Isnin, 7 Mac 2016

Deklarasi Mahathir kesempatan untuk bebaskan Anwar

Pakatan Harapan kini jelas menggunakan platform 'Deklarasi Mahathir' untuk membawa agenda pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari penjara kerana kesalahan meliwat. Agenda ini tidak terkandung dalam deklarasi asal yang ditandatangani dan diumumkan Jumaat lepas. Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata agenda itu akan menjadi agenda utama dalam perhimpunan mansuh Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan Perhimpunan Muafakat Selamat Malaysia pada 2 April ini. "Pakatan Harapan hari ini menetapkan bahawa agenda pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi agenda utama yang akan dibawa bersama agenda reformasi yang lain," katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen, di sini hari ini. Jumaat lepas, bekas perdana menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad mengetuai kumpulan lebih 50 orang menandatangani deklarasi itu, menyokong penyingkiran Najib daripada jawatan perdana menteri. Termasuk dalam kumpulan itu bekas timbalan presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas menteri besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir, bekas Presiden MCA Tun Dr. Ling Liong Sik, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan veteran DAP Lim Kit Siang. Dr Wan Azizah juga mendakwa Dr Mahathir sebenarnya memerlukan sokongan pembangkang dalam membawa agenda menyingkirkan Najib berbanding persepsi bahawa pembangkang menumpang pengaruh bekas perdana menteri itu. "Dr Mahathir tidak kuat dan beliau memerlukan bantuan kami," katanya.BERNAMA

Usaha jatuhkan PM bercanggah dengan demokrasi- Mohamad Hasan

Sebarang usaha untuk menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak adalah tidak sihat kerana ia bercanggah dengan demokrasi yang kita amalkan selama ini. Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan sebagai negarawan atau ahli politik yang sudah lama (berpengalaman), mereka (yang melakukan usaha itu) seharusnya membuat keputusan yang tidak ditempelak masyarakat. "Tunggulah tidak lama lagi, dua tahun sahaja akan ada pilihan raya...Tak kan tak boleh sabar," kata Mohamad yang jelas ditujukan kepada kumpulan yang melancarkan gagasan menuntut Najib berundur. "Kita percaya rakyat Malaysia mempunyai pelajaran dan jangan dihina kepintaran rakyat. "Saya lihat mereka yang buat gagasan ada kepentingan peribadi...Jangan kerana itu sampai heret rakyat terjerumus dalam politik tidak sihat," katanya. Mohamad bercakap kepada pemberita selepas majlis perasmian serentak Mesyuarat Agung PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan dan Sekolah Kebangsaan DUN Rantau 2016 dan Anugerah Kecemerlangan Akademik 2015. Beliau diminta mengulas kerjasama beberapa anggota UMNO dengan pembangkang yang menandatangani pada Jumaat lepas 'Deklarasi Mahathir' yang antara lain mahu Najib berundur. Justeru, Mohamad menegaskan UMNO Negeri Sembilan, Badan Perhubungan Barisan Nasional (BN) dan wakil rakyat Negeri Sembilan sebulat suara menyokong kepimpinan Perdana Menteri. Beliau juga berharap agar semua ahli UMNO dan parti komponen BN mengambil iktibar dari gagasan itu supaya mereka bekerja lebih kuat lagi untuk mempertahankan UMNO dan BN pada Pilihan Raya Umum ke-14. Mohamad berkata pemimpin UMNO yang bersekongkol dengan pembangkang diminta agar memikirkan semula keanggotaan mereka dalam parti. Dalam perkembangan lain, Mohamad berkata selaras dengan pertambahan penduduk di Bandar Sendayan, sebuah lagi blok sekolah akan dibina di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Sendayan dengan kos sebanyak RM7.2 juta. "Untuk masa ini sekolah menegah bagi DUN Rantau mencukupi tetapi kita telah dapat kelulusan daripada Kementeeian Pelajaran untuk bina satu blok di sekolah ini kerana pertambahan penduduk yang mendadak. "Selain itu, kita juga akan buat permohonan untuk bina sekolah rendah di kawasan Sendayan ini lagi supaya tidak ada sekolah yang tiada bilik darjah dan sekaligus dapat mengurangkan dua sesi persekolahan iaitu pagi dan petang," katanya.BERNAMA

KERJASAMA DR MAHATHIR BERSAMA LIM KIT SIANG SEJARAH HITAM BUAT ORANG MELAYU- AZIZ KAPRAWI

KERJASAMA DR MAHATHIR BERSAMA LIM KIT SIANG SEJARAH HITAM BUAT ORANG MELAYU #RespectMyPM #KekalNajib #Setia 1. Kejadian Sidang Media Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Dato' Seri Mukhriz Mahathir bersama barisan pembangkang pada hari ini merupakan satu peristiwa hitam bersejarah kepada negara dan khususnya kepada Parti UMNO. 2. Perbuatan ini yang sanggup bersekongkol dengan DAP, PKR, PAN dan serpihan PAS merupakan satu pengkhiatan terbesar yang dilakukan oleh ahli UMNO dan juga seorang negarawan dan mantan Presiden UMNO sendiri. 3. Tun Dr. Mahathir merupakan seorang individu yang selalu mengingatkan kita khususnya ahli UMNO tentang bahaya ancaman DAP terhadap orang Melayu dan negara Malaysia. 4. Beliau jugalah yang selalu memperingatkan tentang kesesatan ideologi PKR yang bertunjangkan kepada perjuangan songsang DS Anwar Ibrahim. 5. Namun, pada hari ini, Tun Dr Mahathir telah mengkhianati perjuangan UMNO, perjuangan orang Melayu, malah perjuangan dirinya sendiri demi ingin melihat matlamat peribadinya tercapai. 6. Lebih menyedihkan lagi apabila terdapat dua pemimpin UMNO turut bersama beliau juga kerana ingin mengejar matlamat peribadi mereka. 7. Saya ingin mengingatkan kepada ahli UMNO yang lain akan erti kesetiaan kepada perjuangan parti demi agama, bangsa dan negara supaya sekali-kali tidak bertindak mengikut emosi tanpa memikirkan kesan jangka masa yang panjang terhadap parti, dan negara. 8. Tidak ada pengganti bagi perjuangan orang Melayu dan agama Islam di dalam negara ini melainkan parti UMNO sahaja. Parti UMNO sahaja yang dapat menjamin kelangsungan agenda Bumiputera dan agama Islam agar tidak diinjak-injak dan diperkotak-katikkan. 9. Tahun ini merupakan ulang tahun ke-70 tahun parti keramat orang Melayu dan menjelang tempoh yang masih lagi terlalu pendek ini, negara Malaysia melalui Parti UMNO telah mencapai satu tahap kemajuan yang membanggakan. Pencapaian ini tidak sekali-kali dapat dicapai tanpa nilai kesetiaan yang tinggi antara pemimpin dan juga akar umbi parti UMNO. 10. Kita cuma tinggal empat tahun sahaja lagi sebelum mencapai tahun 2020 yang mensasarkan negara Malaysia untuk menjadi sebuah negara maju dengan acuannya tersendiri. Sekiranya kita ingin melihat visi ini tercapai di bawah kepimpinan Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak, maka seluruh kepimpinan negara, ahli UMNO dan rakyat Malaysia haruslah kekal setia dengan perjuangan ini demi memartabatkan negara yang kita cintai ini. 11. Sekiranya nilai kesetiaan ini dirobek, maka matlamat negara untuk mencapai status negara maju akan menghadapi cabaran yang lebih besar. 12. Bersamalah kita mendoakan agar nilai kesetiaan kita tidak diganggu gugat dan dengan nilai kesetiaan yang tinggi inilah kita dapat mencapai matlamat demi kesejahteraan agama, bangsa dan negara. AB AZIZ BIN KAPRAWI AHLI MAJLIS TERTINGGI UMNO KETUA UMNO BAHAGIAN SRI GADING

UMNO Melaka cadang pecat ahli yang sekongkol dengan pembangkang

Badan Perhubungan UMNO Melaka mencadangkan agar Majlis Tertinggi (MT) parti itu supaya memecat anggota parti yang bersekongkol dengan pembangkang. Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata anggota UMNO yang berbuat demikian perlu dipecat kerana tidak lagi mempunyai semangat serta 'roh' UMNO itu sendiri yang diterjemah melalui cogan kata 'Bersatu, Bersetia, Berkhidmat'. "Adalah sesuatu yang tidak masuk akal apabila seseorang itu masih mahu bersama UMNO tetapi tidak mahu bersama presiden (Datuk Seri Najib Tun Razak) malah mahu menyingkirkannya dengan cara tidak sah, inikah perangai anggota UMNO sebenar. "UMNO ada peraturan dan perlembagaan sendiri dengan pemilihan jawatan presiden dan lain-lain diadakan dengan cara demokrasi, jadi gunakanlah proses itu dengan sebaik-baiknya," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Melaka dan Barisan Nasional (BN) Melaka di sini tengah malam Ahad. Pada Jumaat lepas, bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas menteri besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir adalah antara 50 yang menandatangani Deklarasi Rakyat menyokong penyingkiran Najib, diketuai bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Idris yang juga Pengerusi BN Melaka berkata turut dikesalkan ialah tindakan Dr Mahathir dan anggota UMNO itu yang sanggup bersekongkol dengan DAP terutama pemimpin veterannya Lim Kit Siang dalam Deklarasi Rakyat itu. "Dahulu kami bekerja keras mempertahankan dan menidakkan pelbagai tuduhan Lim dan DAP terhadap Dr Mahathir ketika beliau menjadi perdana menteri, tetapi sekarang Dr Mahathir melupakan sokongan kami malah tergamak duduk bersama Lim dan DAP," katanya. Beliau berkata BN Melaka turut mengesyorkan kepada kerajaan supaya Dr Mahathir dilucutkan semua jawatan yang diberikan kepada beliau antaranya di syarikat berkaitan kerajaan seperti Petronas dan Proton. "Kami menghormati hak individu keluar atau masuk parti atau mana-mana organisasi, kami juga menghormati dan menghargai sumbangan serta jasa para pemimpin parti terdahulu serta masa kini, namun kami menolak sekeras-kerasnya perbuatan mereka yang derhaka terhadap UMNO, BN dan perjuangan parti," katanya. Sehubungan itu, Idris berkata BN Melaka memberi sokongan padu kepada Najib sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO, serta mendesak semua pemimpin parti komponen BN mengambil tindakan terhadap anggota mereka yang terlibat dalam deklarasi tersebut. "BN Melaka mengajak semua rakyat agar memberikan sokongan padu dan jitu kepada perdana menteri (Najib) atas semangat setiakawan BN. Beliau mampu dan bersedia meneruskan mandat, amanah dan tanggungjawab untuk menerajui negara ini bagi merealisasikan tuntutan serta aspirasi rakyat," katanya.

Kes pemimpin UMNO bersekongkol dengan pembangkang akan dibawa ke MT

Isu berkaitan mana-mana pemimpin UMNO yang menandatangani Deklarasi Rakyat dan bersekongkol dengan pembangkang akan dibawa ke peringkat Majlis Tertinggi (MT) parti sebelum sebarang tindakan diambil. Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata keputusan mesti dibuat secara rasional dan mengikut kaedah yang ada di dalam parti. "Saya percaya perkara ini akan dibawa ke Majlis Tertinggi dan Majlis Tertinggi akan meneliti dari sudut perlembagaan, peraturan dan undang-undang berdasarkan kes-kes sebelum ini," katanya selepas merasmikan Persidangan Berkelompok UMNO Cawangan, Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Bahagian Jelebu 2016 di sini, malam tadi. Turut hadir Ketua Umno Bahagian Jelebu Datuk Jalaluddin Alias. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas penglibatan anggota parti bersama pembangkang dan menurunkan tandatangan 'deklarasi rakyat' yang antara lain mahu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak supaya berundur. Semalam, Najib dilaporkan sebagai berkata beliau menyerahkan perkara itu kepada MT dan Jawatankuasa Disiplin untuk mengambil tindakan ke atas pemimpin UMNO yang bersekongkol dengan pembangkang. Ahmad Shabery berkata berdasarkan pertemuaannya dengan pemimpin di peringkat cawangan dan bahagian, rata-rata menggesa agar tindakan diambil.BERNAMA