Selasa, 22 Jun 2010

Zahid kecam Anwar isu keselamatan


Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyelar Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana memanipulasikan soal keselamatan dengan mendakwa kononnya kerajaan sengaja mempolitikkan isu ancaman Jemaah Islamiah (JI).

Katanya sebagai bekas timbalan perdana menteri, Anwar seharusnya sedia maklum mengenai ancaman kumpulan berkenaan kerana ia juga sudah menular sejak beliau memegang jawatan itu.

“Bila berada di pihak pembangkang sekarang, jangan manipulasikan isu ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini ketika diminta mengulas dakwaan Anwar kononnya isu JI sengaja ditimbulkan oleh kerajaan untuk mengalihkan perhatian rakyat terhadap isu lain yang timbul ketika ini.

Pada 14 Jun lepas, Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata 10 warga asing ditahan kerana disyaki terbabit dengan kegiatan kumpulan JI sejak awal tahun ini. — Bernama