Isnin, 24 November 2014

Sistem pemilihan UMNO akan ditambahbaik-Hishammmuddin

Naib Presiden UMNO, Datuk Hishammuddin Hussein berkata, usaha penambahbaikan pemilihan UMNO akan dilakukan demi untuk memastikan sistem dan perlembagaan pemilihan UMNO yang baru akan lebih mantap dan efisyen pada masa yang akan datang. Menurut beliau yang merupakan Pengerusi Biro Perundangan dan Perlembagaan, penambahbaikan ini dilakukan berdasarkan cadangan serta pandangan yang diberikan oleh ahli-ahli UMNO diperingkat akar umbi yang dilihat mampu untuk menjadikan sistem pemilihan baru ini dapat dilaksanakan lebih baik dari perlaksaan awal ianya diperkenalkan. “Seperti biasalah, untuk pertama kali kita melaksanakan sesuatu yang baru, mesti ada perkara yang perlu diperkemaskan dari masa ke semasa. Semasa kita membuat pindaan perlembagaan dulu, kita menambah jumlah perwakilan dalam usaha untuk memastikan UMNO pemilihan kepimpinan UMNO akan lebih terbuka. Diskusi Bersama Bonafide Friends Of UMNO“Namun kita juga ada menerima beberapa cadangan di peringkat akar umbi yang mana kita melihat cadangan ini adalah baik. Maka biro perlembagaan dan perundangan hari ini berbincang untuk melihat beberapa pindaan terhadap perlembagaan pemilihan UMNO yang perlu dilihat semula dan ditambah baik berdasarkan cadangan-cadangan yang kita terima daripada suara akar umbi,” jelas beliau kepada UMNO-Online di sini hari ini. Selain itu kata beliau lagi, biro yang dipengerusikan oleh beliau ini juga diberikan tanggungjawab untuk melihat perkara ini dari sudut perundangan khususnya isu akta hasutan yang dijadikan polemik oleh pihak pembangkang hari ini. “Kita bimbang prinsip dan perjuangan UMNO yang menegakkan syiar Islam, bangsa Melayu dan institusi Raja-Raja yang merupakan teras kepada perjuangan parti ini dimanipulasikan. Ini berdasarkan polemik yang dicetuskan oleh pihak tertentu hari ini yang cuba menjadikan akta hasutan ini sebagai satu subjek yang boleh memecah belahkan kita,” jelasnya. Kata Hishammuddin lagi, biro ini turut diberi tanggungjawab untuk menjelaskan kepada rakyat khususnya orang Melayu itu sendiri agar jangan bimbang, kerana apa saja pindaan perlembagaan yang berlaku di dalam UMNO atau negara tidak akan menjejaskan atau mengenepikan perjuangan demi Islam, kedudukan bangsa Melayu dan institusi Raja-Raja yang menjadi teras perjuangan UMNO selama ini.-MediaUMNO

Amanat Tun M kepada perwakilan UMNO...

1. Perutusan ini ditulis kerana saya tidak dapat hadir di Mesyuarat Agong UMNO kerana berada di luar negara. Tetapi kerana saya kurang sihat untik keluar negara, saya mungkin hadir Insya’allah! Walaubagaimanapun saya ingin membuat kenyataan ini juga. 2. Sebagai orang tua, dan orang tua UMNO pula, izinkanlah saya memberi sedikit pandangan. 3. Semua tahu UMNO sekarang tidak popular seperti UMNO dahulu. Ada yang berkata UMNO tidak lagi relevan. 4. Sedikit sebanyak pandangan ini berasas. Jika UMNO dikalahkan dan hilang dari muka bumi, kepimpinan dan ahli UMNO tidak boleh nafi sumbangan mereka kepada kejatuhan parti yang begitu berjasa kepada Melayu dan negara Malaysia. 5. Apakah kesalahan yang telah dilakukan oleh pemimpin dan ahli UMNO? 6. Pada pandangan saya, yang pertama ialah kerana menganggap UMNO sebagai batu loncatan untuk perkaya diri sendiri. 7. UMNO hanya menerima ahli baru yang tidak mengancam kedudukan pemimpin yang sedia ada di semua peringkat. 8. Cawangan tidak terima sesiapa yang berkebolehan mencabar Ketua Cawangan. Ini adalah oleh kerana ada habuan bagi Ketua Cawangan. 9. Oleh itu yang dapat masuk UMNO hanyalah orang Melayu yang kurang berbakat daripada Ketua Cawangan. Apabila Ketua Cawangan meninggal, penggantinya ialah orang yang lebih lemah daripadanya. 10. Pengganti pun demikian. Hanya yang tidak punyai kebolehan yang lebih daripadanya sahaja yang diterima. Apabila dia kembali ke rahmatullah, yang mengganti lebih lagi lemah. 11. Dan seterusnya. Kepimpinan di peringkat cawangan dan bahagian semakin lama semakin lemah dan tidak berupaya memimpin. Sebab itulah apabila ditanya siapa yang akan jadi Menteri Besar Selangor jika Barisan Nasional menang, tidak ada jawapan. Walhal Selangor penuh sesak dengan Melayu yang terpelajar, berbakat, sudah kaya dan tidak perlu memperalatkan UMNO untuk perkaya diri sendiri. Mereka ini tidak boleh masuk UMNO. Yang sedikit yang dapat masuk akan disekat kenaikan sebagai pemimpin. 12. Budaya war lord (kepala perang) sudah meresap kedalam UMNO. “UMNO saya punya.” “ Bahagian ini saya punya.” 13. Kerana kecewa ada yang berbakat dan berjiwa UMNO menyertai parti lain. Maka akan merosotlah UMNO dan akan hilanglah parti keramat ini. 14. Yang kedua ingin saya tekan akan pentingnya menegur pemimpin. Tunku, Tun Razak, Tun Hussein bukan sahaja ditegur bahkan dicabar. Saya diserang dan hampir kalah dalam pertandingan. 15. Tanpa teguran pemimpin akan percaya segala yang dilakukan olehnya betul belaka. Tetapi sebenarnya ada yang dilakukan olehnya salah dan tidak baik. 16. Saya dinasihat supaya tidak membuat teguran terbuka. Sebenarnya sudah saya tegur secara tertutup berkali-kali, terutama berkenaan masalah Bumiputra dan UMNO. Tetapi tidak berkesan. Teguran secara terbuka terpaksalah dibuat. 17. Harapan orang Melayu ialah wakil-wakil ke Perhimpunan UMNO akan buat teguran terhadap beberapa perkara yang hangat dibincang ramai sekarang. 18. Pemimpin pula perlu dengar teguran ini dan ambil berat pandangan wakil. Janganlah selalu mendengar orang tertentu yang dikeliling kita sahaja. Yang mengeliling orang yang berkuasa tidak baik bagi mereka. 19. Orang Melayu mungkin tidak pandai seperti pakar-pakar rujuk, tetapi saya percaya orang Melayu tidak bodoh. Mereka yang membangunkan negara dari sebuah negara miskin kepada negara yang memberi banyak nikmat kepada semua. 20. Selamat Bersidang UMNO. Mudah-mudahan diberi petunjuk oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

Malaysia diancam penggunaan internet untuk penipuan dan fitnah

Dalam mengejar peradaban manusia, Malaysia diancam oleh mereka yang menggunakan internet untuk menyebar pembohongan, fitnah dan kebencian, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Beliau berkata tidak seperti negara lain, negara ini bukannya negara berasaskan satu kaum dan sebagai sebuah negara berbilang bangsa dan agama, kerajaan perlu memantau aktiviti internet dan perbuatan yang tidak menyenangkan itu. Berucap pada Forum Antarabangsa Umno bertemakan Kesalinghubungan dan Media Sosial: Memperkasakan Rakyat Untuk Membina atau Memecahbelahkan Negara, di sini Isnin, Ahmad Zahid berkata kerajaan terpaksa bertegas terhadap elemen yang sememangnya berbahaya kepada pembinaan negara. Beliau berkata setiap rakyat Malaysia perlu mematuhi undang-undang dan peraturan yang mengikat mereka daripada mengeluarkan sebarang kenyataan provokasi dan perkauman kerana kesannya tidak sanggup diterima oleh setiap orang. "Kami telah belajar daripada rusuhan kaum 1969, dan kami juga belajar daripada beberapa insiden melibatkan golongan ekstremis agama dan masyarakat. Kesemua ini membuatkan kami mengenakan undang-undang yang ketat untuk mengelakkan negara daripada kehancuran," katanya. Menteri itu berkata dalam menguatkuasakan undang-undang, kerajaan tidak pernah dan tidak akan bersikap berat sebelah atau dalam bahasa mudah kerajaan tidak berkompromi apabila menyentuh soal keselamatan dan kestabilan negara. Ahmad Zaid, yang merupakan seorang penceramah di forum itu turut menekankan bagaimana laman media sosial yang telah berkembang dan berubah sebahagian besarnya kepada penyaluran berita dan menjadi saluran perkongsian maklumat. Beliau berkata isu tentang kebebasan bersuara sedang diperdebatkan dalam media sosial dan forum terbuka. "Saya percaya semua daripada kita - sama ada di Malaysia atau luar negara - mengikuti perkembangan yang telah dan sedang berlaku di negara ini. "Semua ini adalah hasil kesalinghubungan internet yang lebih pantas dan boleh diakses kepada pelbagai sumber berita," katanya. Zahid berkata berita datang dalam pelbagai bentuk, sama ada baik atau buruk, menyenangkan atau hodoh serta benar atau semata-mata pembohongan untuk melemahkan kerajaan, negara dan rakyat. Forum itu yang dianjurkan sempena Perhimpunan Agung Umno 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Isnin. Persidangan selama dua hari itu disertai 127 perwakilan asing daripada 34 parti mewakili 22 negara dan kor diplomatik hampir 70 negara.

Bajet defisit Selangor 2015 adalah yang terbesar dalam sejarah.

Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali menggunakan lebih 90% daripada jumlah RM3.31 bilion rizab negeri bagi Bajet Selangor 2015, bajet tebesar dalam sejarah negeri tersebut. Azmin semasa pembentangan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor mencadangkan sejumlah RM2.422 bilion untuk bajet kali ini, 53.19% untuk perbelanjaan mengurus dan 56.81% daripadanya diperuntukkan untuk pembangunan. Namun pembentangan itu menunjukkan bajet defisit apabila kutipan hasil negeri tahun 2015 dianggarkan hanya ‎RM1.97 bilion sahaja, berbanding perbelanjaan RM2.42 bilion. Pentadbiran menteri besar terdahulu, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semasa Bajet 2014 hanya memperuntukkan RM1.8 bilion dan Bajet 2013 sebanyak RM1.63 bilion. "Kumpulan Wang Disatukan pada 19 November 2014 berjumlah RM3.31 bilion. Jumlah tersebut terdiri daripada aset berbentuk wang tunai RM108.68 juta dan pelaburan sejumlah RM3.2 bilion. "Kumpulan Wang Disatukan meningkat sebanyak RM400.8 juta kepada RM3.307 bilion iaitu 13.78% berbanding RM2.907 bilion pada 2013," kata Azmin di DUN Selangor hari ini. Bertemakan "Pembangunan Berkualiti, Rakyat Dipeduli", Azmin berkata bajet itu bagi melaksanakan semua rancangan pembangunan kerajaan khususnya program kesejahteraan rakyat. "Bagi peruntukan mengurus, RM 385 juta adalah bagi emolumen, RM443.5 juta bagi perkhidmatan dan bekalan, dan RM 17.6 juta diperuntukkan kepada pembelian aset. "Sejumlah RM 426.5 juta pula disediakan untuk pemberian dan kenaan bayaran tetap dan RM 16 juta untuk perbelanjaan lain," katanya. Bagi peruntukan pembangunan pula, perbelanjaan tertinggi RM277.3 juta digunakan bagi program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES), RM106.6 juta bagi perkhidmatan masyarakat, pembangunan luar bandar, sektor perbandaran dan pembangunan usahawan. Manakala RM100.2 juta diperuntukkan bagi pembangunan sosial termasuk pendidikan, perumahan, pembangunan belia dan sukan dan pembangunan insan. "Sejumlah RM48.9 juta akan diperuntukkan bagi pembangunan khas negeri dan RM44.4 juta bagi pengambilan balik tanah. "Bagi pentadbiran am, sejumlah RM33.8 juta diperuntukkan manakala bagi pembangunan adat Melayu dan warisan serta pelancongan sejumlah RM9.25 juta disediakan," katanya. Azmin turut membentangkan enam strategi Bajet 2015, iaitu membesarkan lapisan kelas menengah, menjana pertumbuhan berkualiti, memberdaya ekonomi hawa dan generasi muda. Selain itu, pembangunan kejiranan hijau, menjana industri budaya dan intelektual, serta menyemarak ekonomi desa turut digunakan sebagai strategi.Petikan Malaysian Insider -

Hasil forum antarabangsa UMNO harus dibawa ke PBB- Syed Hamid

Umno harus mencadangkan kepada Wakil Tetap Malaysia di Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) untuk membentangkan usul, hasil perbincangan topik Perubahan kepada Keseimbangan Kuasa Global bersempena Forum Antarabangsa Umno pada Isnin, kata bekas Menteri Luar Tan Sri Dr Syed Hamid Albar. Syed Hamid, selaku moderator, berkata majoriti penceramah antarabangsa membangkitkan kebimbangan mereka berhubung keselamatan siber dan perubahan yang dihadapi dalam dunia kesalinghubungan. "Semasa forum itu, semua delegasi bersetuju ruang siber tidak boleh dihentikan dan semua orang menyuarakan kebimbangan mereka mengenai keselamatan siber dan ruang siber tidak mempunyai kebertanggungjawapan dan tiada kekangan. "Bagaimana kita mahu mengawal ruang siber, pencerobohan peribadi, melindungi negara daripada serangan siber, saya berharap apa yang telah dibincangkan dalam forum hari ini tidak akan berakhir di sini, kami (Umno) akan mencadangkan apa yang dibincangkan dalam forum ini dibawa ke PBB," katanya di sini pada Isnin. Sementara itu, beberapa perwakilan asing menyatakan keperluan bagi Umno untuk membentangkan usul di PBB berhubung topik yang dibincangkan itu. Seorang penceramah Siti Sarifah M. Sutalaksana, yang juga Ketua Perwakilan Partai Gerakan Indonesia Raya di Malaysia, mencadangkan lima langkah kepada kerajaan untuk memerangi jenayah siber. Antaranya, meningkatkan kekerapan simulasi peperangan siber, mengenal pasti risiko serangan siber dan peraturan bagi penggodam siber. "Kerajaan juga boleh melaksanakan hukuman lebih berat kepada penggodam siber yang tidak bertanggungjawab dan meningkatkan dunia pendidikan siber di sekolah," katanya. Forum bertema Dunia Kesalinghubungan: Cabaran Dalam Pembinaan Negara, diadakan bersempena Perhimpunan Agung Umno 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra. Forum Antarabangsa Umno, yang berlangsung dua hari bermula Isnin, disertai 127 perwakilan asing daripada 34 parti mewakili 22 negara dan kor diplomatik hampir 70 negara.

Kerajaan Kedah terima laporan kes bakar Al Quran- Mukhriz

Kerajaan negeri Kedah telah menerima laporan lengkap berhubung kejadian cebisan Al-Quran yang didakwa dibakar di dalam tong di sebuah medan selera berhampiran sebuah pasar di sini, Khamis lepas. Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata siasatan polis mendapati cebisan Al-Quran itu tidak dibakar, sebaliknya dikoyak oleh seorang lelaki tidak siuman dan dia kini ditahan di Wad Psikiatrik, Hospital Sultanah Bahiyah. Selain itu, beliau berkata pihaknya juga telah menerima laporan berhubung tindakan beberapa individu mencederakan seorang lelaki yang dipercayai membakar gerai-gerai medan selera di lokasi sama (pasar besar) Sabtu lepas. "Saya kesal dengan tindakan liar tiga individu yang tanpa usul periksa telah mencederakan seorang lelaki lain dan saya telah mengarahkan Majlis Bandaraya Alor Setar supaya memperbaiki segera gerai-gerai yang rosak akibat perbuatan liar individu-individu berkenaan," katanya dalam kenyataan media di sini Isnin. Beliau berkata pihak pejabat Penasihat Undang-undang negeri juga telah menyediakan dua kertas siasatan berhubung dengan dakwaan kejadian koyak Al-Quran dan kes memukul orang awam untuk diserahkan kepada Peguam Negara. "Saya berharap orang ramai tidak terpengaruh dengan khabar angin mengenai kejadian tersebut sehingga bertindak di luar batasan undang-undang," katanya. Khamis lepas, polis menahan seorang lelaki di sebuah pasar raya di Mergong di sini berhubung penemuan beberapa cebisan helaian Al-Quran dipercayai dibakar di sebuah pasar besar, manakala pada Sabtu enam buah gerai makan di lokasi sama terbakar.

Kerajaan bukan samseng- Dr Ahmad Zahid Hamidi

"Kerajaan bukan samseng. Kami tidak sewenang-wenangnya menahan sesiapa tanpa bukti kukuh," kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Demikian reaksi beliau terhadap dakwaan kerajaan menggunakan Akta Hasutan 1948 untuk menutup kritikan terhadapnya dan menggunakan kuasa di tangan ke atas pembangkang sebagai cara untuk mengekalkan pemerintahan. Beliau berkata daripada kesemua kritikan terhadap penahanan dan tindakan ke atas mereka yang menyebarkan kebencian, pembohongan dan fitnah, rata-rata rakyat Malaysia menyokong tindakan itu kerana sedar tentang bahaya yang dibawa oleh golongan ini. Berucap di Forum Antarabangsa Umno bertemakan Kesalinghubungan dan Media Sosial : Memperkasakan Rakyat Untuk Membina atau Memecahbelahkan Negara, di sini pada Isnin Ahmad Zahid berkata Malaysia sedang diancam oleh mereka yang menggunakan internet untuk menyebarkan pembohongan, fitnah dan kebencian. Beliau berkata tidak seperti negara lain, negara ini bukannya negara berasaskan satu kaum dan sebagai sebuah negara berbilang bangsa dan agama, ia memerlukan kerajaan untuk memantau aktiviti di alam internet dan perbuatan yang tidak menyenangkan. Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden Umno berkata kerajaan perlu tegas dalam membanteras sebarang unsur yang sememangnya berbahaya kepada pembinaan negara. Beliau berkata setiap rakyat Malaysia perlu mematuhi undang-undang, peraturan yang mengikat mereka daripada melakukan sebarang kenyataan perkauman dan provokasi kerana kesannya tidak sanggup diterima oleh setiap orang. "Kami telah belajar daripada rusuhan kaum 1969, dan kami juga belajar daripada beberapa insiden melibatkan golongan ekstremis agama dan masyarakat. Kesemua ini membuatkan kami mengenakan undang-undang yang ketat untuk mengelakkan rumah daripada roboh," katanya. Beliau berkata dalam menguatkuasakan undang-undang, kerajaan tidak dan tidak akan bersikap berat sebelah dan dalam bahasa mudah kerajaan tidak berkompromi apabila menyentuh keselamatan dan kestabilan negara. Ahmad Zahid yang juga seorang panel di forum itu turut menekankan walaupun kerajaan bersetuju memansuhkan Akta Hasutan dan memperkenalkan satu akta baharu, beberapa peruntukan dalam Akta Hasutan perlu dikekalkan bagi menjadikan akta baharu itu lebih tegas untuk menegah mereka yang cuba melanggarnya. "Dalam melakukannya, kerajaan akan mengambil kira maklum balas dan cadangan daripada semua pihak dalam masyarakat, termasuk daripada pembangkang," katanya. Forum itu yang dianjurkan sempena Perhimpunan Agung Umno 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, pada Isnin. Persidangan selama dua hari itu disertai 127 perwakilan asing daripada 34 parti mewakili 22 negara dan kor diplomat dari hampir 70 negara.ERNAMA

Pemansuhan subsidi petrol RON95 tidak memberi kesan inflasi ekonomi negara- Dr Zeti

Pemansuhan subsidi untuk petrol RON95 dan diesel tidak akan membawa kesan inflasi terhadap ekonomi negara memandangkan harga minyak mentah global sedang jatuh, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz. Beliau menggambarkan langkah itu sebagai "satu perkembangan yang sangat positif" bagi ekonomi kerana pengguna akan mendapat manfaat daripada harga lebih rendah. "Sudah pasti ini satu perkembangan yang sangat positif. "Ia juga membantu kerajaan dari segi beban subsidi dalam bajet," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Pusat Perkhidmatan Korporat SWIFT di Kuala Lumpur yang diperluas, di sini Isnin. Acara itu disempurnakan oleh Puteri Astrid dari Belgium. Ditanya mengenai dasar monetari yang akan disemak semula susulan pelaksanaan sistem pengapungan terkawal terhadap harga bahan api itu, Zeti berkata bank pusat perlu melihat kesan keseluruhan mengenai risiko inflasi dan perkembangan lain dari segi pertumbuhan. "Ini dua faktor utama yang akan kita lihat dalam jangka sederhana. Buat masa ini ia tidak mengubah unjuran," katanya. Jumaat lepas kerajaan mengumumkan harga runcit petrol RON95 dan diesel akan ditentukan menerusi mekanisme pengapungan terkawal bermula 1 Dis. Kerajaan juga mungkin mempertimbang memperkenalkan subsidi bersasar berdasarkan pendapatan pada kemudian hari jika harga minyak kembali meningkat. Langkah itu bagi membantu golongan berpendapatan rendah dan pertengahan menangani kenaikan kos sara hidup.

Projek Loji Rawatan Air Langat 2 siap 15 peratus

Projek Loji Rawatan Air Langat 2 (LRAL2) kini sudah mencapai 15% pembinaan dan dijangka siap pada 30 April 2017. Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Mahdzir Khalid (gambar) berkata ia berdasarkan kemajuan projek setakat 31 Oktober lalu yang memakan masa 36 bulan untuk disiapkan. "Pada masa ini kerja-kerja tanah sedang giat dilaksanakan oleh pihak kontraktor," katanya menjawab soalan Mohd Fasiah Mohd Fakeh (BN-Sabak Bernam) yang ingin tahu sejauh mana kemajuan projek LRAL2 bagi mengatasi krisis air di Selangor. Mahdzir berkata melalui projek tersebut, bekalan air terawat dijangka dapat disalurkan kepada pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya pada suku kedua 2017. Beliau juga berkata Projek Penyaluran Air Mentah dari Pahang ke Selangor (PPAMPS) yang berupaya membekal air mentah sehingga 1,890 juta liter sehari dijangka siap penghujung tahun ini. "Projek ini mencapai 98.4% sehingga 31 Oktober lepas. Komponen Muka Sauk, Stesen Pam Semantan dan komponen Saluran Paip Berkembar siap sepenuhnya pada 30 Mei lalu. "Bagi Komponen Empangan Kelau, kemajuan pelaksanaan projek adalah 85.7% dan komponen Terowong Penyaluran Air adalah 98.7%," katanya. – Bernama

TPM gariskan pelan tindakan untuk mengembalikan semula Cameran Highland sebagai pusat pelancongan utama

Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menggariskan pelan tindakan bagi mengembalikan semula Cameron Highlands sebagai pusat peranginan utama di negara ini. Timbalan perdana menteri yang juga pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Banjir Kilat di Cameron Highlands berkata pelan jangka pendek dan panjang itu termasuk pengawasan projek pembangunan dan aktiviti pertanian serta masalah pendatang tanpa izin (Pati) di tanah tinggi itu. "Usaha ini bukan sahaja untuk memulihara alam sekitar malah mengembalikan zaman kegemilangan Cameron Highlands sebagai pusat peranginan dan pelancongan yang terkenal dengan kebersihan alam sekitar dan hutan semula jadi yang amat menarik," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Banjir Kilat dan Tanah Runtuh Cameron Highlands di sini Isnin. Beliau berkata bagi mengawasi pembangunan di Cameron Highlands, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa diminta meneliti semula Pelan Tempatan yang telah diluluskan sebelum ini supaya ia diperbaiki dan disesuaikan dengan keadaan semasa. "Contohnya bagi pembangunan hartanah yang dikemukakan, kerajaan negeri bolehlah pertimbangkan atau hadkan penggunaan kawasan yang hendak dimajukan," katanya.

Perwakilan UMNO diingatkan melupakan isu Anwar sepanjang persidangan.

Perwakilan pada Perhimpunan Agung Umno 2014 diseru agar tidak menimbulkan isu berkaitan Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mengelak memberi publisiti percuma kepada ketua pembangkang itu, kata Datuk Seri Mukhriz Mahathir. Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah itu berkata, sudah tiba masanya Umno melupakan Anwar kerana ketua umum PKR tidak mempunyai kaitan dengan agenda perjuangan parti. “Ada rungutan daripada akar umbi mengenai keghairahan sesetengah pihak pada perhimpunan lalu yang memperkatakan mengenai Anwar sehingga tindakan itu secara tidak sedar mempopularkan nama seteru politik Umno itu,” katanya seperti disiarkan akhbar Berita Harian hari ini. “Kita tak perlu buang masa terlalu kerap menyebut mengenainya (pada perhimpunan agung) kerana ia medan bagi semua ahli parti untuk menyampaikan suara rakyat kepada permimpin tertinggi. “Lebih baik kita bahas bagaimana nak jelaskan dasar, perjuangan kita dan kesannya kepada akar umbi.” Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada minggu lalu mengingatkan pembahas usul pada perhimpunan kali ini untuk mengelakkan membicarakan isu sensitif antara kaum dan masalah peribadi. Katanya, walaupun pembentang usul diberi kebebasan untuk berbahas, namun mereka perlu menjaga etika dan mengelak daripada menyentuh beberapa isu sensitif kerana apa sahaja yang dilontarkan perlu berlandaskan kepada garis panduan yang diberikan. Perhimpunan Agung Umno 2014 akan berlangsung dari 25 hingga 29 November di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Amanat Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak akan disampaikan pada petang esok manakala persidangan komponen Wanita, Pemuda dan Puteri akan dirasmikan timbalan presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada malam sama. Persidangan pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri berlangsung pada 26 November diikuti mesyuarat khas Majlis Tertinggi pada malamnya. Seramai 5,739 perwakilan akan terlibat dalam perhimpuna kali ini dengan 95 delegasi mewakili 27 parti dari 19 negara di peringkat antarabangsa mengesahkan kehadiran untuk menyertai perhimpunan itu. Petikan MalaysianInsider.