Ahad, 20 Mac 2016

MAHATHIR TIDAK HAK CAMPURI URUSAN UMNO

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tiada hak untuk mencampuri urusan UMNO kerana beliau sudah mengisytiharkan keluar daripada parti itu, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak. Menurutnya Dr Mahathir mengungkit semula cerita lama, mengulang perkara yang sudah pun dijawab dengan jelas dan mengkritik parti dengan pelbagai tohmahan, sedangkan beliau sudah meninggalkan perjuangan itu. "Pendirian Dr Mahathir nampak semakin kontradiksi. Surat terbuka yang ditulisnya jelas menunjukkan niat untuk hancurkan UMNO. Tulisannya penuh dengan dendam pada (perdana menteri) Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak," kata Salleh dalam catatan di blognya, sskeruak.blogspot.com hari ini. Menteri itu berkata jika niat Dr Mahathir ikhlas untuk mempertahankan UMNO, beliau sepatutnya tidak bersubahat dengan kumpulan yang menjadi musuh politik UMNO selama ini. Salleh berkata: "Berpakat dengan musuh-musuh ini untuk menumbangkan kerajaan yang dipilih secara demokratik, jelas bukan untuk menyelamatkan Malaysia, tapi menghancurkannya. "Tun Dr Mahathir dan kumpulannya cuba mencari jalan singkat menjatuhkan kerajaan. Mereka tidak mengikut saluran demokrasi, yang menjadi amalan di Malaysia sejak merdeka dan tidak sabar menunggu proses pilihan raya," katanya. Menerusi penulisannya itu, Salleh berkata Dr Mahathir mempunyai cita-cita dan agenda politik yang tinggi. "Dia cuba menunjukkan bahawa dia lebih baik daripada Najib, malah menyamakan kebaikan dirinya dengan beberapa perdana menteri sebelum ini, walhal sikapnya tidak menggambarkan keperibadian sebenar. "Buktinya, Dr Mahathir tidak mahu mendengar dan tidak mahu menerima apa juga jawapan atau penjelasan yang tidak memenuhi kehendaknya," kata beliau. Pada 29 Feb lepas, Dr Mahathir mengumumkan keluar daripada UMNO selepas dilaporkan hilang keyakinan terhadap kepimpinan ketika ini.

UMNO TETAP KUKUH WALAUPUN ADA PEMIMPIN YANG MENINGGALKAN PARTI ITU

UMNO tetap kukuh dan berupaya meneruskan agendanya untuk membela bangsa, agama dan negara meskipun ada pemimpin tertinggi atau bekas pemimpin tertingginya keluar meninggalkan parti berkenaan, kata Setiausaha Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Yahya Hussin. Menyingkap sejarah kepimpinan dan perjuangan UMNO pada masa lalu, Yahya yang juga Ketua UMNO Bahagian Putatan berkata ada presiden UMNO yang pernah meninggalkan parti kerana tidak sehaluan dengan pendirian parti pada ketika itu namun UMNO tetap kukuh di bawah dokongan ahli-ahlinya. "UMNO tetap kekal. Ada beberapa presiden dan pemimpin keluar parti tetapi orang UMNO tidak ikut. Sejarahnya begitu. Sebab itu ia digelar parti keramat. Sejarahnya (UMNO) memang begitu. Lihat sahaja bekas perdana menteri, siapa ikut dia?," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat cawangan UMNO secara beramai-ramai di sini Ahad. Sebanyak 140 cawangan UMNO di Bahagian Putatan layak mengadakan mesyuarat cawangan masing-masing tahun ini. Menurut Yahya anggota UMNO telah terlatih dan diajar agar mementingkan parti melebihi kepentingan peribadi dan apabila berhadapan dengan sebarang isu dalaman dan perjuangan parti, ahli akan menolak mana-mana pemimpin yang cuba lari daripada landasan perjuangan parti. "Pemimpin terdahulu mengajar kita untuk taat kepada parti. Kekuatan (pemimpin) itu adalah daripada parti dan bukannya daripada perseorangan. Saya naik jadi pemimpin semuanya kerana parti bukan disebabkan oleh saya sendiri atau orang perseorangan. Ahli yang sokong maka jadilah pemimpin," katanya. Terdahulu dalam ucapannya Yahya mengulangi pendirian UMNO Putatan yang diumumkannya sebelum ini iaitu menolak sekeras-kerasnya Deklarasi Mahathir yang turut ditandatangani pemimpin parti pembangkang. Katanya UMNO Putatan akan tetap teguh menyokong kepimpinan Perdana Menteri dan Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah dipilih anggota UMNO dan rakyat negara ini secara demokrasi.

AHLI UMNO DIINGAT BERI KESETIAAN DAN KETAATAN TERHADAP PEMIMPIN

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengingatkan anggota-anggota parti supaya memberikan kesetiaan dan ketaatan yang tidak berbelah bahagi terhadap pemimpin yang menerajui parti itu. Beliau yang kini menjalankan tugas sebagai Timbalan Presiden UMNO berkata sikap berbelah bahagi merupakan permulaan kepada segala permasalahan, yang akhirnya akan merugikan parti dan perjuangan. Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata prinsip pegangannya dalam perjuangan parti ialah membantu Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Perdana Menteri serta sentiasa memastikan kekukuhan institusi kepemimpinan parti. "Ia merupakan asas yang perlu dipegang dan dihayati setiap anggota parti. Itu prinsip yang saya pegang selama ini selain kita juga perlu menghindari rasa berbelah bahagi dalam memberikan ketaatsetiaan. "Jadi, sebagai pendokong parti, cintailah UMNO sepenuh jiwa raga agar parti terus bergerak kukuh bersama kepimpinan sedia ada," katanya semasa berucap merasmikan serentak persidangan UMNO cawangan seluruh Selangor di Tapak Ekspo Pertanian Malaysian (MAEPS) di sini. Turut hadir Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor Datuk Seri Noh Omar. Ahmad Zahid turut mengingatkan anggota parti supaya tidak mudah dipengaruhi cubaan individu tertentu untuk memecahbelahkan keharmonian parti dengan mewujudkan rasa sangsi dan tidak percaya terhadap Najib. Tanpa menyebut individu yang dimaksudkan, beliau menarik perhatian dengan menyifatkan individu itu sebagai 'kitab lama' yang perlu diletakkan di satu tempat tinggi tanpa perlu lagi membacanya. "Tetapi jangan pijak kitab itu, letak di atas tetapi jangan baca sebab ia kisah atau nostalgia lama. Jadi, tinggalkan ia sebagai sejarah kerana kita perlu terus melangkah ke hadapan," katanya. Beliau juga yakin saranan individu itu tidak akan mempengaruhi pendirian sedia ada anggota parti, sebaliknya sokongan terhadap Presiden UMNO kekal tertinggi walaupun sedar ada segelintir yang cuba 'menjadi kacang hantu' yang merosakkan parti dari dalam. Mengenai persediaan UMNO Selangor berdepan pilihan raya umum akan datang, Ahmad Zahid turut mengumumkan pemberian imbuhan sebanyak RM50,000 kepada bahagian yang berjaya mendaftarkan keahlian tertinggi, pembukaan cawangan baharu terbanyak, dan daftar pengundi teramai bermula tahun hadapan. Beliau juga mahu anggota UMNO di negeri itu melupakan segala persengketaan, bermuhasabah serta faham bahawa mereka bukannya 'tuan' sebaliknya adalah pembangkang yang perlu bekerja lebih keras untuk merampas semula negeri itu pada pilihan raya akan datang. Pada majlis itu, Ahmad Zahid turut menerima deklarasi menyokong kepimpinan Najib daripada Noh sebagai tanda sokongan semua ketua cawangan dan bahagian UMNO Selangor, yang sebelum itu turut dibacakan bersama-sama oleh kira-kira 5,000 anggota perwakilan yang hadir.BERNAMA