Rabu, 7 Mei 2014

Hudud-MCA timbang semula kedudukan dalam BN

Parti komponen BN, MCA perlu membincangkan semula kedudukannya dalam parti andai Umno setuju dengan pelaksanaan hukum hudud, kata Timbalan Presiden MCA, Datuk Wee Ka Siong. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan moderator, Dr Maszlee Malik pada Wacana Sinar Harian siri ke-27 bertajuk 'Hudud: Bersediakah Kita?" di Auditorium Kumpulan Media Karangkraf di sini, hari ini. Maszlee bertanya kemungkinan MCA keluar dari BN andai Umno menyuarakan persetujuan terhadap pelaksanaan hudud. "Kalau berlaku, sudah sampai masa kita bincang kedudukan kita dengan rakan sekutu," katanya. Sebelum itu, moderator membangkitkan soal keputusan Menteri Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamir Khir yang merupakan ahli Umno telah membenarkan mana-mana negeri membentang draf hudud di Parlimen. "Saya tidak setuju (dengan Jamil Khir). Tak kira siapa yang bawa dan disokong oleh siapa termasuk Umno. Asas kita nak laksana ikut perlembagaan. "Jamil Khir tidak wakili BN. Bukan satu persetujuan yang diwakili BN," katanya. Wacana kali ini turut menampilkan bekas Mufti Perlis, Prof. Dr Mohd Asri Zainul Abidin; Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Timbalan Pengarah Institut Wasatiyah Malaysia, Jabatan Perdana Menteri, Dr Mushaddad Hasbullah.

Perbincangan projek keretapi laju KL-Singapura masih berjalan

Perbincangan antara Malaysia dan Singapura berhubung projek kereta api laju Kuala Lumpur-Singapura masih berjalan, kata Ketua Pegawai Pembangunan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Azmi Abdul Aziz. Katanya, projek itu memerlukan perancangan yang sangat teliti memandangkan tidak banyak projek kereta api berkelajuan tinggi merentasi negara yang boleh dijadikan sebagai rujukan. "Projek kereta api berkelajuan tinggi yang merentasi negara tak banyak dan yang terkenal seperti London - Paris pun sudah 20 tahun. "Jadi pihak Malaysia dan Singapura sedang berunding bagaimana kita hendak melakukan perancangan untuk mencapai sasaran projek itu siap menjelang 2020," katanya kepada Bernama pada Pameran Penyelesaian Kereta Api Asia 2014, di sini hari Rabu. Cadangan projek kereta api berkelajuan tinggi sepanjang 330 kilometer dari Kuala Lumpur ke Singapura, bernilai US$12 bilion (RM40 bilion) itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatnya, Lee Hsien Loong pada Februari tahun lepas. Projek yang dijangka siap pada 2020 akan memendekkan masa perjalanan antara kedua-dua ibu negara itu kepada hanya 90 minit.

Nazri promosi TMM 2014 di Timur Tengah

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mengetuai delegasi Malaysia ke Timur Tengah untuk mempromosikan program Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014. Destinasi pertama beliau ialah Arabian Travel Market (ATM), pameran pelancongan dan perjalanan terbesar Timur Tengah selama empat hari di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), kata kenyataan Tourism Malaysia yang dikeluarkan di sini hari Rabu. Pada Isnin, Mohamad Nazri merasmikan Malaysia Pavilion dan dijadual mengadakan perjumpaan dengan Lembaga Pelancongan Abu Dhabi, pengerusi Sharjah Commerce dan Jabatan Pelancongan serta para pengerusi dan ketua pegawai eksekutif syarikat penerbangan terkemuka di Timur Tengah. Pameran yang berakhir pada Khamis itu menawarkan kepada Malaysia platform yang amat berkesan untuk memasarkan dan meningkatkan kesedaran tentang TMM 2014 dalam kalangan penggiat industri pelancongan di Timur Tengah. "Sebanyak 150 penjual daripada 84 organisasi di Malaysia, terdiri daripada hotel dan resort, ejen perjalanan, pemilik produk pelancongan dan wakil kerajaan negeri, menyertai ATM tahun ini," kata kenyataan itu. Menurutnya, pada pameran tersebut, kerajaan pulau Pinang melancarkan buku panduan untuk pelancongan beragama Islam bertajuk "Experience Penang - A Muslim Travel Guide 2014", yang mengandungi panduan lengkap tentang tempat tarikan pelancong, restoran yang menghidangkan makanan halal dan tempat penginapan yang mempunyai kemudahan dapur yang disahkan halal di negeri itu. Selepas ATM, Tourism Malaysia akan meneruskan usaha promosinya dengan mengadakan misi jualan di Qatar (10-12 Mei) dan Jordan (12-15 Mei). Programnya di dua destinasi itu termasuk melakukan kunjungan hormat terhadap Menteri Pelancongan Qatar dan Menteri Pelancongan dan Warisan Purba Jordan. Pada 2013, 324,437 pelancong Timur Tengah melawat Malaysia, 19,830 daripada mereka dari UAE, 7,264 dari Qatar dan 6,278 dari Jordan. Jumlah itu menunjukkan penurunan daripada 370,535 pada 2012 dan 358,994 pada 2011.BERNAMA

KLIA2 sedia terima Air Asia dalam fasa kedua perpindahan 8 Mei ini

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) berkata, ia sudah bersedia menerima AirAsia dan beberapa syarikat penerbangannya dalam fasa kedua pemindahan ke klia2. Dalam satu kenyataan hari Rabu, pengendali lapangan terbang itu berkata, ia bekerjasama rapat dengan AirAsia bagi membantu mereka dalam pemindahan ke terminal tambang rendah baharu itu di mana beberapa mesyuarat dan ujian simulasi telah dijalankan bagi tujuan berkenaan. AirAsia akan memindahkan operasi semua syarikat penerbangannya dari LCCT ke klia2 pada 9 Mei. "Syarikat penerbangan lain telah berjaya memindahkan operasi mereka dengan lancar dari LCCT dan KLIA ke klia2. Oleh itu kami menjangka AirAsia akan mampu berbuat demikian walaupun jumlah pesawat dan operasinya lebih besar," MAHB. Menurut MAHB, AirAsia mungkin menghadapi sedikit masalah semasa pemindahan, tetapi MAHB komited sepenuhnya untuk membantu sedaya mungkin. "Kami telah menjalankan ujian Ketersediaan Operasi dan Pemindahan Lapangan Terbang membabitkan semua pihak yang berkepentingan sejak Februari 2014 dan kini klia2 beroperasi dengan lancar," katanya. Operasi klia2 yang memasuki hari keenam hari ini dengan Malindo Airways, Lion Air, Tiger Airways International dan Cebu Pacific Airways mengendalikan 33,000 ketibaan dan perlepasan dan hampir 300 pergerakan pesawat sejak dibuka pada 2 Mei lalu, kata MAHB.