Selasa, 12 Ogos 2014

Pertemuan Anwar dengan Hadi semalam gagal

Pertemuan antara Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Kuala Terengganu semalam gagal mencapai kata sepakat. Itulah apa yang disebarkan melalui laman sosial WhatsApp sekarang ini yang dikatakan ditulis oleh seorang AJK PAS Pusat tentang mesyuarat yang diadakan di sebuah hotel dekat Kuala Ibai, Kuala Terengganu semalam. "Pertemuan DSAI dgn TGHH semalam hancur. Tiada kompromi. Dan senario Zuhdi nampaknya akan dipakai," tulis seorang AJK PAS pusat melalui kumpulan WhatsApp yang kini disebar merata-rata. Namun The Malaysian Insider tidak dapat mengesahkan kenyataan itu dari penulis asalnya. DSAI adalah singkatan untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim manakala TGHH adalah singkatan kepada Tuan Guru Haji Hadi. Sebelum ini, Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS Dr Zuhdi Marzuki dalam senarionya menulis, PAS boleh bergabung dengan Umno dan Khalid disamping seorang dua dari PKR atau DAP untuk membentuk kerajaan baru di Selangor. PAS mempunyai 15 Adun, BN 12 dan bersama Khalid, mereka membentuk 28 ahli iaitu separuh dari 56 ahli dalam Dewan Negeri Selangor. Sehingga kini, hanya itulah maklumat tentang mesyuarat semalam yang keluar manakala pihak yang terlibat dalam mesyuarat itu enggan membuka mulut masing-masing. Mesyuarat itu diadakan di sebuah hotel dekat Kuala Ibai dengan dihadiri oleh dua dari pihak PKR dan tiga dari pihak PAS. Setiausaha PKR Datuk Saifudin Nasution Ismail menyertai Anwar manakala Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali dan Setiausaha Politik Presiden PAS, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyertai Abdul Hadi. Mustafa telah mengesahkan mesyuarat itu semalam kepada Bernama. Semalam juga Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyidin Yassin berkata, kesemua 12 Adun Umno akan menyokong Khalid sebagai menteri besar. Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor ‎Datuk Seri Noh Omar pula berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno ‎akan mengikut apa jua arahan pemimpin atasan ‎mereka. "‎Kami hanya turut perintah menyokong Khalid. Kita Umno ni ada parti, jadi kami akan ikut apa jua keputusan pucuk pimpinan parti. "Ini budaya yang Umno buat, yang tak tahu ikut arahan parti ini Anwar sahaja," katanya. Ekoran kenyataan itu, DAP hari ini mendesak rakannya dalam Pakatan itu iaitu PAS menyatakan pendirian. "Jika PAS berkata mereka tidak akan bersama Umno, ini akan membantu menjelaskan bahawa PAS bersetuju menggantikan Khalid sebagai menteri besar Selangor, tetapi menunggu 17 Ogos untuk memutuskan samada untuk menerima calon PKR atau penggantinya. "Jika PAS gagal untuk menjelaskan hal ini, ia hanya akan menghakis sokongan sokongan popular untuk PR dan merosakkan keyakinan pengundi bukan sahaj di Selangor tetapi seluruh negara," kata Lim Guan Eng dalam kenyataannya. Sebelum ini, Abdul Hadi berkata, PAS menyokong Khalid kekal sebagai menteri besar. Ia kemudiannya disokong Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat dan diperkukuhkan lagi dengan pengesahan oleh Majlis Syura Ulama. Namun selepas Khalid dipecat oleh PKR, tidak ada sebarang pendirian rasmi oleh PAS lagi samada mahu menyokong Khalid atau menyokong calon lain untuk menjadi MB Selangor. Petikan The MalaysianInsider.

Khalid pecat enam Exco dari DAP dan PKR

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah menghantar surat kepada Sultan Selangor pada Selasa bagi memohon perkenan untuk memecat enam anggota Exco kerajaan negeri dari DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang tidak menyokong pentadbirannya. Mengumumkan demikian Abdul Khalid berkata arahan pemecatan itu akan berkuatkuasa serta merta selepas mendapat perkenan Sultan Sharafuddin Idris Shah. "Exco DAP dan PKR hari ini sudah tandatangani satu surat supaya diadakan satu blok (berpakat) bertujuan untuk mengurangkan kecekapan pentadbiran kerajaan negeri. "Oleh sebab itu, saya telah minta dan tulis surat kepada baginda Sultan agar anggota Exco ini tidak teruskan kerja mereka sebagai Exco," katanya kepada pemberita di sini. Tiga anggota Exco dari DAP ialah Datuk Teng Chang Khim, V.Ganabatirau dan Ean Yong Hian Wah sementara anggota Exco dari PKR ialah Elizabeth Wong Keat Ping, Rodziah Ismail dan Dr Daroyah Alwi. Abdul Khalid berkata perkara itu telah dimaklumkan kepada kesemua Exco yang terlibat kecuali Rodziah yang kini berada di luar negara atas urusan kerja. Mengulas lanjut, Menteri Besar berkata pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan anggota Exco dari PAS bagi membincangkan mengenai pentadbiran kerajaan Selangor. "Melalui perbincangan ini, saya berharap pentadbiran Selangor dapat berjalan dengan mantap dan semua program pembangunan yang dirancang dapat dilaksanakan," katanya. Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai dakwaan beliau ada menghantar surat untuk menyertai PAS, Abdul Khalid menafikannya. Enam anggota Exco terlibat hari ini dalam kenyataan bersama berkata mereka akan terus menjalankan tugas masing-masing tetapi menegaskan tidak akan berjumpa dengan Abdul Khalid kecuali pada mesyuarat mingguan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN). Selain itu keenam-enam exco tersebut dilaporkan berkata, dalam urusan melibatkan mereka, kedudukan dan fungsi Abdul Khalid hanyalah dalam kapasiti peralihan sementara menunggu seorang menteri besar daripada Pakatan Rakyat dilantik. "Abdul Khalid dan MMKN juga tidak boleh membuat sebarang keputusan tanpa melalui proses undian. "Sebarang keputusan MMKN perlulah diundi supaya fungsi Abdul Khalid dihadkan kepada kapasiti peralihan," kata mereka.

Sultan Selangor tidak berkenan Wan Azizah mengadap

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan baginda tidak berkenan menerima menghadap Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, baginda telah menerima surat yang telah ditandatangani Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim Ahad lalu yang memohon agar Wan Azizah menghadap baginda. “”Surat itu bagi memohon Presiden PKR menghadap Sultan Selangor bagi memberi penerangan dan penjelasan yang telah diputuskan PKR. Surat permohonan itu telah disembahkan kepada Sultan Selangor pada Isnin. “Baginda menitahkan supaya saya memaklumkan kepada Anwar bahawa baginda tidak berkenan menerima menghadap Presiden PKR atas alasan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah pun menghadap banginda berkaitan kedudukan beliau sebagai Menteri Besar Selangor,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. Menurut kenyataan itu, baginda tidak mahu campur tangan dalam soal pemecatan Abdul Khalid dari PKR. “Sultan Selangor berpendapat bahawa pemecatan Abdul Khalid dari PKR merupakan isu dalaman parti yang tidak menjejaskan kedudukan beliau sebagai Adun Menteri Besar Selangor. “Baginda tidak mahu campur tangan dalam isu dalaman PKR,” katanya. Dalam pada itu, Sultan Selangor turut memaklumkan bahawa baginda telah berkenan Abdul Khalid terus kekal sebagai Menteri Besar, bukannya keputusan Mesyuarat Dewan Diraja Selangor sebagaimana yang dilaporkan media. “Mesyuarat Dewan Diraja Selangor yang diadakan pada 11 Ogos adalah mesyuarat berjadual yang telah diperkenan Sultan Selangor dan tidak membincangkan kedudukan Abdul Khalid. “Abdul Khalid telah menghadap Sultan Selangor bagi menyembah maklum kepada baginda bahawa beliau telah dipecat oleh Lembaga Disiplin PKR dan beberapa perkara berkaitan kedudukan menteri besar sebelum sidang Mesyuarat Dewan Diraja,” katanya.

15 ADUN PAS sokong Khalid

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Mohd Amar Abdullah memberi jaminan 15 Adun Pas Selangor masih lagi menyokong Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagaimana diputuskan Majlis Syura. Menurutnya, selagi parti berpaksi kepada keputusan Majlis Syura, maka secara automatiknya dari segi kewajipannya wakil rakyat Pas akan tetap bersama Abdul Khalid. “Arahan pun sudah dikeluarkan kepada exco Pas supaya kekal dengan jawatan yang ada, DAP pun tidak dengar supaya keluar, tidak ada arahan suruh letak jawatan, maka dari segi pentadbirannya, Tan Sri Abdul Khalid masih mendapat sokongan, walaupun DAP, dari segi partinya bersama dengan PKR,”katanya kepada media ketika ditemui di pejabatnya hari ini. Beliau diminta mengulas isu pergolakan yang melanda politik Selangor selepas buat pertama kalinya negeri itu dipegang seorang menteri besar bebas. Sementara itu Keempat-empat Exco Pas di Selangor kekal menggalas jawatan mereka sehingga satu keputusan baharu dicapai dalam mesyuarat khas peringkat pusat parti itu pada Ahad ini. Menurut Exco Selangor, Dr Ahmad Yunus Hairi, beliau ada menemui Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, namun isu sokongan terhadap kepimpinan Adun Pelabuhan Klang itu tidak timbul. "Saya ada berjumpa dengan menteri besar, dua hingga tiga minit sahaja, membincangkan bagaimana Exco-Exco yang masih tidak meletakkan jawatan untuk bekerja kepada rakyat Selangor. "Sekarang kini, Pas masih memegang jawatan (Exco) seperti mana yang dikehendaki Pas Pusat," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini. Semalam, Abdul Khalid memberitahu beliau akan menemui Exco DAP Dan PKR Selangor untuk bertanyakan sokongan mereka kepada beliau selepas dipecat keahliannya dari PKR pada Sabtu. Ditanya tentang tiga Exco Pas Selangor yang lain, Ahmad Yunus memberitahu mereka tidak menemui Abdul Khalid kerana mempunyai urusan kerja masing-masing di luar pejabat. Dalam pada itu, Ahmad Yunus turut memberitahu bahawa beliau akan menghadiri menghadiri mesyuarat mingguan Exco esok. "Esok ada mesyuarat Exco dan Insya-ALLAH saya akan hadir kerana saya tidak meletakkan jawatan. Esok biasa pukul 10 pagi. Ditanya sama ada mengetahui tentang tindakan Exco lain selain Pas yang meletakkan jawatan, Ahmad Yunus berkata, sehingga kini beliau tidak dimaklumkan tentang perkara tersebut. Sementara itu, seorang lagi Exco Pas Selangor, Iskandar Abdul Samad yang ditemui di pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor juga senada dengan kenyataan Ahmad Yunus berhubung kedudukan mereka sebagai Exco. "Saya rasa sekarang ini perlu teruskan kerja demi memastikan rakyat dapat khidmat terbaik. Saya akur dengan keputusan yang diperkenan tuanku‎ semalam," katanya. Ketika ditanya tentang pertemuan khas Abdul Khalid dengan Exco yang dijadualkan hari ini, beliau bagaimanapun berkata tidak dimaklumkan perkara tersebut. "Saya cuma hadiri mesyuarat dengan Menteri Besar petang ini berkenaan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor tentang isu perumahan dan bukan soal sokongan," katanya lagi.