Isnin, 21 Jun 2010

Nilai aset Felda RM6.2 b - Ahmad Maslan



Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan berkata nilai aset semasa dan tetap FELDA antara 2004 hingga 2009 meningkat RM6.2 bilion walaupun rizab tunainya menurun RM2.73 bilion dalam tempoh yang sama.

Beliau berkata bahawa pada tahun 2004, FELDA mencatatkan nilai pemilikan aset berjumlah RM9.17 bilion manakala pada 2009, meningkat kepada RM15.37 bilion.

"Bagaimanapun kedudukan rizab tunai FELDA sedikit merosot iaitu sebanyak RM2.73 bilion bagi tempoh yang sama," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini pada Isnin sebagai mengulas laporan sebuah akhbar pembangkang pada Isnin bahawa rizab tunai FELDA telah jatuh merundum.

Ahmad berkata rizab tunai FELDA merosot ekoran pelbagai perbelanjaan seperti RM2.41 bilion yang digunakan untuk pembangunan sosio-ekonomi.

Hisham isytihar perang terhadap pembangkang



Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengisytiharkan “perang habis-habisan” terhadap pembangkang yang didakwanya memperlekehkan Umno yang menjadi tunjang kerajaan BN.

Serentak dengan itu beliau mengajak seluruh ahli parti supaya mengetepikan kepentingan individu sebaliknya menumpukan perjuangan untuk merampas kembali kerusi yang terlepas kepada pembangkang pada pilihan raya umum 2008 lalu pada pilihan raya umum akan datang.

“Kita kena buktikan Umno sebagai sebuah parti yang kekal relevan memperjuangkan nasib bangsa Melayu dan masyarakat,” tegasnya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bakri di sebuah hotel di sini hari ini.

Beliau mahu supaya mereka tidak bersikap seperti katak bawah tempurung yang hanya memperjuangkan ruang litup mereka sahaja, sebaliknya mengambil kira orang di luar parti.

Menurutnya tiada gunanya mereka jadi jaguh dalam parti tetapi masyarakat luar menolak perjuangan parti.

Hishammuddin yang juga Menteri Dalam Negeri menjelaskan, kekalahan calon-calon BN dalam pilihan raya umum lalu bukan kerana Umno lemah tetapi kerana masalah dalam parti sendiri.

“Pembangkang mengambil kesempatan daripada kelemahan itu hingga kita kehilangan empat buah negeri dalam pilihan raya umum lalu,” katanya.

Sehubungan itu, katanya Biro Politik Umno yang bermesyuarat dua hari lalu telah memutuskan akan menggerakkan program-program tertentu dan akan mula membuat pemantauan keberkesanan program berkenaan setiap minggu mulai sekarang.

Perhubungan-perhubungan Umno negeri katanya akan diminta menghantar laporan setiap minggu terhadap aktiviti parti dan perlaksaan projek-projek kerajaan sehingga pilihan raya umum akan datang.

Hishammuddin juga mengajak perwakilan Umno bahagian Bakri berikrar bekerja keras untuk merampas semula kerusi Parlimen Bakri, Dewan-dewan Undangan Negeri Sungai Abong dan Bentayan yang jatuh kepada pembangkang pada pilihan raya umum lepas.

Persepsi Politik Umno Harus Berubah- Najib



Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak berkata persepsi terhadap politik Umno harus berubah mengikut trend terkini dan tidak boleh mengikut cara lama dalam usaha untuk menawan kembali hati rakyat menyokong Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata Umno perlu sentiasa dalam keadaan segar melalui pembaharuan yang mengikut persekitaran politik yang berbeza dan sentiasa berubah-ubah mengikut kehendak rakyat.

Katanya, trend perubahan perlu dilakukan untuk menangkis segala tohmahan daripada pembangkang yang sentiasa mengelirukan rakyat dengan persepsi yang munasabah.

"Walaupun Umno telah berusia 64 tahun dan merupakan produk yang telah berusia tetapi ia perlu diubah mengikut suasana politik supaya rakyat terus menyokong Umno", katanya merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Bagan Datoh di Wisma Umno bahagian itu di sini pada Ahad.

Perdana Menteri mengakui politik mengalami pasang surut kerana ia adalah lumrah dalam politik malah dalam sistem demokrasi berparlimen atau pun demokrasi berdasarkan persepsi sistem merupakan satu perkara biasa yang tidak dapat dielakkan.

"Apa yang penting bagi kita ialah menerima turun naik kedudukan politik akan tetapi suatu keadaan yang kurang selesa maka kita perlu menguatkan iltizam, bertekad untuk berusaha bekerja lebih kuat lagi dalam merangka strategi politik, mengukuhkan barisan bekerja dalam satu pasukan agar kesedaran kebangkitan ini kita akan capai kejayaan", katanya.

"Kalau kita melihat dari segi sejarah perkembangan politik Umno, bermula dari Parti Perikatan hingga BN, tiada siapa yang dapat menafikannya dengan jasa dan pengorbanan yang banyak disumbangkan untuk kesejahteraan rakyat di bumi yang bertuah ini" kata Najib.

"Yang menjadi masalah kepada kita ialah pemikiran rakyat yang sentiasa berubah-ubah dari masa ke satu masa kerana angkatan lama yang terdiri daripada pejuang kemerdekaan semakin berkurangan", katanya.

Katanya pemimpin politik mesti turun padang melihat kesusahan rakyat kerana rakyat tidak mahu pemimpin yang bersikap bersikap angkuh dan ego.

Beliau juga meminta anggota Umno mengambil iktibar dalam keseronokan menyokong pasukan yang mengambil bahagian dalam perlawanan bola sepak piala dunia.

"Tidak semestinya pasukan yang kita sokong selalu menang akan terus bertahan saja tetapi satu hari ia akan bolos juga (gol), ada masa kena serang dan ada masa kita menyerang balas", katanya kerana adanya pihak yang suka untuk memutar belitkan fakta.

Sebagai contoh, katanya dalam pilihan raya kecil Parlimen Sibu yang lepas, DAP telah memutar belit fakta dengan mendakwa kapal selam Scorpene tidak boleh menyelam sedangkan ia hanya masalah teknikal bukannya tidak boleh menyelam langsung.

Oleh itu, kataya Umno mesti buktikan kekuatannya selaras dengan teknologi terkini supaya maklumat dapat disampaikan secara telus kepada rakyat.

Turut hadir Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Ketua Umno Bahagian Bagan Datoh yang juga Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. BERNAMA

Lagi desakan Musa letak jawatan dalam Sime Darby



Seorang Anggota Parlimen hari ini mendesak Pengerusi Sime Darby Berhad Tun Musa Hitam dan keseluruhan ahli lembaga pengarah syarikat itu meletak jawatan dengan serta-merta kerana kerugian besar yang dialami syarikat itu.

Wee Choo Keong (BEBAS-Wangsa Maju) berkata kerugian syarikat itu dalam dua projek di Qatar telah bermula pada tahun 2007 tetapi syarikat tersebut telah menafikannya.

Ini bermakna Sime Darby bukan sahaja membohongi pemegang-pemegang sahamnya malah ia juga menipu Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Bursa Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti.

“Saya juga hairan bagaimana Musa boleh membuat kenyataan bahawa Lembaga Pengarahnya tidak tahu-menahu tentang kerugian yang dialami. Ini amat memalukan kerana Sime Darby adalah syarikat perladangan yang terbesar di dunia.

Beliau turut mempersoalkan mengapa Sime Darby hanya mengambil tindakan terhadap Ketua Eksekutifnya Datuk Seri Ahmad Zubir Murshid sahaja dan bagaimana pula dengan pegawai-pegawai pengurusan kanan yang lain yang turut terlibat dalam membuat keputusan. — Bernama