Selasa, 28 Oktober 2014

Perbicaraan kes Presiden PAS ditangguh November depan

Perbicaraan kes saman terhadap Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ditangguhkan kepada 23 November depan. Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa membuat keputusan itu setelah saksi defendan iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Alor Limbat, Aiffin Deraman memberi keterangan. Sebelum itu, Tuan Guru Abdul Hadi dan Pengerusi PKR Terengganu yang juga Adun Bandar, Azan Ismail turut memberi keterangan. Saksi pihak palintif iaitu wartawan dari akhbar Kosmo dimaklumkan tidak hadir bagi perbicaraan hari ini. Bekas calon PKR Dun Bukit Besi pada PRU13 lalu, Mohd Shamsul Mat Amin memfailkan saman terhadap Tuan Guru Abdul Hadi susulan ceramah Presiden PAS di Kampung Tebakang, Alor Limbat, Marang semasa kempen PRU itu. Shamsul mendakwa ceramah itu mengaitkan beliau sebagai calon PKR dengan pil kuda. Presiden PAS yang diwakili Tetuan Awi & Co manakala Shamsul diuruskan Tetuan Vasudevan & Co. - HARAKAHDAILY

Program Transformasi SPRM menuju arah yang betul

International Review Panel (IRP) hari ini merumuskan Program Transformasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menuju arah betul dari segi penguatkuasaan dan pendakwaan rasuah. Anggota IRP Daniel Li Ming Chak, bekas Timbalan Pesuruhjaya Akademi Pencegahan Rasuah Antarabaangsa Hong Kong (IACA), berkata SPRM mencatat penambahbaikan dari segi sikap terhadap penyiasatan, pencegahan dan mendidik orang ramai mengenai rasuah. "SPRM berusaha dengan agak tekun secara dalaman dan luaran, semata-mata untuk menjadikan suruhanjaya itu sebuah agensi profesional dalam membanteras rasuah," katanya pada sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini. Li dilantik IRP sebagai anggota panel untuk mengkaji dasar pencegahan rasuah, prosedur kerja dan amalan terbaik SPRM bersama penyelaras program dan aktiviti IACA Prof. Alan Doig dan bekas peguam cara Hong Kong serta Pesuruhjaya Suruhanjaya Bebas Pencegahan Rasuah (ICAC) Hong Kong Bertrand de Speville. Ditanya tentang syor IRP kepada SPRM, Li berkata berdasarkan beban tugas dan pelbagai inisiatif yang sedang dilaksanakannya, SPRM memerlukan lebih banyak tenaga kerja untuk mengekalkan keberkesanannya. Sementara itu, de Speville berkata persepsi orang ramai SPRM hanya menangani aduan kecil perlu diperbetulkan kerana sebenarnya ia diberi mandat untuk menerajui usaha pencegahan rasuah di negara ini dan suruhanjaya itu berada pada landasan betul untuk berbuat demikian. "Yang penting, SPRM mempunyai dasar ia akan menyiasat setiap dakwaan yang dikemukakan kepadanya. "Sama ada SPRM mengendalikan 'ikan kecil' atau 'ikan besar' adalah tidak penting, tetapi yang penting ialah badan pencegahan rasuah ini perlu bertindak terhadap setiap aduan yang dikemukakan. Berdasarkan kepada carta aliran, kes kecil lebih banyak daripada kes besar," katanya. Beliau berkata mengubah persepsi orang ramai dan mendapatkan keyakinan mereka bukan perkara mudah, tetapi perkara itu tidak sepatutnya menjadi halangan bagi SPRM untuk mencapai hasil yang dihasratkan dalam memerangi rasuah. Program Transformasi SPRM, yang dilaksanakan sejak 2011, memberi fokus terhadap tiga aspek iaitu operasi, modal insan dan langkah pencegahan rasuah. – Bernama - See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/program-transformasi-sprm-tuju-arah-betul#sthash.wtVO3YO9.dpuf

Kertas Putih mengenai ancaman keganasan sedang disiapkan

Kerajaan sedang menyediakan Kertas Putih tentang ancaman kegiatan keganasan yang melibatkan rakyat Malaysia, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (gambar) menyatakan demikian di Dewan Rakyat hari ini. Beliau berkata mengikut statistik polis, sebanyak 167 rakyat Malaysia terlibat dengan kegiatan militan di luar negara, sejak Disember 2001 sehingga kini. Dalam jawapan bertulis kepada soalan Dr Ko Chung Sen (DAP-Kampar) pada persidangan dewan, Zahid berkata daripada jumlah itu, seramai 39 orang melibatkan diri dalam kumpulan Islamic State (Isis) di Iraq dan Syria. "Bagaimanapun, saya tidak bercadang untuk mendedahkan secara terperinci maklumat penglibatan mereka kerana dikhuatiri akan mengganggu siasatan yang masih dijalankan oleh pihak polis," katanya. Beliau berkata kerajaan menerusi Jabatan Imigresen boleh menyenaraihitam pihak yang disyaki terlibat dalam kegiatan keganasan dengan memasukkan nama mereka ke dalam Senarai Syak jabatan itu bagi mengesan pergerakan mereka di pintu masuk utama seluruh negara. "PDRM (Polis Diraja Malaysia) turut menjalinkan kerjasama yang rapat dengan agensi perisikan asing untuk mengekang permasalahan ini. "Usaha jalinan ini termasuklah melalui kerjasama berterusan di samping bertukar-tukar maklumat risikan dengan agensi keselamatan luar, khususnya negara-negara Asean," katanya. Zahid berkata PDRM juga sedang menjalankan siasatan terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang disyaki boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman awam. Sekiranya terdapat bukti mereka terlibat di dalam aktiviti militan, tindakan tegas akan diambil di bawah undang-undang sedia ada termasuk Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 dan Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001, katanya. Sementara itu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata kerajaan sentiasa mengambil pelbagai langkah untuk memperkukuhkan kawalan keselamatan di sepanjang pantai timur Sabah. "Ancaman keselamatan oleh kumpulan militan Sulu disedari sebelum 2008 lagi dan ia dikategorikan sebagai ancaman dalam negeri. "Maka di atas dasar itu PDRM bekerjasama rapat dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk menangani permasalahan tersebut," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Liew Chin Tong (DAP-Kluang). Bagi memperkukuhkan kawalan keselamatan di sepanjang pantai timur Sabah, Hishammuddin berkata ATM menempatkan pasukan keselamatan di tempat-tempat strategik. Ini bukan sahaja untuk menangani ancaman kumpulan militia Sulu, bahkan terhadap semua ancaman keselamatan yang mungkin ada. – Bernama

Pentadbir universiti perlu berani untuk perubahan-KSN

Pentadbir universiti perlu punya keberanian dan imaginasi untuk melakukan pembaharuan dan menggubal dasar sesuai dengan persekitaran yang sering berubah. Menggesa demikian, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata, ini harus dilakukan jika terdapat ruang untuk penambahbaikan dari segi amalan tadbir urus yang baik. Beliau berkata dengan fokus yang begitu bersungguh terhadap sektor pendidikan, pentadbir dalam bidang pendidikan tinggi perlu menyedari bahawa mereka bertanggungjawab dan akauntabel kepada pemegang kepentingan mereka, pelajar dan akhirnya, rakyat. Oleh itu, pentadbir mesti mengamalkan tadbir urus yang baik bagi mencapai matlamat, kata beliau dalam ucaptama merasmikan Persidangan Para Pentadbir Universiti Antarabangsa di Pusat Konvensyen Persada di sini Selasa malam. "Saya menggesa anda semua, pentadbir universiti dalam bidang pendidikan tinggi, melihat secara jujur kepada institusi anda sendiri dan amalan semasanya, serta tingkah laku individu anda sendiri dalam hal tadbir urus yang baik. "Adakah wujud amalan yang boleh anda banggakan? Atau adakah bidang-bidang yang seharusnya perlu lebih baik?. "Pemimpin dan pentadbir hari ini menghadapi cabaran dari semua kelompok dan tuntutan pula datang daripada pemegang kepentingan. "Oleh itu kita perlu kreatif dan inovatif dalam mencari jawapan dan melakukan pembaharuan dalam bidang pendidikan tinggi," kata Ali. Ketika menegaskan perlunya tadbir urus yang baik dalam bidang pendidikan tinggi dan perkhidmatan awam secara keseluruhannya, Ali juga menarik perhatian bahawa tadbir urus bukan setakat peraturan dan struktur formal tetapi ia jauh menyentuh teras nilai etika. "Sektor awam di seluruh dunia telah membuktikan bahawa amalan yang tidak berprinsip dan rasuah membawa kepada reputasi yang tercemar, kehakisan kepercayaan orang ramai dan paling teruk, tumbangnya sebuah kerajaan," tambah beliau. Oleh itu, tadir urus yang baik mesti diterap dan dibina dalam setiap agensi kerajaan, kata Ali. Beliau berkata tindakan tegas dan hukuman berat mesti dikenakan ke atas mereka yang sabit salah laku, dan tingkah laku buruk mesti dihapuskan. "Ketika anda mengasuh pemimpin masa depan di pusat-pusat pendidikan tinggi anda, anda perlu menerap prinsip tadbir urus yang baik seperti amanah, integriti dan akauntibiliti," kata beliau. Untuk memastikan amalan tadbir urus yang berjaya, ia mesti bermula di peringkat paling tinggi dalam organisasi. Persidangan itu yang bermula pada Selasa disertai oleh lebih 350 pentadbir dari universiti awam dan swasta dan institusi pendidikan tinggi tempatan dan dari negara-negara Asean. Dengan tema "Nexus of Administrators: Past, Present and Future", persidangan itu yang dianjurkan oleh Universiti Teknologi Mara, menjadi platform bagi pentadbir bertukar-tukar pandangan dan amalan terbaik dalam usaha melahirkan pemimpin masa depan yang lebih baik. Persidangan itu berakhir Jumaat.

Pencerobohan haram- UM buat laporan polis

Universiti Malaya (UM) hari ini membuat laporan polis berhubung pencerobohan kawasan tanpa kebenaran berikutan perhimpunan haram di kampusnya di sini, malam tadi. Ketua Unit Media dan Korporat UM Izzad Zalman Abd Kader hadir bersama Pengarah Keselamatan UM, Yusof Harun dan pegawai keselamatan Khairul Anuar Abu Shari di Balai Polis Pantai, di sini, 11 pagi tadi. Selepas selesai membuat laporan polis selama dua jam, Izzad Zalman berkata kepada pemberita akibat perhimpunan haram itu yang diadakan di Dataran Dewan Tunku Canselor, para peserta perhimpunan telah merempuh masuk ke dalam UM dan telah menyebabkan pagar utama UM rosak. "Perhimpunan itu telah diadakan secara haram di dataran tersebut. Tiada siapa boleh menceroboh masuk atau mengadakan majlis tanpa mendapat kebenaran UM terlebih dulu," katanya. Beliau juga berkata satu siasatan dalaman akan dijalankan UM terhadap pelajar universiti itu yang terlibat dalam perhimpunan malam tadi mengikut Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 serta mengikut Perlembagaan Universiti itu. "Hasil siasatan akan dimaklumkan dalam kenyataan media dalam masa terdekat," katanya. Dalam insiden itu, kira-kira 300 belia termasuk beberapa pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) merempuh masuk pintu pagar UM pada 9.20 malam untuk menghadiri acara pidato Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kononnya dijadualkan di dewan itu. Program itu tidak mendapat kebenaran UM dan pihak keselamatan universiti itu mengunci pintu pagar utama universiti.

Skim subsidi minyak ambil masa untuk dilaksana

Cadangan skim rasionalisasi subsidi minyak hanya boleh dilaksanakan pada separuh kedua 2015 disebabkan penyelesaian logistiknya akan mengambil masa, kata Kenanga Research. Firma penyelidikan itu dalam notanya hari ini berkata, kemungkinan subsidi petrol akan diberikan untuk satu kereta bagi setiap satu MyKad. "Walaupun ini sudah pasti menjimatkan perbelanjaan kerajaan, namun akan timbul persoalan mengenai kaedah menguatkuasakan sistem ini," kata Kenanga Research. Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah baru-baru ini dilaporkan berkata skim itu akan dilaksanakan tahun depan dalam tiga kategori yang berasaskan kepada pendapatan individu, berbeza dengan BR1M yang diasaskan kepada pendapatan isi rumah. Katanya mekanisme skim itu masih lagi diteliti oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan. "Walaupun sudah sampai masanya kerajaan menyemak semula program subsidinya, kami jangka, penerimaan terhadapnya bercampur-campur, terutama daripada kumpulan pendapatan pertengahan," kata firma itu. - Bernama

GST-Syarikat akan didaftar secara paksaan

Syarikat yang tidak mendaftar untuk Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) sebelum 31 Dis ini, akan 'didaftar secara paksaan', kata Pengarah CBP Jabatan Kastam Diraja Malaysia Datuk T. Subromaniam. Sehubungan itu, beliau menggesa syarikat yang belum berdaftar untuk CBP supaya berbuat demikian dengan segera. "Saya minta semua pemilik syarikat segera daftar dengan Kastam dan jangan tunggu hingga saat akhir. Sehingga semalam, hanya 107,511 syarikat telah mendaftar. Kita ada rekod, lebih 300,000 syarikat yang perlu berdaftar dengan kita. "Sekiranya tidak berdaftar sebelum hujung tahun ini, maka Kastam akan membuat pendaftaran secara paksaan kerana kita ada maklumat syarikat-syarikat yang belum mendaftar, apa perniagaan mereka, berapa jualan mereka dan sebagainya," kata beliau. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan taklimat pelaksanaan CBP kepada lebih 100 kakitangan dan Ketua Biro Radio Televisyen Malaysia (RTM) dari seluruh negara di Angkasapuri, di sini pada Selasa. Subromaniam berkata syarikat yang gagal mendaftar boleh didakwa mengikut Seksyen 96 Akta GST 2014, di mana syarikat perniagaan atau orang perseorangan boleh didenda tidak melebihi RM30,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali. "Kita juga ada kuasa untuk kompaun mereka sehingga RM15,000. Kita nak bantu mereka melalui program sokongan dan latihan, hanya syarikat yang berdaftar akan dipanggil untuk diberi maklumat mengenai pelaksanaan GST," katanya. Pendaftaran CBP wajib bagi syarikat dan orang perseorangan yang menjalankan perniagaan dan telah mencapai nilai pembekalan bercukai bagi tempoh 12 bulan melebihi RM500,000. Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kastam Datuk Zainul Abidin Taib berkata pemilik syarikat mahupun orang ramai yang masih keliru dengan pelaksanaan CBP boleh menghubungi agensi berkenaan untuk keterangan lanjut. "Kita ada menyediakan kiosk Kastam di seluruh negara untuk membantu rakyat mendapatkan segala informasi mengenai pelaksanaan GST pada setiap masa," katanya. Orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat melalui laman sesawang rasmi CBP iaitu www.gst.customs.gov.my atau menghubungi talian bebas tol 1-300-888-500.

Skim

Cadangan skim rasionalisasi subsidi minyak hanya boleh dilaksanakan pada separuh kedua 2015 disebabkan penyelesaian logistiknya akan mengambil masa, kata Kenanga Research. Firma penyelidikan itu dalam notanya hari ini berkata, kemungkinan subsidi petrol akan diberikan untuk satu kereta bagi setiap satu MyKad. "Walaupun ini sudah pasti menjimatkan perbelanjaan kerajaan, namun akan timbul persoalan mengenai kaedah menguatkuasakan sistem ini," kata Kenanga Research. Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah baru-baru ini dilaporkan berkata skim itu akan dilaksanakan tahun depan dalam tiga kategori yang berasaskan kepada pendapatan individu, berbeza dengan BR1M yang diasaskan kepada pendapatan isi rumah. Katanya mekanisme skim itu masih lagi diteliti oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan. "Walaupun sudah sampai masanya kerajaan menyemak semula program subsidinya, kami jangka, penerimaan terhadapnya bercampur-campur, terutama daripada kumpulan pendapatan pertengahan," kata firma itu. - Bernama