Rabu, 2 Jun 2010

Mangsa serangan Israel hubungi keluarga



Wartawan penyiaran Astro Awani Ashwad Ismail, 25, yang berada di atas kapal Mavi Marmara bersama 11 lagi rakyat Malaysia ketika diserang Israel, telah menelefon keluarganya pagi Rabu memaklumkan beliau selamat dan kini berada di Jordan.

Ibunya, Wan Marfuzah Wan Ismail, 53, berkata beliau sekeluarga bersyukur dengan perkembangan terkini anak tunggalnya itu dan berharap Ashwad dapat pulang dengan selamat.

"Kira-kira pukul 11.30 pagi, Ashwad menelefon saya sebanyak dua kali untuk memberitahu dia selamat dan dia turut bertanya khabar keadaan keluarga di sini.

"Sukar digambarkan perasaan saya selepas mendengar suara Ashwad yang memberitahu dia selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di sini Rabu.

Katanya beliau mengetahui tentang pembebasan anaknya itu kira-kira pukul 11 pagi ini melalui saluran berita Al-Jazeera.

Wan Marfuzah berkata beliau tidak dapat menggambarkan perasaannya sekeluarga selepas mengetahui Ashwad selamat dan hanya doa sahaja mengiringi anaknya untuk kembali ke Malaysia.

"Walaupun Ashwad selamat, tetapi saya sekeluarga tetap tidak akan putus berdoa dan melakukan solat hajat supaya dipermudahkan perjalanan pulang ke tanah air.

"Selagi saya tidak melihat sendiri wajah anak saya di depan mata, selagi itu hati saya tidak tenang," katanya.

Sementara itu, bapa Ashwad, Ismail Yaakob, 55, berkata beliau tidak akan menghalang anaknya meneruskan kerjaya sebagai wartawan berikutan pengalaman yang menakutkan itu kerana itu adalah minat Ashwad sejak dari kecil.

"Kami sekeluarga akan sentiasa menyokong cita-citanya dan berharap dia akan berjaya," katanya.

12 rakyat Malaysia selamat

Semua 12 rakyat Malaysia yang ditawan oleh tentera Israel semasa kapal Mavi Marmara diserang pagi Isnin lalu disahkan selamat.

Perkara itu disahkan oleh wartawan Astro Awani, Ashwad Ismail, 26 yang menghubungi bilik beritanya di Kuala Lumpur, sebentar tadi.

"Alhamdulillah, kini kami selamat," katanya.

Ashwad adalah seorang daripada 12 rakyat Malaysia yang ditahan itu.

"Penderitaan rakyat Palestin selama enam dekad dapat saya rasakan sepanjang 28 jam berada dalam tahanan Israel.

"Saya dapat rasakan bagaimana derita penduduk Palestin semasa berada dalam tahanan," katanya ketika menceritakan mengenai layanan yang diterimanya ketika ditahan tentera Israel.

Menurut Ashwad, dia dan jurukamera, Samsul Kamal Abdul Latip, 43, kini berada di Jordan selepas dibebaskan daripada tahanan Israel dan menunggu untuk dibawa pulang ke tanah air.

Semua mereka kini berada di sempadan di Jordan sementara menunggu persiapan bagi membawa mereka pulang ke Malaysia

Kerajaan bentang usul mengecam Israel



Kerajaan akan membentangkan satu usul di Dewan Rakyat Isnin ini bagi mengecam sekeras-kerasnya tindakan tentera Israel menyerang kapal yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza dua hari lalu.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri, keputusan untuk pembentangan usul itu dibuat dalam mesyuarat kabinet hari ini.

Semalam, Datuk Seri Najib Razak berkata, Malaysia akan mengusulkan agar pencabulan dan keganasan yang dilakukan oleh Israel itu dibawa ke Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

Perdana Menteri juga mengarahkan Wisma Putra supaya menyelamatkan kesemua rakyat Malaysia itu.

Pagi ini, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berlepas ke Jordan untuk mengusahakan pembebasan 12 rakyat Malaysia yang ditahan ketika tentera Israel menyerang kapal yang mereka naiki bersama sukarelawan antarabangsa dalam perjalanan untuk menyerahkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Palestin di Gaza.

Seramai 12 rakyat Malaysia termasuk dua wartawan stesen televisyen Astro Awani berada dalam kapal Turki, “Mavi Marmara”, dan mereka dilaporkan selamat dalam serangan itu yang mengakibatkan beberapa sukarelawan terbunuh.

Israel, yang dikecam hebat oleh masyarakat antarabangsa dilaporkan berkata, ia akan mengusir keluar kesemua 682 sukarelawan dari 35 negara yang ditahannya dalam serangan itu.

- Bernama