Rabu, 24 April 2013

FITNAH TERHADAP SAYA TIDAK JEJAS PENGUNDI- Dr Rahman BN Gombak

Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Gombak, Datuk Dr. Raman Ismail tidak gentar dengan isu fitnah mengenai moral beliau pada 2008 dijadikan bahan berkempen pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13). Isu fitnah telah menyebabkan nama beliau digugurkan pada PRU-12 yang lalu walaupun pernah menjadi ahli Parlimen kawasan itu pada PRU-11 selepas mengalahkan calon Pas, Dr. Mohd Hatta Ramli dengan majoriti 13,207. “Selepas peristiwa itu saya ambil tindakan mahkamah terhadap tuduhan itu. Mahkamah telah membersihkan nama saya termasuk akuan bersumpah bahawa perkara ini tidak benar, berlaku akibat salah faham. Pengakuan itu sangat jelas. Nama saya telah dibersihkan,” katanya. Dr Raman berkata beliau yakin isu berkenaan tidak menjejaskan peluang beliau pada PRU-13 yang akan diadakan pada 5 Mei depan. “Rakyat tahu mengetahui latar belakang saya. Semasa saya bertugas dengan Hospital Kuala Lumpur, saya melakukan klinik kebajikan selama 15 tahun di Batu Caves. Selepas waktu bertugas di hospital, saya memberi khidmat nasihat dan pemeriksaan secara percuma kepada pesakit dengan hanya mengenakan kos ubat. “Malahan khidmat berkhatan juga diberi secara percuma selama 15 tahun. Mereka (rakyat) tahu siapa saya, isteri dan keluarga saya tahu siapa saya, sebab itu saya tidak risau persepsi daripada masyarakat dan keluarga, kerana mereka tahu apa yang saya lakukan. "Ini adalah sepak terajang politik jadi saya kira itu tidak menjejaskan saya sama sekali,” katanya. Justeru bagi kempen PRU-13 yang sedang rancak berjalan kini, beliau tidak akan menyentuh isu peribadi lawannya, Azmin Ali yang juga penyandang kerusi Parlimen Gombak. “Saya hanya mahu masyarakat bandingkan perubahan yang dilakukan Perdana Menteri dan apakah perubahan yang boleh dibawa oleh calon dan wakil rakyat. Saya tidak akan sentuh soal peribadi, pada saya kita harus lari dari politik sedemikian kerana kita mahu ke hadapan,” tegas beliau.Sumber KLpos.

Pengalaman di Parlimen bantu kemenangan-Mukhriz

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata beliau yakin rakyat dapat menilai sumbangannya sepanjang lima tahun sebagai Anggota Parlimen Jerlun untuk terus memilih beliau sebagai wakil rakyat. Beliau yang akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Ayer Hitam berkata pengundi kawasan itu, satu daripada dua kerusi Dun dalam Parlimen Jerlun, boleh menilai sejauh mana sumbangannya terhadap kawasan berkenaan dan tidak akan mudah terpedaya dengan pakatan pembangkang. ” Kita ambil satu isu, mengenai pembinaan Masjid Telaga Batu… ini jelas menunjukkan betapa rakus kerajaan Pas nak ambil nama,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Telaga Batu, Sungai Korok dekat sini hari ini. Mukhriz berkata kerajaan negeri menyatakan masjid tersebut dibina sewaktu pemerintahan mereka sedangkan rakyat tahu bahawa pembinaan masjid berkenaan sebenarnya mendapat peruntukan daripada kerajaan persekutuan hasil usaha wakil rakyat BN. “Lepas itu timbul isu kata kerajaan guna duit rakyat untuk bina masjid berkenaan. Ya, saya mengaku memang guna duit rakyat tapi yang pentingnya siapa yang uruskan amanah itu secara berhemah? “Mereka (kerajaan negeri) guna RM1.5 juta sebagai dorongan kepada menteri di sebuah negara asing untuk beri konsesi balak, tapi kita guna RM1.5 juta untuk buat masjid,” katanya. Beliau berkata kerajaan negeri juga dilihat lemah apabila mengumumkan 12 masjid dibina sejak 2008, sedangkan sebenarnya 22 masjid dibina (menerusi usaha kerajaan persekutuan). “Mereka sendiri tak tau, walhal mereka kerajaan negeri… sebabnya mereka tak buat, kalau dia (kerajaan negeri) yang buat takkan boleh silap angka,” katanya. Mukhriz hari ini memulakan siri lawatannya ke setiap PDM dalam Dun itu bagi memastikan jentera parti bergerak di tahap optimum dalam tempoh berkempen ini. Katanya pihaknya akan segera menyelesaikan lawatan ke 18 PDM di samping mengambil kesempatan menyampaikan pesanan kepada pengundi-pengundi mengenai cabaran yang dihadapi menjelang PRU kali ini. “Saya juga ambil kesempatan ini untuk berpesan kepada jentera parti supaya masuk ‘gear lima’ dah. Setakat ni saya berpuas hati sebab sampai pukul 1 pagi pun pondok-pondok BN masih aktif,” katanya.