Sabtu, 3 Mei 2014

MH370- PDRM tidak akan mengeluarkan hasil siasatan- KPN

Polis Diraja Malaysia (PDRM) buat masa ini tidak merancang untuk mengeluarkan sebarang hasil siasatan berhubung kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370. Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata perkara itu termasuklah empat aspek siasatan iaitu rampasan, sabotaj, masalah psikologi dan masalah peribadi penumpang serta anak kapal. "Oleh kerana siasatan masih dijalankan, kita tidak akan beritahu apa-apa hasil kedapatan siasatan yang kita ada sekarang ini," katanya dalam sidang media selepas tamat acara menembak bersama media di Lapang Sasar Markas Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras di sini, Sabtu. Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin dan Pengarah Jabatan Logistik Polis Bukit Aman Datuk Zulkifli Abdullah. Beliau turut berkata sehingga semalam, pihaknya merekodkan 311 keterangan termasuk daripada keluarga mangsa terbabit. Penerbangan MH370 membawa 239 penumpang dan anak kapal hilang daripada imbasan radar ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan pada 8 Mac setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam. Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama. Gerakan mencari melibatkan pelbagai negara dilancarkan untuk mengesan pesawat itu, mula-mula di Laut China Selatan dan kemudiannya difahamkan ia telah melencong daripada laluan asalnya dan berakhir di selatan Lautan Hindi. Sementara itu, berhubung kejadian penculikan di Singamata Adventures Reef and Resort di Semporna, April lepas, Khalid berkata pihaknya masih berhubung dengan rakannya di China dan Filipina. "Mangsa selamat dan kita sedang lakukan semua yang mungkin dan mampu untuk selesaikannya," katanya. Pada 2 April lepas, sekumpulan tujuh lelaki bersenjata menceroboh Singamata Adventures Reef and Resort dan menculik dua wanita iaitu Gao Hua Yuan, 29, dari Shanghai, China dan seorang pekerja resort warga Filipina, Marcy Dayawan, 40.

MH370-MAS minta media tidak dedahkan jumlah pampasan

Malaysia Airlines (MAS) meminta pihak media agar tidak mendedahkan jumlah pampasan yang diberikan kepada keluarga penumpang pesawat MH370 yang hilang bagi mengelak kemungkinan berlaku ancaman keselamatan. Naib Presiden Kanan Komunikasi Strategik MAS, Datuk Najmuddin Abdullah berkata anggota keluarga penumpang turut membuat permintaan yang sama. "Malaysia Airlines tidak mendedahkan sebarang maklumat mengenai jumlah pampasan seperti yang diperoleh oleh media dan kami percaya ia diperoleh dari sumber lain," katanya dalam satu kenyataan di sini Sabtu. Oleh itu MAS memohon kerjasama media agar menarik balik segala artikel yang diterbitkan yang menyatakan jumlah pampasan. Jumlah itu, katanya hanya akan diberitahu kepada keluarga penumpang dan dilakukan para kaunselor MAS dan menambah adalah penting pihak media menghormati keselamatan dan privasi keluarga penumpang. Terdapat lebih 1,000 anggota keluarga di bawah penjagaan MAS dan keutamaan syarikat penerbangan negara itu adalah bagi membantu mereka, katanya. Pesawat MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal hilang semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju Beijing kira-kira sejam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL di Sepang pada 8 Mac.

Tranformasi dalaman MCA kena pada masanya- PM Najib

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau melihat kesediaan MCA melakukan transformasi dalaman sebagai langkah yang tepat pada masanya bagi membolehkan parti berkenaan terus relevan dan mendapat tempat di kalangan masyarakat Cina. Perdana Menteri berkata langkah transformasi dalaman itu disertakan bersama pelan penyertaan MCA dalam penggubalan rangka kerja bagi memperkukuhkan masa depan komuniti Cina di negara ini. Katanya, setiap anggota parti juga seharusnya mengambil kira perkembangan semasa dalam kepimpinan parti dan bersama-sama merealisasikan hala tuju masa depan parti yang mampu memberi manfaat kepada anggotanya, rakyat dan negara. "Bermula dengan perubahan dalaman, MCA perlu melihat segala kekuatan yang sedia ada serta berani melihat segala kelemahan yang masih membelenggu parti itu selama ini,' katanya semasa berucap melancarkan Perhimpunan Perpaduan MCA yang bertemakan "Teguh Bersama" di Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman di sini, Sabtu. Najib berkata cabaran dalam kepimpinan dalam MCA selama ini telah membawa kepada kelemahan dalam parti itu, dan oleh itu, kepimpinan parti perlu mewujudkan rasa kebersamaan dalam parti berkenaan untuk mencapai semula zaman kecemerlangan itu. "Ia mudah dikata daripada dilakukan. Dalam pengalaman saya, Umno juga mempunyai masalah tetapi kita perlu menangani masalah kita. MCA juga seperti parti lain perlu menangani masalah dalaman," kata Najib. Oleh ktu, Najib berkata MCA perlu menunjukkan semangat baharu dan sedia berubah untuk terus kekal relevan kerana parti itu telah sampai ke persimpangan yang kritikal dalam sejarahnya dan ini mungkin peluang terakhir untuk MCA. "Bagi masa depan MCA, anggota parti itu perlu bersedia untuk bangkit, bangun bersama dan bekerjasama untuk lebih komited bagi menghidupkan semula MCA demi kebaikan parti itu sendiri, Barisan Nasional dan negara," katanya. Sebagai Pengerusi BN dan Perdana Menteri, Najib mengakui dan menghargai MCA sebagai rakan kanan dalam parti komponen itu. "Saya mahu MCA sedar dan berasa bahawa Umno dan BN perlukan anda (MCA) dan anda (MCA) perlukan Umno dan BN. Pada asasnya, hubungan di antara kepimpinan orang Melayu dan orang Cina terjalin sejak zaman Tun Tan Cheng Lock, Tunku Abdul Rahman (Putra Al-Haj) dan Tun Razak (Hussein) yang menampakkan kerjasama itu berjaya sehingga hari ini," katanya. Walaupun generasi muda tidak sedar detik-detik mencemaskan dalam sejarah mencapai merdeka, Najib berkata generasi tua lebih mengetahui dan menghargai perpaduan, kepercayaan dan keikhlasan adalah dasar penting bagi menjadikan Malaysia sebuah negara berjaya. "Inilah apa yang diperlukan BN dan MCA hari ini. Semuanya mengenai keikhlasan dan kejujuran antara satu sama lain. Ini bukan soal menang pilihan raya umum akan datang. Ia mengenai pembinaan negara yang bermakna kami adalah rakan bagi menyelesaikan masalah kita bersama. "Kami beri sedikit ruang, dan perbezaan pendapat dalam lingkungan keluarga BN selagi ia boleh dilihat secara positif. Walaupun kita berbeza, dalam gambaran yang lebih besar, kita semua mempunyai impian, visi dan aspirasi yang sama," katanya. Sehubungan itu, Perdana menteri menegaskan bahawa MCA adalah rakan penting dalam BN dan parti itu mesti kekal sebagai suara dan hati nurani masyarakat Cina di negara ini. "Inilah harapan saya bahawa apabila kita bersemangat, dengan tema Teguh Bersama, kita akan menepati janji, dan berkhidmat. Saya mengharapkan MCA, sebanyak mana MCA mengharapkan saya dan BN. "Kita akan membuktikan kepada rakyat bahawa BN masih pilihan terbaik untuk Malaysia. Saya juga ingin melihat MCA menjadi parti lebih kuat dan rakan kongsi BN yang berjaya," katanya. Mengulas mengenai Kempen Teguh Bersama MCA, Najib berkata Perhimpunan ini merupakan titik permulaan kepada pemulihan parti itu untuk terus berganding bahu menyumbang kepada pembangunan Malaysia bagi membina sebuah negara yang kuat dan dihormati negara luar. "Kita mestilah bekerjasama dan bersatu padu untuk membina kekuatan yang lebih teguh. Saya berharap bahawa program Teguh Bersama ini dapat menyatupadukan masyarakat Cina dan juga masyarakat Malaysia," katanya. -- BERNAMA