Isnin, 3 Februari 2014

Apa sudah jadi Jabatan Peguam Negara?...

Panel Penasihat Perundingan dan Pencegahan Rasuah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bimbang mengenai spekulasi dalam media berhubung dua bekas pegawai seorang menteri Kabinet yang belum didakwa di mahkamah seperti diumumkan minggu lepas. "Sebagai sebuah panel bebas, kami berasa bimbang tentang perkembangan ini kerana ia boleh menimbulkan spekulasi atau tanggapan mengenai campur tangan luar," kata pengerusinya Datuk Johan Jaaffar. Dalam kenyataan kepada Bernama Isnin, panel itu menarik perhatian bahawa ia dengan tegas berpendapat bahawa untuk menampakkan ketelusan, Jabatan Peguam Negara perlu memberi penjelasan. Menurut panel itu, ia kesal terhadap spekulasi bertiup kencang mengenai campur tangan politik atau pendakwaan terpilih berhubung dengan perkara itu tetapi menambah ia percaya perkara seumpama itu tidak benar sama sekali. Panel 11 anggota itu seterusnya berkata ia membantah keras sebarang campur tangan politik atau sebaliknya terhadap usaha SPRM untuk memerangi rasuah kerana ini boleh menghakis kepercayaan masyarakat terhadap SPRM, Jabatan Peguam Negara dan kerajaan sendiri. SPRM, dalam kenyataan sebelum ini berkata seorang bekas setiausaha politik bergelar Datuk, dan pengarah sebuah daripada yayasan yang diketuai oleh Datuk berkenaan, akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di bawah Kanun Keseksaan atas tuduhan pecah amanah membabitkan lebih RM1.1 juta dan satu lagi tuduhan menipu membabitkan RM1 juta. Panel itu berkata ia akan meminta penjelasan daripada Jabatan Peguam Negara tentang mengapa kedua-dua mereka, seorang daripadanya ialah bekas setiausaha politik, belum didakwa di mahkamah seperti diumumkan oleh SPRM, Isnin lepas. Menurut Johan, apabila anggota-anggota panel menerima surat pelantikan semula untuk satu lagi penggal daripada Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini, perdana menteri mengulangi komitmennya bahawa walaupun SPRM menunjukkan penambahbaikan dalam usaha memerangi rasuah, ia seharusnya meningkatkan lagi usaha ke arah itu selaras dengan aspirasi rakyat bagi menghapuskan rasuah. Kedua-dua mereka ditangkap oleh SPRM dan dibebaskan dengan ikat jamin RM50,000 seorang. Ia berkata ketiga-tiga yayasan itu ditubuhkan antara 1980-an dan 2011 tetapi tidak didaftarkan sebagai pertubuhan kebajikan atau persatuan. Sebaliknya ia beroperasi sebagai syarikat. SPRM berkata kedua-dua mereka memegang jawatan sebagai pengarah dan anggota Lembaga Pemegang Amanah ketiga-tiga yayasan berkenaan, dan dana yayasan itu juga dikeluarkan dan ini bertentangan dengan objektif penubuhan ketiga-tiga badan itu.

Tidak laluan mudah pembangkang di PRK Dun Kajang

Barisan Nasional (BN) tidak akan memberi laluan mudah kepada mana-mana calon lawan dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang nanti, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata walaupun ada pihak memberikan pandangan supaya BN tidak payah bertanding andai PRK DUN Kajang diadakan, amalan biasa BN ialah menawarkan peluang kepada pengundi untuk memilih calon. “Saya tak fikir kita (BN) nak bagi laluan mudah untuk pihak pembangkang bertanding sama ada (Ketua Pembangkang Datuk Seri) Anwar Ibrahim atau sesiapa sahaja (yang bertanding),” katanya dalam sidang media selepas membuat tinjauan mengejut harga barang di Seksyen 16, Bandar Baru Bangi, di sini Isnin. Beliau berkata walaupun kerusi itu dimenangi calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pilihan raya umum lalu, namun pengundi kawasan itu diberikan pilihan sekali lagi untuk memilih wakil rakyat mereka. Kerusi DUN Kajang kosong selepas anggota DUN itu Lee Chin Cheh dari PKR meletak jawatan pada 27 Jan lepas, dan pakatan pembangkang menamakan Anwar yang juga Penasihat PKR sebagai calon mereka jika pilihan raya kecil diadakan. Mengenai calon BN, Muhyiddin berkata ia akan diputuskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tub Razak selaku pengerusi BN dengan mendapat pandangan daripada pemimpin parti komponen BN selepas pengumuman oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). “Secara peribadi (tradisi) kawasan itu adalah kawasan MCA, ada yang berpandangan dengan kepimpinan baharu MCA, kemungkinan kita nak bagi peluang, nak menguji penerimaan pengundi disitu tentang kepimpinan baharu MCA,” katanya. Sementara itu, mengenai persekolahan empat anak pasangan Malaysia yang sedang ditahan di Sweden, Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan hari ini telah mengeluarkan surat membolehkan mereka meneruskan pelajaran mereka. “Isu ini tidak jadi masalah bagi kita. Kita bagi segala tempat bagi mereka belajar di sekolah yang dekat dengan tempat kediaman mereka. “Kalau mereka kurang fasih Bahasa Melayu (BM), dalam tempoh pembelajaran nanti kita bagi sedikit penekanan supaya mereka boleh tumpu pada penguasaan BM,” katanya. Empat beradik itu, Aishah Azizul Raheem, 14, dan tiga adiknya Ammar, 12, Adam, 11, dan Arif, 7, tiba di tanah air Sabtu lepas. Mereka kini dijaga ibu saudara mereka di Kampung Bukit Tanah di Peringat, Kelantan. Bapa dan ibu mereka, Azizul Raheem Awalludin, pegawai Tourism Malaysia di Stockholm dan Shalwati Norshal, seorang guru yang bercuti tanpa gaji, ditahan reman pihak berkuasa Sweden sejak 18 Dis lepas kerana didakwa memukul tangan seorang anak lelaki mereka kerana tidak solat

Tindakan tegas terhadap Teresa Kok

Pergerakan Wanita Umno Selangor meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap Anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok berhubung penerbitan video berbaur sindiran sempena Tahun Baharu Cina baru-baru ini. Ketuanya Datuk Nor Hayati Onn menyifatkan perbuatan itu sebagai tidak bertanggungjawab dan boleh menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan masyarakat berbilang kaum terutama semasa masyarakat Cina sedang menyambut perayaan mereka. "Dalam suasana perayaan kaum di negara ini, seharusnya Teresa sensitif dengan apa yang ingin dilakukannya. Walaupun video itu hanya video Tahun Baharu Cina, mengapa ia mempunyai kenyataan berunsur provokasi termasuk apa yang berlaku di Lahad Datu," katanya dalam kenyataan di sini, Isnin. Nor Hayati menambah tindakan tegas itu juga perlu sebagai memberi pengajaran kepada mana-mana pihak untuk tidak menerbitkan apa jua bahan yang berunsurkan provokasi. Ini kerana kebelakangan ini, terdapat pihak yang cenderung untuk sengaja menimbulkan provokasi melalui media sosial yang medium capaiannya amat luas dan pantas, katanya. Teresa, yang juga Naib Pengerusi DAP, didakwa terbabit dalam penerbitan klip video bertajuk 'Onederful Malaysia CNY 2014 Video Clip' yang tersebar luas dalam laman YouTube sejak Isnin lepas. Dalam video klip berdurasi hampir 12 minit itu, Teresa 'berlakon' sebagai pengacara yang menemuramah tiga tetamu mengenai Feng Shui pada Tahun Baharu Cina untuk tahun ini dan tetamu undangan Teresa pula mengeluarkan kenyataan menyindir dalam beberapa perkara, antaranya sistem pendidikan negara dan isu keganasan di Sabah. Sindiran-sindiran lain didakwa turut ditujukan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor. Sementara itu, tiga badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia dan Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM) membuat laporan polis pada 11.15 pagi tadi untuk menuntut tindakan tegas diambil terhadap Teresa.