Khamis, 14 April 2016

LARANGAN MASUK SARAWAK BUKAN HANYA KEPADA PEMBANGKANG

Kerajaan negeri Sarawak tidak memihak kepada mana-mana kelompok atau kecenderungan politik dalam melaksanakan larangan memasuki negeri itu, kata Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem. Beliau berkata insiden empat individu dilarang memasuki negeri itu sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) hari ini menunjukkan sekatan itu bukan dikenakan terhadap pemimpin pembangkang semata-mata. Menurutnya individu yang dilarang oleh Jabatan Imigresen negeri untuk masuk ke negeri itu terbabit dalam perhimpunan 'baju merah' di Kuala Lumpur pada 16 Sept tahun lepas dan kebetulan mereka adalah ahli UMNO. "Ini adalah jawapan kepada dakwaan Chong bahawa kami hanya menyekat ahli-ahli pembangkang," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan kumpulan syarikat Rimbunan Hijau di sini. Sebelum ini, Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen mendakwa kerajaan negeri itu mengamalkan sikap berat sebelah kerana ia hanya melarang kemasukan pemimpin pembangkang ke negeri itu. Dalam pada itu, Pengerusi Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu, Datuk Jamal Md Yunos, yang juga Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Selangor, bersama-sama tiga lagi individu dilarang memasuki negeri itu sejurus tiba di Kaunter Imigresen LTAK pada jam 11.30 pagi. Turut dilarang ialah Pengerusi Pertubuhan Gerakan Martabat Pejuang Negara, Mejar (B) Razali Zakaria, Pengerusi Eratkan Perhubungan Antara Negeri Cetuskan Organisasi (EPANCO), Ariffin Abu Bakar dan Pengerusi Persatuan Kebajikan Melayu Klang, Rahim Ibrahim. Kesemua individu berkenaan dikatakan datang ke negeri itu bagi membantu jentera Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 (PRN-11) yang dijadual pada 7 Mei ini.BERNAMA

ARAB SAUDI SAHKAN SUMBANGAN DERMA KEPADA PM NAJIB DATANG DARI NEGARA ITU

Menteri Luar Arab Saudi, Adel Al-Jubeir hari ini mengaku bahawa sumbangan derma kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, memang datang daripada negara itu. "Kami sedar tentang derma itu dan ia memang benar-benar sumbangan tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Dan kami juga sedar bahawa Peguam Negara Malaysia telah menjalankan siasatan teliti mengenai perkara itu dan mendapati tiada salah laku. "Justeru, setahu kami, isu itu ditutup," katanya kepada wartawan Malaysia di sini Khamis. Sebelum itu, Adel mengadakan pertemuan dua hala dengan Najib di luar Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke-13 di sini. Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, pada 26 Jan lepas, telah membersihkan Najib daripada sebarang salah laku berkaitan siasatan terhadap SRC International Sdn Bhd dan dana RM2.6 bilion yang dikatakan telah dimasukkan ke dalam akaun peribadi perdana menteri. Mohamed Apandi berkata siasatan menunjukkan bahawa jumlah yang dimasukkan ke dalam akaun ialah RM2.08 bilion, dan ia adalah sumbangan peribadi daripada keluarga diraja Saudi pada 2013, dan RM2.03 bilion kemudian telah dipulangkan kepada penderma pada tahun yang sama.BERNAMA

PILIHANRAYA NEGERI SARAWAK 7 MEI- SPR

ke- Pilihanraya umum negeri Sarawak akan diadakan pada 7 Mei dan hari penamaan calon pada 25 April 2016. Pengerusi SPR Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah mengumumkan tarikh itu selepas mengadakan mesyuarat khas di sini hari ini berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri Sarawak pada 11 April. "Dengan ini SPR mengumumkan 14 April sebagai tarikh keluar writ iaitu hari ini, 15 April tarikh notis pilihan raya, 25 April hari penamaan calon, dan 7 Mei sebagai tarikh pengundian," katanya pada sidang media selepas mesyuarat itu. Katanya pilihan raya negeri (PRN-11)akan menggunakan senarai daftar pemilih induk 2015 yang telah dikemas kini sehingga 10 April 2016. PRN-11 diadakan selepas Dewan Undangan Negeri Sarawak dibubarkan dengan perkenan Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud setelah dirujuk Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem. Mohd Hashim berkata 1,879 buah premis akan digunakan sebagai Pusat Mengundi yang mengandungi 2,959 saluran/tempat mengundi dan seramai 20,811 petugas pilihan raya akan dilantik untuk mengendalikan proses pilihan raya ini. Beliau berkata SPR bersetuju melantik 82 Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi menjalankan pilihan raya di 82 kerusi DUN, di samping menubuhkan Pasukan Penguat kuasa Kempen Pilihan Raya khusus bagi memantau semua aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen. "Pilihan raya ini dianggar memerlukan belanjawan sebanyak RM135.6 juta," katanya. Mohd Hashim berkata SPR juga melantik pemerhati tempatan untuk menjalankan perhatian perjalanan proses PRN bermula daripada hari penamaan calon sehingga keputusan pilihan raya diumumkan. Beliau berkata para pemerhati itu dilantik dari kalangan badan bukan kerajaan (NGO) tempatan dan mereka dibenarkan membuat pemerhatian seperti di pusat penamaan calon, pusat mengundi awal, pusat mengundi, tempat pengiraan undi dan proses penjumlahan undi di pusat penjumlahan rasmi undi. "Pemerhati rasmi yang dilantik akan diberikan pas pemerhati, baju dan topi yang perlu dipakai sepanjang membuat pemerhatian itu. "Dalam hal ini, SPR tidak mengiktiraf mana-mana organisasi dan individu lain selain yang dilantik oleh SPR untuk memantau dan memerhati proses PRN Ke-11," katanya. Apabila ditanya mengenai penentuan tarikh-tarikh penting itu, Mohd Hashim berkata pelbagai aspek diambil kira termasuk penggunaan premis dan juga 'hari-hari besar' di Sarawak supaya ia tidak bertindih. Beliau berkata banyak tarikh-tarikh utama PRN disebarkan media namun ia hanya sekadar ramalan penganalisis politik.BERNAMA