Khamis, 9 Julai 2015

Angkasa sedia skim potongan gaji bayaran balik PTPTN

Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) sedia menawarkan perkhidmatan pemotongan gaji untuk kakitangan awam bagi bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Presiden Angkasa Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata tawaran itu bertujuan memudahkan lagi urusan tersebut memandangkan Angkasa sudah mempunyai pangkalan data maklumat peribadi kira-kira 1.3 juta penjawat awam di seluruh negara ketika ini. "Angkasa sudah berpengalaman sejak tahun 1971 dalam menguruskan pelbagai transaksi kewangan dan ketika ini kita menguruskan sebanyak 3.2 juta akaun dengan nilai transaksi sebulan lebih RM1.1 bilion. "Jadi, kita harap tawaran ini akan diterima Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dengan kerjasama PTPTN agar lebih banyak pinjaman dapat dikutip seterusnya dimanfaatkan semula untuk kemajuan pendidikan pelajar yang lain," katanya kepada pemberita di sini. Baru-baru ini Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Zabidi Zainal berkata semua penjawat awam diwajibkan membuat potongan gaji bagi membayar balik pinjaman (PTPTN) dan tiada alasan untuk mengelak dari berbuat demikian. Mengulas lanjut Abdul Fattah berkata pihaknya juga bersedia melakukan pemotongan gaji bagi kakitangan swasta yang berhutang dengan PTPTN sekiranya mendapat permintaan daripada agensi itu. "Kita juga ada data maklumat kod potongan gaji yang melibatkan syarikat-syarikat korporat serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tertentu, jadi ini memudahkan kita mengenal pasti peminjam-peminjam tersebut. "Sistem potongan gaji ini diuruskan oleh Biro Perkhidmatan Angkasa (BPA)," katanya.BERNAMA

1MDB beri kerjasama penuh siasatan PDRM

Syarikat pelaburan strategik negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memaklumkan bahawa mereka memberikan kerjasama sepenuhnya dalam siasatan berhubung pendedahan Wall Street Journal (WSJ) Jumaat lepas. Semalam, satu pasukan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) hadir ke pejabat 1MDB di Jalan Sultan Ismail untuk menjalankan siasatan dan mendapatkan dokumen berkaitan kes berkenaan. “Kami mengesahkan bahawa beberapa orang pegawai daripada Pasukan Khas yang sedang menjalankan siasatan terhadap 1MDB, telah hadir ke pejabat kami. “Mereka dibekalkan dengan beberapa dokumen dan barangan untuk membantu siasatan yang sedang dijalankan,” menurut 1MDB dalam satu kenyataan media. Syarikat itu berkata mereka memberikan sepenuhnya kerjasama kepada Pasukan Petugas Khas dan semua pihak berkuasa yang berkenaan. 9Julai15Siasatan_3 Pasukan polis membawa keluar bahan siasatan dari syarikat 1MDB di ibu negara semalam. “Kami menekankan kedudukan kami sebelum ini bahawa jika terdapat sebarang salah laku, tindakan harus diambil oleh pihak berkuasa yang berkenaan, mengikut proses yang wajar dan mengikut undang-undang negara,” katanya. Mengikut beberapa laporan media semalam yang melaporkan pejabat 1MDB diserbu dan digeledah adalah kurang tepat kerana pasukan berkenaan hanya hadir untuk melakukan siasatan yang diamanahkan sahaja. Perkataan diserbu dan geledah seakan membawa maksud seakan-akan 1MDB sudah dipersalahkan dalam kes berkenaan. Akhbar WSJ pada kes ini telah mengeluarkan laporan bahawa ada dana 1MDB didakwa disalurkan kepada akaun AmBank yang dikatakan milik peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Wang yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun Najib itu bernilai AS$700 juta atau RM2.6 bilion.

Audit Negara serah laporan 1MDB kepada PAC hari ini

Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang hari ini membentangkan laporan awal mengenai 1Malaysia Development Bhd (1MDB) kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) di bangunan Parlimen. Laporan yang ditunggu-tunggu oleh banyak pihak itu dibentangkan di hadapan PAC yang diketuai Pengerusinya Datuk Nur Jazlan Mohamed kira-kira 10.30 pagi dan dijangka selesai sekitar 4 petang ini. Media dibenarkan mengambil visual sebelum sesi itu dimulakan. Pada 4 Mac, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengarahkan ketua audit negara untuk mengesahkan secara bebas akaun 1MDB. PAC sebelum ini dilaporkan memulakan prosiding siasatan pada 19 Mei berhubung isu yang dihadapi syarikat pelaburan strategik kerajaan itu. PAC mengambil keputusan memulakan siasatan terhadap 1MDB susulan mesyuarat khas pada 30 April lepas.