Selasa, 17 Jun 2014

Pengguna harian tren antara bandar meningkat 40 peratus- Aziz Kaprawi

Berikutan peningkatan keupayaan tren antara dan intra bandar baru-baru ini, jumlah pengguna harian pengangkutan rel meningkat sebanyak 40 peratus, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi. Beliau berkata pelbagai inisiatif yang dilaksanakan di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pengangkutan Awam Bandar (UPT) juga menyebabkan jumlah pengguna perkhidmatan bas meningkat sebanyak 4.04 juta. Bagaimanapun, kata beliau, di sebalik penambahbaikan secara berterusan yang dilakukan terhadap sistem pengangkutan awam, masih banyak orang terus menggunakan kenderaan sendiri. "Kami tidak boleh menahan orang daripada membeli dan memandu kereta sendiri, tetapi kerajaan memberi kepada mereka lebih banyak opsyen dengan menambah baik sistem pengangkutan awam. "Kami masih di peringkat awal dan prosesnya adalah secara beransur-ansur. Masanya akan tiba apabila orang akan menggunakan pengangkutan awam," katanya pada majlis perasmian Persidangan Pengangkutan Awam Bandar 2014 di sini hari ini. Persidangan dua hari bertemakan 'Smart Mobility, Smart Cities' itu bertujuan menilai kembali keperluan dan perancangan masa depan bagi sistem mobiliti pintar untuk menjadikan bandar lebih cekap dan selesa untuk didiami. Ab Aziz berkata sejak Pelan Transformasi Kerajaan diperkenalkan, kerajaan melipatgandakan usaha menyediakan sistem pengangkutan yang cekap dan selamat. "Untuk membina sistem pengangkutan yang cekap bagi masa akan datang, Malaysia perlu mengenal pasti arah aliran sedang muncul dan membuat penyesuaian terhadap sistem dan dasar bagi meraih manfaat daripadanya," kata beliau. - Bernama

Laporan Audit- 67 pegawai awam dikenakan tindakan tatatertib

Sebanyak 67 pegawai perkhidmatan awam didapati bersalah dalam kes penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, salah laku atau kecuaian pelaksanaan tugas setakat 13 Jun lepas. Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata hukuman itu dikenakan berdasarkan teguran yang disiasat oleh Jawatankuasa Siasatan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012. Bercakap pada sesi (terbuka) Townhall Tindakan Susulan Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2012 dan 2013 (Siri 1 dan 2) di sini hari ini. Beliau berkata 10 pegawai pula didapati tidak bersalah manakala 88 pegawai lagi masih dalam prosiding tatatertib/surcaj/mahkamah. Katanya kesemua pegawai yang didapati bersalah akan berhadapan dengan hukuman tatatertib yang ditetapkan Lembaga Tatatertib, antaranya dibuang kerja, diberi amaran, dikenakan tindakan surcaj dan penangguhan pergerakan gaji. "Daripada jumlah itu, seorang pegawai telah dibuang kerja, 29 pegawai dikenakan tindakan surcaj, denda (dua), amaran (21), tangguh pergerakan gaji (1). "Sebanyak 12 pegawai pula dikenakan surcaj dan amaran dan seorang pegawai lagi diberi amaran serta ditangguhkan pergerakan gaji," kata Mohamad Zabidi. Sesi Townhall itu merupakan yang pertama kali diadakan bagi membolehkan pihak media berinteraksi dan mendapat maklum balas yang lebih terperinci daripada kementerian dan agensi berkaitan Laporan Ketua Audit Negara 2013 Siri 2. Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low Seng Kuan, Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang, ketua-ketua setiausaha kementerian, ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan. Mohamad Zabidi berkata bermula Laporan Audit Negara 2012, tindakan lebih tegas dan proaktif telah dilaksanakan kerajaan dengan menubuhkan Jawatankuasa Siasatan bertujuan mempercepat proses siasatan ke atas teguran bersifat punitif (teguran melibatkan penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, salah laku atau kecuaian pelaksanaan tugas). "Kita akan memperbaiki mutu perkhidmatan melalui proses transformasi dan menyemak semula prosedur serta peraturan perkhidmatan penjawat awam," katanya. Mohamad Zabidi berkata melalui proses transformasi, keupayaan individu juga perlu diambil kira dalam memastikan kerajaan memiliki pegawai yang kompeten dan berintegriti. "Setiap individu perlu memiliki ilmu serta tahu undang-undang dan peraturan maka kesilapan tidak mungkin akan berlaku. Jika berlaku sekalipun, ia tidak disengajakan," jelas beliau. Katanya segala kelemahan dan kesilapan pegawai perkhidmatan awam yang dilaporkan dalam laporan itu akan dijadikan iktibar manakala tindakan tatatertib yang dikenakan akan dijadikan pengajaran kepada pegawai lain.

Kerajaan pelru ambil tindakan susulan terhadap laporan Ketua Audit Negara

Kerajaan perlu mengambil tindakan susulan terhadap semua isu yang disenaraikan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2013 Siri 2 untuk menambah baik prestasi. Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Datuk Akhbar Satar berkata, pertubuhan itu bersedia untuk bekerjasama dengan semua pihak termasuk Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Membanteras Rasuah dan Jabatan Perdana Menteri bagi menangani isu-isu yang dibangkitkan dalam laporan Ketua Audit Negara itu. TI-M juga menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyiasat sama ada dana awam telah dibelanjakan secara berhemah dan memastikan setiap Menteri bertanggungjawab atas kegagalan mematuhi peraturan kewangan, pengurusan, perolehan mahal, harga tidak sepadan dan sasaran yang tidak tercapai, kata beliau dalam satu kenyataan Selasa. Sementara itu, Ketua Wanita Gerakan Datuk Tan Lian Hoe dalam satu kenyataan hari ini menggesa supaya tindakan tegas diambil terhadap mereka yang melakukan kesalahan termasuk tindakan mahkamah dalam kes seperti penipuan atau salah laku.

Jabatan Penyiaran guna kaedah SST dalam pembelian program RTM

Jabatan Penyiaran Malaysia telah menggunakan kaedah perolehan Surat Setuju Terima (SST) yang mengandungi terma dan syarat bagi menggantikan kontrak formal dalam pembelian program saluran TV Interaktif (TVi) RTM bagi tempoh 2011 hingga 2013. Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi berkata jabatan itu perlu ada penyelarasan dari segi pembelian program-program televisyen jika tidak mempunyai kontrak formal. "Jadi (penggunaan) SST walaupun tiadanya kontrak formal pada masa itu , ia telah mengandungi pelbagai terma kontrak yang mana perlu dipersetujui oleh pembekal program, antaranya ia telah menggariskan tempoh kontrak, tugas dan tanggungjawab setiap pembekal program televisyen. "Kami juga mengarahkan pegawai mendapatkan satu salinan SST sebagai dokumen yang mencatatkan pengesahan 'offer of acceptance'...tiada niat buruk kita laksanakan perjanjian melalui SST kerana ia sesuatu yang telah dirujuk dari segi perundangan," katanya pada sesi Townhall Tindakan Susulan Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2012 dan 2013 (Siri 1 dan 2) di sini hari ini. Sesi itu merupakan yang pertama kali diadakan bagi membolehkan wakil media berinteraksi dan mendapat maklum balas lebih terperinci daripada kementerian dan agensi berkaitan berhubung Laporan Ketua Audit Negara 2013 Siri 2 yang dibentangkan di Dewan Rakyat semalam. Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low Seng Kuan, Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang, ketua-ketua setiausaha kementerian, ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan. Abdul Rahim berkata penggunaan dokumen rasmi ini dapat memberi jaminan tawaran yang diberikan oleh RTM kepada pembekal program boleh ditamatkan kontrak pembekalan sekiranya mereka gagal mematuhi syarat digariskan dalam SST. Beliau turut memaklumkan RTM tidak mengalami sebarang kerugian kerana perkhidmatan penggunaan SST tidak melibatkan pembayaran pendahuluan sehingga syarikat pembekalan program itu mematuhi syarat dan tempoh yang ditetapkan. Bagaimanapun, Abdul Rahim berkata kementerian telah melaksanakan penggunaan kontrak formal berserta dengan SST bagi perolehan bekalan filem RTM berdasarkan pematuhan Surat Pekeliling Perbendaharaan SPP Bil 5 tahun 2007 mulai bulan Mei tahun ini. "Oleh yang demikian, saya akan memastikan apa yang dilaksanakan tahun ini akan terus dipatuhi dalam pemberian kepada pembekalan program melalui dokumen formal," katanya. Menurut Laporan Ketua Audit Negara Siri-2, RTM telah meluluskan peruntukan sebanyak RM111.83 juta bagi perolehan 426 program untuk saluran TV Interaktif (TVi) dari tahun 2011 hingga 2013. Namun, 413 program daripadanya yang bernilai melebihi RM50,000 setiap satu tidak mempunyai kontrak formal antara kementerian dengan pembekal program. Jabatan Audit Negara turut menegur ketiadaan kontrak formal boleh menimbulkan perselisihan antara kedua-dua pihak dan penggunaan SST tidak menyatakan klausa yang menjaga kepentingan negara.

Hentian R n R lebuh raya akan jadi zon larangan merokok

Semua kawasan tertutup di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) lebuh raya serta laluan pejalan kaki berbumbung sepanjang 23 kilometer dalam wilayah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur akan menjadi zon bebas rokok, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam. Beliau berkata pewartaan zon berkenaan akan dilaksanakan sebelum akhir tahun ini dengan melibatkan kawasan medan selera, tandas dan taman rekreasi di kedua-dua kawasan berkenaan. "Perbincangan dengan pihak konsesi lebuh raya dan DBKL sudah dijalankan dan mereka sudi serta sedia bekerjasama," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia peringkat kebangsaan bertemakan "Jimat Wang! Berhenti Merokok! Selamatkan Nyawa" di sini Selasa. Katanya kementerian bercadang mewartakan lebih banyak zon larangan merokok di seluruh negara. Ia adalah sejajar dengan usaha yang mensasarkan penurunan peratusan penduduk dewasa merokok daripada 23.1 peratus atau 4.7 juta pada masa sekarang mengikut Tinjauan Global Adult Tobacco Survey Malaysia 2011, kepada 16 peratus pada tahun 2025, katanya. "Kita juga melihat umur bermulanya seorang perokok adalah lebih rendah iaitu antara 12 dan 15 tahun selain golongan wanita merokok juga bertambah," katanya. Terdahulu dalam ucapannya, Dr Subramaniam berkata dari segi percukaian, kementerian itu mensasarkan percukaian melebihi 70 peratus daripada harga runcit untuk semua jenis rokok. "Ini bersesuaian dengan saranan Perjanjian Rangka Kerja Kawalan Tembakau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk menurunkan kebolehdapatan rokok terutama dalam kalangan remaja," katanya. The World Health Report 2010 menyatakan bahawa peningkatan harga rokok adalah satu cara yang sangat efektif untuk menurunkan gejala merokok dan menghalang seseorang untuk mula merokok, katanya. "Kenaikan harga rokok sehingga 10 peratus dapat mengurangkan tabiat merokok sebanyak empat peratus bagi negara berpendapatan tinggi dan sehingga lapan peratus bagi kebanyakan negara berpendapatan sederhana dan rendah, secara tidak langsung ia dapat menjimatkan wang untuk digunakan kepada perkara lebih bermanfaat," katanya. Dr Subramaniam berkata kajian ekonomi kesihatan yang dilakukan di negara ini mendapati, kos rawatan tiga jenis penyakit utama akibat merokok melebihi RM3 bilion setahun. "Kos rawatan penyakit jantung koronari adalah RM545 juta setahun, kanser paru-paru RM133 juta setahun manakala penyakit paru-paru kronik RM2.2 bilion setahun, kos ketiga-tiga penyakit ini ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan," katanya. Ketika ditanya mengenai pemberian cuti sakit kepada individu yang tidak sakit kerana 'demam Piala Dunia', beliau berkata seorang doktor dan pegawai perubatan tahu bahawa mereka diberikan keyakinan oleh kerajaan serta rakyat untuk menjalankan tugas dengan benar dan betul. "Sama ada Piala Dunia atau tidak, sijil cuti sakit hanya diberikan kepada pesakit yang betul-betul sakit, jika diberikan kepada yang tidak sakit atau melalui ejen-ejen, pendaftaran pengamalan perubatan doktor terbabit boleh dibatalkan, maksudnya tidak boleh bekerja sebagai doktor lagi," katanya. Sementara itu, mengenai kejadian seorang ibu berusia 72 tahun yang mengalami jangkitan kuman di jari kiri sehingga terpaksa dipotong selepas dikatakan menerima suntikan seorang doktor di sebuah hospital kerajaan di sini, Dr Subramaniam berkata kementerian memandang serius kejadian seperti itu. "Kita adakan siasatan untuk mencari punca dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pegawai terbabit jika kesilapan, penyelewengan serta kecuaian berlaku. Keselamatan kesihatan pesakit akan agenda penting kita dari dia masuk sehingga dia keluar dari hospital," katanya.