْخَاتِمِ لِمَا سَبَقَ، نَاصِرِ الْحَقِّ بِالْحَقِّ، وَالْهَادِي إِلَى صِرَاطِكَ الْمُسْتَقِيْمِ وَعَلىَ آلِهِ حَقَّ قَدْرِهِ وَمِقْدَارِهِ العَظِيْمِ . Assalamu’alaikum warahmatullahi wa barakatuh, salam sejahtera dan salam 1Malaysia. YB Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil Ketua Pergerakan Wanita YB Sdr. Khairy Jamaluddin Ketua Pergerakan Pemuda YB Sdri. Mas Ermieyati Samsudin Ketua Pergerakan Puteri YB Naib-Naib Presiden UMNO YB Setiausaha Agung UMNO Ahli-ahli Majlis Tertinggi Barisan Exco Wanita, Pemuda dan Puteri Saudara-saudari sidang perwakilan, dif-dif jemputan dan para pemerhati sekalian 1. Alhamdulillah, puji dan syukur ke hadrat Allah s.w.t. serta selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad s.a.w., malam ini saya dan saudara-saudari semua yang mewakili Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO dari seluruh pelusuk negara, dapat sekali lagi berhimpun di Dewan Merdeka ini untuk mempertegaskan matlamat perjuangan parti kita, memperkukuhkan perpaduan dan merencana masa depan bangsa Melayu. Saya mengucapkan terima kasih kepada wanita, pemuda dan puteri UMNO kerana terus istiqamah berada dalam saf perjuangan parti kita. Hebatnya Hang Tuah sehingga kini, Kisahnya menjadi bualan zaman, Jiwa pejuang takkan terhenti, Selagi nyawa di kandung badan. SEJARAH PERJUANGAN UMNO Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian, 2. Parti kita UMNO telah mencapai usia 68 tahun. Telah banyak ranjau yang kita lalui dalam pelbagai keadaan, pelbagai cabaran dan pelbagai zaman. Kita telah melalui pasang surut asakan terhadap perjuangan kita. Alhamdulillah, walaupun kita diasak dan diterjah dengan pelbagai dugaan, Allah masih memberikan kemenangan kepada UMNO. Allah masih mentakdirkan UMNO memikul amanah kuasa pemerintahan ini. Namun, jangan kita lupa, jangan kita alpa. Allah juga menggilirkan kemenangan antara sesama manusia sebagai pengajaran kepada kita semua. Sebagaimana firman-Nya dalam surah Ali-Imran Ayat 140: إِن يَمۡسَسۡكُمۡ قَرۡحٌ۬ فَقَدۡ مَسَّ ٱلۡقَوۡمَ قَرۡحٌ۬ مِّثۡلُهُ ۥ‌ۚ وَتِلۡكَ ٱلۡأَيَّامُ نُدَاوِلُهَا بَيۡنَ ٱلنَّاسِ وَلِيَعۡلَمَ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَيَتَّخِذَ مِنكُمۡ شُہَدَآءَ‌ۗ وَٱللَّهُ لَا يُحِبُّ ٱلظَّـٰلِمِينَ Yang bermaksud: Jika kamu (dalam peperangan Uhud) mendapat luka (tercedera), maka sesungguhnya kaum (musyrik yang mencerobohi kamu) itu telah (tercedera juga dan) mendapat luka yang sama (dalam peperangan Badar) dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), Kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati Syahid dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim. 3. Inilah sunnatullah. Allah s.w.t. menggilirkan kemenangan dan kekalahan sesama manusia. Hatta antara kaum muslimin dan musyrikin pun, Allah menggilirkan kemenangan dan kekalahan sebagai peringatan kepada orang-orang yang beriman. Maka, dalam konteks UMNO, kemenangan yang kita perolehi dalam mana-mana pilihanraya tidak boleh menjadikan kita angkuh, sombong dan selesa. Cabaran terhadap perjuangan kita masih hebat, jalan yang perlu kita lalui masih berliku, ranjau di hadapan kita masih berduri. Maka, dalam perhimpunan kali ini, saya ingin mengajak saudara dan saudari supaya ikhlas dan jujur dengan diri kita sendiri. Kaji adakah parti kita berada dalam keadaan yang selamat? Adakah parti kita disenangi oleh sebahagian besar rakyat? Adakah parti kita bakal beroleh kemenangan dalam pilihanraya akan datang? 4. Saudara-saudari, jika kita himbau kembali sejarah penubuhan UMNO dalam konteks dunia pada waktu itu, UMNO berada di tengah-tengah kancah pertembungan antara fahaman nasionalis, fahaman komunis dan fahaman sosialis. Namun, UMNO berjaya membina identiti perjuangannya sendiri di atas semangat kebangsaan Melayu yang berteraskan Islam. Pada ketika itu juga, nasionalisme merupakan ideologi utama yang menggerakkan parti-parti politik di negara-negara tanah jajahan bangkit menentang penjajah. Alhamdulillah, berkat perjuangan UMNO, negara kita berjaya mencapai kemerdekaan. 5. Pada masa yang sama, sebagai sebuah parti yang toleran dan sederhana, UMNO berjaya merintis kerjasama dengan parti-parti yang mewakili kaum-kaum lain di negara kita untuk membina sebuah negara bangsa. Sebagai kerajaan pula, parti kita UMNO menerusi Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional telah berjaya mengekalkan kestabilan politik dan memacu kemajuan ekonomi dengan cara kita sendiri. Sehingga beberapa dekad yang lalu, UMNO adalah sinonim dengan sebuah ceritera kejayaan; ceritera sebuah negara yang aman dan stabil di sebalik kepelbagaian kaum dan agama. Hasil perjuangan UMNO, negara kita telah berganjak daripada sebuah negara miskin sewaktu merdeka kepada negara industri yang insya-Allah akan menjadi negara maju dalam beberapa tahun lagi di bawah gagasan besar Wawasan 2020. CABARAN PERUBAHAN ZAMAN 6. Namun, suasana politik hari ini sudah banyak berubah. Di seluruh dunia, nasionalisme bukan lagi ideologi utama. Malah, banyak parti nasionalis yang memperjuangkan kemerdekaan negara masing-masing telah berkubur. Selepas era perang dingin, liberalisme telah muncul sebagai ideologi yang dominan di seluruh dunia. Di bawah lembayung ideologi baharu ini, idea-idea Barat mengenai demokrasi, kebebasan dan kesamarataan tersebar secara meluas, termasuk di negara-negara Asia. Sama ada kita sedar atau tidak, kebangkitan gerakan demokrasi liberal dan masyarakat sivil yang memperjuangkan kebebasan dan kesamarataan mengikut neraca Barat telah memberi kesan yang besar kepada perjuangan UMNO. Memperteguh Kedudukan Istimewa Melayu dan Bumiputera 7. Hari ini, banyak pertubuhan dan individu yang sama ada secara langsung atau tidak langsung mempersoalkan hak keistimewaan Melayu, kedudukan istimewa agama Islam, kedudukan Raja-Raja Melayu, bahasa Melayu dan lain-lain lagi yang merupakan teras perjuangan UMNO. Apabila UMNO bersuara membela kepentingan Melayu, mereka kata UMNO rasis. Tetapi apabila kaum-kaum lain bangkit memperjuangkan hak kaum masing-masing, itu dikatakan hak kumpulan minoriti dalam sebuah negara demokrasi. Sama juga, apabila UMNO bangkit mempertahankan kedudukan Islam, UMNO dikatakan ekstrem, walhal Islam adalah Agama Persekutuan. Tetapi apabila kepentingan kumpulan agama lain diperjuangkan, itu dikatakan hak kebebasan beragama. Hari ini, perkara-perkara penting yang termaktub di dalam perlembagaan yang melindungi hak semua kaum secara saksama semakin dipersoalkan. 8. Suara kumpulan penentang ini semakin lantang sehingga kedengaran di forum-forum antarabangsa. Mereka menuduh UMNO mengamalkan diskriminasi dan zalim terhadap rakyat. Ini amat pelik bagi saya. UMNO yang dahulunya berjuang bermati-matian untuk membebaskan rakyat daripada cengkaman penjajah; UMNO yang memperjuangkan keadilan sosial; UMNO yang mempelopori politik kesederhanaan; hari ini, dalam zaman kebebasan ini, UMNO dituduh sebagai parti yang zalim, parti yang menindas, parti yang menjajah rakyat. Pendek kata, segala yang buruk dan keji itu adalah UMNO. Seolah-olah tiada setitik pun jasa UMNO kepada negara. Kebaikan yang ditabur ditutupi oleh debu-debu pembohongan, fitnah dan propaganda jahat. Demikianlah zaman telah berubah, pola fikir masyarakat telah berubah, cabaran kepada UMNO juga berubah. Agenda Ekonomi Bumiputera dan Merapatkan Jurang Ketidaksaksamaan Adalah Agenda Nasional Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian, 9. Perubahan juga berlaku dalam bidang ekonomi. Dahulu, pembangunan negara kita digembeleng oleh kerajaan. Kuasa kerajaan membolehkan kita melaksanakan program penstrukturan semula masyarakat menerusi Dasar Ekonomi Baru. Melalui dasar ini juga kita telah berjaya mengeluarkan masyarakat daripada belenggu kemiskinan dan menangani penguasaan ekuiti asing dalam ekonomi negara. Kita juga menetapkan sasaran pemilikan ekuiti Bumiputera sebanyak 30 peratus sekurang-kurangnya, dan penyertaan Bumiputera digalakkan dalam setiap sektor ekonomi. Dasar ini dibentuk agar ekonomi berkembang dan pengagihan berlaku secara adil dan saksama. Atas sifat bertimbang rasa dan semangat supaya kek ekonomi dapat dirasai oleh semua rakyat Malaysia, orang Melayu dan UMNO pada waktu itu tidak bersifat keterlaluan untuk meminta lebih daripada 30 peratus. 10. Walaupun sasaran pemilikan ekuiti Bumiputera tidak tercapai, namun Alhamdulillah, DEB telah berjaya mengagihkan kekayaan negara kita secara lebih saksama serta meningkatkan pendapatan kaum Bumiputera dan bukan Bumiputera. Tuduhan bahawa DEB kononnya satu dasar keterbelakang, menyekat pelaburan, menyebabkan brain drain dan hanya menguntungkan segelintir pihak yang ada kabel politik adalah tidak benar. Bagi saya, tuduhan meleset ini hanya dicipta oleh mereka yang sarat dengan kebencian. Banyak kajian ilmiah yang menunjukkan bahawa semua kaum mendapat manfaat daripada pelaksanaan DEB. Ini termasuk kajian mutakhir Dr Muhammed Abdul Khalid yang diterbitkan di dalam bukunya the Color of Inequality yang membuktikan bahawa DEB telah memberi manfaat kepada semua kaum dari segi pembasmian kemiskinan, peningkatan pendapatan, peluang pekerjaan, pemilikan ekuiti dan lain-lain. DEB telah mencapai sebahagian matlamat pengagihan ekonomi dan menyamaratakan peluang. Namun, masalah ketirisan memberikan kesan negatif kepada pencapaian matlamat asal DEB yang disasarkan oleh kepimpinan UMNO terdahulu. 11. Namun begitu, 24 tahun selepas pelaksanaan DEB berakhir, kita kembali mendengar keluh kesah dan gundah-gulana masyarakat Melayu. Dalam era pasca DEB, data terbaharu Jabatan Perangkaan Malaysia untuk tahun 2013 menunjukkan bahawa jurang ekonomi antara kaum masih wujud. Misalnya, median pendapatan bulanan isi rumah Bumiputera sebanyak RM3,282 masih rendah berbanding kaum Cina, iaitu RM4,643 dan kaum India sebanyak RM3,676. Dalam kumpulan isi rumah berpendapatan 40% terendah, 75.5% adalah Bumiputera. Pemilikan hartanah dalam kalangan Bumiputera juga masih jauh lebih rendah berbanding kaum-kaum lain. Hanya 36.3% transaksi bangunan hartanah kediaman melibatkan Bumiputera. Pemilikan hartanah bangunan industri dan perdagangan Bumiputera juga rendah iaitu 2.37% bagi hartanah industri dan 7.85% bagi hartanah perdagangan. 12. Begitu juga, satu kebenaran yang pahit untuk kita akui ialah kaum Bumiputera masih menerima layanan yang tidak saksama dalam sektor swasta. Kajian yang dilakukan oleh Dr Lee Hwok Aun dan Dr. Muhammed Abdul Khalid pada tahun 2012 mendapati bahawa bagi setiap seorang graduan Melayu yang dipanggil temu duga dalam sektor swasta, secara puratanya 5.3 graduan Cina ditemu duga, walaupun mereka mempunyai kelulusan yang sama. Data rasmi juga menunjukkan kadar pengangguran adalah tertinggi dalam kalangan tenaga kerja Bumiputera iaitu 70.3%, termasuk graduan menganggur sebanyak 66.9%. Kita juga sering mendengar keluhan pekerja Bumiputera yang menerima gaji lebih rendah berbanding kaum-kaum lain dalam sektor swasta. Pakar ekonomi Just Faaland, J.R Parkinson dan Rais Saniman membuktikan dalam buku mereka Growth and Ethnic Inequality: Malaysia’s New Economic Policy, bahawa pekerja Bumiputera menerima gaji 20 hingga 40 peratus lebih rendah berbanding bukan Bumiputera. 13. Secara umumnya, kedudukan ekonomi orang Melayu hari ini masih meruncing. Ketidaksaksamaan dalam masyarakat agak menggerunkan kita. Pada masa yang sama, kita berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam meneruskan agenda ekonomi Melayu. Kita bersaing dalam ekonomi yang lebih terbuka. Kita berhadapan dengan fahaman kesamarataan yang menentang sebarang pelaksanaan agenda Melayu. Menerusi pelbagai instrumen perjanjian perdagangan bebas antarabangsa, negara kita didesak supaya jangan lagi mengamalkan dasar untuk melindungi kepentingan kaum Bumiputera. Kononnya, dasar seperti ini merupakan penghalang kepada pembangunan ekonomi dan merencatkan pasaran. Padahal, dasar ini pernah digunakan oleh negara maju lebih setengah abad sebelum mereka mencapai tahap negara maju. 14. Kita sebenarnya sedang menongkah arus kapitalisme global dan ideologi pasaran bebas yang semakin melebarkan jurang ketidaksaksamaan. Seperti yang diakui oleh pemenang hadiah nobel ekonomi Joseph Stiglitz dalam bukunya The Price of Inequality, dasar ekonomi yang berasaskan teori dan ideologi yang salah telah memburukkan keadaan ketidaksaksamaan dalam masyarakat di seluruh dunia, termasuk di Eropah dan Amerika Syarikat. 14. Saya fikir sudah sampai masanya kita menilai kembali model ekonomi negara kita. Ya, benar pertumbuhan ekonomi negara sebanyak 6.3% adalah antara yang tertinggi di Asia; nilai pelaburan langsung asing sebanyak RM216.5 bilion pada tahun 2013 adalah antara yang terbaik dalam sejarah; kedudukan Malaysia dalam Laporan Dayasaing Global 2014 meningkat daripada nombor 24 ke nombor 20 daripada 148 buah negara. Semua ini menunjukkan bahawa pencapaian ekonomi negara kita amat memberangsangkan dan kita berada pada landasan yang betul untuk menjadi negara maju berpendapatan tinggi pada tahun 2020. 15. Tetapi di sebalik semua pencapaian ini, Yang Amat Berhormat Presiden dan saya selaku Timbalan sering memikirkan adakah kita boleh memejamkan mata dan memekakkan telinga dengan tidak berbuat apa-apa jika kaum Bumiputera yang merupakan 67.4% daripada rakyat negara kita masih berada dalam kumpulan berpendapatan rendah; jika 4 juta daripada 6.5 juta pekerja yang mencarum dalam KWSP di negara kita berpendapatan kurang RM2,000 sebulan; jika jurang ketidaksaksamaan di negara kita antara yang tertinggi di rantau ini; jika rakyat masih tidak mampu memiliki rumah sendiri. 16. Mengenai isu perumahan, ada ahli UMNO di akar umbi yang mengatakan kepada saya, rumah-rumah yang dibina dengan harga RM400,000 sebenarnya bukan rumah mampu milik, tetapi rumah mampu tengok sahaja. Pandangan ini ada juga kebenarannya. Menurut Kajian Khazanah Research Institute, harga rumah mampu milik yang sewajarnya adalah 3 kali median pendapatan isi rumah, iaitu bagi kumpulan pendapatan isirumah 40% terbawah dengan harga RM70,000 dan kumpulan berpendapatan sederhana pada harga RM160,000 atau pada purata harga RM130,000. Rumah-rumah yang dibina dengan harga yang terlalu mahal, terutamanya di kawasan-kawasan bandar dan pinggir bandar, sudah tentulah tidak mampu dibeli oleh rakyat berpendapatan rendah dan sederhana. 16. Saudara-saudari, persoalannya nanti, ketika negara kita mencapai sasaran Pelan Transformasi Ekonomi dengan nilai GNI RM1.7 trillion, dengan pendapatan perkapita RM48,000, dengan penambahan 3.3 juta pekerja berkemahiran dan RM1.4 trillion pelaburan daripada sektor swasta dan kerajaan, berapakah daripada jumlah sasaran ini akan turun mengalir menjadi milik kaum Bumiputera? Dalam keghairahan kita meletakkan sasaran besar untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi, kita juga harus menetapkan sasaran yang jelas untuk kaum Bumiputera dan memastikan kekayaan negara kita dapat diagihkan kepada semua rakyat baik di kota mahupun di desa, di semenanjung mahupun di Sabah dan Sarawak, baik kumpulan berpendapatan tinggi mahupun kumpulan pertengahan dan 40% terbawah, semuanya – kulluhum ajma’in - perlu dipastikan mendapat peluang yang adil dan saksama. 17. Saudara-saudari, kita sebenarnya amat memerlukan satu model ekonomi yang benar-benar dapat memastikan pertumbuhan disertai dengan pengagihan yang saksama. Kita tidak boleh membiarkan majoriti rakyat negara kita terpinggir dan tersisih daripada arus kemajuan ekonomi negara. Apatah lagi, ketidaksaksamaan dalam masyarakat kita hari ini bukan lagi merupakan masalah kaum semata-mata, tetapi juga masalah kelas. Kita sedang menghadapi masalah jurang yang besar antara golongan kaya dan golongan miskin, jurang antara etnik dan intra etnik,jurang antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak, jurang antara masyarakat bandar dan luar bandar, jurang antara CEO, pengurusan kanan syarikat dan pekerja bawahan. Semua ini jika dibiarkan berterusan akhirnya akan menjejaskan pencapaian ekonomi negara kita secara keseluruhan. 18. Sebagai mewakili suara orang Melayu dan Bumiputera, saya ingin tegaskan supaya pendekatan, dasar dan strategi yang lebih berkesan untuk merapatkan jurang kaum dan kelas dilaksanakan segera. Kita perlu memberikan tumpuan dan keutamaan kepada program latihan peningkatan kemahiran pekerja Bumiputera, memperbaiki mekanisme subsidi, menangani diskriminasi dalam sektor pekerjaan, memperkemaskan perundangan, pengawalan dan penguatkuasaan terhadap pekerja asing, memperkenalkan dasar mengenai peningkatan dan pengawalan pendapatan pekerja, menambah mekanisme percukaian yang lebih berstruktur (targeted), meningkatkan insentif bagi membantu keluarga menambah kekayaan, menyediakan ekosistem kondusif kepada pelajar luar bandar dan miskin bandar, menekankan semula pembangunan luar bandar, memperluaskan jaringan keselamatan sosial, dan menyasarkan tindakan afirmatif berdasarkan keperluan (need-based) khusus untuk kumpulan isi rumah 40% terbawah tanpa mengira kaum. Jangan ada mana-mana pihak yang cuba mempersoalkan tindakan pembetulan ini sebagai agenda perkauman. Ini adalah agenda negara. 19. Oleh itu, kita perlu menjadikan Agenda Bumiputera sebagai Agenda Nasional, bukan agenda kaum. Majlis Ekonomi Bumiputera yang dipengerusikan oleh YAB Presiden mempunyai peranan penting untuk mengkaji secara terperinci kedudukan ekonomi Bumiputera, merencana hala tuju masa depan ekonomi Bumiputera, termasuk memperkukuhkan instrumen dasar, institusi dan inisiatif memajukan ekonomi Bumiputera. Saya mencadangkan supaya Agenda Bumiputera serta dasar dan strategi merapatkan jurang ekonomi dijadikan teras utama Rancangan Malaysia Ke-11 yang merupakan lonjakan terakhir Malaysia untuk menjadi negara maju. Agenda Bumiputera sebagai Agenda Nasional tidak boleh dilaksanakan secara picisan atau terpisah daripada kerangka besar ekonomi negara. Ia mesti dilaksanakan secara inklusif, komprehensif dan merentasi semua sektor ekonomi. Saya juga mencadangkan satu Dasar Ekonomi Nasional yang baharu dirangka untuk memacu inisiatif kesaksamaan ke hadapan. Apatah lagi, tanggungjawab merapatkan jurang kaya dan miskin adalah perintah Allah s.w.t. kepada kita sepertimana firman-Nya dalam Surah Al-Nahl, Ayat 71: وَٱللَّهُ فَضَّلَ بَعۡضَكُمۡ عَلَىٰ بَعۡضٍ۬ فِى ٱلرِّزۡقِ‌ۚ فَمَا ٱلَّذِينَ فُضِّلُواْ بِرَآدِّى رِزۡقِهِمۡ عَلَىٰ مَا مَلَڪَتۡ أَيۡمَـٰنُہُمۡ فَهُمۡ فِيهِ سَوَآءٌ‌ۚ أَفَبِنِعۡمَةِ ٱللَّهِ يَجۡحَدُونَ Yang bermaksud: “Dan Allah telah melebihkan sebahagian daripada kamu atas sebahagian yang lain pada rezeki yang dikurniakan-Nya dalam pada itu, orang-orang yang diberi kelebihan itu tidak mahu memberikan sebahagian daripada kelebihan hartanya kepada hamba-hamba mereka, supaya orang-orang itu dapat sama mempunyai harta. Maka mengapa mereka tergamak mengingkari nikmat Allah itu dengan perbuatan syirik?” Memperkukuhkan Manhaj Wasatiyyah Dalam Menangani Cabaran dan Ancaman Terhadap Islam Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian, 20. Kita juga sedang menghadapi pelbagai cabaran baharu dalam soal agama. Saban hari saya mendengar keluh kesah orang Melayu yang bimbang dengan kesan faham liberalisme dan sekularisme ke atas aqidah umat Islam. Hari ini kita banyak mendengar kes-kes pelanggaran syariat yang dilakukan atas nama kebebasan dan hak asasi. Penghinaan ke atas umat Islam juga dilakukan secara terbuka. Selain itu, umat Islam juga sedang berhadapan dengan ancaman ekstremisme dan militanisme yang sekiranya tidak dibendung segera akan memberi kesan buruk kepada negara. 21. Apa yang lebih membimbangkan ialah wujudnya trend sekularisasi dalam agama, iaitu agama dilihat dalam neraca ideologi sekular liberal Barat yang tercabut daripada akar Syariat. Trend ini sedang berkembang di seluruh dunia. Misalnya, majalah Economist keluaran bulan Oktober yang lalu memberikan gambaran yang agak mengejutkan mengenai amalan perkahwinan sejenis yang dilarang oleh syariat Islam dan juga oleh agama-agama lain. Menurut majalah ini, dalam tahun 1950-an, perkahwinan sejenis tidak diterima di hampir semua negara di dunia. Namun, dalam tempoh hanya enam dekad, yang disebut sebagai “the leap forward”, hari ini 113 negara atau 63% daripada keseluruhan negara di dunia telah mengiktiraf perkahwinan sejenis atas nama menghormati hak asasi dan kesamarataan. 22. Keadaan ini menimbulkan keresahan dalam kalangan orang Melayu dan umat Islam. Mereka bimbang sekiranya gejala sekularisasi agama ini tidak segera dibendung, maka benteng aqidah dan syariat yang sekian lama dipertahankan oleh umat Islam akan runtuh dirempuh arus liberalisme. Dalam konteks perjuangan UMNO, semua ini merupakan cabaran baharu yang tidak pernah kita lalui sebelum ini. Kalau dahulu kita cuma berhadapan dengan asakan PAS yang cuba membuktikan siapa lebih Islam. Tetapi hari ini kita berada di luar kancah perlumbaan ini. Kita sedang berada dalam dunia pasca-moden yang menganggap agama sebagai penghalang kepada kebebasan manusia. Dalam realiti hari ini, semakin ramai pula pihak yang cuba membuktikan siapa lebih liberal, bukan siapa lebih Islam. 23. Saudara-saudari, UMNO sebagai parti tunjang Melayu-Islam tidak pernah dan tidak akan sesekali meminggirkan agenda memartabatkan Islam daripada dasar perjuangan kita. Ia sudah lama termateri dalam Perlembagaan UMNO sebagaimana peruntukan Fasal 3.3 yang menjelaskan bahawa asas dan tujuan UMNO adalah untuk menegak, mempertahankan dan mengembangkan Islam. Malah sejak 57 tahun kita merdeka, UMNO-lah yang telah banyak membangunkan Islam di negara ini dalam segenap sektor sama ada pendidikan agama, ekonomi dan kewangan Islam, pembangunan sosial, pentadbiran mahupun perundangan Syariah. 24. Pendekatan UMNO sejak dahulu, kini bahkan selamanya berpaksikan kepada orientasi atau manhaj Wasatiyyah. Yang dimaksudkan dengan Wasatiyyah bukanlah pendekatan yang bersifat ‘al-ghuluw wa ttatarruf fiddīn’ iaitu bersifat melampau dan keras dalam pendekatan beragama hingga terjerumus kepada perlakuan yang kaku dan beku, dan terbawa-bawa kepada perlakuan militan yang merosakkan agama. Wasatiyyah juga tidak bersifat ‘al-tasāhul fiddīn’ iaitu memperlonggar dan mempermudahkan agama hingga ke peringkat liberal yang menyesatkan. 25. Sebaliknya pendekatan wasatiyyah yang diamalkan UMNO adalah konsep kecemerlangan dan kesederhanaan umat yang berpaksikan Syariat Islam. Sememangnya maksud wasatiyyah di dalam Islam adalah berlegar sekitar konsep keadilan, kecemerlangan, pilihan terbaik dan perimbangan dalam segala perkara. Boleh dikatakan perkataan-perkataan ini adalah kata kunci dalam memahami konsep wasatiyyah dalam Islam. Pendekatan ini jelas diisyaratkan di dalam Al-Quran, surah Al-Baqarah, Ayat 143: وَكَذَٲلِكَ جَعَلۡنَـٰكُمۡ أُمَّةً۬ وَسَطً۬ا لِّتَڪُونُواْ شُہَدَآءَ عَلَى ٱلنَّاسِ وَيَكُونَ ٱلرَّسُولُ عَلَيۡكُمۡ شَهِيدً۬ا‌ۗ Yang bermaksud: “Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang terpilih lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberikan keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah)". 26. Sebab itulah saudara-saudari sekalian, sebagai pendokong perjuangan suci ini, kita sebagai pejuang UMNO bermanhaj wasatiyyah harus tegas menentang gejala esktremisme dan militanisme yang ketika ini begitu cepat mempengaruhi anak-anak muda yang mahukan jalan pintas ke syurga. Kita juga tidak akan berkompromi dengan mereka yang cuba memesongkan makna wasatiyyah yang cukup sinonim dengan prinsip kesederhanaan Islam atau moderation dengan membawa ideologi songsang seperti liberalisme dan sekularisme. 27. Kita juga tidak boleh lagi berada dalam khutub khanah lama untuk mencari penyelesaian baharu kepada kemelut yang dihadapi oleh umat Islam hari ini. Kita perlu meneroka ilmu dan kemahiran terkini untuk menangani cabaran semasa. Bagi saya, di sinilah letaknya peri penting tradisi keilmuan di dalam UMNO. Seluruh ahli UMNO perlu menambah khazanah ilmu di dada bagi mendepani cabaran masa kini. 28. Saya fikir budaya membuat laporan polis dan mengangkat sepanduk dalam menghadapi asakan terhadap akidah dan syariat Islam bukan lagi jawapan yang tuntas kepada kemelut yang dihadapi oleh ummah. Kita perlu memperbanyak perbincangan, penerbitan dan wacana mengenai kebebasan dan hak asasi manusia menurut persepektif Islam dan juga bagaimana Islam menghadapi tantangan sekularisme. Kita perlu menangani trend sekularisasi dalam agama ini dengan keteguhan akidah dan ketajaman minda, bukannya diselubungi oleh ketegaran emosi. Di samping itu, institusi-institusi Islam perlu diperkasa, penguatkuasaan undang-undang Islam perlu dipertegas dan kerjasama UMNO dengan NGO-NGO Islam perlu diperkukuh. Bunga kesidang si bunga tanjung, Tumbuh di laman mekar berkembang, Agama dijulang Bangsa dijunjung, Begitulah UMNO terus berjuang. Pendidikan Sebagai Wahana Kemajuan dan Perpaduan Nasional Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian, 29. Kita juga menghadapi cabaran baharu dalam bidang pendidikan. Peranan pendidikan sebagai wahana untuk bangsa Melayu meningkatkan taraf sosio ekonomi menjadi lebih penting. Jika dahulu fokus kita dalam bidang pendidikan ialah untuk meningkatkan kadar enrolmen dan membasmi buta huruf. Hari ini, sasaran dalam bidang pendidikan telah berganjak kepada melahirkan tenaga manusia yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi. Dalam dunia yang semakin kompetitif hari ini, memiliki kelayakan di peringkat menengah sahaja tidak memadai. 30. Sebagai parti yang memperjuangkan nasib Bumiputera, UMNO perlu memberi perhatian secara lebih serius kepada usaha meningkatkan kemahiran tenaga kerja Bumiputera. Data terkini menunjukkan 64.3% tenaga buruh Bumiputera mempunyai sijil SPM dan ke bawah. Hanya 27.8% berpendidikan tinggi. Keadaan ini tidak memberikan kelebihan kepada kaum Bumiputera untuk bersaing dalam pasaran kerja yang semakin kompetitif. Oleh itu, kita perlu berani berganjak untuk melihat pendidikan sebagai komponen penting dalam meningkatkan pencapaian Bumiputera. Di samping memberikan fokus kepada pencapaian di peringkat pengajian tinggi, kita juga perlu memberi tumpuan kepada bidang latihan teknikal dan vokasional untuk meningkatkan kemahiran dan daya saing pekerja Bumiputera. 31. Di samping itu, kita jangan lupa peranan pendidikan sebagai wahana perpaduan dan wahana untuk membina identiti nasional. Kerana itu saya sering menegaskan kepentingan kita memperkasakan sekolah kebangsaan sebagai sekolah perpaduan. Jika murid daripada semua kaum dapat belajar di bawah satu bumbung dengan meningkatkan penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan, maka saya yakin perpaduan di negara kita akan menjadi lebih kukuh. Hari ini, polarisasi kaum masih wujud sebahagiannya kerana politik kebencian yang dimainkan oleh sesetengah pihak. Sensitiviti kaum tidak dipedulikan, institusi Raja dimomokkan, malah wujud cabar mencabar antara agama. Saya percaya, kita boleh mengembalikan kepercayaan antara kaum melalui satu sistem pendidikan kebangsaan yang memberi keutamaan kepada perpaduan nasional. 32. Matlamat ini boleh kita capai jika kita meletakkan asas-asas yang kukuh untuk perpaduan dalam sistem pendidikan kita. Ini termasuklah memperkasa Bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan dan menjadikan perpaduan nasional sebagai agenda utama semua aliran persekolahan di negara kita, termasuk di sekolah jenis kebangsaan, sekolah agama rakyat, sekolah swasta dan lain-lain. Jangan lagi ada kisah murid yang tidak tahu berbahasa Melayu, sedangkan bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan negara kita. Jangan lagi ada insiden kenyataan berbaur perkauman dikeluarkan oleh guru atau murid di sekolah. Jangan lagi ada perasaan prejudis kaum dan agama yang tebal dalam kalangan rakyat negara kita. Saya fikir, tempoh 57 tahun merdeka sudah cukup untuk kita hapuskan segala rasa prejudis dan syak wasangka antara kaum. Tinggal lagi, kita semua, baik parti politik, pertubuhan bukan kerajaan, gerakan pendidikan Melayu, Cina, India dan kaum-kaum lain, perlulah ada keikhlasan, ada kejujuran, dan ada kesungguhan untuk memupuk perpaduan. Jangan kita bercakap mengenai perpaduan, tetapi pada masa yang sama bertindak menebalkan tembok pemisahan kaum. 33. Pada hemat saya juga, dalam semangat untuk mengikis sikap prejudis sesama rakyat, adalah wajar kerajaan mengambil tindakan tegas dalam membendung kenyataan-kenyataan yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama daripada memercikkan api perbalahan. Adalah lebih baik kita mencegah daripada nantinya terpaksa merawat luka permusuhan yang parah. Kerana itu saya telah menyatakan pendirian saya mengenai Akta Hasutan. Bagi saya, Akta ini wajar dikekalkan dengan beberapa penambahbaikan. Peruntukan khusus perlu dimasukkan untuk melarang mana-mana pihak daripada mempersoalkan jaminan perlembagaan mengenai kedudukan agama Islam sebagai Agama Persekutuan. Akta ini juga perlu menghalang mana-mana pihak daripada mempersoalkan hak penganut agama lain untuk mengamalkan kepercayaan agama masing-masing. Begitu juga dengan kedudukan tanah rezab Melayu dan Regimen Askar Melayu DiRaja yang merupakan sebahagian daripada wasiat Raja-Raja Melayu perlu dilindungi daripada perbuatan menghasut. Apa yang penting ialah kita perlu melihat Akta Hasutan bukan sebagai akta yang hanya melindungi kepentingan orang Melayu, tetapi akta yang memelihara perpaduan dan keharmonian nasional. PERSEPSI ORANG MUDA TERHADAP UMNO Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian, 34. Hari ini, parti kita sedang menyongsong perubahan. Sebagai parti yang memperjuangkan kemerdekaan, UMNO telah banyak berjasa kepada orang Melayu dan rakyat Malaysia.Tiada siapa yang boleh menafikan sumbangan UMNO kepada agama, bangsa dan tanah air. Tetapi, survival parti kita pada masa hadapan tidak boleh bergantung semata-mata kepada rekod sumbangan kita pada masa lalu. Rakyat, khususnya orang Melayu, ingin melihat apa sumbangan UMNO kepada mereka dalam mengharungi cabaran masa hadapan yang lebih getir. Untuk itu, kita perlu mempersiapkan UMNO untuk menjadi parti masa hadapan, parti harapan umat Melayu, parti idaman generasi muda Melayu dan parti yang sesuai dengan dinamika politik nasional. 35. Terus terang saya katakan saya agak bimbang melihat perkembangan hari ini. UMNO masih bertahan di kampung-kampung, tetapi semakin hilang sokongan masyarakat bandar yang lebih terbuka, lebih terdedah kepada pelbagai maklumat dan lebih sofistikated dari segi pemikiran, nilai dan cara hidup. Dalam pilihanraya umum yang lalu, UMNO kalah di kebanyakan kawasan bandar majoriti Melayu. Kita kalah di Shah Alam, Ampang, Lembah Pantai, Bangi, Kuantan, Kuala Terengganu, Kota Bharu dan banyak kawasan lain yang suatu ketika dahulu merupakan kubu kuat UMNO. Kita juga kalah teruk di Selangor yang merupakan negeri termaju di Malaysia. 36. Dalam rangka menyediakan ucapan saya pada malam ini, saya mendapatkan pandangan pemuda dan pemudi Melayu mengenai UMNO. Mereka terdiri daripada graduan muda, golongan profesional, aktivis masyarakat, usahawan dan ahli akademik. Bagi saya, pandangan orang muda terhadap UMNO adalah penting dalam menentukan survival UMNO. Orang muda merupakan pewaris perjuangan parti kita, dan pandangan mereka tentang UMNO akan menentukan jatuh bangunnya UMNO pada masa hadapan. 37. Saya bertanya kepada mereka apa persepsi mereka terhadap UMNO? Apa aspirasi mereka? Apa harapan mereka? Apa kebimbangan mereka? Apa perkara penting yang hendak disampaikan kepada UMNO? Saya minta supaya mereka bercakap secara jujur, ikhlas dan terbuka. Saya ingin tahu apa yang perlu UMNO lakukan supaya anak-anak muda di luar sana ghairah untuk berada bersama-sama kita dalam saf perjuangan UMNO. 38. Izinkan saya berkongsi pandangan mereka dengan saudara dan saudari pada malam ini. Pertama, mereka kata UMNO sedang mengalami trust deficit atau defisit kepercayaan; kedua, UMNO ini parti feudal; ketiga, dalam UMNO ada budaya play safe dan budaya pak turut; keempat, UMNO dikuasai oleh warlord; dan kelima, UMNO diancam oleh budaya ugut dan budaya tabur. Ini kata mereka. 39. Mereka menjelaskan satu persatu kepada saya apa yang mereka maksudkan dengan kelima-lima perkara ini. Mengenai defisit kepercayaan, mereka beritahu saya mereka sebenarnya sokong perjuangan UMNO. Mereka sayang kepada UMNO. Bagi mereka tidak ada parti lain yang boleh diharapkan untuk mempertahankan agama, bangsa dan tanah air melainkan UMNO. Cumanya, mereka ingin melihat pemimpin UMNO di setiap peringkat lebih berintegriti, lebih amanah, lebih jujur, lebih telus, tidak terpalit dengan gejala rasuah, tidak menonjolkan kemewahan yang berlebihan, tidak bergaduh sesama sendiri dan sebagainya. Jika ini boleh dilakukan, maka orang muda akan percaya semula kepada UMNO. 40. Mereka juga tidak mahu UMNO terlalu terikat dengan hirerki hingga mewujudkan gambaran parti kita menjadi parti feudal sehingga orang bawah tidak boleh bersuara selagi orang atas tidak bersuara. Sehinggakan hendak beri pandangan pun kena tengok apa orang atas kata. Kalau orang atas kata A, maka yang di bawah mesti kata A. Kalau orang atas kata B, yang di bawah pun mesti kata B. 41. Menurut mereka lagi, orang muda dalam UMNO mempunyai idea-idea yang bernas tetapi merasakan lebih baik diam daripada bercanggah pandangan dengan orang atas. Ada yang kata kalau bercakap lebih sedikit nanti dianggap hendak memandai. Ada pula yang beri nasihat orang muda mesti berhati-hati dalam politik. Jangan terlalu menonjol. Jangan terlalu laju. Nanti kena sekat, nanti kena cantas, kena kerat, kena sabo, kena cah keting, kena terajang dan lain-lain lagi. Jadi, lama-kelamaan mereka fikir lebih baik diam daripada bercakap, atau lebih selamat jadi pak turut saja. Seolahnya ada satu budaya play safe, atau budaya pilih jalan selamat dalam UMNO. 42. Akibatnya, dalam UMNO, lebih ramai orang memilih untuk berdiam diri daripada bercakap. Ini mewujudkan persepsi bahawa parti kita sedang dilanda budaya kelesuan. Akhirnya, orang Melayu dan rakyat tertanya-tanya di mana suara keramat UMNO? Di mana taring Pemuda? Di mana ketegasan Wanita? Di mana kelantangan Puteri? Kesannya, kita seolahnya ketandusan pemimpin untuk menjuarai kepentingan orang Melayu. Sehinggakan timbul cakap-cakap di luar sana yang mengatakan NGO Melayu lebih lantang daripada UMNO dalam memperjuangkan hak dan kepentingan Melayu. 43. Bagi saya, kita perlu membuktikan bahawa UMNO bukannya sebuah parti yang lesu. UMNO bukannya parti yang mempunyai budaya pak turut, budaya nyanyi, budaya puji, budaya lambung, budaya ampu sana ampu sini. UMNO adalah parti yang berwibawa, parti yang ada idealisme, parti yang ada masa depan, parti pilihan anak-anak muda. Ingatlah, orang muda hari ini tidak suka jadi pak turut. Mereka naik geli dengan budaya ampu. Mereka benci budaya sabo. Mereka tolak budaya cah keting. Jika kita boleh buang semua budaya negatif ini jauh-jauh, saya yakin UMNO akan menjadi parti pilihan orang muda. 44. Satu lagi ialah budaya warlord. Ramai yang beritahu saya dalam UMNO ada banyak warlord. Mereka ini amat berkuasa kerana mempunyai ramai pengikut setia yang sanggup melakukan apa sahaja untuk mereka. Dengan sokongan pengikut, warlord akan mengugut pemimpin atasan parti untuk berikan apa sahaja yang mereka minta. Jika tak diberi, mereka akan sabo parti dalam pilihan raya. 45. Kita perlu buktikan bahawa warlord bukan sebahagian daripada budaya UMNO. Kita menolak sikap sekalangan yang cuba untuk kekal berkuasa dengan menabur kemewahan kepada pengikut. Sehinggakan ada yang kata tak payah buat kerja dalam UMNO. Yang perlu dibuat ialah kumpul kekayaan untuk tabur kemewahan kepada pengikut supaya mereka sentiasa setia. Keadaan ini menyebabkan kos politik menjadi semakin mahal. Yang tiada wang tidak boleh masuk politik. Walaupun ada bakat, ada kelulusan, ada kebolehan, mereka tak mampu untuk bergerak aktif dalam parti jika tiada wang. Saya bimbang, akhirnya nanti yang naik dalam hirerki parti adalah orang yang ada wang, bukan orang yang ada kebolehan. Orang kata money is everything in politics. No money, no talk. Seolahnya, wang adalah kuasa, wang adalah segala-galanya. 46. Saya kadang kala terfikir adakah sudah tidak ada keikhlasan dan kejujuran dalam perjuangan? Adakah sudah tidak ada nilai pengorbanan dalam politik? Adakah pengikut menilai pemimpin semata-mata berdasarkan kemampuan mereka untuk tabur kemewahan? Adakah pemimpin mengukur kesetiaan pengikut berdasarkan harga yang mereka bayar? Bagi saya, budaya ugut dan tabur ini amat bahaya kepada parti kita. Budaya ini akan menyebabkan politik wang berleluasa di dalam parti. Pengikut yang terima wang akan suka. Mereka puji pemimpin yang boleh beri sesuatu kepada mereka. Tetapi jangan kita lupa. Rakyat di luar sana tak suka politik wang. Mereka curiga bila lihat orang politik hidup mewah. Tak setimpal dengan pendapatan. Apatah lagi jika ada yang suka menunjuk-nunjuk kemewahan. Rakyat akan mula menuduh bermacam perkara yang tidak baik terhadap parti kita. Inilah punca masalah trust deficit atau defisit kepercayaan terhadap UMNO. Jadi, ingatlah. Apa guna kita naik dalam hirerki parti, tetapi rakyat menolak parti kita kerana mereka tidak suka dengan imej dan sikap kita. 47. Apa yang saya sebutkan ini adalah persepsi dan kritikan orang muda terhadap UMNO. Barangkali ada yang betul, ada juga yang kurang tepat. Tetapi mengambil yang baik daripada kritikan ini adalah lebih afdal. Ini membuktikan bahawa UMNO adalah parti yang terbuka dan kita sentiasa bermuhasabah. Sepertimana firman Allah s.w.t. dalam Surah Al-Zumar Ayat 18: ٱلَّذِينَ يَسۡتَمِعُونَ ٱلۡقَوۡلَ فَيَتَّبِعُونَ أَحۡسَنَهُ ۥۤ‌ۚ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ ٱلَّذِينَ هَدَٮٰهُمُ ٱللَّهُ‌ۖ وَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمۡ أُوْلُواْ ٱلۡأَلۡبَـٰبِ Yang bermaksud: Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya (pada segi hukum agama); mereka itulah orang-orang yang diberi hidayat petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna. HARAPAN ORANG MUDA TERHADAP UMNO Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian, 48. Sebenarnya, orang muda dan umat Melayu seluruhnya menaruh harapan yang tinggi kepada UMNO. Mereka tidak menolak perjuangan UMNO. Mereka mahu supaya pemimpin UMNO tegas memperjuangkan kepentingan Melayu dan Islam, tetapi pada masa yang sama tidak dilihat terlalu ekstrem perkauman atau terlalu liberal. Mereka percaya bahawa dalam sebuah masyarakat pelbagai kaum, UMNO perlu bersikap adil terhadap kaum-kaum lain, tetapi tidaklah sampai menggadaikan asas dan prinsip perjuangan UMNO. Pendek kata, orang muda mahu UMNO terus menjadi parti yang sederhana, parti yang berjaya mengekalkan keseimbangan dalam hubungan kaum dan agama. Apa yang penting ialah pemimpin UMNO mesti dilihat lebih ikhlas, lebih jujur, lebih telus, lebih adil dan lebih berwibawa dalam menggalas perjuangan parti. 49. Saya fikir orang muda mempunyai pemikiran yang agak kritis. Apabila ada perkara yang dilihat tidak cocok dengan idealisme mereka, maka mereka akan mengkritik.Tetapi itulah lumrah orang muda. Itulah juga kekuatan orang muda. Mereka yakin dengan idealisme mereka dan berani memperkatakan apa yang mereka fikir benar. Mereka ada courage – iaitu keberanian - dan ada conviction - yakni keyakinan yang teguh dengan apa yang mereka fikirkan benar. Kedua-dua sifat inilah yang menjadikan orang muda ada kewibawaan, ada ketokohan, ada keupayaan untuk memimpin. 50. Jadi, dalam proses untuk melengkapkan perubahan dan peremajaan UMNO, untuk menjadikan UMNO sebagai parti harapan orang muda, parti idaman, parti masa depan, saya mencadangkan 7 langkah pembaharuan yang perlu kita laksanakan segera: Pertama, UMNO perlu melahirkan pemimpin muda yang berwibawa dan menjadi peneraju pemikiran (opinion leader) di dalam masyarakat. Garap idealisme orang muda. Galakkan budaya berfikir dan bersuara dalam UMNO. Pemimpin muda yang ada idealisme, ada wibawa dan berani bersuara perlu diketengahkan untuk menjuarai isu-isu rakyat, menjadi jurucakap parti, bukan diketepikan oleh parti; Kedua, UMNO perlu melakukan pencarian bakat. Kita perlu menyediakan platform untuk orang muda daripada golongan profesional, intelektual, agamawan, aktivis sosial dan lain-lain yang diterima oleh masyarakat untuk bergerak aktif dalam UMNO. Paltform ini perlu diwujudkan di peringkat pusat, negeri dan bahagian. Contohnya, mereka yang berbakat boleh dilantik ke unit-unit tertentu di dalam parti dan diberi peranan untuk menyumbang kepada parti. Kita juga perlu ketengahkan mereka yang berbakat dan berkaliber untuk menjadi calon dalam pilihanraya. Mereka ini tidak semestinya berjawatan tinggi dalam parti. Pengalaman kita dalam pilihanraya kecil Pengkalan Kubor dan Kuala Besut menunjukkan calon yang tidak berjawatan tinggi di peringkat bahagian boleh menang kerana mereka diterima oleh rakyat; Ketiga, wujudkan modul pengkaderan dan pentarbiyahan yang tersusun untuk melahirkan lebih ramai pemimpin muda UMNO yang bijak, petah dan tangkas berhujjah serta teguh daya rohaninya. Kita perlu membentuk UMNO dengan kalangan ahlinya yang punya kekentalan semangat serta menghayati prinsip dan matlamat perjuangan parti yang sebenar. Beri mereka kekuatan untuk mengolah perjuangan UMNO yang lebih segar dalam konteks cabaran semasa. Jadikan mereka kumpulan pemikir muda di dalam UMNO. Keempat, semarakkan semangat kesukarelawanan melalui program-program bersama rakyat. Pecahkan tembok pemisah antara parti dan rakyat menerusi kerja-kerja sukarela. Dekati rakyat, dengar rintihan mereka, fahami masalah mereka. Tanya diri kita, berapa ramai daripada kita yang sentiasa mendekati rakyat dan disayangi oleh rakyat. Manfaatkan sepenuhnya teknologi maklumat, khususnya media sosial, untuk sentiasa mendekati dan memenangi hati golongan muda; Kelima, wujudkan institusi naziran di dalam UMNO untuk memantau setiap Bahagian dan Cawangan. Satu Jabatan Naziran perlu diwujudkan di dalam UMNO untuk pastikan semua pemimpin di peringkat Majlis Tertinggi, sayap, negeri, bahagian dan akar umbi buat kerja. Bahagian ini bertanggungjawab untuk melaporkan kepada Jawatankuasa Pengurusan UMNO dan Majlis Tertinggi mengenai keberkesanan program-program yang dilaksanakan oleh parti; Keenam, gerakkan revolusi mental yang baharu dalam UMNO dan bangsa Melayu seperti yang pernah digarap oleh Allahyarham Datuk Senu Abdul Rahman. Mungkin kita boleh namakan Revolusi Mental 2.0. Cerna idea, pemikiran dan kaedah baharu untuk menangani cabaran perubahan zaman dalam bidang ekonomi, politik, agama, hubungan kaum, teknologi dan lain-lain. Sepertimana yang diungkapkan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak dalam pendahuluan buku Revolusi Mental, antara sebab kemunduran bangsa Melayu ialah pemikiran yang terkebelakang yang disebabkan oleh kekurangan ilmu dan cara hidup yang lama. Justeru, UMNO perlu berani menerajui perubahan pemikiran, budaya dan sikap bangsa Melayu untuk menempa kemajuan. Pada masa yang sama, hadapi dengan bijaksana kemunculan pelbagai tantangan yang cuba menggoyahkan prinsip perjuangan UMNO untuk bangsa Melayu sebagai bangsa teras di Malaysia. Yang penting, jadikan prinsip perjuangan UMNO relevan sepanjang masa; dan Ketujuh, bangkitkan gerakan kesedaran nilai undi dalam kalangan masyarakat Melayu. Gerakan pendaftaran pengundi baharu mesti dibuat dengan lebih bersungguh-sungguh. Jangan buat sambil lewa. Jangan buat sekadar melepas batuk di tangga kata orang. Jangan sampai kegagalan kita menambah bilangan pengundi Melayu menyebabkan kaum Melayu yang merupakan kaum majoriti menjadi golongan minoriti dalam pilihanraya. Sasaran gerakan ini wajib dimulai dengan memastikan semua ahli UMNO yang layak mengundi didaftarkan sebagai pengundi. MEREKAYASA PERUBAHAN Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian, 51. Bagi saya, UMNO mesti melakukan perubahan yang drastik jika ingin kekal relevan dengan peredaran masa. Pendekatan dan gerak kerja UMNO hari ini sedang dipintas oleh gerakan yang lebih canggih dan sesuai dengan selera masa kini. Lebih-lebih lagi, jika UMNO ingin menjadi parti masa hadapan, maka citra UMNO mestilah cocok dengan jiwa anak-anak muda Melayu, golongan profesional Melayu dan tidak lupa seluruh generasi muda yang berada di desa mahupun di kota. Mereka adalah pewaris perjuangan parti kita. 52. Untuk itu, UMNO memerlukan suntikan tenaga muda sama ada di kalangan wanita dan lelaki, yang berkebolehan dan berkelayakan untuk memimpin parti. Orang lama mesti beri laluan kepada orang muda. Lebih-lebih lagi jika kita menjadi liabiliti kepada parti, kita harus segera berundur secara terhormat. Kita telah lama bercakap mengenai peremajaan UMNO, tetapi tanyalah diri kita apakah proses ini benar-benar berlaku di dalam parti. 53. Untuk tidak ada banyak masa untuk menunggu perubahan berlaku. Kita perlu merekayasa perubahan. If change does not happen, we have to engineer the change. Justeru pada hemat saya, wajar untuk kita pertimbangkan pemilihan parti dilaksanakan mengikut kehendak Perlembagaan UMNO dan tidak ditangguhkan selepas pilihanraya umum seperti yang pernah dibuat sebelum ini. Saya juga mencadangkan pindaan Perlembagaan UMNO diadakan tahun hadapan dengan memperuntukkan pindaan yang sesuai untuk membolehkan barisan pelapis muda menyumbang peranan dan khidmat bakti yang lebih besar kepada UMNO. Saya percaya UMNO tidak akan berpecah sekiranya pemilihan diadakan. Pemimpin UMNO tentunya cukup matang untuk menghadapinya. Saya sendiri akan sentiasa berdiri bersama-sama YAB Presiden untuk merealisasikan perubahan dan peremajaan parti kita. 54. Ini adalah seruan terakhir untuk UMNO. Do or be dead! Jangan letak kepentingan diri melebihi kepentingan parti. Saya ingin mengingatkan diri saya sendiri dan pemimpin UMNO di semua peringkat, jika kita menjadi batu penghalang kepada peremajaan parti, maka kita mesti berundur secara terhormat. Parti kita mesti kekal relevan supaya bangsa Melayu terus terbela. Diri kita tidak penting. Yang penting ialah bangsa Melayu dan UMNO. Ingatlah, Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum kecuali kaum itu sendiri mengubah apa yang ada dalam dirinya. Sepertimana firman Allah s.w.t. dalam Surah Al-Ra’du Ayat 11: إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوۡمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنفُسِہِمۡ‌ۗ 55. Jangan kita lupa akan seruan YAB Presiden. Di Dewan Merdeka ini jugalah semasa merasmikan Persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO tahun 2008, Presiden dengan jelas menuntut agar kita berubah untuk kepentingan rakyat. Saya petik kata-kata Presiden. “Berubah dari sikap-sikap mazmumah kepada sikap-sikap mahmudah. Berubah daripada kurang mesra kepada mesra, daripada mementingkan diri kepada mementingkan rakyat, daripada malas kepada rajin kerja, berubah daripada kurang berkhidmat kepada suka berkhidmat. Berubahlah, jika tidak, kita rebah”. Soalnya, apakah kita mengambil serius gesaan YAB Presiden ini? Atau, adakah ia ibarat masuk telinga kanan keluar telinga kiri? 56. Saudara-saudari, kita mesti memperbetulkan segera segala kesilapan kita dan melakukan perubahan demi kelangsungan agama dan bangsa kita. Amatilah betul-betul peringatan Allah s.w.t. sebagaimana firmanNya dalam surah Al-An’am Ayat 6: أَلَمْ يَرَوْا كَمْ أَهْلَكْنَا مِنْ قَبْلِهِمْ مِنْ قَرْنٍ مَكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ مَا لَمْ نُمَكِّنْ لَكُمْ وَأَرْسَلْنَا السَّمَاءَ عَلَيْهِمْ مِدْرَارًا وَجَعَلْنَا الْأَنْهَارَ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهِمْ فَأَهْلَكْنَاهُمْ بِذُنُوبِهِمْ وَأَنْشَأْنَا مِنْ بَعْدِهِمْ قَرْنًا آخَرِينَ Tidakkah mereka memerhati dan memikirkan berapa banyak umat-umat yang telah Kami binasakan sebelum mereka, padahal (umat-umat itu) telah Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi (dengan kekuasaan dan kemewahan) yang tidak Kami berikan kepada kamu dan Kami turunkan hujan atas mereka dengan lebatnya dan Kami jadikan sungai-sungai mengalir di bawah mereka, kemudian Kami binasakan mereka dengan sebab dosa mereka dan Kami ciptakan sesudah mereka, umat yang lain? PENUTUP Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian, 57. Zaman untuk dipuja dan dipuji dalam kelompok sendiri sudah berlalu. Ini adalah zaman untuk kita bersama-sama masyarakat, merasai keresahan mereka, berusaha mencari penyelesaian kepada permasalahan yang mereka alami. Ini zaman untuk kita meraih keyakinan rakyat, zaman untuk kita memimpin bangsa mengharungi cabaran yang semakin hebat. Hormat rakyat bukan sesuatu yang boleh dipaksa. Berusaha, berkhidmatlah kepada rakyat bagi mendapatkan hormat mereka kepada kita. UMNO adalah parti massa yang lahir daripada kebangkitan rakyat yang mempunyai matlamat dan arah tuju yang jelas. UMNO terbina demi masa depan umat Melayu dan negara. UMNO bukan parti yang lahir daripada rasa benci, tetapi penuh dengan rasa kasih dan sayang demi kesejahteraan rakyat. UMNO adalah parti yang sarat dengan harapan untuk masa depan bangsa dan negara. Binalah keyakinan, tunjukkanlah keazaman, hamparkanlah harapan kepada bangsa Melayu dan rakyat Malaysia seluruhnya bahawa parti ini adalah pilihan terbaik buat mereka. 59. Kepada umat Melayu dan Bumiputera yang sedang menekuni ucapan saya ini samada yang berada di Semenanjung, Sabah dan Sarawak bersatulah kita atas nama kewatanan dan kecintaan kepada negara. Kita sudah tiada masa untuk bertelingkah atau berbenci antara satu sama lain. Kepada seluruh rakyat tanpa batas kaum dan fahaman, marilah kita menolak gerakan meracuni dan membenci sesama kita. Jangan kita biarkan negara ini runtuh hanya kerana umpan-umpan yang dilontarkan kepada kita oleh pihak luar. 60. Kepada Wanita, bangunlah dengan istiqamah perjuangan. Hulurkan salam jemputan buat wanita Melayu dari segenap ceruk rantau dan latar belakang--guru wanita, ustazah, peguam, doktor, pegawai profesional hatta NGO wanita dan ibu-ibu tunggal-- marilah bersama-sama sebaris dengan kita dalam perjuangan ini. Buat Pemuda, bangkitlah dengan bara perjuangan. Beranikan diri berada di mana sahaja bila panggilan untuk berkorban masa dan tenaga. Bawalah golongan muda yang dahagakan kebersamaan dan interaksi. Berikan mereka harapan. Buat Puteri, bangkitlah dengan semangat baharu yang segar membawa pemudi dan wirawati negara meyakini perjuangan kita. Tanamkan benih kasih kepada mereka, nescaya mekarlah nanti dengan rimbunan pendokong. 61. Harapan saya kepada seluruh bangsa Melayu, renunglah nasib masa depan bangsa kita. Hargai sejarah perjuangan bangsa di masa lalu, perjuangan yang meletakkan kita di sini hari ini. Bangkitlah bersama-sama UMNO untuk merencana masa depan bangsa kita agar tidak hilang ditelan zaman, agar terus tegar mendepani cabaran. Saya percaya, dengan kekuatan tekad dan keazaman kita semua, dengan limpahan rahmat dan inayah Allah s.w.t, UMNO akan beroleh kekuatan dan keyakinan untuk melakukan perubahan dan pembaharuan, dan seterusnya mara membela agama, bangsa dan negara kita. Gagahnya pahlawan dahulukala, Menjadi tauladan sepanjang zaman, Kalian tinggalkan warisan bangsa, Untuk kita teruskan perjuangan. Hidup Melayu! Hidup Melayu! Hidup Melayu! Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim saya dengan sukacitanya merasmikan Persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2014.